Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BANAT TAPI
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
11
Jumlah Pelawat
97
Pengenalan dan sejarah
Rungus adalah salah satu kaum di Daerah Kudat dan Daerah Kecil Matunggong. Selain Sukolob, wanita Rungus juga terkenal dengan busana tradisional dikenali sebagai Banat Tapi.
Busana ini tidak mempunyai istillah khusus. Oleh itu, penyelidik memberi istilah berdasarkan istilah pada baju dan kain sebagai Banat Tapi. Baju disebut banat tondu dan kain disebut tapi atau disebut juga rinugading atau tinongkupan.
Busana tradisi wanita Rungus sarat dengan manik. Dahulunya, mereka sentiasa memakai pakaian ini dalam kehidupan seharian seperti memasak, mengangkat air, menyulam dan lain-lain lagi. Kini, busana ini hanya dapat dipakai ketika majlis perkahwinan, keraian, kematian ataupun mengalu-alukan ketibaan tetamu di rumah panjang.
Hiasan pada bahagian kepala ialah Titimbok, Tinimbuku dan Sisingal. Titimbok adalah cucuk sanggul diperbuat daripada tembaga atau besi putih. Tinimbuku ialah hiasan bunga yang diselitkan pada rambut. Sisingal adalah gelung pengemas rambut atau hiasan ragam hias di bahagian atas dahi. Penutup kepala merujuk kepada topi yang diperbuat daripada kain kapas dipanggil Tiningkol, sementara Sad’ang ialah ragam hias berjurai yang disangkut pada bahagian belakang rambut.
Busana ini turut dilengkapi hiasan telinga seperti anting-anting dipanggil Rampai. Di bahagian leher pula terdapat aksesori Lintai ataupun Tinggot yang diperbuat daripada gabungan manik-manik kecil dan di bahagian-bahagian depan dan belakang adalah Sulau dihiasi pinacol kecil berloketkan kerang laut.
Kaum Rungus memilih hitam sebagai warna utama pakaian mereka. Menurut kepercayaan mereka, warna hitam melambangkan kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Namun, terdapat sesetengah pihak menyatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi pada waktu itu. Warna tradisi kaum ini adalah hitam, merah, kuning dan putih dengan putih dan kuning digunakan sebagai warna-warna reka corak dan jalur.
Kain tenunan Rungus mengambil motif berunsurkan alam semula jadi sebagai panduan. Antaranya ialah:
Benurunsi - siput dan kerang.
Binongkok - berunsurkan imej katak.
Binorokidung - tema jejak ular. Istilah lain ialah Rinugading.
Binugang - menyerupai burung.
Binutuan - menyerupai jalinan kulit kayu.
Inansal - bersumberkan pagar.
Inompuling - bersumberkan serampang ikan.
Inugarang - menyerupai biawak atau cicak kecil.
Inumpizos - menyerupai ulat bulu.
Kinadamazam - buah kadamazam.
Kiambang Kiapu - bunga kayu.
Kinulit - bertemakan kulit pisang.
Lijawan - paku pakis.
Linimut - bertemakan imej kumbang.
Linopung - bersumberkan ular sawa.
Linopung do Kisorod - seperti ular bersirip.
Livato - bersumberkan semangat atau hantu.
Minimbayan - bersumberkan bungkusan kuih.
Mitotorungak - bersumberkan kemasyarakatan iaitu kelompok.
Monsimuung - bersumberkan imej semangat ataupun binatang.
Pinodkimo - kulit tiram.
Sinikuvan - buku benang.
Sinubung - ukuran kayu yang dicucuk dengan sesuatu benda ditengahnya.
Sinusuk Rabung - pucuk rebung.
Tinikou Sada - seekor ikan.
Tiningulun - bersumberkan bentuk manusia.
Tinolutug - segi empat yang dikelilingi corak segi tiga.
Tinubou - bertemakan burung merak mengigal.
Tinukad - bersumberkan tangga.
Vinalahan - bunga rotan (vakau).
Vinusak - bunga-bunga hutan.
Vinusak Kapok - seperti bunga kapok.
Pakaian tradisional ini dihasilkan sepenuhnya dengan tenunan menggunakan kapas dikenali sebagai kapokoleh penduduk setempat. Kain bagi menghasilkan pakaian kaum ini ditenun secara tradisional dikenali sebagai magavol yang memaparkan ketinggian nilai tradisinya berdasarkan teknik pembuatan dan hiasan motif yang berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan. Proses menenun kain ini adalah serupa dengan proses menenun kain tradisi yang ada di Sabah iaitu menggunakan alat tenunan Kek Sandang Belakang disebut sebagai babaal dalam Bahasa Rungus.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.



