Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
PAKAIAN TRADISIONAL ETNIK BISAYA
Busana Tradisional
Gambar
7
Video
tiada
Pelawat Hari ini
7
Jumlah Pelawat
57
Pengenalan dan sejarah
Etnik Bisaya merupakan antara kelompok peribumi minoriti di utara Sarawak, dengan majoriti komuniti ini menetap di kawasan Limbang, Lawas serta sepanjang Sungai Limbang. Asal-usul nama “Bisaya” turut mempunyai pelbagai versi dalam kepercayaan tempatan. Sesetengah pihak berpendapat ia berasal daripada frasa “Bisai Iya” yang membawa maksud tampan, gagah, cantik atau menarik, merujuk kepada sifat fizikal seseorang. Ada juga yang percaya istilah ini berasal daripada perkataan “Ma Bisa” yang merujuk kepada “bisa” atau “kehebatan”, dikaitkan dengan ilmu perubatan dan amalan tradisi suku ini. Walaupun pelbagai teori dikemukakan, sehingga kini tiada catatan bertulis yang dapat mengesahkan asal-usul sebenar nama tersebut.
Walaupun berkongsi hubungan sejarah dan budaya dengan masyarakat Brunei, Kedayan dan Lun Bawang, etnik Bisaya tetap mengekalkan identiti yang tersendiri melalui bahasa, adat istiadat, seni budaya dan cara pemakaian. Keunikan identiti ini semakin terserlah apabila diperhatikan melalui bentuk pakaian tradisional mereka yang mencerminkan nilai konservatif, fungsi harian serta pengaruh agraria dalam kehidupan masyarakat Bisaya.
Sebagai sebuah masyarakat yang hidup dalam persekitaran agraria dan kehidupan pertanian yang menjadi asas ekonomi komuniti, corak dan bentuk busana mencerminkan gaya hidup ringkas, aktif dan bersifat praktikal, berbeza dengan etnik lain yang mempunyai pakaian adat sarat dengan aksesori. Walaupun demikian, pakaian Bisaya tetap mempamerkan elemen seni tersendiri melalui penggunaan warna terang, motif halus dan hiasan manik yang digunakan mengikut status dan tujuan majlis tertentu.
Pakaian tradisional etnik Bisaya telah lama menjadi sebahagian penting dalam sistem adat dan sosial masyarakatnya. Pada zaman dahulu, busana ini digunakan dalam upacara adat, majlis perayaan, ritual kesyukuran, perkahwinan dan pelbagai acara keramaian. Bagi lelaki, pakaian tradisional mereka dikenali sebagai Baju Mianai, manakala pakaian wanita disebut sebagai Pakaian Agak Asal, yang juga dikenali sebagai Baju Masuk atau Baju Kebamban. Kedua-dua busana ini mengambil inspirasi daripada pakaian kerja masyarakat petani, sekaligus mengekalkan gaya yang ringkas dan praktikal.
Dari segi sejarah, busana Bisaya pada awalnya dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti kulit kayu, kapas yang ditenun dan manik buatan tangan. Penghasilan busana secara tradisional menuntut ketelitian, kemahiran dan kefahaman tentang simbol-simbol adat warisan etnik Bisaya. Oleh itu, setiap helai pakaian bukan sekadar pelindung tubuh, tetapi juga mempunyai makna budaya yang mencerminkan kedudukan sosial, usia, dan peranan pemakainya dalam komuniti.
Seiring perubahan zaman dan pengaruh moden, fabrik yang digunakan untuk menghasilkan pakaian tradisional Bisaya telah berubah kepada bahan yang lebih selesa dan mudah didapati seperti koshibo dan satin. Bagi Baju Mianai lelaki, lis berwarna putih atau kuning menjadi hiasan utama pada bahagian lengan dan leher, manakala pakaian wanita sering dipadankan dengan kain songket untuk menambah nilai estetika. Walaupun penggunaan bahan telah berubah, struktur asas dan identiti busana tradisional tetap dikekalkan sebagai bentuk penghormatan kepada warisan nenek moyang.
