Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BAJU MELAYU TELUK BELANGA
Busana Tradisional
Gambar
10
Video
tiada
Pelawat Hari ini
51
Jumlah Pelawat
860
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Baju Melayu Teluk Belanga
Sumber: Amsalib Pisali
Baju Melayu Teluk Belanga merupakan salah satu busana tradisional Melayu yang sinonim dengan negeri Johor. Busana ini telah wujud sejak berzaman dan diwarisi turun-temurun sebagai simbol jati diri masyarakat Melayu di negeri Johor. Ia bukan sekadar pakaian harian atau pakaian rasmi semata-mata, tetapi juga sebuah artifak fesyen yang mencerminkan kesinambungan sejarah, nilai budaya, serta adaptasi masyarakat Melayu terhadap perubahan zaman. Keunikan Baju Melayu Teluk Belanga dapat dilihat daripada aspek reka bentuknya yang ringkas dan fungsinya yang serba guna serta sejarah perkembangannya yang rapat dengan institusi Kesultanan Johor. Oleh itu, kewujudannya sehingga hari ini membuktikan bahawa busana ini bukan sahaja bertahan sebagai pakaian tradisional, malah terus hidup sebagai simbol warisan dan identiti bangsa Melayu khususnya masyarakt di negeri Johor.
Nama Teluk Belanga merujuk kepada sebuah kawasan di Singapura yang pada suatu masa dahulu pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor-Riau-Lingga sebelum berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali Johor Bahru). Asal-usul Baju Melayu ini boleh ditelusuri kembali ke abad ke-19, iaitu pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar (1862–1895), seorang tokoh penting yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan Johor. Baginda memainkan peranan besar dalam memodenkan Johor, termasuk dalam aspek kebudayaan dan pemakaian.
Sehubungan dengan itu, pengenalan Baju Melayu Teluk Belanga merupakan sebahagian daripada usaha baginda untuk memperkenalkan identiti budaya Johor yang lebih ringkas tetapi tetap mengekalkan unsur elegan. Reka bentuknya yang sederhana, selesa dan praktikal mencerminkan falsafah Sultan Abu Bakar yang mengutamakan kesederhanaan dalam kemewahan.
Pada peringkat awal pengenalannya, Baju Melayu Teluk Belanga mempunyai bentuk yang sedikit berbeza daripada rekaan yang kita lihat hari ini. Pada zaman Sultan Abu Bakar, baju lelaki direka agak panjang dan labuh sehingga mencecah paras lutut dengan potongan lurus yang memberi keselesaan ketika bergerak. Pada masa itu juga, baju tidak mempunyai poket dan lehernya dibuat berlapik lebar dan tidak berkolar. Perincian sulaman pada leher menjadi tanda seni dan kehalusan tangan masyarakat Johor, dengan teknik jahitan seperti mata lalat, tulang belut dan insang pari yang menjadikan setiap helai Baju Melayu Teluk Belanga unik.
Apabila memasuki zaman pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, berlaku sedikit perubahan terhadap rekaan Baju Melayu Teluk Belanga. Atas cadangan Allahyarham Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad (Menteri Besar Johor yang pertama), panjang baju lelaki telah ditinggikan sehingga hanya paras punggung, menjadikannya lebih ringkas dan sesuai dengan gaya hidup moden pada ketika itu. Selain itu, kocek pada baju lelaki ditambah daripada dua kepada tiga, yang memberikan fungsi praktikal kepada pemakai. Alas lehernya juga diubah menjadi lebih halus, sama seperti baju perempuan, agar kelihatan lebih kemas. Pada masa yang sama, satu kocek turut diperkenalkan pada baju perempuan. Perubahan ini mencerminkan usaha penyesuaian busana tradisional dengan tuntutan gaya hidup masyarakat Johor yang semakin moden tanpa menjejaskan identiti asalnya.
