BAJU PUTERI KEBAYA LABUH PERAK

Busana Tradisional

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

4

Jumlah Pelawat

14

Pengenalan dan sejarah

Busana Puteri Kebaya Labuh Perak merupakan salah satu warisan busana tradisional wanita Melayu yang melambangkan keanggunan dan kehalusan seni budaya masyarakat di negeri Perak. Keunikan busana ini bukan sahaja terletak pada reka bentuknya yang panjang dan tertutup sopan, tetapi juga pada sejarah perkembangannya di rantau Tanah Melayu, dan akhirnya menjadi identiti wanita Bangsawan di Perak.


Asal-usul istilah kebaya sendiri mencerminkan proses asimilasi budaya yang menarik. Perkataan kebaya diambil daripada bahasa Portugis “Cabaya”, yang bermaksud tunik atau jubah luar. Istilah ini dibawa ke Alam Melayu ketika zaman penjajahan Portugis di Melaka (1511–1641).  Orang Portugis pula meminjam istilah ini daripada bahasa Arab Qaba’ yang asalnya daripada bahasa Parsi bermaksud ‘Jubah Kehormatan’. Catatan awal tentang istilah ini muncul seawal tahun 1553 apabila João de Barros menyifatkan ia sebagai pakaian orang Islam. Variasi istilah ini juga termasuk Kabaya, Cabie, Cabaia, Cabaye, Caba dan Kabaai. Lama-kelamaan, perkataan kebaya menjadi istilah yang popular bagi merujuk kepada tunik atau jubah luar di seluruh rantau ini.


Dari Melaka, pakaian bergaya Cabaya atau kebaya ini kemudian menyebar ke seluruh Nusantara, termasuk ke Jawa, Sumatera, dan Semenanjung Tanah Melayu. Dalam proses penyebaran tersebut, bentuk dan gayanya mengalami asimilasi budaya tempatan bersesuian dengan citarasa, adat, serta pengaruh agama di setiap wilayah. Di rantau Melayu, kebaya disesuaikan agar lebih sopan dan tertutup, menggunakan kain lembut seperti sutera, songket, atau kapas halus, dengan potongan panjang yang menutupi bahagian pinggul dan paha.


Perkembangannya di Negeri Perak pula adalah dikaitkan dengan pengaruh budaya dan perkahwinan diraja menghubungkan negeri-negeri Melayu seperti Johor, Melaka dan Selangor dengan Kesultanan Perak pada abad ke-19. Busana kebaya ini mengalami transformasi yang bermula daripada gaya istana Perak. Di istana, busana ini dikenali sebagai busana Puteri Kebaya Labuh, dan menjadi pakaian rasmi bagi anak-anak gadis diraja serta wanita bangsawan Perak dalam majlis adat, perkahwinan, atau sambutan kebesaran negeri.


Ciri-ciri utama busana Puteri Kebaya Labuh Perak terdiri daripada potongan bajunya agak longgar dengan labuh hingga ke paras lutut. Panjang lengan adalah tiga suku iaitu sejengkal dari pergelangan tangan bagi membolehkan pemakaian gelang atau aksesori tangan. Busana ini dipakaikan bersama kain sarung lipatan bertimpuh, menyerupai gaya pemakaian batik sarung Perak tradisional. Setelah itu, ia dihiasi dengan aksesori kerongsang emas atau perak derai tiga di bahagian dada, gelang kaki, kasut bertekat benang emas, dan perhiasan kepala seperti sanggul lintang atau cucuk sanggul. Sebagai pelengkap gaya, selendang panjang disampirkan di bahu kanan bagi menutupi bahagian dada si pemakai.


Melalui peredaran zaman, Busana Puteri Kebaya Labuh Perak kini telah mengalami beberapa transformasi yang disesuaikan dengan pelbagai gaya pemakaian dan keperluan semasa. Namun begitu, perubahan tersebut tetap mengekalkan elemen asal yang melambangkan warisan dan identiti negeri Perak. Potongan kebaya masih mengekalkan bentuk labuh dan longgar, sementara rekaan moden memperkenalkan variasi seperti penggunaan fabrik, warna pastel, dan hiasan manik halus bagi memberi sentuhan kontemporari tanpa menghilangkan keasliannya.


Fungsi dan Peranan

Pada zaman dahulu, Busana Puteri Kebaya Labuh Perak merupakan pakaian eksklusif yang hanya dipakai oleh anak-anak puteri diraja dan golongan bangsawan di istana Perak. Ia dikenakan ketika menghadiri majlis rasmi istana, upacara adat, pertunangan, perkahwinan, serta sambutan hari kebesaran negeri. Pemakaiannya bukan sekadar untuk bergaya, tetapi juga melambangkan darjat dan status wanita daripada golong terpandang.


Kini, seiring perubahan zaman, Busana Puteri Kebaya Labuh Perak tidak lagi terhad kepada golongan istana sahaja. Ia telah diangkat semula sebagai busana warisan negeri Perak dan dipakai secara meluas oleh golongan rakyat jelata dalam majlis perayaan, persembahan kebudayaan, festival dan pertandingan busana tradisional. Walaupun tampil dengan rekaan moden dan fabrik yang lebih pelbagai, kebaya ini tetap mengekalkan nilai kesopanan dan ciri-ciri tradisionalnya.


Busana/ Aksesori

Bagi melengkapkan penampilan Busana Puteri Kebaya Labuh Perak, ia digayakan dengan pelbagai aksesori tradisional lain seperti;


  1. Kerongsang Derai Tiga

Diperbuat daripada emas atau perak, kerongsang ini disemat di bahagian dada bagi mengemaskan kebaya serta menambahkan seri pada keseluruhan penampilan.


