Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BUSANA TRADISIONAL SUKU KAYAN, ETNIK ORANG ULU
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
18
Jumlah Pelawat
18
Pengenalan dan sejarah
Suku Kayan kebanyakannya mendiami kawasan hulu sungai di Sarawak dan dipercayai telah berhijrah dan menetap di negeri ini lebih daripada 300 tahun lalu. Asasnya, suku ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, iaitu Kayan Baram yang mendiami kawasan pedalaman di Daerah Baram di Bahagian Miri; Kayan Belaga di kawasan pedalaman Bahagian Kapit; dan Kayan Tubau di Daerah Belaga, Bahagian Bintulu.
Corak serta motif tradisional masyarakat Kayan sangat berkait rapat dengan pengaruh alam flora terutama paku-pakis, dan fauna terutama burung kenyalang dan harimau. Sesetengahnya mengandungi motif kepala manusia atau berupa jin, yang dipercayai sebagai tuhan mereka yang dapat melindungi mereka daripada malapetaka, atau boleh membawa tuah kepada mereka.
Lelaki komuniti ini terkenal dengan telinga yang ditebuk di bahagian atas dan bahagian bawah. Lubang tebukan ini dihiasi taring beruang yang dianyam berserta manik, dipanggil udeng. Kini, budaya ini semakin pupus dan hanya wanita Kayan yang berusia 50 tahun ke atas sahaja yang masih bertelinga panjang dan bertatu. Semakin panjang telinga seseorang wanita itu semakin cantiklah ia dipandang dalam komunitinya.
Untuk mendapatkan telinga yang Panjang, telinga dibebankan dengan pemberat anting yang diperbuat daripada timah dikenali sebagai sabau dan lungin, mengikut jenis anting tersebut.
Busana Lelaki:
Busana tradisional kaum lelaki adalah kaya dengan ciri-ciri kepahlawanan, sesuai dengan amalan ngayau (memotong kepala) dahulunya. Juga menjadi set barangan hantaran kepada pengantin perempuan.
Busana Wanita:
Busana tradisional wanita suku ini diperbuat daripada manik-manik halus yang dijahit mengikut ukiran tradisi ikeng dan berwarna-warni. Busana ini biasanya dipakai semasa majlis perkahwinan, upacara menyambut tetamu kehormat dan perayaan keramaian.
Busana Lelaki:
Kelengkapan kaum lelaki terdiri daripada;
Bakin: Tombak.
Heput: Sumpit.
Sunung: Baju yang diperbuat daripada kulit binatang seperti kambing.
Layung Wei: Perhiasan kepala diperbuat daripada rotan, dihiasi dengan bulu kambing dan bulu burung kenyalang.
Bah: Sirat bewarna hitam dengan rekaan manik-manik.
Tabin: Diperbuat daripada rotan, dihiasi manik-manik kecil, dipakai di bahagian punggung para pahlawan.
Malat Ilang: Parang yang dihias dengan bulu kambing.
Kelebit: Perisai.
Busana Wanita:
Sapai Li’ung: Baju tanpa lengan.
Tapong Inok: Sarung.
Leku: Gelang tangan yang biasanya diperbuat daripada buluh dan tulang-tulang binatang.
Teba’eng Inu: Rantai manik-manik besar berwarna-warni.
Iseng: Anting yang diperbuat daripada perak atau suasa, digantung di telinga.
Tesa: Tali pinggang diperbuat daripada manik-manik besar berwarna-warni
Lavung Sek: Perhiasan kepala, dihias dengan manik dan bulu kambing berwarna-warni.
Sebilang Eno: Selendang diperbuat daripada anyaman manik.
Selegem: Cincin.
Sumber Rujukan
Tesis: Motif Tradisional Masyarakat Kayan/ Kenyah. Maureen Imang Jau (Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, 2004).
Asal Usul Kaum Kayan. Daniel (Blog: My Journey of Life, 2017).
Asas Tarian Orang Ulu. Buku Terbitan Bahagian Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Sarawak.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93000 Kuching Sarawak


