Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
SINURANGGA
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
8
Jumlah Pelawat
77
Pengenalan dan sejarah
Suku Dusun Tobilung adalah salah satu suku di daerah-daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat. Pakaian tradisi wanita mereka ialah Sinurangga dan Tabot.
Sinurangga mempunyai beberapa bahagian seperti Tapi Sinulatan, yakni skirt dihiasi sulat agar kelihatan menarik.
Sunduk adalah aksesori di bahagian kepala sebagai tudung. Sunduk mempunyai loceng dipanggil giring di bahagian bawah dan turut dihiasi sulat di bahagian tepi. Binolit adalah aksesori di bahagian pinggang, diperbuat daripada manik pelbagai saiz dan warna. Di bahagian bawah Binolit terdapat Giring iaitu loceng bertujuan memberikan irama bunyi ketika si pemakai bergerak.
Sinurangga juga dilengkapi aksesori pinggang dipanggil Sinsing, diperbuat daripada tembaga, dalam dua saiz besar dan kecil. Sinsing juga boleh dijadikan sebagai penanda kepada gadis pilihan lelaki dalam adat perkahwinan. Siin yang diperbuat daripada duit syiling perak adalah salah satu aksesori pinggang yang dipakai di bawah Sinsing.
Kecantikan dan keunikan Sinurangga dapat dilihat melalui aksesori-aksesori seperti Bontuk, Saring, Lungkaki dan Sumpak. Bontuk adalah gelang tangan berwarna putih dipakai di kedua-dua tangan, diperbuat daripada siput laut yang telah diasah. Mengikut kepercayaan, Bontuk dikatakan mampu merawat penyakit seperti ruam panas. Suku ini menghasilkan ubat ini dengan mengasah dan mencelup Bontuk ke dalam air yang akan disapu pada ruam untuk tujuan perubatan.
Saring adalah gelang tangan diperbuat daripada tembaga. Lungkaki dan Sumpak pula diperbuat daripada tembaga juga dan adalah gelang kaki. Perbezaan antara Lungkaki dan Sumpak adalah pada saiz; Lungkaki lebih besar dan berat tidak melebihi 5kg mengikut kehendak si pemakai, manakala Sumpak bersaiz kecil. Kedua-dua gelang kaki ini dipakai bersama agar dapat menghasilkan bunyi yang nyaring ketika si pemakai bergerak.
Terdapat juga hiasan Sulat yakni sulaman tangan dibuat mengikut motif dan corak. Ia biasanya disulam menggunakan benang kapas pelbagai warna. Motif dan corak Sulat adalah berunsurkan tumbuh-tumbuhan, binatang dan bentuk. Berikut adalah jenis-jenis Sulat pada pakaian tradisi ini:
Kinarawing Masapou
Binakud
Kinirilong
Sinayat-sayat
Kinorumbatang
Sinumpak Lubah
Sinubung
Nampatod
Pinisugut
Pinalad Bonong
Sinurangga diperbuat daripada kain kapas yang ditenun dan dicelup warna hitam, kemudian dipotong mengikut saiz badan si pemakai. Hiasan motif-motif sulat dan langkit bertujuan memperlihatkan keindahan baju tersebut agar kelihatan menarik. Motif-motif ini adalah berdasarkan kreativiti tukang jahit mengikut corak flora dan fauna.
Hiasan pakaian dikenali sebagai Langkit yakni hasil tenunan suku ini sejak dulu lagi. Teknik menghasilkan kraftangan ini dipanggil ‘simpul kait benang’ secara selang seli. Kebiasaannya, penghasilan Langkit dilakukan oleh kaum wanita menggunakan jarum dan benang kapas, terdiri daripada pelbagai warna. Pemilihan warna benang adalah berdasarkan motif dan corak yang berunsurkan bentuk, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Jenis-jenis Langkit Tobilung adalah Langkit Kinulampung, Langkit Ginuntiyow, Langkit Kinilong, Langkit Sumbit Walu, dan Langkit Sinusuk Rabung.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.




