Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
PAKAIAN TRADISIONAL ETNIK KENYAH
Busana Tradisional
Gambar
6
Video
tiada
Pelawat Hari ini
24
Jumlah Pelawat
115
Pengenalan dan sejarah
Suku Kenyah merupakan salah satu kelompok besar daripada masyarakat Dayak yang mendiami kawasan pedalaman Sarawak, khususnya di daerah Telang Usan dan Belaga dalam bahagian Miri, Kapit, dan Bintulu. Di Malaysia, mereka dikategorikan bersama kumpulan etnik lain seperti Kayan, Penan, Kelabit, dan Lun Bawang, yang secara kolektif digelar sebagai Orang Ulu iaitu istilah umum bagi masyarakat asal yang mendiami bahagian utara Sarawak.
Suku Kenyah terdiri daripada pelbagai sub-etnik kecil yang berbeza dari segi dialek, adat dan corak budaya, antaranya Kenyah Lirung (Long Nuah), Kenyah Jamok, Kenyah Badeng, Kenyah Lepo’ Tau, Lepo’ Maut, Uma’ Bakah, Lepo’ Kulit, dan Uma’ Sambop. Berdasarkan tradisi lisan nenek moyang, masyarakat Kayan dan Penan dipercayai pada asalnya merupakan cabang atau sub-keturunan daripada masyarakat Kenyah yang terhasil daripada percampuran antara suku Lenjau dan Suuh Bawe’.
Suku Kenyah khususnya, dan rumpun Apau Kayan/Orang Ulu (yang merangkumi Kenyah, Kayan, Bahau, dan Penan) pada umumnya telah dikenali sebagai pakar seni kerajinan tangan yang halus dan bernilai tinggi. Keunikan mereka terserlah melalui keindahan pakaian tradisional yang berwarna-warni dan kaya dengan simbolisme, membezakan mereka daripada suku-suku lain di luar rumpun etnik ini.
Kemahiran menghasilkan seni kerajinan dan tenunan diwarisi secara turun-temurun, menjadikan suku Kenyah memiliki reka corak busana yang kompleks, harmoni, dan penuh makna. Bagi mereka, seni bukan sekadar hiasan tetapi menjadi bahasa simbolik yang menghubungkan manusia dengan Sang Pencipta, alam semesta, serta kehidupan seharian mereka. Melalui pakaian juga, status sosial dan kedudukan seseorang dalam struktur masyarakat tradisional Kenyah dapat dikenalpasti melalui kehalusan corak, jumlah aksesori, dan warna tertentu yang mencerminkan tahap kehormatan dan martabat individu.
Dalam tradisi mereka, pakaian tradisional suku Kenyah terbahagi kepada beberapa kategori dan jenis mengikut jantina serta fungsi penggunaannya, sama ada untuk upacara adat, perayaan atau persembahan kebudayaan. Pakaian tradisional bagi lelaki Kenyah dikenali sebagai “Besunung”, sejenis pakaian luar yang diperbuat daripada kulit rusa atau kulit kambing dan dipadangkan dengan “Abet”, iaitu sejenis cawat. Pemakaian busana ini dipakai bersama “Tapung Puk” atau “Terega”, iaitu topi yang dihiasi dengan bulu burung kenyalang atau bulu binatang lain sebagai simbol keberanian dan kejantanan. Selain itu, mereka juga menghiasi tubuh dengan gelang kaki dan tangan yang dikenali sebagai “Gelam Bete” (gelang betis) dan “Gelam Lengen” (gelang lengan) yang diperbuat daripada logam atau rotan berpilin.
Manakala, bagi kaum wanita pula, pakaian tradisional utama dikenali sebagai “Sapai” iaitu blouse tanpa lengan yang dipadankan dengan “Ta’a”, iaitu baju dan kain panjang (skirt) yang disulam serta dihias dengan manik halus berwarna-warni membentuk motif flora dan fauna. Busana ini dilengkapkan dengan pemakaian “Lavung”, iaitu hiasan kepala yang diperbuat daripada manik atau logam. Anting-anting besar yang dikenali sebagai “Belaong” dipakai oleh wanita bertelinga panjang, menjadi lambang kecantikan dan kemuliaan dalam adat Kenyah.
