BUSANA TRADISIONAL SUKU BERAWAN, ETNIK ORANG ULU

Busana Tradisional

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

9

Jumlah Pelawat

9

Pengenalan dan sejarah

Suku Berawan, yang asalnya digelar Melawan, adalah salah satu suku minoriti Dayak yang membentuk etnik Orang Ulu di Sarawak. Masyarakat Berawan berasal dari Daerah Baram dan kebanyakannya berada di kawasan Tutoh dan Tinjar. Setiap sub-bahasa Berawan mempunyai dialek yang berbeza, namun mereka masih mempunyai persamaan kebudayaan serta kepercayaan adet lunah, yakni adat lama. 

Antara warisan yang masih dikekalkan adalah pakaian tradisional, kraftangan dan tarian tradisional. Kain songket dan manik wajib dimiliki oleh setiap keluarga Berawan kerana kedua-duanya penting dalam kehidupan mereka.

Fungsi dan Peranan

Busana Lelaki:

Terdapat beberapa jenis baju tradisional mereka yang dipadankan dengan laket iaitu sirat, yakni seluar. Tiga jenis yang sering dipakai ialah laya, sipeng dan baju betek. Ketiga-tiga busana ini mempunyai fungsi yang berbeza dan sering dipakai antaranya semasa upacara perkahwinan, menyambut tetamu serta hari perayaan.

Busana/ Aksesori

Busana Lelaki:

Laya: Diperbuat daripada kulit haiwan seperti beruang, dan sebagainya. Dahulunya, laya sering dipakai oleh ketua masyarakat. Kini, busana ini sering dipakai dalam persembahan tarian Kanyat.

Sipeng: Ini adalah selendang diperbuat daripada kain songket, dipakai pada majlis perkahwinan zaman dahulu. Mereka memakai dua sipeng yang masing-masing pada bahu kanan dan bahu kiri. 

Baju Betek: Dikenali juga sebagai baju talam, mempunyai motif Orang Ulu yang disulam dengan manik. Baju ini berkonsepkan baju rompi yakni tidak mempunyai lengan. Dalam majlis perkahwinan busana ini sering dipakai oleh pengapit pengantin lelaki. Baju ini juga sering dipakai dalam majlis-majlis rasmi.

Laket: Ini adalah sirat berfungsi sebagai seluar, dalam pelbagai jenis dan corak. Diperbuat daripada kain hitam yang panjangnya sehingga empat meter. 


Aksesori Busana Lelaki: 

Aksesori busana lelaki suku Berawan tidak banyak beza dengan aksesori lelaki etnik Orang Ulu yang lain. Aksesori yang tersenarai di bawah boleh dipadankan dengan pakaian tradisional yang telah dinyatakan:

Pekah Laket: Dipakai di kepala, mempunyai dua jenis iaitu pekah tabutong dan pekah wai. 

Pekah tabutong diperbuat daripada rotan, manik, bulu kambing dan bulu burung. Di bahagian depan terdapat motif Orang Ulu seperti kepala manusia, dan sebagainya. 

Pekah wai lebih sederhana, diperbuat daripada rotan sepenuhnya dan tidak mempunyai hiasan manik. Aksesori ini sering dipakai dalam majlis keramaian dan menyambut tetamu. Terdapat juga mereka yang meletakkan bulu burung enggang pada bahagian belakang pekah tersebut.

Latai Talam: Ini adalah rantai yang diperbuat daripada manik dan lebih panjang daripada rantai dipakai wanita. Ukuran buah rantai juga lebih besar berbanding yang dipakai wanita.

Uton Takeng: Ini adalah parang yang diikat pada pinggang, mempunyai sarung yang diperbuat daripada kayu tertentu. Di bahagian luar sarung parang terdapat ukiran motif Orang Ulu. Ikatan pada parang diperbuat daripada rotan yang dianyam secara halus. Uton takeng sering dipakai sebagai pelengkap busana pengantin lelaki. Juga dipakai oleh penari lelaki dalam persembahan tarian Kanyat.

Utap: Juga disebut otarp. Ini adalah perisai yang digunakan pada zaman dahulu untuk melindungi diri daripada serangan musuh. Utap diperbuat daripada kayu tertentu dengan bahagian depannya diukir motif Orang Ulu. Aksesori ini digunakan juga dalam persembahan tarian tradisional.

Anyang/Tebero’: Ini adalah lembing yang digunakan dahulunya untuk memburu haiwan. Anyang juga dipanggil tebero’. Kini, aksesori ini jarang dipakai; hanya dalam persembahan tarian yang melibatkan alat tersebut sahaja. 