Hari ini, pakaian tradisional Bisaya kekal relevan dan terus dipakai dalam festival budaya, acara rasmi dan persembahan seni tradisional di Sarawak. Pemakaiannya bukan sahaja mengekalkan kesinambungan budaya, tetapi juga menjadi bentuk dokumentasi visual yang memperlihatkan evolusi identiti masyarakat Bisaya dari era tradisional hingga ke era moden. Keupayaan busana ini bertahan merentas zaman membuktikan bahawa pakaian tradisional Bisaya bukan sekadar warisan tekstil, tetapi juga simbol jati diri dan kebanggaan etnik Bisaya dalam landskap kebudayaan Malaysia.
Busana tradisional etnik Bisaya bukan sekadar pakaian adat, tetapi turut berfungsi sebagai simbol identiti, warisan dan kesinambungan budaya masyarakatnya. Berikut adalah fungsi dan peranan utama busana etnik Bisaya ini dalam kalangan komuniti mereka.
Pakaian Harian dalam konteks masyarakat agraria etnik Bisaya
Pada zaman dahulu, busana etnik Bisaya berfungsi sebagai pakaian harian masyarakat yang bekerja sebagai petani. Reka bentuknya yang ringkas, longgar dan praktikal memudahkan pergerakan ketika menjalankan kerja di sawah, di ladang atau di sungai. Lelaki memakai baju longgar bersama seluar panjang untuk melindungi tubuh daripada panas dan serangga, manakala wanita menggunakan kain dan baju sederhana yang sesuai untuk aktiviti harian. Seiring masa, apabila adat dan tradisi semakin diperkemas, pakaian ini mula dihias dengan lis, manik dan songket, lalu berkembang menjadi busana adat yang kini dipakai khusus secara eksklusif dalam majlis-majlis tertentu
Perayaan Tradisional
Salah satu perayaan utama bagi masyarakat Bisaya di Sarawak ialah Pesta Babulang, iaitu festival kebudayaan terbesar komuniti ini. Pesta ini terkenal dengan pertandingan kerbau (Babulang Buffalo Race), persembahan seni tradisional, permainan rakyat, pertandingan ratu cantik iaitu Ratu Babulang dan pertunjukan busana tradisi. Dalam acara ini, pakaian tradisional menjadi medium penting untuk memperlihatkan identiti etnik mereka. Lelaki dan wanita Bisaya akan mengenakan busana tradisional masing-masing sebagai lambang kebanggaan budaya mereka.
Upacara Makan Tahun
Selain Pesta Babulang, masyarakat Bisaya juga menyambut upacara Makan Tahun yang menandakan kesyukuran terhadap hasil tuaian padi. Ia merupakan satu perhimpunan besar keluarga dan komuniti sebagai tanda penghargaan kepada roh nenek moyang serta memohon keberkatan untuk musim tanaman seterusnya. Pada acara sebegini, busana tradisi ini akan dipakai sebagai tanda warisan identiti mereka.
Majlis Perkahwinan
Busana tradisional etnik Bisaya juga memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan tradisi mereka. Walaupun etnik ini telah menganuti pelbagai agama dan cara perkahwinan yang moden pada masa kini, mereka sama sekali tidak meninggalkan adat serta warisan busana tradisional mereka. Kebanyakan pengantin Bisaya di Sarawak akan mengenakan busana ini dalam perkahwinan adat ataupun dipakai ketika majlis resepsi. Hal ini kerana, pemakaian busana tradisional ini dianggap sebagai penghormatan kepada adat perkahwinan Bisaya yang menekankan nilai dan penghargaan terhadap warisan budaya nenek moyang.
Persembahan kebudayaan
Dalam pada itu juga, busana tradisional etnik Bisaya turut memainkan peranan penting dalam persembahan kebudayaan, khususnya ketika mempersembahan tarian tradisional. Antara tarian yang menjadi identiti masyarakat Bisaya di Sarawak ialah Tarian Alai Enchayau, iaitu tarian yang menonjolkan kegagahan para wira Bisaya melalui aksi menggayakan penggunaan lembing dan perisai, diiringi dengan paluan gong dan gendang. Selain itu, terdapat juga Tarian Alai Anding, yang dipersembahkan mengikut rentak Gendang Dumpak iaitu sejenis gendang tradisional yang diperbuat daripada kulit kerbau. Tarian lain yang turut menjadi warisan penting ialah Tarian Kumpas, iaitu persembahan tarian yang ditarikan dalam ritual perubatan tradisional.
