Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
PAKAIAN TRADISIONAL DUSUN LABUK
Busana Tradisional
Gambar
0
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
14
Pengenalan dan sejarah
Dusun Labuk ialah salah satu subetnik daripada rumpun besar masyarakat Dusun di Sabah, Malaysia. Mereka banyak menetap di kawasan Labuk dan Sugut di daerah Beluran, serta sebahagian kecil di Telupid, Sandakan dan Kinabatangan. Nama “Labuk” diambil daripada Sungai Labuk, sungai utama yang mengalir di kawasan timur Sabah dan menjadi nadi kehidupan kepada masyarakat ini sejak turun-temurun.
Masyarakat Dusun Labuk tergolong dalam kumpulan etnolinguistik Kadazandusun yang berkongsi akar budaya, bahasa, dan tradisi dengan subetnik Dusun lain seperti Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Tatana, Dusun Kimaragang dan Dusun lain pada umumnya. Namun, mereka mempunyai dialek bahasa tersendiri, adat istiadat unik, dan gaya pakaian tradisional yang berbeza, menjadikan mereka satu kelompok yang istimewa dalam mosaik kebudayaan Sabah.
Dari aspek pakaian tradisional, Dusun Labuk mempunyai busana etnik yang unik dikenali sebagai Sabung Labuk atau Baju Labuk. Kenunikannya terletak pada reka bentuknya menonjolkan keindahan sulaman tangan tradisional dengan motif bunga Gosing, iaitu hiasan ikonik yang menjadi tanda pengenalan busana ini. Busana ini direka dengan potongan panjang berlengan penuh dan kain labuh menyerupai baju impit atau kebaya tradisional bagi wanita dengan skirt panjang yang dikenali sebagai “Tapi”. Manakala, pakaian lelaki pula menyerupai potongan baju gaung iaitu berlengan panjang dan seluar panjang hitam yang disebut “Soruai” dengan hiasan renda keemasan.
Pada sekitar tahun 1980-an, Sabung Labuk dipakai secara sederhana tanpa banyak aksesori, hanya dipadankan dengan “kambot” iaitu tali pinggang tradisional yang diperbuat daripada syiling perak British. Pada masa itu, ia dianggap antara pakaian tradisional paling minimalis di Sabah. Namun seiring perubahan zaman, busana ini semakin berkembang dengan kemasukan aksesori tradisional baharu yang tetap berakar pada sejarah dan tradisi lisan komuniti Labuk.
Kini, Baju Labuk wanita lengkap dengan aksesori seperti kamboot, simpagot (tali pinggang yang dahulunya diperbuat daripada sarung peluru atau “kumpas”), simbong (anting-anting), kalung (rantai leher), dan golong sulaus (gelang tangan). Pemakaian aksesori ini mempunyai aturan dan makna tertentu, misalnya, penggunaan empat utas kamboot, simpagot, dan golong sulaus melambangkan empat warna utama bunga Gosing. Pemakaian berlebihan dianggap tidak wajar kerana boleh menenggelamkan keindahan dan kesucian simbolik motif asal.
Setiap perincian pada busana ini membawa makna mendalam. Sebagai contoh, sulaman berbentuk huruf “V” dari pinggang ke paras bahu menandakan konsep “kopiiso ginavo”, iaitu semangat persefahaman dan kesepakatan yang menjadi asas kemajuan dan perpaduan masyarakat Dusun Labuk. Walaupun warna biru dan hijau dianggap berbeza, dalam dialek Dusun Labuk kedua-duanya disebut sebagai “otomou”, menggambarkan falsafah bahawa biarpun berlainan latar suku, mereka tetap memiliki akar budaya tradisi yang sama.
Kini, Sabung Labuk semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Dusun Labuk sendiri, malah turut menarik minat etnik lain di Sabah. Keanggunan reka bentuknya, kehalusan sulaman tangan serta keunikan motif bunga Gosing menjadikan busana ini bukan sekadar warisan turun-temurun, tetapi juga satu bentuk pakaian komersial dan simbol kebudayaan moden yang semakin popular. Busana ini kini sering diperagakan dalam pertunjukan fesyen etnik, majlis rasmi negeri, pertandingan ratu Unduk Ngadau, serta pameran warisan budaya, menonjolkan identiti masyarakat Dusun Labuk di pentas yang lebih luas.
