Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BAYANGKIS (LELAKI)
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
2
Jumlah Pelawat
74
Pengenalan dan sejarah
Dusun Lobou adalah salah satu suku yang berada di pedalaman Sabah yakni di Daerah Sook. Baju tradisi mereka ialah Bayangkis, mempunyai beberapa bahagian yang berbeza bagi lelaki dan perempuan.
Bayangkis dipakai oleh masyarakat Dusun Lobou seperti golongan bangsawan ataupun pahlawan. Dahulunya, busana ini dipakai sebagai perisai semasa peperangan. Ia dipercayai dapat melindungi diri daripada serangan musuh dan ilmu sihir.
Bayangkis adalah unik dengan corak tenunan menarik dan mempunyai kisah di sebalik setiap corak tersebut. Busana ini mempunyai bukaan di bahagian tengah untuk menyarungkan kepala, dan bukaan pada bahagian tepi. Bahagian depan menutup bahagian perut si pemakai, manakala bahagian belakang lebih panjang sehingga melepasi pinggang.
Asalnya, Bayangkis hanya mempunyai empat jenis warna iaitu merah, kuning, coklat dan hitam. Proses penghasilan setiap warna juga berlainan.
Lelaki Dusun Lobou memakai Bayangkis dengan Ulos, yakni kain ikat kepala berwarna merah yang berfungsi melindungi kepala si pemakai daripada panas dan bahaya dalam pertempuran. Ulos lazimnya disulam dan corak sulaman adalah sama dengan yang terdapat pada Bayangkis. Kain merah panjang dipanggil Kasumba adalah tali pinggang bagi mengikat Bayangkis agar tidak mudah terbuka dan ini juga menyerlahkan kekemasan.
Obau merujuk kepada cawat pakaian tradisi Bayangkis lelaki, diperbuat daripada bahan yang sama untuk membuat Bayangkis iaitu kain tenunan. Kain Obau dililit di bahagian pinggang pemakai dan dibiarkan berjuntai di bahagian depan dan belakang. Obau juga mempunyai corak yang mengandungi motif tersendiri.
Buner dan Lungkaki adalah batang tembaga dibentuk menjadi gegelung dan dipakai di kaki bagi Buner dan di pinggang bagi Lungkaki. Dalam bahasa Dusun Lobou Buner adalah nama lain bagi tembaga. Tujuan pemakaiannya adalah untuk melindungi si pemakai daripada kecederaan pada bahagian-bahagian badan yang penting semasa pertempuran.
Pakaian tradisi ini juga mempunyai beberapa aksesori. Antaranya Gantad yakni anting-anting untuk lelaki dan wanita, diperbuat daripada tembaga (buner), dibentuk seperti cincin dan dihiasi manik-manik kecil serta kingkilab yang diikat kemas menggunakan benang di sepanjang bulatan tembaga tersebut. Kingkilab selalunya diambil daripada bahan-bahan lebihan semasa menghasilkan gantad. Kini kingkilab biasanya diperbuat daripada bahan plastik dan berbentuk memanjang.
Rarayut adalah rantai diperbuat daripada manik-manik berwarna, terdiri daripada tiga bahagian digabung menjadi seutas rantai. Bahagian belakang rarayut dipanggil papan, dan bahagian depan terdiri daripada inurabayan ataupun linangkuit.
Terdapat dua jenis aksesori Sulou dalam pakaian Bayangkis. Yang pertama, Sulou berbentuk cakera putih diperbuat daripada gading gajah yang dipotong dan dihaluskan, disulam di tengah bukaan leher Bayangkis. Masyarakarat ini mempercayai bahawa gading gajah adalah elemen perlindungan. Gading dibentuk menjadi cincin, gelang mahupun rantai sebagai pelindung daripada racun, penyakit dan ilmu hitam.
Perhiasan ini juga dipercayai boleh mencegah si pemakai daripada gangguan jin dan makhluk halus (poinsakit), serta melindungi diri daripada ilmu sihir. Kini, sulou dianggap aksesori yang sangat berharga kerana ia sukar diperoleh dan tidak semua orang memilikinya. Batu jed dijadikan pengganti kerana dianggap mempunyai elemen perlindungan yang sama.