Selain daripada baju, bahagian seluar juga memainkan peranan penting dalam melengkapkan set Baju Melayu Teluk Belanga. Pada ketika itu, seluar yang dipakai dikenali sebagai seluar kabul, iaitu sejenis seluar yang bertongkah atau bertakak seperti seluar masyarakat Cina, dengan kaki seluar yang lebih longgar berbanding seluar gaya Barat. Malah, terdapat beberapa jenis seluar lain yang dipakai masyarakat lelaki Melayu ketika itu, seperti seluar Sampak (paras paha), seluar Katok (paras lutut), seluar Acheh (paras betis) dan seluar panjang ala Barat.
Bagi tujuan penyeragaman, seluar Cina bertongkah akhirnya ditetapkan sebagai seluar rasmi untuk Baju Melayu Johor, kerana rekaannya membolehkan ia diikat tanpa menggunakan tali pinggang moden. Keseluruhan pakaian ini dilengkapkan dengan pemakaian kain samping yang dipakai secara dagang dalam, lazimnya daripada kain Pelikat, kain Bugis, kain Mastuli atau sutera. Kepala kain samping diletakkan di belakang dan panjangnya sekitar paras lutut atau sedikit ke bawah. Perlu diketahui bahawa kain dagang luar hanya dipakai oleh golongan bangsawan seperti anak-anak raja atau keturunan Sayed pada ketika itu
Namun begitu, seiring dengan perkembangan zaman, Baju Melayu Teluk Belanga telah mengalami proses adaptasi yang menjadikannya salah satu pakaian rasmi di Malaysia. Teknik dan gaya pemakaiannya tidak lagi terbatas kepada golongan tertentu, sebaliknya boleh digayakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira keturunan, status, atau kedudukan. Keindahan busana tradisional ini bukan sahaja mengekalkan nilai warisan dan identiti masyarakat Melayu, tetapi juga mencerminkan keterbukaan budaya dalam menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, menjadikannya terus relevan sebagai simbol tradisi dan jati diri bangsa
Baju Melayu Teluk Belanga bukan sekadar busana tradisional yang diwarisi turun-temurun, tetapi turut memikul pelbagai fungsi dan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu mahupun seluruh masyarkat di Malaysia. Berikut antara fungsi dan peranan terpenting baju tradisional ini;
Fungsi Rasmi dan Majlis
Baju Melayu Teluk Belanga mempunyai kedudukan istimewa sebagai pakaian rasmi bagi rakyat Johor sejak zaman Kesultanan. Ia sering dipakai dalam pelbagai acara penting seperti istiadat di Istana, majlis perkahwinan, sambutan Hari Raya Aidilfitri, serta upacara rasmi kerajaan. Penetapan busana ini sebagai pakaian rasmi bukan sahaja menegaskan peranannya dalam protokol negeri, tetapi juga mengekalkan kesinambungan tradisi yang diwarisi turun-temurun. Hal ini menjadikan Baju Melayu Teluk Belanga sebagai simbol kelestarian budaya yang terus digunakan dalam konteks moden.
Peranan dalam Budaya Melayu
Selain fungsinya dalam majlis rasmi, Baju Melayu Teluk Belanga turut memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu. Busana ini dikenakan sebagai pakaian harian, khususnya pada zaman terdahulu, dan juga sebagai busana perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri serta upacara adat yang melibatkan komuniti. Pemakaiannya pada acara-acara penting melambangkan penghormatan terhadap tradisi, memperkukuh identiti budaya Melayu, dan menjadi wadah penyatuan sosial dalam kalangan masyarakat.
Fungsi sebagai Simbol Status Sosial
Baju Melayu Teluk Belanga juga berfungsi sebagai simbol status sosial, terutama apabila dipakai oleh pemimpin Melayu dan Sultan Johor dalam pelbagai upacara rasmi. Pemakaian ini melambangkan kewibawaan, maruah, dan kehormatan, sekaligus memperlihatkan kedudukan istimewa busana ini dalam struktur masyarakat. Walaupun reka bentuknya sederhana, sifatnya yang kemas dan anggun mencerminkan nilai-nilai kesederhanaan, kerapian, serta kehalusan budi yang sangat dijunjung dalam budaya Melayu.
