Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BUSANA GANGGA SARI
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
5
Jumlah Pelawat
13
Pengenalan dan sejarah
Busana Gangga Sari yang kini dikenali sebagai Busana Zarith Gangga, merupakan salah satu warisan busana tradisional negeri Perak. Busana ini dipercayai berakar daripada zaman pemerintahan Kerajaan Gangga Negara (Kini kesultanan Melayu Perak) iaitu sebuah kerajaan Melayu awal yang berpusat di kawasan Dinding dan Beruas, Perak pada sekitar abad ke-6 hingga ke-11 Masihi. Ketika itu, pakaian tradisional masyarakat Gangga Negara banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu-Buddha melalui pemakaian kemban serta selendang yang menjuntai di belakang.
Busana ini kemudiannya berkembang seiring dengan kemasukan Islam dan pembentukan Kesultanan Perak yang meneruskan kesinambungan pemerintahan Gangga Negara dalam konteks baharu yang lebih berpaksikan nilai-nilai Islam dan adat Melayu. Pengaruh ini telah membawa kepada transformasi bentuk dan fungsi busana daripada berpakaian berkemban kepada gaya yang lebih sopan dan tertutup. Di sinilah munculnya ilham untuk mengolah semula Busana Gangga Sari dengan reka bentuk yang mengekalkan keindahan asal tetapi selaras dengan prinsip kesopanan wanita Islam.
Tokoh yang memainkan peranan penting dalam usaha ini ialah Tuan Haji Bashi, seorang penggiat warisan dan pereka busana tradisional Perak. Beliau menyesuaikan reka bentuk asal kepada potongan kebaya pendek yang menutupi bahagian dada dan pinggul yang diinspirasikan daripada kebaya Kota Bharu serta diserikan dengan selendang labuh yang disemat di bahu dan dibiarkan menjuntai ke belakang.
Nama Busana Zarith Gangga pula mula digunakan apabila Puteri Zarith Sofea, anakanda kepada Sultan Perak, memperagakan busana tersebut dalam majlis perkahwinan diraja. Peristiwa itu dianggap penting kerana memperlihatkan kebangkitan semula busana tradisional Perak dalam konteks moden, dan sebagai tanda penghormatan kepada baginda, busana tersebut dinamakan semula sempena nama beliau. Sejak itu, Busana Gangga Sari bukan sahaja dikenali sebagai pakaian istiadat diraja tetapi juga sebagai simbol jati diri dan kehalusan seni busana Melayu Perak yang menggabungkan unsur sejarah, adat, dan keislaman dalam satu warisan busana tradisional yang menjadi identiti kepada negeri Perak.
Secara tradisional, Busana Gangga Sari atau Busana Zarith Gangga merupakan pakaian khusus bagi golongan bangsawan dan keluarga diraja di negeri Perak. Pemakaiannya berperanan menonjolkan status sosial golongan istana, selain menjadi busana adat dan busana perkahwinan diraja yang melambangkan kemuliaan serta martabat wanita Melayu Perak.
Setelah Puteri Zarith Sofea memperagakan busana ini pada hari perkahwinannya, Busana Gangga Sari mula mendapat perhatian luas dalam kalangan masyarakat wanita di Perak dan menjadikan busana ini ikonik dan berpengaruh, bukan sahaja di istana tetapi juga di kalangan rakyat biasa. Sejak itu, ramai wanita menjadikan busana ini sebagai pakaian pilihan untuk majlis perkahwinan.
Kini, Busana Gangga Sari tidak lagi terhad kepada golongan bangsawan, sebaliknya turut dipakai oleh masyarakat umum dalam pelbagai acara rasmi, peragaan busana, dan majlis kebudayaan. Peranannya telah berkembang daripada simbol diraja kepada warisan budaya rakyat Perak, menjadi pakaian yang melambangkan kebanggaan terhadap identiti dan tradisi tempatan yang terus hidup dalam masyarakat moden.
Busana Gangga Sari tidak lengkap tanpa penggunaan pelbagai aksesori tradisional yang memperindah penampilan pemakainya. Antara aksesori yang digunakan ialah:
Cucuk sanggul / sanggul lintang / cucuk sudu
Aksesori ini digunakan untuk menghias rambut dan kepala pemakai. Bagi wanita yang bertudung, jenis sanggul yang digunakan adalah sanggul siap pasang atau sanggul hiasan yang disesuaikan dengan penampilan.
Bunga melur
Bunga melur digunakan sebagai hiasan tambahan yang diselitkan pada cucuk sanggul atau disemat pada bahagian rambut pemakai. Bagi wanita yang berambut pendek atau membentuk gaya sanggul seperti sanggul belah dua, sanggul lipat pandan, sanggul tekuk atau sanggul siput, bunga melur biasanya disisipkan di bahagian belakang sanggul dan dibiarkan menjuntai ke bawah di sebelah bahu kanan.
Anting-anting
Bagi wanita yang tidak bertudung, anting-anting emas atau perak dengan reka corak tradisional seperti bentuk bunga berjuntai atau jenis katup akan digayakan sebagai pelengkap hiasan bersama dokoh dan sanggul. Sementara itu, bagi wanita bertudung, pemakaiannya disesuaikan secara gaya kontemporari, sama ada menggunakan anting-anting kecil yang tidak menonjol di bawah tudung atau digantikan dengan anting-anting hias (clip-on) yang dipasang pada luar tudung.
Dokoh / Kerongsang derai tiga
Dokoh atau kerongsang derai tiga disemat pada bahagian dada secara bertingkat. Biasanya ia terdiri daripada tiga keping dokoh yang dihubungkan dengan rantai halus. Perhiasan ini lazimnya diperbuat daripada emas atau perak dan dihiasi ukiran bermotifkan flora seperti bunga tanjung atau berbentuk bulat mengikut keselesaan rias si pemakai.
