Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
SIA DO BINOIKIAN OM GONOB
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
3
Jumlah Pelawat
88
Pengenalan dan sejarah
Masyarakat Kadazandusun di Daerah Papar Sabah, mempunyai pakaian tradisional bernama “Sia Do Binoikian” atau “Sia Do Tinahajaan”, diperbuat daripada kain-kain kapas ataupun baldu. Lazimnya menggunakan kain baldu dipanggil boludu toitom kerana berwarna hitam.
Dahulunya, dipercayai masyarakat Kadazandusun di Papar hanya menggunakan kain hitam dan benang untuk membuat pakaian kerana bahan-bahan tidak mencukupi seperti sekarang. Justeru, terdapat perbezaan antara baju asli dan baju tradisi moden dalam hiasan aksesori dan manik. Mengikut arus pemodenan, baju tradisi ini ditambah dengan manik-manik keemasan bagi menambahkan lagi seri baju tersebut.
Aksesori dapat melambangkan status dan golongan si pemakai seperti dalam pemakaian botungkat, bolilit, sinsing dan hiasan pada siung. Mengikut kepercayaan, sebelum pertandingan Unduk Ngadau (ratu cantik) wujud busana ini dipakai oleh Bobohizan dalam serba hitam dalam upacara-upacara ritual seperti menyembah semangat padi (magavau), monumbui, babalai, modsuung, dan modsuau. Baju tersebut tidak boleh dicuci atau dilangkah kerana dipercayai mempunyai sundu (semangat). Warna hitam juga dipercayai menutup ‘semangat’ yang tidak baik yang ada pada Bobohizan semasa ritual.
Busana ini dipakai pada majlis perkahwinan serta amat luas pemakaiannya semasa perayaan Pesta Kaamatan yang dirayakan setiap bulan Mei.
Pakaian ini mempunyai blaus di dalam berwarna putih dan baju baldu hitam berlengan panjang di luar dipanggil sia. Jahitan utama yang melengkung di bahagian dada sia dipanggil sinangau sangau mengikut bentuk tanduk kerbau. Di lengan baju terdapat jahitan halus (vinagas) bagi menyambung manik-manik di sekeliling lengan baju.
Lapan pasang butang keemasan (kubamban) dijahit dari bahagian leher baju menuju ke bahagian dada menggunakan benang keemasan. Dua pasang butang tombohu dijahit pada bahagian leher baju iaitu di kiri dan kanan. Hiasan renda keemasan (siling) dan labuci dijahit di sekeliling lipatan tangan dan leher sia.
Aksesori busana ini, antaranya ialah satu sinorundung, tiga syiling emas (amas paun), lapan pasang butang batawi, satu pasang butang tombuku di leher dan tujuh pasang di lengan, biasanya empat pasang tali pinggang (botungkat ataupun limpogot) daripada syiling perak, dan sepasang gelang tangan (bolilit) yang lazimnya tiga lilitan dipakai oleh wanita bujang. Seutas tali pinggang kecil (sinsing) berwarna perak menunjukkan bahawa si pemakai adalah daripada golongan berada. Akhirnya, kain hitam (soundung) dihiasi dengan syiling emas diikat di kepala untuk menutupnya.
Busana ini dipadankan dengan skirt hitam dipanggil gonob, dihiasi sulaman linangkit ataupun rinangkit daripada benang kasar dan halus, dijahit menegak serta melintang di tengah-tengah gonob, kelihatan seperti bentuk salib. Warna-warna pada linangkit ialah merah, putih, kuning, hijau, biru dan merah jambu.
Busana ini diperagakan dengan siung (penutup kepala), dihiasi dengan bulu binatang ataupun bulu burung bagi wanita bujang dan bunga untuk yang sudah berkahwin. Corak-corak pada siung dinamakan tongkuyu, kinaban, sinalapa, lawangan, sisiit, sinusahati dan inonggom kara.
Siung diperbuat daripada buluh-buluh poring dan vuhu serta rotan. Buluh dihiris nipis bagi mendapatkan kepingan yang halus. Untuk mendapatkan warna-warna merah dan hitam pada siung daun-daun tumbuhan seperti loputung, rambutan, sonduduk dan kolipapoh dibakar kemudian hirisan buluh dan rotan diasapkan. Seterusnya, rotan dan hirisan buluh digosok menggunakan daun muda togumamahi bagi mengekalkan warnanya. Tempoh menyiapkan sebuah siung adalah dua minggu dan harganya masa kini dianggar sekitar RM250.00.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.