Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
SINUANGGA
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
6
Jumlah Pelawat
111
Pengenalan dan sejarah
Kadazan adalah salah satu kaum yang terbesar di Sabah dan kebanyakannya menetap di Daerah Penampang. Busana tradisional wanita kaum ini adalah Sinuangga, blaus yang tidak berlengan dan dipasangkan dengan tapi (sarung). Simis pula adalah blaus putih daripada kain kapas dipakai di dalam Sinuangga.
Busana ini yang dipakai oleh wanita pertengahan umur dan yang berusia (bobohizan) menggunakan kain baldu tetapi mempunyai fesyen dan potongan yang berbeza. Contoh, blaus berlengan pendek (Sinompukung) dipakai oleh wanita pertengahan umur, manakala blaus berlengan panjang untuk wanita berusia terutamanya bobohizan.
Sinuangga diperbuat daripada kain baldu hitam yang disulami atau ditekat dengan renda berwarna keemasan dipanggil linda, serta butang betawi kecil dipanggil labuan.
Sinuangga dilengkapi aksesori tradisi yang penting dipelihara kerana nilainya yang amat berharga. Wanita memakai pengikat pinggang dipanggil himpogot betungkat yakni tali pinggang berupa rangkaian syiling perak dipakai pada pinggang dan pinggul. Kebiasaannya, himpogot terdiri daripada dua atau tiga utas, satu di keliling pinggang dan masing-masing satu di atas dan di bawah aksesori tangkong. Bilangan himpogot yang dipakai bergantung pada kemampuan si pemakai.
Tali pinggul dipanggil tangkong diperbuat daripada 84 bentuk cincin tembaga yang setiap satu berukuran lebih kurang setengan inci diameter dan berukir corak gong dimasukkan ke dalam lingkaran rotan halus. Seutas tangkong biasanya mengandungi 30 hingga 40 bentuk cincin.
Tiga utas Tangkong dipakai bersama, diikat dengan tali rotan merah (hindagang) bagi wanita bujang dan hitam (initom) bagi yang sudah berkahwin. Tali ini biasanya dibiarkan kosong di belakang untuk mengelak si pemakai daripada sesak nafas. Tangkong boleh diregangkan untuk pelbagai tujuan seperti memudahkan membawa bakul di bahagian belakang badan seseorang.
Sinuangga turut dihiasi aksesori seperti butang Betawi, dilingkar dengan tali di bahagian dalam agar butang ini dapat juga digunakan dengan blaus lain. Dahulunya, butang dilekat sehingga ke leher baju untuk upacara tertentu dan separuh daripada bahagian bawah blaus untuk pakaian seharian. Kini, butang-butang ini diikat dari bahagian atas blaus hingga ke bawah menggunakan benang kapas. Butang yang bersalut emas merupakan simbol status bagi kaum Kadazan. Contohnya, yang mampu mempunyai 30 butang seperti ini dianggap kaya.
Titimbak adalah pin rambut untuk menghias dan mengetatkan sanggul yang dipanggil Tinimbuku. Pin ini diperbuat daripada perak dan dipakai dua batang bersekali. Kini, ada juga yang menggantikannya dengan kuntuman bunga.
Aksesori-aksesori lain ialah Gohong iaitu gelang tembaga atau perak. Sekarang gelang emas sering dipakai. Juga aksesori Amas Paun yakni kerongsang wang syiling dollar awal abad ke-20 berwarna keemasan, rantai leher (hamai), anting-anting (simbong) dan cincin (sinsing).
Wanita Kadazan juga mengenakan dua helai selendang diperbuat daripada kain tenunan aneka warna dan bersambung di hujungnya. Selendang ini biasanya disangkut di kiri dan di kanan bahu secara melintang yang kelihatan seperti huruf ‘X’. Husob iaitu kain tenunan diperbuat daripada benang nanas hanya digunakan oleh bobohizan ketika membaca manteranya.
Kain baldu atau sutera digunakan untuk upacara tertentu dan kain kapas untuk pakaian seharian. Warna hitam banyak digunakan pada masa dahulu kerana penduduk asli negeri Sabah hanya bergantung pada beberapa jenis tanaman untuk dijadikan cecair pencelup kain. Kini, busana ini biasanya dipakai semasa keramaian seperti Pesta Kaamatan, perkahwinan dan sebagainya.
Jahitan utama pada pakaian tradisi ini ialah sinusuk bulus iaitu jahitan rantai dan tantop iaitu jahitan bulu. Teknik jahitan bulu juga digunakan untuk membuat binuunsi yakni masing-masing satu jalur merah dan kuning ditenun seperti tali kasut.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.

