Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
PINONGKOLOH
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
2
Jumlah Pelawat
67
Pengenalan dan sejarah
Suku Murut Timugon menetap di Daerah Tenom. Suku ini juga mempunyai keunikan pakaian tradisi mereka yang tersendiri iaitu Pinongkoloh untuk wanita dan Puputul atau Sampayau untuk lelaki.
Busana tradisi ini lazimnya dipakai ketika menghadiri upacara adat. Ia juga diperagakan sejak zaman awal kedatangan British dan telah melalui proses transformasi iaitu pada reka bentuknya.
Kini, busana tradisional ini dipakai dalam upacara-upacara atau aktiviti rasmi seperti perkahwinan, kematian, pesta menuai dan aktiviti lain. Pakaian tradisi ini juga menunjukkan keseragaman pada setiap orang ketika hadir dalam upacara atau aktiviti rasmi.
Pinongkoloh yang diperbuat daripada kain kapas adalah unik kerana mempunyai pelbagai hiasan seperti sulaman bermotifkan flora berwarna warni dan yang diperbuat daripada bahan semula jadi. Kaum Murut menggunakan hitam sebagai warna latar.
Pakaian tradisi ini hanya lengkap sekiranya dihiasi beberapa aksesori dan hiasan manik. Antaranya Pipirot yakni hiasan di pinggang diperbuat daripada syiling perak bersaiz sederhana besar dipanggil Pipirot Linggit
Salupai adalah hiasan gelang yang terdiri daripada gabungan manik yang disusun secara melintang dan menghasilkan corak.
Terdapat juga hiasan kepala dipanggil Sinikot yang berjuntai di belakang tengah kepala si pemakai. Tataun dan dua sanggul yang berada di tepi kepala pula dipanggil Sinikot Surai.
Di leher terdapat hiasan Rarangkol iaitu sejenis rantai yang terdiri daripada bungkas, kotos, aki’ pangungupu’, bulul dan olod.
Golong adalah hiasan di tangan ataupun di pergelangan kaki. Hiasan Golong yang diperbuat daripada kulit siput laut yang diselangi dengan manik dipanggil golong sulou. Sulou adalah loket di belakang rarangkol dan hadapan Tinawak.
Tinawak adalah gabungan beberapa jenis sulaman manik yang menghiasi pinggang si pemakai dan terdiri daripada kinapalur dan olod yang digabungkan.
Sinikot Surai pula adalah hiasan yang berjuntai di kiri dan kanan, terdiri daripada manik yang disulam panjang sehingga ke bahu si pemakai.
Busana dihasilkan menggunakan teknik sulaman, jahitan dan tampalan daripada sumber alam seperti kerang laut. Baju wanita kelihatan lebih simetrikal dan terkawal daripada aspek susunan motif-motif, terutamanya pada bahagian depan, manakala susunan di bahagian belakang adalah dalam simetri lepas.
Pinongkoloh merangkumi baju berlengan pendek dikenali sebagai Sampayau, dan sarung disebut Tapi yang dilubangkan di bahagian tengah untuk memasukkan kepala. Terdapat simpulan pada bahagian kiri dan kanan rusuk si pemakai agar pakaian mudah dipakai atau dibuka.
Dahulunya, pakaian ini hanya menutup bahagian dari aras pinggang ke bawah dan tiada kain menutup bahagian atas badan. Perubahan cara berpakaian mengalami proses yang cepat apabila kawasan pedalaman mula dikunjungi pendatang luar. Perasaan malu untuk mendedahkan anggota badan telah mempengaruhi tatacara pemakaian busana tersebut.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.