Fungsi Praktikal
Di sebalik nilai simbolik dan adatnya, Baju Melayu Teluk Belanga turut mempunyai fungsi praktikal. Potongannya yang longgar sesuai dengan iklim tropika, membolehkan pemakainya bergerak dengan selesa serta mengekalkan kesopanan. Reka bentuk berleher dengan butang tunggal memudahkan pemakaian tanpa mengabaikan nilai estetika. Keselesaan dan kesesuaian ini membuktikan bahawa busana tradisional ini bukan sahaja bernilai budaya, tetapi juga relevan dalam konteks kehidupan moden.
Pemakaian Baju Melayu Teluk Belanga lazimnya tidak lengkap tanpa disertai dengan pelbagai aksesori yang menjadi pelengkap gaya dan identiti busana ini. Antara aksesori yang sering digayakan termasuklah; Samping (Kain Dagang / Kain Samping Songket) Samping merupakan pelengkap utama Baju Melayu Teluk Belanga. Ia biasanya diperbuat daripada songket, tenun, sutera, kain Bugis atau pelekat. Samping dipakai sama ada secara berdagang luar (di luar baju, menutupi bahagian pinggang ke lutut) atau berdagang dalam (di dalam baju). Pada zaman dahulu, berdagang luar hanya dibenarkan untuk kerabat diraja dan bangsawan ketika menghadiri istana, tetapi kini, cara pemakaian ini lebih merujuk kepada keselesaan dan gaya fesyen individu. Songkok Songkok baldu hitam merupakan penutup kepala yang sinonim dengan pemakaian Baju Melayu Teluk Belanga. Penggunaannya bermula pada era Sultan Abu Bakar, yang menetapkan songkok sebagai pakaian rasmi menggantikan destar dan serban. Songkok bukan sahaja melambangkan identiti lelaki Melayu, tetapi juga menjadi tanda kesopanan, maruah, dan penghormatan dalam acara rasmi serta keagamaan yang dipadangkan dengan pemakaian baju ini. Butang Baju (Kancing Leher) Ciri khas Baju Melayu Teluk Belanga ialah lehernya yang berjahit halus dengan sulaman “tulang belut” dan hanya dikancing dengan sebiji butang tunggal. Butang ini biasanya berbentuk bulat kecil, diperbuat daripada logam, permata atau bahan moden lain, dan berfungsi bukan sahaja sebagai pengikat leher tetapi juga sebagai elemen estetik. Kasut dan Capal Alas kaki turut memainkan peranan penting sebagai pelengkap busana ini. Pada zaman awal, lelaki Melayu lazimnya memakai capal atau sandal yang lebih ringkas dan praktikal untuk kegunaan harian serta majlis adat. Namun, sejak era pemerintahan Sultan Abu Bakar, berlaku perubahan apabila baginda memperkenalkan sepatu kulit hitam dan stoking sebagai pelengkap rasmi bagi Baju Melayu Teluk Belanga. Peralihan ini melambangkan pengaruh pemodenan serta penyesuaian dengan gaya Barat, yang menekankan aspek kerapian, disiplin, dan kewibawaan. Pada masa kini, kedua-dua pilihan ini masih diamalkan di mana capal lebih sering dipadankan dalam suasana santai atau tradisional, manakala kasut kulit hitam kekal sebagai lambang rasmi, kemas, dan berprestij dalam acara formal. Keris (Pilihan / Majlis Adat) Keris tidak termasuk sebagai aksesori wajib bagi Baju Melayu Teluk Belanga, namun ia kadangkala digunakan sebagai pelengkap dalam majlis-majlis tertentu. Aksesori ini lazimnya disisipkan di pinggang ketika menghadiri majlis perkahwinan, upacara adat atau acara budaya. Penggunaannya bersifat pilihan, lebih menekankan aspek tradisi dan keindahan warisan dalam konteks acara rasmi atau berunsurkan kebudayaan.
Pemilihan fabrik untuk menghasilkan Baju Melayu Teluk Belanga amat penting kerana ia bukan sahaja menentukan tahap keselesaan pemakai, malah turut mempengaruhi nilai estetika, kesesuaian dengan sesuatu acara, serta ketahanan busana tersebut. Seiring dengan perubahan zaman, fabrik yang digunakan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu fabrik tradisional dan klasik serta fabrik moden dan kontemporari.
Fabrik Tradisional dan Klasik
Jenis fabrik ini telah lama digunakan sejak dahulu lagi, sering dikaitkan dengan nilai warisan dan keaslian dalam pembuatan Baju Melayu Teluk Belanga:
Sutera
Fabrik mewah dan premium yang sangat dihargai kerana teksturnya yang lembut, licin, ringan, serta mempunyai kilauan semula jadi. Sutera memberikan keselesaan kerana ia “bernafas” dan menyejukkan badan, menjadikannya pilihan utama bagi majlis perkahwinan, istiadat rasmi, dan sambutan Hari Raya.
Kapas
Fabrik paling praktikal dan popular untuk kegunaan harian serta perayaan. Ia menyerap peluh dengan baik, sejuk dipakai, dan sesuai dengan iklim tropika Malaysia. Kapas juga wujud dalam pelbagai gred, termasuk kapas biasa hingga Swiss Cotton yang lebih halus, berkualiti tinggi, dan sedikit berkilat.
Songket
Kain tenunan broked tradisional yang dihiasi benang emas atau perak. Disebabkan ketebalan dan nilainya yang tinggi, songket jarang digunakan untuk keseluruhan Baju Melayu, tetapi lebih kepada samping atau busana pengantin diraja. Ia melambangkan kemewahan serta kedudukan istimewa dalam budaya Melayu.
Tenunan Bugis / Tenun Johor
Antara fabrik tradisional yang juga digunakan, biasanya mempunyai corak berjalur atau berpetak. Tenunan ini lebih ringan daripada songket dan sering dipakai untuk acara formal mahupun tidak formal.
Fabrik Moden dan Kontemporari
Perkembangan tekstil moden memperkenalkan fabrik yang lebih mudah dijaga, tahan lasak, serta ditawarkan pada harga lebih berpatutan, menjadikannya popular untuk Baju Melayu Teluk Belanga masa kini:
Satin
Dikenali dengan permukaannya yang licin dan berkilat pada bahagian luar, satin memberikan penampilan mewah seperti sutera tetapi pada harga lebih rendah. Jenis yang sering digunakan termasuk Duchess Satin dan Valentino Satin yang lebih tebal dan kurang berkilat, sesuai untuk majlis rasmi.
Kain Crepe (Italian / Como Crepe)
Antara pilihan paling popular untuk Baju Melayu moden. Permukaannya sedikit bertekstur, tidak licin, tidak mudah renyuk, dan jatuh cantik apabila dipakai. Crepe memberi penampilan kemas, moden, dan sangat praktikal untuk kegunaan harian.
Poliester atau Campuran Poliester (Poly-Cotton)
Digunakan secara meluas untuk Baju Melayu ready-to-wear. Kelebihannya ialah tahan lasak, mudah dijaga, tidak cepat berkedut, dan warnanya kekal lebih lama. Namun, ia kurang menyerap peluh berbanding kapas asli.
Linen
Diperbuat daripada gentian tumbuhan flaks, linen terkenal dengan cirinya yang sejuk dan sangat menyerap peluh, sesuai dengan cuaca panas. Walaupun mudah renyuk, ia memberikan gaya santai tetapi tetap kemas.
Baju Melayu Teluk Belanga dipakai dengan cara yang istimewa dan penuh tradisi. Terdapat dua cara atau kaedah pemakaian baju ini yang boleh diperhatikan daripada perbezaan cara pemakaian samping, iaitu;
Cara 'Dagang Dalam' (Samping di dalam baju)
Gaya ini melambangkan pemakai sebagai orang kebanyakan atau 'orang patut-patut'. Ia menunjukkan kesederhanaan dan sering digayakan untuk majlis-majlis tidak rasmi.
Pakai Seluar dan Baju: Mula-mula, pakai seluar dan kemudian sarungkan baju Melayu.
Pakai Samping: Lilitkan kain samping di pinggang dan pastikan ia terletak di bawah baju.