Justeru itu, setiap rekaan pakaian masyarakat Kenyah begitu kompleks dan sarat dengan motif alam semula jadi seperti bunga terung, naga, burung enggang, dan corak spiral, yang bukan sekadar hiasan semata-mata tetapi merupakan lambang nilai spiritual dan falsafah hidup mereka. Motif-motif ini menzahirkan kekuatan, keberanian, kesuburan, serta keseimbangan hubungan antara manusia dan alam semesta bagi menggambarkan pandangan dunia masyarakat Kenyah yang berakar pada keharmonian dan kesyukuran. Kehalusan seni, keindahan warna, serta makna simbolik pada setiap helaian pakaian bukan sahaja mencerminkan keunggulan estetika mereka, tetapi juga menjadi manifestasi identiti, martabat, dan warisan budaya Kenyah yang terus dipelihara hingga ke hari ini.
Pakaian tradisional etnik Kenyah memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial, adat dan identiti budaya masyarakatnya. Selain berfungsi sebagai penutup tubuh, busana ini membawa makna yang lebih mendalam sebagai lambang kehormatan, warisan dan jati diri etnik Kenyah.
Lambang Status dan Martabat
Pakaian tradisional etnik Kenyah melambangkan status sosial dan kedudukan seseorang dalam hierarki masyarakat. Reka corak, warna, serta hiasan yang digunakan pada pakaian dan aksesori menandakan perbezaan antara golongan pada kedudukan hierarki tertinggi seperti ketua adat dan masyarakat biasa. Busana dengan tenunan manik halus, motif yang lebih rumit serta aksesori berlogam atau bulu burung kenyalang biasanya dipakai oleh ketua masyarakat dan keluarga berpengaruh, sebagai tanda kebesaran dan martabat mereka.
Pakaian Rasmi dalam Upacara Adat dan Sambutan Perayaan
Dalam kehidupan beradat, pakaian tradisional Kenyah menjadi busana rasmi yang wajib dipakai semasa upacara adat dan sambutan perayaan penting seperti Hari Gawai, iaitu pesta kesyukuran selepas musim menuai. Pada waktu ini, masyarakat akan mengenakan pakaian tradisional penuh sebagai lambang kegembiraan, rasa syukur, dan perpaduan komuniti. Kaum lelaki mengenakan “abet”, “besunung” dan “tapung puk”, manakala kaum wanita tampil dengan “ta’a” yang dihiasi manik berwarna-warni serta “lavung” di kepala, memperlihatkan keindahan budaya mereka yang unik.
Pilihan Utama dalam Perkahwinan Adat
Dalam upacara perkahwinan tradisional, pakaian tradisional ini menjadi pilihan utama bagi pasangan pengantin sebagai simbol penyatuan dua keluarga. Dalam masyarakat moden masa kini, walaupun banyak pasangan dari etnik Kenyah mengadakan upacara pemberkatan perkahwinan di gereja, mereka tetap memilih untuk memakai pakaian tradisional Kenyah pada majlis resepsi selepas pemberkatan. Busana ini bukan sahaja memperindah majlis dengan warna dan corak yang meriah, tetapi juga menegaskan identiti budaya dan penghargaan terhadap warisan budaya mereka.
Persembahan Kebudayaan dan Tarian Tradisional
Pakaian tradisional ini juga turut memainkan peranan penting dalam persembahan kebudayaan dan tarian tradisional, terutamanya tarian Datun Julud. Tarian ini merupakan salah satu tarian tradisional etnik Kenyah yang ditarikan oleh kaum wanita.
Identiti dan Warisan Budaya
Pakaian tradisional Kenyah juga berfungsi sebagai lambang identiti dan kesinambungan warisan budaya. Setiap generasi diajar mengenali corak, motif, dan cara pemakaian yang betul sebagai tanda penghormatan kepada adat. Melalui pakaian inilah nilai budaya Kenyah terus hidup menjadi pengikat antara masa lalu, masa kini dan masa depan masyarakat mereka.
Pakaian tradisional etnik Kenyah bukan sahaja terserlah melalui reka bentuk busana utamanya, tetapi juga melalui kelengkapan aksesori yang dikenakan oleh lelaki dan wanita, antaranya adalah;
Aksesori Lelaki
Tapung Puk / Terega
Topi tradisional yang diperbuat daripada rotan dan dihiasi dengan bulu burung kenyalang, bulu kambing, atau bulu binatang lain. Tapun Puk atau Terega ini mempunyai beberapa jenis lainnya seperti, Tapung Puk, Tapung Ino', Tapung Ujap, Tapung Tekeleng, Tapung Se', Tapung Beluko, Tapung Terega Tebun, Tapung Ucuk, Tapung Jena, Tapung Sepungen, Tapung Tepo dan Tapung Da'a.