Perkembangan ini membuktikan bahawa Sabung Labuk bukan hanya sekadar pakaian tradisi, tetapi juga warisan hidup yang terus berkembang seiring arus moden tanpa mengorbankan keasliannya. Pengiktirafan terhadap busana ini telah menggalakkan lebih ramai generasi muda Dusun Labuk untuk mempelajari semula teknik sulaman tangan tradisional dan memahami makna simbolik di sebalik setiap corak serta warna. Usaha kolektif antara komuniti, pengkaji warisan, dan institusi kebudayaan tempatan turut membantu dalam melestarikan keaslian Sabung Labuk sebagai lambang kebanggaan etnik dan warisan seni tekstil negeri Sabah.
Busana tradisional Dusun Labuk bukan sekadar pakaian, tetapi merupakan simbol identiti dan manifestasi budaya yang sarat dengan nilai sosial, spiritual, dan estetika. Ia melambangkan kesinambungan warisan nenek moyang masyarakat Dusun Labuk yang mementingkan kesopanan, perpaduan, dan keharmonian hidup berkomuniti. Oleh itu, antara fungsi dan peranan utama Sabung Labuk atau Baju Labuk ialah seperti berikut:
Pakaian Upacara dan Perayaan
Sabung Labuk sering dipakai semasa Pesta Kaamatan dan pelbagai upacara adat bagi menghormati semangat padi (Bambarayon) serta menzahirkan rasa syukur atas hasil tuaian.
Pakaian Perkahwinan Tradisional
Pakaian ini sering menjadi pilihan kepada mempelai pengantin dan berfungsi sebagai pakaian utama ketika upacara perkahwinan adat.
Pakaian Persembahan dan Pertandingan
Sabung Labuk sering dipakai dalam pertandingan ratu Unduk Ngadau, persembahan tarian tradisional, dan acara kebudayaan untuk menonjolkan identiti dan keunikan etnik Dusun Labuk di peringkat negeri.
Simbol Identiti dan Kebanggaan Etnik
Pakaian ini menjadi tanda pengenalan masyarakat Dusun Labuk, berbeza daripada subetnik Dusun lain melalui corak sulaman bunga Gosing yang tersendiri.
Lambang Kesepaduan dan Nilai Komuniti
Corak sulaman berbentuk huruf “V” pada bahagian dada melambangkan kopiiso ginavo (kesepakatan dan perpaduan), nilai utama yang menjadi asas kehidupan masyarakat Dusun Labuk.
Pakaian tradisional Dusun Labuk ini tidak lengkap tanpa aksesori tradisional. Antara aksesori yang dikenakan ketika memakai busana ini adalah seperti yang berikut;
Aksesori Lelaki
Dasar / Singal
Dasar dan Singal ialah penutup kepala tradisional lelaki Dusun Labuk yang diperbuat daripada kain tenunan atau kain kapas berwarna gelap. Kedua-duanya berbeza berdasarkan cara pemakaian:
Dasar dipakai apabila lipatan kain menutupi bahagian atas kepala sepenuhnya, memberikan penampilan lebih formal dan kemas.
Singal pula dipakai apabila lipatan kain tidak menutupi bahagian atas kepala yang kebiasaanya dipakai oleh penari dalam susana santai
Kain Pinggang
Lelaki Dusun Labuk turut mengenakan kain pinggang berwarna merah, diperbuat daripada kain kapas (cotton). Kain ini dililit di bahagian pinggang di luar baju, menyerupai bengkung tradisional, dan berfungsi sebagai pengikat busana Sabung.
Taangkos/Tagkos
Taangkos atau Tagkos ialah gelang tangan tradisional yang nipis, dipakai oleh lelaki sebagai hiasan tambahan. Aksesori ini kebiasaannya diperbuat daripada logam, namun dalam versi moden terdapat juga yang menggunakan tali atau tangsi berwarna merah.
Aksesori Wanita
Simbong
Simbong ialah anting-anting tradisional wanita Dusun Labuk yang diperbuat daripada logam atau tembaga, berbentuk bulat jenis katup.