Sulou yang kedua adalah sulou gelang tangan diperbuat daripada cengkerang laut putih besar yang dipotong dan dihaluskan. Sulou gelang ini dipakai sebagai aksesori tangan dan juga sebagai alat perlindungan tangan daripada serangan musuh. Sulou gelang seperti ini pada masa kini sukar diperolehi dan diganti dengan gelang berwarna putih.
Setiap pahlawan lelaki Dusun Lobou wajib memiliki peralatan seperti Gayang, sejenis parang digunakan semasa berperang dan untuk mempertahankan diri. Gayang juga dianggap simbolik kepada seseorang pahlawan kerana sering dikaitkan sebagai lambang kegagahan pahlawan tersebut.
Keunikan gayang terletak pada kepalanya hingga ke sarungnya. Kepala gayang berwarna krim diperbuat daripada tanduk rusa. Hiasan ukiran halus pada bahagian kepala atau pemegang gayang yang melambangkan haiwan mitos seperti ular dan naga menunjukkan kekuatan dan semangat kepahlawanan. Rambut manusia juga dilekatkan di bahagian kepala gayang sebagai tanda kejayaan memenggal kepala musuh.
Mata pisau gayang berbentuk lurus dan melengkung pada bahagian belakang, dan terdapat ukiran pada mata gayang tersebut. Antara ciri-ciri lain adalah lekukan yakni tanda pada bahagian badan pisau yang menunjukkan jumlah kepala musuh yang berjaya dipenggal oleh pahlawan tersebut.
Sarung gayang diikat kemas menggunakan rotan untuk mengukuhkan lagi sambungan sarung agar tidak mudah terbuka. Sarung juga mempunyai ukiran sebagai hiasan.
Bahan utama bagi menghasilkan pakaian ini ialah benang kapas. Golongan wanita dahulunya memintal benang kapas dan mencelupnya ke dalam rendaman tumbuhan berwarna gelap.
Kulit kayu ober digunakan untuk menghasilkan warna coklat. Warna kuning dihasilkan melalui rendaman daun pokok dan kulit kayu sepang. Untuk warna hitam benang direndam ke dalam campuran tanah liat dipanggil ronok, seakan lumpur yang pekat. Warna merah dihasilkan melalui rendaman campuran kulit kayu dan enam jenis daun yang ditumbuk sehingga lumat, dipanggil inabah
Kaedah memproses benang kapas ini adalah menarik. Gapas Landa (buah kapas) dijemur sehingga kering dan kapas terlerai daripada bijinya, kemudian kapas dipintal menjadi benang dan diwarnakan mengikut keperluan pembuat baju.
Semua warna, kecuali merah, melalui proses yang sama bagi mengekalkan warna iaitu benang yang telah dimasak bersama air rendaman dibiarkan selama sebulan sebelum dijemur di tempat redup sehingga kering.
Terdapat tiga peringkat untuk menghasilkan Bayangkis iaitu mongoloting, tudungan dan mangawol (menurip), yang setiap satu mempunyai fungsi.
Mongoloting adalah proses menyusun benang pada alat menenun, disusun mengikut kedudukan dan warna bagi menentukan susunan kumpulan warna pada baju tersebut. Sekiranya berlaku kesilapan dalam penyusunan maka warna corak menjadi tidak seimbang dan tidak kemas.
Tudungan adalah anyaman rotan yang ditenun pada Bayangkis sebagai panduan semasa menenun bagi mengelak kesilapan. Corak pada Bayangkis bergantung pada corak yang dihasilkan pada tudungan.
Proses mengawol (menurip) adalah yang terakhir, yakni benang yang disusun semasa mongoloting ditenun menjadi Bayangkis. Tudungan juga digunakan sebagai panduan untuk menghasilkan corak semasa mengawol. Kain ini ditenun memanjang dan dipotong kepada dua bahagian lalu dijahit di bahagian tengah untuk dijadikan Bayangkis.
Pakaian ini turut mengalami perubahan dari segi cara pemakaiannya. Asalnya, busana ini dipakai dengan cara menyarungkan baju tersebut dari kepala melalui bukaan di tengah baju. Hanya baju sahaja dipakai dan tidak terdapat baju di dalam bagi lelaki atau perempuan. Cawat atau obou dipakai oleh lelaki dan tapi iaitu skirt dipakai oleh wanita. Kini, busana ini dipakai seperti jaket dengan baju hitam berlengan panjang di dalam. Cawat atau obou digantikan dengan seluar panjang hitam.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.