Teba’ang Inu
Kalung atau rantai yang diperbuat daripada manik-manik besar berwarna-warni, dipakai untuk menonjolkan kemegahan dan keunggulan sosial.
Tesa
Tali pinggang yang dibuat daripada manik besar atau batu berwarna-warni, digunakan untuk mengikat pakaian pada pinggang.
Bah Kabo
Sirat berwarna hitam yang dihiasi dengan rekaan manik halus, biasanya dipakai oleh kaum lelaki ketika menghadiri upacara penting.
Tabin Inu
Hiasan yang diperbuat daripada rotan dan manik-manik kecil, dipakai di bahagian belakang pahlawan sebagai tanda keberanian.
Gelam Bete dan Gelam Lengen
Gelang kaki dan lengan yang diperbuat daripada rotan berpilin atau logam. Kini, aksesori gelang ini telah menggunakan beberapa material lain termasuklah diperbuat daripada plastik yang berkualiti tinggi.
Malat Buk
Parang tradisional yang dihiasi dengan bulu kambing, melambangkan kesiapsiagaan dan semangat mempertahankan diri.
Kelebit Kalung
Perisai tradisional yang bukan sahaja berfungsi sebagai senjata pertahanan, tetapi juga menjadi simbol keperwiraan kaum lelaki Kenyah.
Akseori Wanita
Kaum wanita Kenyah terkenal dengan pakaian dan perhiasan yang indah, halus serta berwarna-warni. Busana utama wanita Kenyah terdiri daripada “Sapai” (baju) dan “Ta’a” (kain sarung atau skirt), yang disulam dengan manik kecil berwarna-warni membentuk corak simbolik yang rumit. Selain pakaian utama, wanita Kenyah turut mengenakan pelbagai aksesori yang mempunyai fungsi estetik dan makna tersendiri. Antara aksesori penting bagi wanita Kenyah termasuk:
Tapung (Topi Tradisional)
Terdapat pelbagai jenis Tapung seperti Tapung Ino’ Sip, Tapung Udeng, Tapung Sakai, Tapung Se’, Tapung Puk (Beluko), Tapung Ucuk dan Tapung Da’a. Tapung diperbuat daripada rotan atau manik, dan setiap jenis mempunyai fungsi tertentu.
Belaong
Anting-anting besar yang dipakai oleh wanita bertelinga panjang, melambangkan kecantikan, ketabahan dan kehormatan mereka. Ia diperbuat daripada logam atau bahan berat yang menyebabkan telinga memanjang sebagai tanda keanggunan dalam budaya tradisional mereka.
Uleng
Kalung panjang yang diperbuat daripada manik dan batu warna-warni. Terdapat beberapa jenis seperti Uleng Kabo/Sabo, Uleng Sar, dan Uleng Kelem. Ia menandakan keanggunan serta membawa simbol kemakmuran.
Ino’ Bengen
Hiasan manik berbentuk lingkaran yang dipakai di bahagian dada atau pinggang untuk memperindah pakaian.
Gelam
Gelang tangan atau kaki yang dikenali sebagai Gelam Lengen (Leku’) dan Gelam Ino’ Sip (Sileng), diperbuat daripada logam atau manik, melambangkan kesucian dan keindahan wanita.
Beteng
Tali pinggang yang diperbuat daripada manik dan batu hiasan berwarna-warni, berfungsi sebagai pengikat pakaian dan simbol kemewahan.
Tebilang / Sebakui Ino’
Sejenis selempang yang dipakai di bahu, diperbuat daripada kain atau manik halus.
Pakaian tradisional etnik Kenyah terkenal dengan kehalusan buatan tangan dan penggunaan bahan semula jadi yang diambil dari persekitaran mereka. Setiap bahan yang digunakan bukan sahaja memenuhi fungsi praktikal, tetapi juga mencerminkan hubungan spiritual masyarakat Kenyah dengan alam, di mana setiap sumber dihargai dan digunakan dengan penuh rasa hormat.
Secara tradisional, masyarakat Kenyah menggunakan bahan-bahan semula jadi yang mudah diperoleh daripada hutan tropika Borneo. Antara bahan utama yang digunakan termasuk:
Kulit Binatang
Kulit binatang seperti kulit rusa dan kambing digunakan untuk membuat pakaian lelaki seperti Besunung / Sunung. Kulit tersebut direndam, dikeringkan dan dipukul sehingga lembut sebelum dijahit menggunakan tali rotan atau serat pokok. Penggunaan kulit binatang ini menghasilkan material pakaian yang tahan lama khususnya bagi golongan lelaki yang sering memburu atau berperanan sebagai pelindung keluarga.