Pending
Pending lazimnya diperbuat daripada tembaga dengan salutan perak atau emas. Ia digunakan sebagai pengikat bengkung dan diletakkan di bahagian hadapan pinggang melapisi selendang labuh dan kebaya. Dalam sesetengah rekaan, pending juga hadir dalam bentuk tali pinggang berukir yang berfungsi bukan sahaja sebagai hiasan tanpa pemakaian bengkung mengikut keselesaan si pemakai.
Gelang tangan dan gelang kaki
Gelang tangan diperbuat daripada perak atau emas, dengan rekaan jenis bangel yang menampilkan ukiran halus berinspirasikan motif pahat Jawa. Lazimnya, gelang tangan dipakai dua pasang iaitu sepasang di tangan kiri dan sepasang di tangan kanan. Begitu juga dengan gelang kaki, yang turut diperbuat daripada bahan logam berharga dan dipakai sepasang pada kedua-dua belah kaki sebagai pelengkap busana.
Cincin
Cincin dipakai di jari sebagai tanda kelengkapan perhiasan wanita Melayu tradisional. Ia lazimnya diperbuat daripada emas, perak, atau batu permata berwarna. Cincin ini dipakai di satu atau beberapa jari mengikut cita rasa pemakai.
Kasut Sarung Tekat Benang Emas
Menjadi keistimewaan dan pelengkap kepada busana ini adalah dengan pemakian Kasut sarung tekat benang emas merupakan alas kaki tradisional di negeri Perak. Bahagian atas kasut diperbuat daripada baldu dan dihiasi dengan sulam tekat menggunakan benang emas membentuk motif bunga dan awan larat.
Material yang digunakan dalam pembuatan Busana Gangga Sari mencerminkan nilai eksklusif dan kemewahan istana Perak.
Material Baju (Atasan dan Dalam)
Diperbuat daripada kain songket tenunan tangan, sutera asli, atau baldu lembut. Potongan kebaya pendek dengan bahagian belakang menutupi pinggul dan depan berlipit seperti kebaya Kota Bharu.
Material Selendang
Menggunakan kain sutera panjang atau organza lembut yang berjuntai dari bahu ke belakang sehingga paras lutut. Selendang ini biasanya sepadan warna dengan baju kebaya yang dipakai.
Material Bengkung dan Pending
Bengkung diperbuat daripada kain baldu atau kain keras yang dihias benang emas, manakala pending diperbuat daripada logam emas atau tembaga berukir halus.
Material Kain
Kain bawah disusun bertindih seperti wiron menggunakan songket tenun Perak dengan motif bunga tabur atau tampuk manggis.
Pemakaian Busana Gangga Sari memerlukan ketelitian dan susunan yang tepat kerana setiap lapisan pakaian mempunyai fungsi serta simbolik tersendiri yang melambangkan kesopanan dan keanggunan wanita Melayu Perak. Proses pemakaiannya dimulakan dengan memakai baju dalam dan kain, di mana kain disusun bertindih di bahagian hadapan bagi menghasilkan bentuk wiron yang kemas dan seimbang pada bahagian tengah.
Setelah itu, baju dagang luar atau kebaya pendek disarungkan di atas baju dalam. Bahagian belakang kebaya direka menutupi pinggul manakala bahagian hadapan berpotongan sedikit pendek bagi menonjolkan lipatan kain yang bertindih di bawahnya. Langkah ini diikuti dengan pemakaian bengkung dan pending, yang dikenakan di bahagian pinggang sebagai pengikat utama serta hiasan yang menyerlahkan bentuk badan pemakai.
Kemudian, selendang panjang disemat di bahagian bengkung hadapan, dilingkarkan ke atas bahu dan dibiarkan menjuntai ke belakang hingga ke paras lutut. Seterusnya, aksesori tradisional seperti cucuk sanggul, bunga melur, dan anting-anting emas digunakan untuk menghias rambut dan wajah. Dokoh derai tiga lapis disemat pada bahagian dada secara bertingkat, manakala gelang tangan, gelang kaki, dan cincin dipakai bagi melengkapkan elemen perhiasan tradisional.
Akhir sekali, pemakaian kasut sarung tekat benang emas melengkapkan keseluruhan penampilan Busana Gangga Sari. Kasut ini bukan sahaja berperanan sebagai alas kaki, tetapi juga menjadi lambang kehalusan seni tekat Perak yang memperkukuh imej busana diraja. Apabila digayakan dengan tertib dan rapi, keseluruhan Busana Gangga Sari memperlihatkan keindahan warisan Melayu Perak yang sarat nilai estetika, kesopanan dan kebanggaan nilai tradisi.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Chan, H. (2010, Oktober). Baju tradisional negeri Perak. Retrieved from https://himikochan.blogspot.com/2010/10/baju-tradisional-negeri-perak.html
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). (2016). Kenali busana tradisional negeri Perak. Buletin Citra Karya JKKN, Bil. 1, 13. Retrieved from https://issuu.com/jkkngov/docs/citra_karya_jkkn_2016_bil1_1_final/13
Perak Tourism. (2023, Jun 10). Busana tradisional negeri Perak – Busana Gangga Sari dan Zarith Gangga. [Tweet]. X (Twitter). Retrieved from https://x.com/PerakTourism/status/1667381070130446342
Hardy Shafii, A. S., & Nazaruddin Zainun. (2017). Masyarakat Nusantara dalam budaya: Warisan dan sejarah. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Yufazli Yusof
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak,
Lot 20561@20565 Jalan Caldwell,
Off Jalan Raja Di Hilir,
30350 Ipoh,
PERAK DARUL RIDZUAN
05-253 7001 / 05-254 1027
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