Aksesori Lelaki Bisaya (Baju Mianai)
Aksesori lelaki lebih ringkas berbanding aksesori wanita, tetap ia tetap memainkan peranan penting dalam menampilkan keindahan busana tradisional mereka.
Sigal / Destar
Sigal atau destar ialah kain ikatan kepala tradisional lelaki Bisaya. Ia dililit mengikut teknik tertentu sehingga membentuk lipatan yang kemas dan rapi. Sigal biasanya akan dipakaikan menyerupai pemakaian tanjak.
Tali Pinggang Manik / Tenunan
Lelaki Bisaya memakai tali pinggang yang diperbuat daripada manik atau kain tenunan bagi mengemaskan pemakaian Baju Mianai. Tali pinggang ini menonjolkan unsur seni dalam busana lelaki dan memberi kesan visual yang seimbang ketika baju dipakai bersama seluar atau kain sarung. Dalam sesetengah upacara, tali pinggang ini dihias lebih mewah untuk menandakan peranan dan kedudukan pemakai.
Samping Songket
Dalam acara tertentu seperti persembahan kebudayaan, lelaki Bisaya akan mengenakan kain samping yang diselempangkan di bahu atau dililit di pinggang.
Lembing & Perisai (Aksesori Persembahan Tarian Alai Enchayau)
Walaupun bukan aksesori pakaian harian, lembing dan perisai merupakan aksesori wajib dalam persembahan Tarian Alai Enchayau, iaitu tarian kepahlawanan Bisaya. Lembing melambangkan keberanian dan peranan lelaki sebagai pelindung komuniti. Perisai pula melambangkan kepahlawanan dan kekuatan mempertahankan maruah suku.
Aksesori Tambahan Tradisional (Sarung Parang / Pisau Adat)
Dalam sesetengah upacara tradisi, lelaki Bisaya membawa parang yang disarungkan pada pinggang. Parang berfungsi sebagai alat tradisi ketika bekerja di ladang tetapi juga dihormati sebagai simbol kewibawaan dan tanggungjawab seorang lelaki dalam budaya Bisaya.
Aksesori Wanita Bisaya (Agak Asal / Baju Kebamban)
Aksesori wanita etnik Bisaya ini pada lazimnya agak kompleks dan berbeza-beza mengikut cara pemakaiannya. Berikut adalah aksesori yang dipakai oleh wanita Bisaya;
Aksesori Bahagian Kepala
Aksesori kepala wanita bagi pakaian tradisional etnik Bisaya dapat dikenali dengan beberapa nama, antaranya adalah;
(a) Rambat Sanggul
Aksesori rambut yang digantung pada bahagian sanggul. Ia biasanya terdiri daripada helaian manik atau hiasan logam yang jatuh ke sisi sanggul sebagai pelengkap dekorasi rambut tradisional.
(b) Tabor Sanggul
Tabor ialah jaring sanggul berwarna hitam yang digunakan untuk merapikan dan memegang rambut yang telah di sanggul. Tabor ini dihiasi dengan motif bunga, kupu-kupu dan bentuk haiwan kecil lain, menjadikan setiap sanggul tampak lebih kemas dan indah.
(c) Songgol Sanggul
Songgol sanggul ialah lilitan hiasan yang dipasang mengelilingi sanggul. Ia menyerlahkan bentuk sanggul dan biasanya diperbuat daripada kain atau manik yang diikat kemas pada bahagian bawah sanggul bagi memastikan sanggul kekal kukuh.
(d) Susuk Sanggul
Susuk sanggul merupakan pin atau cucuk hiasan yang dicucuk pada bahagian atas sanggul. Ia biasanya dipadankan dengan bunga hidup atau bunga buatan. Aksesori ini melambangkan kehalusan seni berhias wanita Bisaya, terutamanya pada majlis adat dan perayaan kebudayaan.
Aksesori Bahagian Leher (Rantai “Kungkung”)
Wanita Bisaya memakai beberapa jenis rantai manik tradisional yang dikenali sebagai kungkung, setiap satunya mempunyai bentuk, warna dan susunan berbeza.
(a) Kungkung Manas Selawa
Diperbuat daripada dawai besi yang disusun dengan manik hitam dan putih (corak 3 putih + 2 hitam). Dawai membantu rantai mengekalkan bentuk bulat ketika dipakai. Dipakai di belakang tengkuk dan jatuh hingga ke bahagian dada.
(b) Kungkung Manas Itom Purak
Rantai manik hitam dan putih yang dibuat daripada 10 lembar benang berisi manik. Biasanya terdiri daripada 1 rantai hitam dan 1 rantai putih yang dipakai bersama. Dipakai lurus tanpa dipulas, dengan rantai putih berada di bawah rantai hitam atau kedua-dua rantai boleh dipulas sebelum disarungkan ke leher. Terdapat juga variasi warna lain seperti campuran biru–putih.
(c) Kungkung Pedapun
Rantai bertingkat tiga yang diperbuat daripada manik. Setiap tingkat mempunyai “pedapun” iaitu hiasan logam daripada tembaga berbentuk kupu-kupu, bunga atau daun. Ia menyerlahkan status dan keanggunan wanita, dipakai pada acara budaya dan perayaan rasmi.
Aksesori Bahagian Dada
Terdapat tiga jenis kerusang utama yang dipakai bersama pakaian tradisional etnik bisaya meliputi jenis Agak Asal atau Kebamban.
(a) Kerusang Kupu-Kupu
Kerusang kupu-kupu ini dipasang minimum tiga unit di bahagian dada yang diperbuat daripada tembaga atau perak. Motifnya berbentuk kupu-kupu, bunga atau daun.
(b) Kerusang Ampuni Sada
Aksesori ini juga dikenali sebagai “Kerusang Talor Ikan”. Ia dipasang pada bahagian tengah dada sebagai kerongsang utama. Diperbuat daripada tembaga dan berfungsi sebagai hiasan serta pengikat baju.
(c) Kerusang Ringgit Amas
Digunakan untuk menutup bahagian bukaan leher baju kebamban. Pada asalnya diperbuat daripada gabungan tiga keping syiling (ringgit) yang disusun membentuk segi tiga. Simbol status sosial dan kehalusan seni perhiasan Bisaya.
Aksesori Bahagian Lengan dan Tangan
Wanita Bisaya memakai dua jenis gelang utama iaitu;
(a) Golong Alu-Alu
Gelang lengan yang dipakai dari bahagian atas hingga bawah lengan. Satu set mengandungi 9 utas gelang dari saiz kecil hingga besar dan di pakai di kedua-dua belah lengan. Pada zaman dahulu, golong alu-alu ini diperbuat daripada perak yang menyerlah kecantikan berfungsi sebagai simbol kemewahan si pemakai.
(b) Golong Sengkadan
Gelang pergelangan tangan yang dipakai di bahagian bawah golong alu-alu. yang turut diperbuat daripada perak dan berfungsi sebagai kemasan akhir pada pergelangan tangan.
Aksesori Pada Baju Kebamban
Kebamban (Aksesori Lengan Baju) merupakan butang logam tradisional yang dipasang pada bahagian lengan baju Agak Asal yang diperbuat daripada perak atau tembaga. Kebiasaannya dipasang sebanyak 9 biji mengelilingi bukaan lengan kiri dan kanan.
Aksesori Tambahan
Aksesori tambahan ini merupakan kain Songket atau kain sarung bermotif yang menjadi skirt pelengkap busana Agak asal. Namun, kain songket tidak hanya dianggap sebagai pakaian, tetapi juga berfungsi sebagai aksesori visual kerana coraknya yang mewah dan bermotif. Songket melengkapkan keseluruhan penampilan wanita Bisaya, terutamanya dalam majlis rasmi, perayaan dan persembahan budaya.
-
-
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
https://bisayapengajianmalaysia.blogspot.com/2018/02/
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





