Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

7

Jumlah Pelawat

82

Pengenalan dan sejarah

Suku Dusun Tobilung adalah salah satu suku yang terdapat di daerah-daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat. Tabot adalah salah satu busana tradisional wanita suku ini selain daripada Sinurangga.

Busana/ Aksesori

Busana ini juga mempunyai beberapa bahagian seperti Tapi Sinulatan yakni skirt dihiasi sulat agar kelihatan menarik.

Sunduk adalah aksesori di bahagian kepala sebagai tudung. Sunduk mempunyai loceng dipanggil giring di bahagian bawah dan sulat di bahagian tepi sunduk. Binolit ialah aksesori pada bahagian pinggang  diperbuat daripada manik pelbagai saiz dan warna. Di bahagian bawah Binolit pula terdapat Giring iaitu loceng yang bertujuan memberi irama bunyi ketika si pemakai bergerak. 

Tabot juga dilengkapi dengan aksesori pinggang dipanggil Sinsing diperbuat daripada tembaga dalam dua saiz besar dan kecil. Sinsing juga boleh dijadikan sebagai penanda kepada gadis pilihan lelaki dalam adat perkahwinan. Siin adalah aksesori pinggang yang dipakai di bawah sinsing, diperbuat daripada duit syiling perak.

Tabot juga mempunyai aksesori seperti Bontuk, Saring, Lungkaki dan Sumpak. Bontuk adalah gelang tangan berwarna putih yang dipakai di kedua-dua tangan, diperbuat daripada siput laut yang telah diasah. Mengikut kepercayaan, Bontuk dikatakan mampu merawat penyakit seperti ruam panas. Kaum ini menghasilkan ubat ini dengan mengasah dan mencelup Bontuk dalam air. Air akan disapukan pada ruam untuk tujuan perubatan.

Saring adalah gelang tangan yang diperbuat daripada tembaga sebagai pelengkap busana, selain Lungkaki dan Sumpak iaitu gelang kaki juga diperbuat daripada tembaga. Perbezaan antara Lungkaki dan Sumpak adalah pada saiz; Lungkaki lebih besar dan berat tidak melebihi 5kg mengikut kehendak si pemakai, manakala Sumpak bersaiz kecil. Kedua-dua gelang kaki ini dipakai bersama agar dapat menghasilkan bunyi yang nyaring ketika si pemakai bergerak.

Terdapat juga hiasan Sulat yakni sulaman tangan dibuat mengikut motif dan corak. Ia biasanya disulam menggunakan benang kapas pelbagai warna. Motif dan corak Sulat adalah berunsurkan tumbuh-tumbuhan, binatang dan bentuk. Berikut adalah jenis-jenis Sulat pada pakaian tradisi ini:

  1. Kinarawing Masapou

  2. Binakud

  3. Kinirilong

  4. Sinayat-sayat

  5. Kinorumbatang

  6. Sinumpak Lubah

  7. Sinubung

  8. Nampatod

  9. Pinisugut

  10. Pinalad Bonong

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Baju Tabot terdedah di bahagian bahu pemakai dan hanya dipakai oleh gadis sunti dalam lingkungan umur 9 hingga 13 tahun. Tabot dihiasi sulat dan langkit untuk menyerlahkan keunikan pakaian tersebut. Rotan ataupun rindawog digunakan semasa memakai Tabot agar pakaian tidak jatuh.

Hiasan pakaian dikenali sebagai Langkit yakni hasil tenunan suku ini sejak dulu lagi. Teknik menghasilkan kraftangan ini dipanggil ‘simpul kait benang’ secara selang seli. Kebiasaannya, penghasilan Langkit dilakukan oleh kaum wanita menggunakan jarum dan benang kapas, terdiri daripada pelbagai warna. Pemilihan warna benang adalah berdasarkan motif dan corak yang berunsurkan bentuk, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Jenis-jenis Langkit Tobilung adalah Langkit Kinulampung, Langkit  Ginuntiyow, Langkit Kinilong, Langkit  Sumbit  Walu, dan Langkit  Sinusuk  Rabung.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!