Geling Be’ti: Ini adalah gelang yang dipakai pada betis diperbuat daripada tembaga dan perak. Kini, gelang ini semakin jarang dipakai dan agak sukar untuk melihat lagi tradisi pemakaiannya.


Busana Wanita:

Terdapat dua jenis iaitu tepeng dan tikeh.

Tepeng:  Busana ini dilengkapi dengan sehelai atau dua helai kain songket yang disandang di bahu sebagai selendang. Wanita Berawan lebih memilih kain songket atau kain batik yang mempunyai corak yang lebih sederhana serta selesa dipakai. 

Tikeh: Ini adalah skirt yang diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam. Pakaian ini dihiasi motif seperti bunga yang disulam dengan manik dan labuci. Wanita yang meninggal dunia disarungkan dengan pakaian tikeh ini.  

Menurut kepercayaan, busana ini hanya boleh dimiliki atau dipakai oleh wanita Berawan  golongan sosial atasan sahaja. Kini, busana ini boleh dipakai oleh sesiapa sahaja. 

Bagi masyarakat Berawan dari Loagan Bunut dan Long Teru, busana ini sering dipakai oleh pengantin perempuan. Pemakaian tikeh dipadankan dengan dua helai kain songket pada bahu. 


Aksesori Busana Wanita:

Aksesori wanita Berawan tidak banyak berbeza dengan aksesori pakaian wanita suku Orang Ulu yang lain. Kesemua aksesori seperti tersenarai di bawah boleh dipadankan dengan kedua-dua busana tepeng dan tikeh:

Pekah Dicu: Ini adalah hiasan pada bahagian kepala diperbuat daripada rotan dan manik, mempunyai pelbagai corak yang bermotifkan Orang Ulu. Mengikut kepercayaan dahulunya, hanya mereka dalam golongan sosial atasan, iaitu keta’oh, sahaja boleh memakai pekah yang bermotifkan kepala manusia. Kanak-kanak tidak disarankan menggunakan motif tersebut kerana dikhuatiri melemahkan semangat mereka. 

Pada bahagian tepi pekah dicu terdapat hiasan lain yang dilekat atau dijahit bagi memberi tarikan pada aksesori tersebut. Ce’k adalah aksesori yang diperbuat daripada bulu kambing dan dihiasi dengan pelbagai warna. 

Lampiran gambar menunjukkan pekah dicu yang bermotifkan kepala manusia dilekatkan dengan ce’k.

Cang Aneng: Ini adalah anting-anting tembaga. Dahulunya, kecantikan wanita Orang Ulu dilihat melalui ukuran cuping telinga mereka. Anting-anting jenis tembaga diguna bagi membantu memanjangkan cuping telinga mereka. Namun kini,  bagi mengekalkan tradisi tersebut mereka sering menggunakan cuping telinga palsu dan memakai anting-anting yang diperbuat daripada kayu yang ringan. 

Latai Talam: Ini adalah rantai manik sebagai aksesori pada bahagian leher, dan adalah salah satu pusaka yang diwarisi daripada nenek moyang serta diperturunkan kepada generasi seterusnya. Aksesori ini adalah lambang kepada status sesebuah keluarga. Susunan, kualiti serta warna manik itu mencerminkan status si pemakainya. 

Sipeng: Ini adalah selendang disandang di bahu. Terdapat dua jenis iaitu sipeng likung (selendang kain) diperbuat daripada kain songket, dan sipeng talam (selendang manik).  Awalnya, masyarakat Berawan menggunakan selendang yang diperbuat daripada kain songket. 

Pemakaian kedua-dua si peng agak berbeza bagi busana-busana tepeng dan tikeh. Bagi tepeng boleh menggunakan sehelai atau dua helai sipeng. Pemakaian sehelai sipeng harus diletakkan pada bahu kanan. Untuk tikeh harus menggunakan dua helai sipeng. 

Geling Tusu: Gelang tangan ini diperbuat daripada tembaga dan perak. Selalunya wanita suku Berawan memakai sepasang gelang pada kedua-dua tangan.

Taleh I’eng: Ini adalah tali pinggang dalam pelbagai bentuk. Terdapat juga diperbuat daripada perak dan manik.


Sumber Rujukan

Metcalf, Peter A., Who are the Berawan. Oceania (1976).

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sarawak,
  • Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93000 Kuching Sarawak
  • +6082-422006
  • -
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Boniface Anak Babai

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93000, Kuching, SARAWAK

019-2399682/082-422006

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!