Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

106

Pengenalan dan sejarah

Suku Dusun Lobou terdapat di kawasan pedalaman Daerah Sook. Baju tradisi suku ini dikenali sebagai Bayangkis yang unik dengan tenunan corak menarik. 

Bayangkis dipakai oleh masyarakat bangsawan atau pahlawan Dusun Lobou. Dahulunya, pahlawan memakai pakaian ini sebagai perisai semasa peperangan. Ia dipercayai dapat melindungi diri daripada serangan musuh dan ilmu sihir.


Fungsi dan Peranan

Busana ini lazimnya dipakai dalam upacara perkahwinan dan oleh bobolian semasa upacara tertentu seperti perubatan tradisional. Bobolian yang dipilih dalam kalangan wanita Dusun Lobou mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus (poinsakit).

Busana/ Aksesori

Busana ini mempunyai Kasumba pada bahagian pinggang lelaki dan wanita. Kasumba adalah kain merah panjang yang berfungsi sebagai tali pinggang bagi mengikat Bayangkis agar tidak mudah terbuka. Ini juga menampakkan kekemasan baju si pemakai.

Beberapa aksesori menghiasi pakaian tersebut. Antaranya Gantad iaitu anting-anting diperbuat daripada tembaga ataupun buner. Tembaga dibentuk menjadi bulat seperti cincin dihiasi manik-manik kecil dan kingkilab yang diikat kemas menggunakan benang di sepanjang bulatan tembaga tersebut. Kingkilab selalunya diambil daripada bahan-bahan lebihan semasa menghasilkan gantad. Kini, kingkilab biasanya diperbuat daripada bahan plastik dan berbentuk memanjang.

Rarayut pula adalah rantai yang diperbuat daripada manik-manik berwarna. Hiasan ini terdiri daripada tiga jenis bahagian rantai yang digabung menjadi seutas rantai rarayut. Bahagian belakang rarayut dikenali sebagai papan, manakala bahagian depan  terdiri daripada inurabayan ataupun linangkuit.

Terdapat dua jenis aksesori Sulou dalam pakaian tersebut. Yang pertama, berbentuk cakera putih disulam di tengah bukaan leher Bayangkis, diperbuat daripada gading gajah yang dipotong dan dihaluskan. Masyarakat ini mempercayai bahawa gading gajah adalah elemen untuk perlindungan. Gading dibentuk menjadi cincin, gelang mahupun rantai sebagai pelindung daripada racun, penyakit dan ilmu hitam. 

Perhiasan ini juga dipercayai boleh mencegah si pemakai daripada gangguan jin dan makhluk halus (poinsakit) serta melindungi diri daripada ilmu sihir. Kini, Sulou dianggap sebagai aksesori yang sangat berharga kerana ia sukar diperoleh dan tidak semua orang memilikinya. Batu jed dijadikan sebagai pengganti kepada gading gajah kerana dianggap mempunyai elemen perlindungan yang sama.

Sulou yang kedua adalah gelang tangan diperbuat daripada cengkerang laut putih besar yang dipotong dan dihaluskan. Gelang ini dipakai sebagai aksesori tangan dan juga sebagai alat perlindungan tangan daripada serangan musuh. Kini, Sulou gelang seperti ini sukar diperolehi, justeru gelang berwarna putih sebagai pengganti.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Busana ini mempunyai bukaan di bahagian tengah dan tepi bagi memudahkan pemakai menyarungkannya. Bahagian depan menutup bahagian perut si pemakai, manakala bahagian belakang lebih panjang sehingga melepasi pinggang si pemakai.

Sebagaimana golongan lelaki Dusun Lobou, busana golongan wanita suku ini juga menggunakan kaedah menenun dalam menghasilkan Bayangkis dengan benang kapas sebagai bahan utama. Dahulunya, golongan wanita menghasilkan benang tersebut dengan memintal benang kapas dan mencelupnya ke dalam cecair tumbuhan berwarna gelap.

Benang kapas diproses menggunakan Gapas Landa ataupun buah kapas dijemur sehingga kering dan terlerai daripada bijinya. Kapas yang sudah kering dipintal menjadi benang dan diwarnakan mengikut keperluan pembuat baju.

Asalnya, Bayangkis hanya mempunyai empat warna iaitu merah, kuning, coklat dan hitam. Proses penghasilan bagi setiap warna juga adalah berlainan. 

Kulit kayu ober digunakan untuk menghasilkan warna coklat. Warna kuning dihasilkan melalui rendaman daun dan kulit kayu pokok sepang. Benang warna hitam dihasilkan dengan merendam benang ke dalam campuran tanah liat dipanggil ronok iaitu seakan lumpur yang pekat. Warna merah dihasilkan dengan rendaman campuran kulit kayu dan enam jenis daun yang ditumbuk sehingga lumat. Campuran ini dipanggil inabah. 

Semua warna, kecuali merah, melalui proses yang sama bagi tujuan mengekalkan warna iaitu benang yang telah dimasak bersama air rendaman  dibiarkan selama sebulan sebelum dijemur di tempat redup sehingga kering. 

Terdapat tiga peringkat dalam menghasilkan Bayangkis, iaitu mongoloting, tudungan dan mangawol (menurip). Setiap peringkat mempunyai fungsi penting. 

Mongoloting adalah proses menyusun benang pada alat menenun, disusun mengikut kedudukan dan warna bagi menentukan susunan kumpulan warna pada baju tersebut. Sekiranya berlaku kesilapan dalam penyusunan, warna corak akan menjadi tidak seimbang dan tidak kemas.

Tudungan pula adalah anyaman rotan yang ditenun pada Bayangkis. Corak pada Bayangkis bergantung pada corak yang dihasilkan pada tudungan. Anyaman ini juga berfungsi sebagai panduan semasa proses menenun agar kesilapan semasa menenun baju tidak akan terjadi.

Proses mengawol (menurip) adalah proses terakhir yakni benang yang disusun semasa mongoloting ditenun menjadi Bayangkis. Tudungan juga digunakan sebagai panduan untuk menghasilkan corak semasa mengawol. Kain ini ditenun memanjang kemudian dipotong menjadi dua bahagian lalu dijahit di bahagian tengah. 

Busana ini turut mengalami perubahan daripada segi cara pemakaiannya. Asalnya, ia dipakai dengan menyarungkan baju tersebut dari kepala melalui bukaan di tengah baju. Hanya baju sahaja dipakai dan tiada di dalam sama ada bagi lelaki atau perempuan. Cawat atau obou dipakai oleh golongan lelaki dan tapi iaitu skirt oleh wanita. Kini, busana ini dijadikan seperti jaket iaitu dipakai di bahagian luar dengan baju hitam berlengan panjang di dalam. Cawat atau obou digantikan dengan seluar panjang hitam.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!