Serat Tumbuhan dan Rotan
Rotan dan serat daripada batang tumbuhan hutan seperti pokok terap, timbau, dan buluh digunakan dalam pembuatan Tapung (topi tradisional) serta gelang dan tali pinggang (Tesa dan Gelam). Bahan ini ringan, tahan lama, dan mudah dibentuk, menjadikannya pilihan utama untuk menghasilkan pelbagai aksesori dan struktur asas pakaian.
Manik dan Batu Berwarna-warni
Manik merupakan elemen terpenting dalam busana tradisional Kenyah, khususnya bagi pakaian wanita. Manik digunakan untuk menghiasi baju Sapai, kain Ta’a, serta aksesori seperti Uleng, Beteng, dan Tebilang. Pada zaman dahulu, manik diperbuat daripada serpihan kaca, tulang, batu, atau kulit siput yang diwarnakan dengan pewarna semula jadi seperti serbuk arang, getah, dan sari bunga hutan.
Bulu Burung dan Bulu Binatang
Bulu burung kenyalang, ayam hutan, dan bulu kambing digunakan untuk menghiasi topi, parang, dan aksesori kepala seperti Lavung Kirieng dan Tapung Puk. Penggunaan bulu burung kenyalang sangat penting kerana burung ini dianggap suci dan berkuasa dalam kepercayaan masyarakat Kenyah, melambangkan keberanian, kepahlawanan, dan perlindungan daripada roh jahat.
Logam dan Tembaga
Logam seperti tembaga dan perak digunakan untuk membuat gelang tangan, gelang kaki (Gelam), dan anting-anting (Belaong). Perhiasan logam ini bukan sekadar lambang kecantikan, tetapi juga tanda kekayaan dan status sosial dalam komuniti. Bagi wanita, semakin banyak gelang dan rantai yang dipakai, semakin tinggi penghormatan yang diberikan kepadanya.
Kain Tenunan Moden
Dalam era moden, kain seperti baldu, satin dan kapas turut digunakan sebagai bahan alternatif bagi menggantikan kulit dan serat hutan. Penggunaan bahan moden ini memudahkan penghasilan pakaian tradisional untuk tujuan persembahan kebudayaan, perayaan Gawai, dan acara rasmi, di samping mengekalkan motif dan corak asli masyarakat Kenyah.
Setiap lapisan pakaian, aksesori, dan cara penyarungannya mempunyai makna tertentu yang mencerminkan kedudukan, jantina, serta fungsi sosial seseorang dalam masyarakat Kenyah. Pemakaiannya juga berbeza mengikut tujuan sama ada untuk upacara adat, perayaan, perkahwinan, atau persembahan kebudayaan. Berikut adalah cara pemakaian busana tradisional ini.
Kaedah Pemakaian Busana Lelaki
Memakai “Abet” (Cawat Tradisional)
Cawat ini merupakan bahagian asas pakaian lelaki yang dililit kemas di pinggang dan disisipkan di antara kedua kaki dan terdapat kain panjang pada bahagian hadapan cawat dengan hiasan corak atau manik.
Menyarung “Besunung” atau “Sunung” (Baju Kulit Binatang)
Bahagian atas badan disarungkan dengan pakaian yang diperbuat daripada kulit rusa atau kambing. Kulit tersebut dibiarkan bertekstur semula jadi dan dibentuk menjadi bahagin baju.
Memakai “Tesa” (Tali Pinggang Manik)
Tesa berfungsi untuk mengikat pakaian pada pinggang.
Menggayakan “Tapung Puk” atau “Terega” (Topi Hiasan)
Topi tradisional ini diperbuat daripada rotan dan dihiasi dengan bulu burung kenyalang atau bulu kambing.
Memakai “Gelam Bete” dan “Gelam Lengen” (Gelang Betis dan Lengan)
Diperbuat daripada rotan atau logam berpilin, gelang ini disarungkan pada kedua-dua belah lengan dan betis.
Melengkapkan Diri dengan “Malat Buk” dan “Kelebit Kalung”
“Malat Buk” ialah parang tradisional yang dihiasi bulu kambing, manakala “Kelebit Kalung” ialah perisai yang menunjukkan kesiapsiagaan dan keberanian pahlawan Kenyah.