Kalung
Kalung diperbuat daripada perak, tembaga atau bahan bersadur logam. Ia dipakai di bahagian leher bagi menambah nilai estetika dan menyerlahkan keindahan busana tradisional Sabung Labuk
Kamboot
Kamboot ialah aksesori pinggang yang dahulunya diperbuat daripada syiling british sebelum kini menggunakan material syiling perak yang dipakai empat utas melambangkan empat warna bunga Gosing.
Simpagot
Simpagot merupakan tali pinggang tradisional wanita Dusun Labuk yang dililit di bahagian pinggang sebagai pengikat utama busana. Dahulunya diperbuat daripada sarung peluru (kumpas) yang dikitar semula, namun kini digantikan dengan logam tembaga atau bahan buatan yang lebih ringan.
Golong Sulau
Golong Sulau ialah gelang tangan tradisional yang diperbuat daripada tembaga atau perak, dan biasanya dipakai berpasangan dua utas pada kedua-dua belah tangan. Dalam versi moden, Golong Sulau turut dihasilkan menggunakan plastik berwarna putih sebagai alternatif yang lebih ringan dan mudah dipakai untuk tujuan persembahan kebudayaan.
Secara asasnya, busana ini diperbuat daripada kain hitam jenis Baldu atau Kapas Tebal sebagai bahan asas yang memberikan tekstur lembut sesuai dengan bentuk badan dan potongan busana. Kain asas ini kemudiannya dihiasi dengan pelbagai elemen hiasan mewah seperti renda emas (les labuk), butang emas (brass button) serta sulaman tangan halus menggunakan benang berwarna-warni dan labuci. Antara elemen utama dalam pembuatan busana Sabung Labuk ialah seperti berikut:
Teknik Sulaman Tangan Tradisional
Semua corak dan motif dihasilkan sepenuhnya secara manual menggunakan teknik sulaman tangan yang halus dan teliti.
Corak Sulaman Labuk
Rekaan yang digunakan berpandukan corak asal (bunga gosing) yang telah didokumentasikan dan disahkan oleh komuniti Dusun Labuk bagi memastikan keaslian busana dikekalkan.
Motif Bunga Gosing
Motif utama yang menjadi teras rekaan Sabung Labuk. Sulaman ini menggunakan empat warna tradisi: merah jambu, biru, hijau, dan kuning, yang masing-masing mempunyai makna simbolik tersendiri dalam adat Dusun Labuk.
Tangkai Bunga Keemasan
Bahagian tangkai bunga disulam menggunakan manik berwarna emas, menambah kilauan dan nilai estetika pada corak bunga Gosing.
Renda Keemasan (Les Labuk)
Setiap hujung baju dan lengan dihiasi dengan renda keemasan yang kini dihasilkan secara buatan tangan oleh komuniti tempatan, menjadikan setiap helai baju unik dan bernilai tinggi.
Butang Keemasan (Brass Button)
Diletakkan di bahagian hadapan baju sebagai elemen fungsi dan hiasan, menyerlahkan ciri klasik dan mewah busana tradisional ini.
Busana tradisional Sabung Labuk memerlukan ketelitian dalam pemakaian kerana setiap bahagian pakaian dan aksesori mempunyai fungsi, makna simbolik serta nilai estetika tersendiri. Berikut adalah cara pemakaian Sabung Labuk;
Pemakaian Sabung Labuk Lelaki
Baju Sabung Labuk Lelaki
Lelaki memakai baju berlengan panjang berwarna hitam, diperbuat daripada kain baldu atau kapas tebal. Bahagian leher dan hujung lengan dihiasi dengan jahitan benang emas dan renda keemasan (les Labuk) dan sulaman motif Gosing.
Soruai (Seluar)
Lelaki memakai seluar panjang longgar yang dipanggil soruai, diperbuat daripada kain hitam yang sama dengan baju. Pada hujung seluar akan turut disulam.
Kain Pinggang dan Tali Pinggang
Bahagian pinggang dililit dengan kain berwarna merah yang dipakai di luar baju seperti bengkung tradisional. Kadangkala, di atasnya akan disarungkan kambot atau simpagot. Ia terpulang kepada si pemakai.