  1. Sanggul Lintang atau Sanggul Tinggi 

Gaya rambut tradisional wanita Perak yang digubah kemas di bahagian belakang kepala dan dihiasi dengan cucuk sanggul atau bunga tanjung, menonjolkan keayuan dan keanggunan klasik.


  1. Subang (Anting-anting)

Terdapat pelbagai jenis subang yang sesuai digunakan seperti subang katup, subang paku, atau subang berjuntai yang diperbuat daripada emas atau perak.


  1. Gelang Tangan dan Gelang Kaki

Gelang tangan atau dikenali sebagai Gelang Pahat jawa dan gelang kaki yang digunakan adalah jenis Banggel yang diperbuat daripada emas, perak atau ada juga menggunakan material tembaga. Biasanya gelang ini dipakai sepasang kiri dan kanan.


  1. Selendang Panjang 

Disampirkan di bahu kanan dan meleret ke bahagian tangan atau kiri sebagai simbol kesopanan dan menutup bahagian dada wanita.


  1. Kasut Tekat Benang Emas

Kasut tradisional yang diperbuat daripada kain baldu dan dihiasi tekatan benang emas, menjadi padanan utama kepada busana ini serta melambangkan kemewahan dan kehalusan seni tenunan warisan Perak.



Peralatan/ Bahan-Bahan

Material yang digunakan dalam pembuatan Busana Puteri Kebaya Labuh Perak memainkan peranan penting dalam menonjolkan keindahan dan kemewahan busana ini. Berikut merupakan jenis material utama yang digunakan untuk menghasilkan busana ini:


  1. Kain Baju (Bahagian Atas – Kebaya Labuh)

Bahagian atas busana ini dijahit menggunakan kain songket yang menjadi bahan asas busana ini. Tenunan benang emas atau perak pada kain songket ini menonjolkan identiti tradisional serta menyerlahkan seri pemakainya. Motif yang digunakan biasanya berbentuk bunga tanjung, pucuk rebung, atau awan larat.


  1. Kain Sarung Songket (Bahagian Bawah)

Untuk bahagian bawah, kain sarung songket bercorak pelikat digunakan. Corak pelikat ini memberikan kombinasi warna dan garisan berpetak yang seimbang, menambahkan unsur klasik namun tetap sederhana. Pemakaian kain ini dililit dengan gaya lipatan bertimpuh seperti pemakaian kain sarung wanita pada kebiasaannya.


  1. Selendang (Bahagian Aksesori Luar)

Selendang juga lazimnya diperbuat daripada material songket corak bunga tabur digunakan sebagai pelengkap utama busana ini. Panjangnya dalam 1.5 hingga 2 meter bergantung kepada ketinggian pemakainya. Kadangkala, ada sesetengah pemakai akan meletakkan batu manik pada selendang untuk menyerlahkan lagi kemewahan busana ini.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pemakaian Busana Puteri Kebaya Labuh Perak ini dipakai sama seperti baju tradisional yang lain, tetapi memerlukan ketelitian agar nilai keanggunannya dapat memberikan pesona kepada si pemakai. Berikut merupakan langkah-langkah dan kaedah pemakaiannya:


  1. Memakai Kain Sarung (Bahagian Bawah)

  • Kain sarung songket bercorak pelikat dililit kemas di pinggang dengan gaya lipatan bertimpuh.

  • Lipatan bahagian hadapan hendaklah rapi dan lurus bagi menyerlahkan bentuk yang anggun serta sopan.

  • Panjang kain disesuaikan agar tidak terlalu singkat atau terlalu labuh, bagi memudahkan pergerakan dan mengekalkan kesopanan.


  1. Menyarung Baju Kebaya Labuh (Bahagian Atas)

  • Baju kebaya labuh disarungkan dari bahu hingga ke paras lutut.

  • Bahagian dada dikemaskan dengan kerongsang derai tiga, yang berfungsi sebagai pengikat serta hiasan utama.

  • Pastikan lengan tiga suku kebaya terletak kemas, memperlihatkan pergelangan tangan yang dihiasi dengan gelang bangle.


  1. Memakai Selendang Songket (Pelengkap Gaya)

  • Selendang songket corak bunga tabur disampirkan di bahu kanan, kemudian dibiarkan meleret lembut ke sisi kiri atau tangan.

  • Selendang ini berfungsi bukan sahaja sebagai hiasan, tetapi juga sebagai simbol kesopanan dan kelembutan wanita.


  1. Menyempurnakan Penampilan dengan Aksesori

  • Sanggul lintang atau sanggul tinggi digayakan pada rambut, dihiasi dengan cucuk sanggul atau bunga tanjung.

  • Subang, gelang tangan, dan gelang kaki dipakai bagi melengkapkan penampilan beradat wanita istana.

  • Akhir sekali, kenakan kasut tekat benang emas yang diperbuat daripada kain baldu untuk menonjolkan kemewahan dan kehalusan seni tekstil tradisional Perak.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Dalgado, S. R. (1988). Portuguese vocables in Asiatic languages: From the Portuguese original of Monsignor Sebastião Rodolfo Dalgado (p. 60). India: Asian Educational Services.


Lee, P. (2014). Sarong Kebaya: Peranakan fashion in an interconnected world, 1500–1950 (pp. 25–26). Singapore: Asian Civilisations Museum. ISBN 9789810901462.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak. (2016, Februari). Info seni budaya: Tahukah anda Puteri Kebaya Labuh Perak? Retrieved from https://jkknperak.blogspot.com/2016/02/nfo-seni-budaya-tahukah-anda-puteri.html


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Yufazli Yusof

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak, Lot 20561@20565 Jalan Caldwell, Off Jalan Raja Di Hilir, 30350 Ipoh, PERAK DARUL RIDZUAN

05-253 7001 / 05-254 1027

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!