Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

98

Pengenalan dan sejarah

Suku Dusun Liwan kebanyakannya menetap di daerah Tambunan. Wanitanya amat sinonim dengan pemakaian busana tradisional Sinombiaka, dipercayai wujud sekitar abad ke-19 atau sebelumnya. Hubungan yang terhasil daripada suku pedalaman dan pesisir telah mewujudkan gabungan dan inovasi pakaian ini. 

Sinombiaka terbahagi kepada dua jenis pakaian yang mempunyai keunikan tersendiri, iaitu Sinombiaka Pinolongon dan Sinombiaka Rombituon. 

Sinombiaka Pinolongon mempunyai pakaian luar seperti jaket ataupun baju berlengan panjang sebagai perlindungan daripada cuaca panas. Sinombiaka Rombituon lebih menonjolkan sulaman bintang yang terdapat pada baju yang sering diperagakan sewaktu pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau pada bulan Mei setiap tahun.

Boleh dikatakan Sinombiaka adalah pakaian formal majlis pada zaman dahulu. Ia terdiri daripada beberapa bahagian dan hiasan aksesori iaitu Sinombiaka, Gonob/Tapi, Tingot, Sunduk/Kulu, Botungkat/Limpogot, Golong dan Tangkong/Sinsing. 

Sinombiaka menggunakan kain yang ditenun hasil ilham nenek moyang. Reka corak atau motif ragam hias tenunan adalah mengikut kreativiti penenun. Lazimnya diilhamkan daripada keindahan alam sekitar dan keunikan budaya suku ini yang menjadi inspirasi kepada penenun dan kini menjadi warisan.

Fungsi dan Peranan

Adat pemakaian Sinombiaka dapat dilihat melalui upacara tradisi seperti perkahwinan. Lazimnya, ia dipakai oleh pengantin perempuan saat upacara monggooi panau yakni rombongan menjemput pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki, dan adat miohon do pinisi yakni bertukar nasi kepal. Kedua-dua upacara ini ditandai dengan puisi-puisi tradisional yang dilagukan iaitu tondiadi semasa monggooi panau dan bacaan rinait atau mentera semasa miohon pinisi.

Busana/ Aksesori

Di pinggang ialah Tingot, kain putih berfungsi sebagai tali pinggang untuk Gonob/Tapi menutupi bahagian perut agar tidak dimasuki angin. Gonob/Tapi adalah skirt panjang untuk menutupi bahagian kaki.

Hiasan lain di pinggang ialah Limpogot ataupun Botungkat iaitu tali pinggang wang syiling. Sinombiaka dan Gonob juga mempunyai hiasan seperti Tangkong atau Sinsing, diperbuat daripada tembaga berupa gelungan cincin kecil diletak di bahagian punggung. Tangkong Daerah Tambunan berbeza daripada Tangkong Daerah Penampang daripada segi motif dan ukurannya. 

Busana ini juga dilengkapi dengan aksesori Golong yakni gelang emas atau perak, dipakai di kedua-dua belah tangan.

Di kepala terdapat Sunduk atau Kulu untuk menutupi kepala, disulam dengan benang dan pada hujungnya lazimnya terdapat loceng kecil dipanggil Giring-giring. Para Bobolian yang memakai Sunduk untuk ritual keagamaan Bomolian juga sering dikaitkan dengan Giring-giring.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Terdapat lima jenis jahitan berbeza untuk menjahit Sinombiaka. Antaranya ialah  Kinarawing, Nonggom Kara, Nandalang, Tinuku dan Nontob Lapik dalam bahasa tempatan. 

Warna benang yang wujud pada masa lalu hanyalah warna asas seperti jingga, merah, hijau dan kuning untuk membuat sulaman pada busana ini. Kini, dengan kemudahan canggih, benang dapat dihasilkan secara mekanikal dan menggunakan kimia sekaligus menghasilkan pelbagai jenis benang dengan kualiti dan nilainya masih terjaga. Seri pakaian tradisi ini dinaikkan lagi dengan tambahan sulaman menggunakan benang keemasan.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!