Penutup Kepala (Dasar / Singal)
Lelaki Dusun Labuk memakai penutup kepala yang dikenali sebagai dasar atau singal, diperbuat daripada kain tenunan atau kain kapas berwarna gelap. Dasar dipakai dengan lipatan kain yang menutupi bahagian atas kepala sepenuhnya, sesuai untuk majlis rasmi ataupun majlis perkahwinan bagi pengantin lelaki. Singal pula tidak menutupi bahagian atas kepala, dipakai dalam acara santai atau persembahan tarian.
Aksesori Pelengkap
Lelaki melengkapkan penampilan dengan memakai Taangkos atau Tagkos iaitu gelang tangan tradisional yang nipis diperbuat daripada logam, namun dalam versi moden terdapat juga yang menggunakan tali atau tangsi berwarna merah.
Pemakaian Sabung Labuk Wanita
Baju Sabung Labuk Wanita
Wanita memakai baju sabung labuk pendek berlengan panjang yang diperbuat daripada kain baldu hitam atau kain kapas tebal. Bahagian leher, dada, lengan dan kelim baju dihiasi dengan jaluran sulaman bunga Gosing berwarna merah jambu, biru, hijau dan kuning, disertai manik keemasan pada tangkai bunga. Renda dan butang keemasan menghiasi tepi baju.
Kain Tapi
Baju Sabung Labuk wanita dipadankan dengan kain skirt panjang berwarna hitam yang dikenali sebagai Tapi . Pada bahagian bawah Tapi ini juga akan diletakkan sulaman motif bunga Gosing.
Aksesori Pinggang
Bahagian pinggang dililit dengan simpagot serta kamboot. Kamboot dipakai empat utas, mewakili empat warna bunga Gosing, simbol kepada keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan wanita. Manakala simpagot pula akan dipakai satu utas atau dua dan tidak lebih daripada itu. Pemakaian berlebihan dianggap tidak sopan dan menyalahi adat.
Aksesori Leher dan Tangan
Dada dihiasi dengan aksesori kalung perak atau rantai manik berlapis, sementara telinga dipakaikan simbong (anting-anting). Kedua-dua tangan disarungkan dengan golong sulau, gelang logam atau gelang plastik berwarna putih sebagai alternatif moden.
Gaya Rambut dan Penampilan
Rambut wanita disanggul kemas dan boleh diselitkan dengan bunga atau kain berwarna bagi menyerlahkan penampilan. Dalam majlis rasmi, wanita Dusun Labuk lazimnya berkaki ayam tanpa alas kaki untuk menampilkan ciri tradsional si pemakai.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Ang Ngar Jiu, S., & Jan, C. C. (2010). Different yet similar: A study on Mongindong performed by Dirts, Gustimin, Pariama and Tulai from Murok Village and Baba Village on the Labuk River, Sabah. Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities, 18(1).
Boutin, M. E., & Pekkanen, I. (1993). Phonological descriptions of Sabah languages: Studies from ten languages, Bonggi, Ida'an, Kadazan/Dusun, Kalabuan, Kimaragang, Labuk-Kinabatangan Kadazan, Lotud, Tagal, Tatana', Tombonuwo. SIL International.
Cense, A. A., & Uhlenbeck, E. M. (1958). Dusun. In Critical survey of studies on the languages of Borneo (pp. 24–27). Dordrecht, Netherlands: Springer.
Lastage. (2017, September 24). Keunikan baju tradisi suku kaum Labuk [Facebook post]. Facebook. https://web.facebook.com/lastage2017/posts/keunikan-baju-tradisi-suku-kaum-labuk/793284369502055/
Sabah Media. (2025, May 30). Pesona bunga Gosing Sabung Labuk serlah tangan emas Dusun Labuk. Sabah Media. https://sabahmedia.com/2025/05/30/pesona-bunga-gosing-sabung-labuk-serlah-tangan-emas-dusun-labuk/
Sabung Labuk Official. (2024, February 26). Baju tradisional Dusun Labuk dengan motif bunga Gosing [Instagram post]. Instagram. https://www.instagram.com/p/C4hU8xnrMm2/?hl=en
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan





