Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

8

Jumlah Pelawat

80

Pengenalan dan sejarah

Dusun Tindal adalah salah satu suku di Sabah yang sebahagiannya menetap di Daerah Kota Belud. Suku yang berasal dari daerah tersebut ini mempunyai pakaian tradisi tersendiri dikenali sebagai Sinipak, dipercayai dihasilkan berdasarkan budaya etnik-etnik Bajau dan Iranun yang masing-masing etnik kedua dan ketiga terbesar di daerah tersebut. Persamaan antara ketiga-tiga baju etnik-etnik ini terletak pada belahan lengan baju Sinipak, dijahit daripada pelbagai corak kain renda.

Fungsi dan Peranan

Dusun Tindal adalah salah satu suku di Sabah yang sebahagiannya menetap di Daerah Kota Belud. Suku yang berasal dari daerah tersebut ini mempunyai pakaian tradisi tersendiri dikenali sebagai Sinipak, dipercayai dihasilkan berdasarkan budaya etnik-etnik Bajau dan Iranun yang masing-masing etnik kedua dan ketiga terbesar di daerah tersebut. Persamaan antara ketiga-tiga baju etnik-etnik ini terletak pada belahan lengan baju Sinipak, dijahit daripada pelbagai corak kain renda.

Busana/ Aksesori

Sinipak menggunakan kain baldu hitam, manakala Sunduk (penutup kepala) dan Gonob (kain) dihasilkan daripada kain Binidang berwarna biru gelap. Ciri-ciri utama keunikan pakaian ini ialah terdapat belahan pada lengan baju dan mempunyai sulaman Rinangkit berwarna-warni. Terdapat juga hiasan sulaman labuci dengan corak tertentu yang diinspirasikan daripada manusia dan alam sebagai salah satu keunikan dan daya tarikan baju ini. 

Sulaman labuci dikenali sebagai Tompiras, bersaiz sederhana kecil dan berwarna perak berkilau. Terdapat pelbagai jenis motif sulamannya, antaranya Rinombituon, Songguanggo, Sinumpak Luba, Tulun Nulun, Kininilong dan Nogipang.

Tepi Sunduk dijahit dengan benang keemasan dan disulam dengan benang berwarna-warni seperti merah dan jingga. Benang putih pula dijahit pada hujung bawah bahagian belakang Sunduk. Antara sulaman motifnya ialah Tulinau Tadau, Piniotud, Misawang Tulan, Tompukikili, Ginudang, Tinadasan, Binoluntung dan Pinirangop.

Aksesori terkenal iaitu Lolopot, yakni sepasang kain dastar yang dilipat segi tiga dan digulung separuh, dipakai secara menyilang di bahu dan mengelilingi leher membentuk kolar baju yang lebar. 

Aksesori Tipiu pula adalah rantai perak, tiga atau empat biji berbentuk sfera seperti bulan, dipakai mengelilingi leher serta diletakkan tergantung pada bahagian dada. Dahulunya, Tipiu berfungsi sebagai alat menyimpan tinggaton  yakni bahan-bahan untuk memakan sirih iaitu tembakau, pinang, gambir dan sirih. 

Sinipak dihiasi juga dengan aksesori lain seperti Sinimpogot atau Botungkat dipakai di pinggang, biasanya empat tingkat. Aksesori ini, yang dipakai di daerah lain, adalah sama dengan yang dipakai bersama Sinipak. Namun, namanya berbeza mengikut bahasa dan dialek masing-masing. 

Dounsulug adalah tali pinggang lebar dipakai mengelilingi bahagian atas punggung, dijahit memanjang secara melintang di atas kain warna hitam mengikut ukuran saiz punggung si pemakai. Dounsulug yang asli diperbuat daripada manik-manik dan batu pelbagai saiz, bentuk, corak dan warna. Untuk membuat Dounsulug yang asli digunakan manik bulat dipanggil Pinurog, manik kecil berwarna putih dipanggil Kinokogis, dan batu berwarna-warna dipanggilTinukod. 

Menurut kepercayaan lama, keadaan kesihatan dan emosi seseorang boleh diketahui melalui perubahan pada warna batu Tinukod yang dipakai. Contohnya, warna batu berubah menjadi cerah ketika si pemakai sihat atau gembira dan bertukar menjadi gelap jika si pemakai dalam keadaan sakit atau sedih.

Aksesori Simbong, yakni anting-anting yang diperbuat daripada perak ataupun tembaga, biasanya dipakai oleh anak dara suku ini dahulu. Saring pula adalah gelang tangan diperbuat daripada perak, biasanya dipakai tiga hingga lima utas pada kedua-dua belah tangan.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Sunduk dan Gonob dibuat daripada kain Binidang dengan benangnya diproses daripada urat daun nanas. Warna Binidang dihasilkan menggunakan sejenis kayu yang dibakar hingga menjadi arang, kemudian diproses menjadi warna dipanggil Tahum. 

Lolopot yang asli hanya dihasilkan melalui tenunan tangan menggunakan benang bersaiz sederhana kecil berwarna-warni seperti merah, jingga, kuning, putih, hijau dan ungu. Rinangkit Sinimbitan adalah antara motif asli yang lazimnya dihasilkan oleh pembuat Lolopot di kawasan Tempasuk, Kota Belud.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!