Kemaskan: Pastikan bahagian bawah baju yang labuh menutupi bahagian atas kain samping, menjadikan samping 'tersembunyi' di dalam baju.
Cara 'Dagang Luar' (Samping di luar baju)
Gaya ini adalah warisan daripada golongan bangsawan dan pembesar Melayu. Ia melambangkan status, kebesaran, dan kewibawaan. Pemakaian 'dagang luar' sesuai untuk majlis rasmi.
Pakai Seluar dan Baju: Mulakan dengan memakai seluar dan baju Melayu seperti biasa.
Pakai Samping: Lilitkan kain samping di pinggang, namun pastikan ia terletak di luar baju.
Kemaskan: Pastikan baju terletak kemas di bawah samping.
Pemakaian Aksesori
Pemilihan dan cara pemakaian aksesori melengkapkan busana Baju Melayu Teluk Belanga dan menambah keistimewaan pada penampilan.
Butang Baju: Berbeza dengan Baju Melayu Cekak Musang yang menggunakan 5 butang, Baju Melayu Teluk Belanga hanya menggunakan satu butang sahaja. Butang ini selalunya ringkas dan tidak terlalu menonjol.
Keris: Bagi golongan diraja atau majlis istiadat, keris akan disisipkan pada bahagian hadapan samping. Keris ini bukan sekadar senjata, tetapi juga simbol kekuasaan dan tradisi.
Songkok: Songkok adalah aksesori kepala yang wajib dipakai bersama Baju Melayu Teluk Belanga. Songkok yang dipakai biasanya berwarna hitam dan dibuat daripada baldu.
Capal atau Kasut: Kasut yang sesuai adalah capal (selipar kulit tradisional) atau kasut kulit yang ringkas
Sumber Rujukan
Sumber Rujukan: (wajib diisi)
Bahan Bacaan
Arizka, B., Wesnina, W., & Suliyanthini, D. (2022). Studi baju kurung sebagai busana tradisional. Prosiding Pendidikan Teknik Boga Busana, 17(1).
Hadi, A. T., Solihat, A., Lesmana, M., & Suraya, R. S. (2019). Makna sosio-historis baju kurung Teluk Belanga pada busana pengantin pria Kesultanan Johor Darul Ta’zim. LISANI: Jurnal Kelisanan, Sastra, dan Budaya, 2(1), 65–75.
Ismail, S. Z. (2009). Konsep adat pakaian cara Melayu: Sentuhan tenunan dalam busana Melayu.
Lee, J. H. X., & Nadeau, K. M. (2011). Encyclopedia of Asian American folklore and folklife (Vol. 1). Greenwood.
Machita Othman, & Syed Hamzah Syed Bakar. (1991). Pakaian tradisional pengantin Melayu Perlis. Jurnal Warisan Indera Kayangan, 3.
Nur Azimah Mohd Bukhari, Puteri Roslina Abdul Wahid, & Nurul Haniza Samsudin. (2020). Destar Melayu dari perspektif terminologi. Jurnal Pengajian Melayu (JOMAS), 31(1), 184–209.
Yunus, I. (n.d.). Uniknya Baju Melayu Teluk Belanga [PDF].
Zakaria, R. M. A., & Azman, A. (2020). Seni potongan geometri dalam penghasilan reka bentuk baju kurung Kedah dan baju kurung Teluk Belanga Alam Melayu (The geometrical patterns in designing Baju Kurung Kedah and Baju Kurung Teluk Belanga of the Malay world). Jurnal Arkeologi Malaysia, 33(2).
Kerajaan Negeri Johor. (n.d.). Pakaian tradisional Johor. Royal Johor. https://royal.johor.my/pakaian-tradisional-johor/
Wikipedia. (n.d.). Baju Melayu. Dalam Wikipedia Bahasa Melayu. https://ms.wikipedia.org/wiki/Baju_Melayu
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norazlina binti Othman
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO
No 26, Jalan Susur 5
Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin
80200 Johor Bahru
JOHOR DARUL TAKZIM
07-224 8270 / 223 1249
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



