PAKAIAN TRADISIONAL ETNIK LUNDAYEH SABAH LELAKI & PEREMPUAN

Busana Tradisional

Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

16

Jumlah Pelawat

72

Pengenalan dan sejarah

Etnik Lundayeh merupakan salah satu kumpulan etnik peribumi di Sabah yang kebanyakannya menetap di sekitar daerah Sipitang dan beberapa daerah lain seperti Tenom, Keningau serta Beaufort. Kawasan penempatan ini lazimnya terletak di bahagian pedalaman dan lembah sungai seperti Sungai Long Pasia, Sungai Padas, dan Sungai Mengalong di daerah Sipitang. Kawasan ini subur dan strategik untuk kegiatan pertanian, penternakan serta kehidupan komuniti yang berasaskan gotong-royong dan pertanian padi huma.


Secara geografi dan budaya, etnik Lundayeh bukan hanya terdapat di Sabah, tetapi juga tersebar ke wilayah lain di Pulau Borneo dengan sebutan yang berbeza iaitu Lun Bawang di Sarawak, Dayak Lundayeh di Kalimantan Timur, Indonesia, serta Murut Lunbawang di Brunei Darussalam.Meskipun berbeza sebutan, semuanya berasal daripada rumpun yang sama. Dalam bahasa mereka, Lun bermaksud “orang”, manakala Dayeh atau Bawang bermaksud “ulu” atau “tanah tinggi”. Maka, istilah “Lundayeh” membawa maksud “Orang Ulu” atau “Orang Tanah Tinggi”, menggambarkan asal-usul mereka yang mendiami kawasan pergunungan dan pedalaman Borneo.


Selain nama-nama tersebut, suku ini juga dikenali dengan pelbagai variasi sebutan lain seperti Lun Dayeh, Lun Dayah, Lun Dayoh, Lun Daya, Lun Lod, Lun Na Ba’, Kelabit, dan Lengilu, bergantung kepada dialek serta kawasan penempatan. Walau bagaimanapun, semua sebutan ini merujuk kepada kaum Lundayeh yang berkongsi asal-usul, budaya dan kepercayaan yang sama. Namun begitu, kumpulan etnik ini memiliki kanvas budaya yang tersendiri, mencakupi pelbagai aspek seperti seni tarian, alat muzik tradisional, serta pakaian adat yang mencerminkan identiti dan nilai estetika masyarakat Lundayeh.


Antara elemen budaya yang paling menonjol dalam masyarakat ini ialah pakaian tradisional, kerana keunikan pakaian tradisional etnik Lundayeh di Sabah terserlah melalui pemilihan warna putih sebagai warna asas utama busana wanita mereka, sesuatu yang tidak terdapat pada mana-mana subkumpulan Lundayeh lain di  Borneo. Warna putih bagi masyarakat Lundayeh di Sabah membawa makna kesucian, kemurnian, dan keikhlasan hati, sekaligus menonjolkan keanggunan serta kehalusan budi wanita etnik ini. Hal ini berbeza dengan pakaian tradisional Lun Bawang di Sarawak dan di Kalimantan, Indonesia yang berwarna hitam. Perbezaan ini membuktikan bahawa etnik Lundayeh di Sabah memiliki identiti visual yang tersendiri dan unik, menjadikannya satu-satunya komuniti di Borneo yang menggunakan warna putih sebagai lambang utama pakaian tradisional mereka.


Bagi wanita Lundayeh, pakaian tradisional mereka dikenali sebagai “Kuyu Berecha” atau “Kuyu Decur”, yang membawa maksud baju wanita. Busana ini diperbuat daripada kain belacu berwarna putih atau menggunakan material kapas dan satin dalam konteks moden masa kini. Bahagian bawahnya dipadankan dengan skirt pendek hingga ke paras bawah lutut yang disebut “Tekip Saiting”, berwarna hitam serta dihiasi manik dan labuci perak yang disusun secara vertikal dan horizontal pada bahagian hadapan.


Sementara itu, golongan lelaki Lundayeh pula memakai pakaian yang dinamakan “Bakad Talun” atau “Baju Talun”, diperbuat daripada kulit kayu pokok Terap hutan yang diproses hingga menjadi helaian lembut menyerupai kain. Pakaian ini sering dijahit dan dihiasi dengan corak tradisional yang disebut “Arit”, iaitu motif yang melambangkan keberanian, ketangkasan serta semangat juang seorang pahlawan. Busana lelaki ini kemudiannya dipadankan dengan “Abpar” atau cawat, yang juga diperbuat daripada kulit kayu dan menjadi pakaian asas bahagian bawah tubuh.


Secara keseluruhannya, pakaian tradisional ini masih kekal dipakai hingga ke hari ini sebagai lambang identiti dan kebanggaan etnik Lundayeh. Walaupun kini muncul rekaan kontemporari yang disesuaikan untuk majlis perkahwinan, persembahan kebudayaan, dan acara rasmi, namun rupa bentuk dan asas rekaan asalnya tetap dikekalkan. Inovasi moden hanya menambah unsur seperti aksesori tambahan, jenis jahitan, atau variasi bahan, tanpa mengubah struktur dan makna simbolik asal pakaian tersebut. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Lundayeh amat menghargai warisan nenek moyang mereka, dengan terus memelihara keaslian busana tradisional sebagai manifestasi jati diri, warisan estetika, dan kesinambungan budaya.


Fungsi dan Peranan

Pakaian tradisional etnik Lundayeh memainkan peranan penting dalam pelbagai upacara dan perayaan masyarakat mereka. Misalnya, dalam upacara perkahwinan yang dikenali sebagai “Irau Aweh”, busana tradisional ini tetap dipakai tanpa mengira latar belakang agama asalkan pasangan tersebut atau salah satunya berasal daripada keturunan Lundayeh, maka pakaian ini akan dikenakan khususnya semasa majlis resepsi perkahwinan sebagai tanda menghargai warisan dan identiti etnik mereka.


Dalam konteks moden pula, terdapat pasangan yang memilih untuk memakai busana tradisional Lundayeh semasa majlis akad nikah, namun dalam bentuk yang lebih kontemporari dan selaras dengan tuntutan agama masing-masing. Oleh itu, pada hari perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan akan mengenakan versi khas pakaian tradisional Lundayeh, lengkap dengan hiasan kepala, rantai manik, serta aksesori adat, bagi menyerlahkan keindahan budaya dan simbol kesatuan dua jiwa dalam upacara perkahwinan tersebut.


Selain itu, pakaian tradisional ini turut dipakai semasa Pesta Lundayeh atau Lun Bawang yang dikenali sebagai Festival “Irau Rayeh”, iaitu perayaan tahunan yang meraikan hasil tuaian padi dan mengukuhkan semangat komuniti. Dalam pesta ini, pakaian tradisional bukan sahaja berfungsi sebagai lambang rasa syukur kepada Tuhan dan alam, tetapi juga memperlihatkan keindahan seni dan keunikan identiti etnik Lundayeh yang akan berhimpun dari seluruh pelosok negara.


Seterusnya, dalam pertandingan kebudayaan seperti pertandingan ratu cantik Ruran Ulung dan pertandingan jejaka lelaki iaitu Padan Liu Burung, peserta akan memperagakan pakaian tradisional masing-masing bagi menonjolkan kecantikan dan ketampanan mengikut adat. Busana ini menjadi medium ekspresi budaya, di mana setiap corak, warna, dan aksesori menggambarkan status serta kehalusan seni warisan masyarakat tersebut. Lebih besar lagi, busana ini juga pada kebiasaannya akan dipakai dalam Pesta Kaamatan yang disambut sempena musim menuai padi di Sabah. Wakil-Wakil daripada sekitar Sipitang khususnya akan mengenakan busana ini sebagai perwakilan mereka.


Dalam upacara adat dan keagamaan tradisional, pakaian ini pula dikenakan sebagai tanda penghormatan kepada roh nenek moyang dan semangat alam. Ia dianggap sebagai pakaian suci yang tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya, sebaliknya hanya dalam acara yang mempunyai nilai adat dan spiritual yang tinggi.


Akhir sekali, pakaian tradisional Lundayeh turut digunakan dalam festival kebudayaan dan pelancongan, sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa. Melalui acara sedemikian, pakaian ini berfungsi sebagai medium diplomasi budaya, memperkenalkan warisan Lundayeh kepada masyarakat luar serta memperkukuh apresiasi terhadap kepelbagaian etnik dan tradisi di Sabah dan Borneo secara keseluruhannya.


Busana/ Aksesori

Aksesori memainkan peranan penting dalam melengkapkan busana tradisional etnik Lundayeh, sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Setiap hiasan bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap pakaian, tetapi juga membawa makna simbolik yang mencerminkan status sosial, keindahan, dan kepercayaan tradisional masyarakat Lundayeh.


Aksesori Wanita

  1. Pata Uluh atau Tenggulung 

Hiasan kepala atau manik kepala berwarna kuning atau mustard yang dipakai di bahagian dahi atau atas rambut.


  1. Baw Bane

Rantai leher atau kalung manik yang dipakai berlapis-lapis di bahagian dada. Terdapat beberapa jenis rantai leher antaranya adalah Bane Baw Tulang, Baw Alai, Bane Kring, Alet Item, dan Bane Alai Emas.


  1. Beret Ringit

Tali pinggang yang diperbuat daripada logam dan syiling British lama yang menyerupai Himpogot masyarakat Dusun.


  1. Beret Baw

Manik pinggang panjang yang dililit di bahagian pinggang hingga ke pinggul dengan manik-manik kecil berwarna putih atau lazimnya berwarna kuning dengan kancing pada bahagian hadapan.


  1. Leku Baw

Gelang tangan tradisional yang diperbuat daripada perak, logam, rotan halus atau plastik yang berwarna putih.


  1. Fakel Kukud

Gelang kaki tradisional yang diperbuat daripada perak, logam atau rotan halus.


Aksesori Lelaki

  1. Sigar / Sigar Suba

Topi atau ikatan kepala berwarna merah yang dililit menyerupai tengkolok.


  1. Baw Tulang

Rantai yang diperbuat daripada tulang haiwan yang melambangkan kekuatan dan ketangkasan pemburu jejaka Lundayeh.


  1. Fakel Lengen

Gelang tangan daripada tulang haiwan atau logam.


  1. Fakel Riman

Sejenis gelang yang diperbuat daripada tumbuhan hutan yang disebut “Riman Labo”. Seratnya dianyam menjadi tali hitam dan dililit di bahagian lengan atau lutut sebagai perhiasan tambahan.


  1. Fakel Kukud 

Gelang kaki yang diperbuat daripada haiwan atau logam.


  1. Felefet

Pedang tradisional yang menjadi simbol kepahlawanan dan alat perlindungan diri.


  1. Utab 

Merupakan perisai tradisional masyarakat Lundayeh yang berbentuk panjang, menyerupai taming atau perisai yang digunakan oleh etnik Murut dan Orang Ulu. Ia berfungsi sebagai alat pertahanan diri semasa peperangan, serta sering digunakan dalam pertunjukan adat dan persembahan kebudayaan bagi melambangkan keberanian serta semangat kepahlawanan kaum Lundayeh.


  1. Efut

Sumpit yang digunakan untuk memburu di hutan sepanjang 2 hingga 3 kaki.


  1. Telungan

Bekas untuk menyimpan peluru sumpit yang biasanya dihiasi dengan bulu burung tuwu sebagai simbol kejayaan berburu.


  1. Bakang

Beg rotan yang digunakan untuk membawa barangan kecil dan hasil hutan.


  1. Arit

Arit adalah nama khas bagi tatu tradisional etnik Lundayeh yang diukir pada tubuh lelaki. Tatu dalam konteks aksesori adalah melambangkan pengalaman hidup, keberanian, dan kedewasaan seorang lelaki.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan pakaian tradisional etnik Lundayeh telah mengalami perubahan mengikut peredaran masa, seiring dengan perkembangan teknologi tekstil dan hubungan perdagangan dengan masyarakat luar. Pada asalnya, pakaian tradisional Lundayeh dihasilkan daripada kulit kayu pokok taya atau kulit terap hutan, yang diproses secara tradisional. Proses ini melibatkan perendaman kulit kayu selama beberapa hari sebelum diketuk, dijemur, dan dilembutkan sehingga menghasilkan helaian nipis menyerupai kain. Bahan ini kemudiannya digunakan untuk membuat baju Bakad Talun serta cawat Abpar bagi lelaki, menjadikannya antara bentuk busana tertua yang dihasilkan sepenuhnya daripada sumber alam semula jadi.


Bagi pakaian wanita Lundayeh, bahan yang digunakan juga memperlihatkan evolusi yang signifikan. Dahulu, wanita memakai kain kapas tenunan tangan, dihasilkan secara manual menggunakan alat tenun tradisional. Tenunan ini menampilkan corak ringkas dan warna asas seperti putih, hitam, dan merah, bergantung kepada fungsi pakaian dan status pemakai. Namun, dengan perkembangan masa dan kemudahan mendapatkan bahan moden, kain kapas tenunan tradisional semakin jarang digunakan. Kini, pakaian wanita Lundayeh lazimnya dibuat daripada kain satin atau kain kapas moden (cotton) berwarna putih, yang kekal menjadi warna asas utama busana tradisional wanita di Sabah. Warna putih bukan sahaja memudahkan penyelenggaraan dan memberi kesan lembut pada penampilan, tetapi juga melambangkan kesucian, kemurnian, dan keanggunan wanita Lundayeh.


Selain kapas dan satin, terdapat juga penggunaan baldu dan belacu bagi tujuan hiasan atau jahitan tambahan pada bahagian tertentu seperti pinggang, lengan, dan bahu. Tenunan dan sulaman pada pakaian dihiasi dengan manik kaca, labuci perak, serta rotan halus, menjadikan busana ini bukan sahaja indah dipandang tetapi turut menyerlahkan ketelitian dan kreativiti wanita Lundayeh dalam seni hias tradisional.


Secara keseluruhannya, walaupun bahan moden seperti satin, kapas, dan baldu kini digunakan bagi menggantikan bahan tradisional, namun struktur, motif, dan warna simbolik masih dikekalkan. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Lundayeh tetap berpegang teguh kepada keaslian warisan dan nilai tradisi, sambil menyesuaikan busana mereka dengan perkembangan zaman dan keperluan kontemporari.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pakaian tradisional etnik Lundayeh mempunyai cara pemakaian yang tersendiri. Setiap lapisan pakaian, susunan aksesori, serta warna yang digunakan bukan sahaja berperanan dari segi estetika, tetapi turut membawa makna adat dan identiti kepada pemakai. Walaupun kini busana ini sering dipakai dalam acara rasmi, perayaan dan kebudayaan, cara pemakaiannya masih dikekalkan mengikut tatacara tradisional masyarakat Lundayeh.


Cara Pemakaian Busana Wanita Lundayeh


  1. Memakai Baju (Kuyu Berecha / Kuyu Decur)

Pemakaian dimulakan dengan menyarungkan baju putih berlengan pendek yang diperbuat daripada kapas atau satin. Warna putih ini menjadi asas utama pakaian wanita Lundayeh di Sabah.


  1. Memakai Skirt (Tekip Saiting)

Bahagian bawah dipadankan dengan skirt hitam paras lutut yang dikenali sebagai Tekip Saiting. Skirt ini diperbuat daripada kain baldu atau kapas tebal serta dililit kemas di pinggang dan dihiasi dengan manik serta labuci perak yang melintang dan menegak.


  1. Menambah Aksesori

Setelah pakaian asas dikenakan, wanita Lundayeh akan menghiasi diri dengan rantai manik (Baw Bane) di leher, gelang tangan (Leku Baw), serta gelang kaki (Fakel Kukud). Dua jenis tali pinggang iaitu Beret Baw (manik) dan Beret Rigit (logam atau syiling perak) yang dipakai di bahagian pinggang sebagai pelengkap busana.


  1. Hiasan Kepala 

Di kepala, mereka memakai Pata Uluh atau Tenggulung (mahkota tradisional) yang melambangkan status dan keanggunan. Hiasanya kepada ini akan menutup garis anak rambut untuk penampilan yang lebih kemas.


Cara Pemakaian Busana Lelaki Lundayeh


  1. Memakai Abpar (Cawat)

    Pemakaian dimulakan dengan mengenakan Abpar, iaitu kain atau helaian kulit kayu berwarna merah yang dililit di bahagian pinggang dan disilangkan ke hadapan. Warna merah ini melambangkan keberanian, tenaga, dan semangat juang seorang lelaki Lundayeh.


  1. Menyarung Bakad Talun (Baju Talun)

Seterusnya, lelaki akan memakai Bakad Talun, baju yang diperbuat daripada kulit kayu pokok terap. Baju ini disarung seperi vest dan dipadankan kemas dengan cawat merah tadi. Pada bahagian luaran, baju ini sering dihiasi dengan corak “Arit”, iaitu motif tradisional etnik Lundayeh yang menggambarkan keberanian serta status sebagai pahlawan.


  1. Aksesori dan Senjata Tradisional

    Setelah pakaian asas dikenakan, lelaki akan melengkapkan penampilan dengan pelbagai aksesori seperti gelang tangan (Fakel Lengen), gelang kaki (Fakel Kukud), serta rantai tulang (Bau Tulang) di leher. Di kepala pula, mereka memakai Sigar, sejenis kain merah yang dililit hingga membentuk topi, melambangkan keberanian dan semangat kepahlawanan. Selain itu, lelaki Lundayeh turut membawa Utab (perisai), Felefet (pedang tradisional) dan Efut (sumpit) bersama Telungan (tempat peluru sumpit) sebagai tanda kekuatan dan peranan mereka sebagai pelindung komuniti.


  1. Perhiasan Tambahan dan Simbolisme

    Sebagai tambahan, sesetengah lelaki Lundayeh turut menghiasi tubuh mereka dengan ukiran tatu “Arit”, yang menjadi simbol kedewasaan, pengalaman, dan keberanian. Aksesori seperti Bakang (beg rotan) turut digantung di sisi untuk menyimpan barangan kecil.


Dalam kedua-dua jenis busana ini, sama ada bagi lelaki mahupun wanita, masyarakat Lundayeh masih mengekalkan cara pemakaian tradisional yang diwarisi daripada nenek moyang. Walaupun kini terdapat versi moden dan kontemporari yang digunakan dalam majlis rasmi atau persembahan kebudayaan, susunan, warna, dan simbolik setiap pakaian masih dikekalkan, menjadikannya lambang keaslian dan jati diri etnik Lundayeh di Sabah.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Abd Talip, M., Maraining, A., Bee, B. B. B., & Baco, Z. (2022). Geospatial archaeology of Ulung Buayeh (crocodile mound): The integration of location, landscape and mound effigies in Lundayeh culture in Long Pasia and Long Mio [Geospatial Ulung Buayeh (crocodile mound): Pengintegrasian lokasi, landskap dan arkeologikal guar effigi warisan budaya etnik Lundayeh di Long Pasia dan Long Mio]. SPAFA Journal, 6, h0u1v1588w-h0u1v1588w.


Ayung Delei Lundayeh (Lundayeh). (n.d.). Infopakaian. Retrieved November 8, 2025, from https://mrk.stefanusable.com/infopakaian/


Iwan, J. (2024). Struktur dan nilai moral cerita rakyat Batu Singai masyarakat suku Dayak Lundayeh di Desa Long Bisai Kecamatan Mentarang Kabupaten Malinau (Kajian struktural). [Unpublished undergraduate thesis or research report].


Min, T. M., & On, L. K. (2019). Signifikan budaya mengayau dan ritual dalam persembahan Lansaran Mengayau [Significant head-hunting culture and ritual in Lansaran performance]. [Research paper or conference proceeding].


Rujina, R., Arifin, M. B., & Rijal, S. (2020). Pemali dalam budaya etnik Dayak Lundayeh di Kota Samarinda: Suatu tinjauan semiotika. Ilmu Budaya, 4(4), 614–626.


Simeon, J. J. C., On, L. K., Baxter, I. S., Saudik, M., Ahmad, S., & Suan, C. L. (2017). Traditional musical instruments and dance music of the Lundayeh of Sabah. Wacana Seni Journal of Arts Discourse, 16.


TikTok. (2021, February 23). Pakaian tradisional Lundayeh Sabah [Video]. JKKN Sabah Official. https://www.tiktok.com/@jkknsabahofficial/video/6924814154658352385

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!