Kaedah Pemakaian Busana Wanita
Bagi kaum wanita Kenyah, proses pemakaian busana tradisional amat teliti dan menuntut keseragaman antara warna, manik, dan aksesori. Langkah pemakaian lazimnya adalah seperti berikut:
Menyarung “Sapai” (Baju)
Sapai menutup bahagian dada dan badan atas. Ia berpotongan pendek hingga paras pinggang dan dihiasi sulaman manik yang halus dan simetri.
Memakai “Ta’a” (Kain Sarung Manik/Skirt)
Ta’a disarungkan dari pinggang hingga ke paras buku lali. Ia diperbuat daripada kain tebal atau tenunan yang dipenuhi manik kecil berwarna-warni membentuk motif alam seperti burung enggang, bunga terung, dan naga. Lipatan kain disusun kemas agar corak utama dapat dilihat di bahagian hadapan.
Mengikat “Beteng” (Tali Pinggang Manik)
Beteng dikenakan di bahagian pinggang sebagai pengikat kain dan pelengkap hiasan. Manik besar berwarna merah, kuning dan hijau digunakan untuk menonjolkan keindahan bentuk serta kedudukan sosial pemakai.
Mengenakan “Tapung” (Hiasan Kepala Tradisional)
Tapung diperbuat daripada rotan, manik atau logam, dan dihiasi dengan bulu burung kenyalang atau kambing. Ia dipakai di atas kepala dan disemat kemas.
Menggayakan “Uleng” dan “Belaong”
Uleng ialah rantai kalung panjang yang diperbuat daripada manik dan batu berwarna-warni, dipakai bertingkat-tingkat di leher. Belaong pula ialah anting-anting besar bagi wanita bertelinga panjang.
Memakai “Gelam” (Gelang Tangan dan Kaki)
Gelam dikenakan pada kedua-dua tangan dan kaki. Perhiasan ini diperbuat daripada logam atau manik, dan menghasilkan bunyi gemerincing yang menambah keindahan ketika wanita Kenyah ketika memakainya.
Menyarung “Tebilang” atau “Sebakui Ino” (Selempang Manik)
Selempang ini di silang di bahu kanan dan dibiarkan terjuntai ke sisi, berfungsi menambah elemen visual pada pakaian.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Bevis, W. W. (1995). Borneo log: The struggle for Sarawak's forests. University of Washington Press.
Guerreiro, A. J., & Sellato, B. (1984). Traditional migration in Borneo: The Kenyah case. Borneo Research Bulletin, 16(1), 12–28.
Lestari, D. P., & Rahardi, R. K. (2023). Makna simbolik aksesoris pakaian adat pengantin wanita suku Dayak Kenyah Kalimantan Timur: Kajian antropolinguistik. EDUKASIA Jurnal Pendidikan dan Pembelajaran, 4(2), 1287–1294.
Lin, C. P., & Lim, C. K. N. (2021). The Indigenous music of Sarawak and its transmission over the last 60 years with a special focus on the music of the Kenyah and the Lun Bawang. In The legacy of indigenous music: Asian and European perspectives (pp. 165–198).
Springer Singapore. https://doi.org/10.1007/978-981-16-6264-1_9
Putra, A. P. S. S. U., Lepun, M. P., Robin, T., Alan, R., Ismail, Z., Magiman, M. M., & King, J. H. (n.d.). Exploring the role of Kenyah traditional culture in upland rice cultivation. [Manuscript in preparation or unpublished paper].
Soriente, A. (2008). The classification of Kenyah languages: A preliminary statement. Journal of the Southeast Asian Linguistics Society, 14(2), 49–62.
Tugang, N., & Kiyai, G. (2021). The study of material culture of the Iban community in Sarawak: Ngepan. International Journal of Applied and Creative Arts, 4(1), 80–97.* https://ijaca.unimas.my
The Rojak Projek. (2020, September 23). Culture: Bidayuh & Kenyah – Guinevere Aring (Pakar). https://www.therojakprojek.com/post/culture-bidayuh-kenyah-guinevere-aring-pakar
Letokenyah Badeng. (n.d.). Letokenyah Badeng blog. Retrieved November 9, 2025, from https://letokenyahbadeng.blogspot.com/
Demabetuen. (2017, February). Pakaian tradisional Kenyah (1). Retrieved November 9, 2025, from https://demabetuen.blogspot.com/2017/02/pakaian-tradisional-kenyah-1.html
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



