Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

7

Jumlah Pelawat

84

Pengenalan dan sejarah

Kaum Rungus terdapat di Daerah Kudat dan Daerah Kecil Matunggong. Selain Banat Tapi, wanita Rungus juga terkenal dengan busana tradisional dipanggil Sukolob. 

Sukolob ialah pakaian tradisi yang selari dari bahagian dada hingga ke bawah lutut, diperbuat daripada kain kapas biasa berwarna hitam atau biru. Pakaian ini digayakan seperti skirt labuh berpotongan midi ramping pinggang dan disimpul pada bahagian dada.

Fungsi dan Peranan

Busana tradisi ini sarat dengan manik-manik. Dahulunya, wanita Rungus sentiasa memakai pakaian ini dalam kehidupan seharian seperti memasak, mengangkat air, menyulam dan lain-lain lagi. Kini, busana ini hanya dapat dipakai ketika majlis perkahwinan, keraian, kematian ataupun mengalu-alukan ketibaan tetamu di rumah panjang.

Busana/ Aksesori

Sukolob mempunyai hiasan yang sama seperti baju tradisi Banat Tapi kecuali Ganggalung daripada dawai tembaga di bahagian bahu, yang berfungsi sebagai gelang leher, mempunyai diameter 40cm. Hiasan ini kurang dipakai kecuali oleh golongan lanjut usia semasa upacara ritual dan di beberapa kawasan kampung terpencil. 

Terdapat hiasan seperti sulaman Linangkit yang merujuk kepada hasil kerja seni sulam dan tekat menggunakan jarum. Linangkit menjadi hiasan utama membentuk garis tegak dan melintang pada bahagian belakang baju ini. Pertemuan garis tegak dan lintang pada bahagian punggung yang dibentuk oleh sulaman Linangkit didominasi dengan motif bunga pecah empat yang membentuk struktur ‘X’. Susunan motif geometrik ini seakan-akan kain sarung yang mempunyai kepala serta badan kain.

Kaum Rungus memilih hitam sebagai warna utama pakaian mereka. Menurut kepercayaan mereka, warna hitam melambangkan kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Namun, sesetengah pihak menyatakan bahawa penggunaan warna ini disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi pada waktu itu. Warna tradisi mereka adalah hitam, merah, kuning dan putih, dengan putih dan kuning sebagai warna reka corak dan jalur.

Kain tenunan ini menggunakan motif berunsurkan alam semula jadi antaranya: 

Benurunsi - siput dan kerang. 

Binongkok - berunsurkan imej katak. 

Binorokidung - tema jejak ular. Istilah lain ialah Rinugading.

Binugang - menyerupai burung.

Binutuan - menyerupai jalinan kulit kayu.

Inansal - bersumberkan pagar. 

Inompuling - bersumberkan serampang ikan.

Inugarang - menyerupai biawak atau cicak kecil.

Inumpizos - menyerupai ulat bulu. 

Kinadamazam - buah kadamazam.

Kiambang  Kiapu - bunga kayu.

Kinulit - bertemakan kulit pisang. 

Lijawan - paku pakis.

Linimut - imej kumbang.

Linopung - bersumberkan ular sawa.

Linopung do Kisorod - seperti ular bersirip.

Livato - bersumberkan semangat atau hantu.

Minimbayan - bersumberkan bungkusan kuih.

Mitotorungak - bersumberkan kemasyarakatan iaitu kelompok.

Monsimuung - bersumberkan imej semangat ataupun binatang.

Pinodkimo - kulit tiram.

Sinikuvan - buku benang.

Sinubung - ukuran kayu yang dicucuk dengan sesuatu benda ditengahnya.

Sinusuk  Rabung - pucuk rebung. 

Tinikou Sada - seekor ikan. 

Tiningulun - bersumberkan bentuk manusia.

Tinolutug - segi empat dikelilingi corak segi tiga.

Tinubou - bertemakan burung merak mengigal.

Tinukad - bersumberkan tangga.

Vinalahan - bunga rotan (vakau).

Vinusak - bunga-bunga hutan.

Vinusak Kapok - seperti bunga kapok.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pakaian tradisional ini dihasilkan sepenuhnya dengan tenunan menggunakan kapas dikenali sebagai kapok oleh penduduk setempat. Kain ditenun secara tradisional, dikenali sebagai magavol yang memaparkan ketinggian nilai tradisinya berdasarkan teknik pembuatan dan hiasan motif yang dihasilkan. 

Motif tenunan berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan. Proses menenun adalah serupa dengan proses menenun kain tradisi yang ada di Sabah iaitu menggunakan alat tenunan Kek Sandang Belakang, disebut babaal dalam Bahasa Rungus. 

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!