Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

1

Jumlah Pelawat

44

Pengenalan dan sejarah

Kebaya Setengah Tiang merupakan salah satu busana tradisional wanita Negeri Sembilan yang unik dan mempunyai identiti tersendiri. Namanya "setengah tiang" merujuk kepada labuhnya yang berada di antara kebaya pendek dan kebaya labuh. Pakaian ini lebih panjang dari kebaya pendek tetapi tidak mencecah paras lutut atau betis seperti kebaya labuh. Potongan seperti ini memberi keselesaan kepada pemakai, selain membolehkan pergerakan lebih bebas tanpa menjejaskan nilai kesopanan wanita Melayu.  


Asal usul Kebaya ini sudah dikenali sejak sekitar tahun 1930-an apabila pemakaian busana ini oleh kerabat di Raja Negeri Sembilan iaitu termasuklah YMM Tunku Ampuan Durah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin merupakan permaisuri kepada Taunku Munawir iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-9; KDYMM Tuanku Kurshiah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin iaitu Raja Permaisuri Agong pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu; dan KDYMM Tunku Ampuan Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin yang merupakan Raja Permaisuri Agong ke-10 negara Malaysia. 


Namun demikian, para pengkaji dan penggiat busana percaya bahawa ia telah digayakan lebih lama daripada tempoh tersebut khususnya meneliti sejarah panjang rapat dengan masyarakat Minang dari Sumatera Barat, khususnya melalui sistem Adat Perpatih yang dibawa oleh perantau Minangkabau sejak abad ke-15. Perkembangan kebaya setengah tiang semakin ketara pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Pada waktu itu, busana ini bukan sahaja menjadi pilihan wanita bangsawan dan keluarga di Raja, tetapi juga dipakai oleh wanita-wanita kebanyakan dalam masyarakat. Ia sering digayakan ketika menghadiri majlis adat perpatih, kenduri kahwin, sambutan Hari Raya, serta acara keramaian lain. 


Selain daripada ciri uniknya sebagai setengah tiang, keunikan lain yang boleh dikenalpasti untuk membezakannya dengan kebaya lain di Malaysia adalah daripada aspek reka bentuk dan potongannya. Bahagian bawah bajunya berbentuk lurus dengan pola lengan yang kembang di hujung, manakala bahagian hadapan berlidah menyerupai kebaya panjang. Secara tradisi, potongan kebaya ini labuh sehingga ke buku lali, namun perbezaannya terletak pada belahan dan pesak lurus di hadapan, disertai kekek serta belah dada yang ditutup bagi mengekalkan kesopanan. 


Kebaya ini juga memiliki keistimewaan pada belah potong sembilan yang menonjolkan kehalusan seni jahitan tradisional. Dari segi material, ia kebiasaannya menggunakan kain broked, songket tenun, atau kain kasa bergantung pada fungsi pemakaian sama ada untuk majlis rasmi mahupun kegunaan harian. Busana ini lazim dipadankan dengan kain batik sarung yang diikat dengan gaya tindih kasih, iaitu lipatan kain yang menghala dari kanan ke kiri selaras dengan tuntutan Islam, sekali gus memperlihatkan keunikan estetika dan nilai budaya masyarakat Negeri Sembilan.


Kini, pakaian ini bukan sahaja diiktiraf sebagai sebahagian daripada identiti busana tradisional wanita Negeri Sembilan, malah turut merentasi sempadan zaman dengan kedudukannya sebagai ikon fesyen yang terus relevan. Kebaya setengah tiang telah mengalami pelbagai penyesuaian moden dari segi fabrik, corak, dan gaya, namun ciri-ciri tradisionalnya tetap dikekalkan sebagai asas rekaan. Kelestarian busana ini dapat dilihat apabila ia bukan sahaja dipakai dalam majlis adat atau keramaian, tetapi juga diangkat ke pentas fesyen, persembahan kebudayaan, dan peragaan busana warisan, sekali gus memperluas pengaruhnya di peringkat nasional. Malah, reka bentuknya yang menarik, anggun, dan serasi untuk pelbagai suasana telah menjadikan kebaya setengah tiang digemari serta dipakai oleh wanita di seluruh Malaysia.


Fungsi dan Peranan

Busana Kebaya Setengah Tiang memainkan beberapa fungsi dan peranan penting, antaranya adalah;


  1. Simbol Status Sosial dan Adat

Kebaya setengah tiang berperanan sebagai simbol status sosial dan adat dalam masyarakat Negeri Sembilan. Ia pernah digayakan oleh kerabat diraja, termasuk Tunku Ampuan Negeri Sembilan, yang menandakan kedudukannya sebagai busana berprestij serta melambangkan ketinggian martabat pemakai. Namun begitu, busana ini tidak terbatas kepada golongan bangsawan semata-mata, kerana ia juga dipakai oleh rakyat biasa. Hal ini menjadikannya pakaian yang merentas kelas sosial, sekali gus memperlihatkan keistimewaannya sebagai busana tradisional yang berakar pada nilai budaya dan adat perpatih.


  1. Fungsi Praktikal dalam Kehidupan Harian

Secara tradisional, kebaya setengah tiang digayakan oleh wanita untuk menjalani aktiviti seharian seperti mengurus rumah tangga dan mengerjakan sawah. Potongan bajunya yang sederhana serta tidak terlalu labuh memberikan keselesaan dan kebebasan bergerak, berbeza dengan kebaya panjang yang lebih terhad pergerakannya. Keistimewaan potongan “setengah tiang” ini menjadikan kebaya praktikal, manakala penggunaan kain kapas atau kain kasa pula sesuai dengan iklim tropika Malaysia. Pada awal tahun 1950-an, busana ini semakin popular bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah turut dipakai ketika menghadiri kenduri, upacara adat, dan majlis keramaian. Kepelbagaian fungsi ini membuktikan kebaya setengah tiang sebagai busana serbaguna dalam kehidupan masyarakat Negeri Sembilan.


  1. Peranan dalam Perayaan dan Majlis Masyarakat

Selain fungsi praktikal dan simbolik, kebaya setengah tiang turut memainkan peranan penting dalam perayaan serta majlis-majlis masyarakat. Ia sering menjadi pilihan wanita ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, di mana fabrik yang digunakan biasanya lebih mewah seperti songket atau broked, dihias dengan sulaman indah bagi menzahirkan keanggunan bersahaja. Di samping itu, kebaya ini juga digayakan dalam pelbagai majlis penting seperti perkahwinan, pertunangan, majlis berendoi, dan upacara adat, menjadikannya busana yang versatil dan relevan dalam konteks sosial serta budaya masyarakat Negeri Sembilan.


Busana/ Aksesori

Aksesori yang digayakan bersama Kebaya Setengah Tiang memainkan peranan penting dalam melengkapkan busana dan menyerlahkan keanggunan pemakai. Berikut ialah aksesori utama yang sering digunakan:


  1. Telepok

  • Peranan: Telepok ialah hiasan kepala tradisional Negeri Sembilan yang diperbuat daripada kain dilipat atau diikat khas, membentuk gaya unik di kepala.

  • Simbol: Ia menjadi identiti wanita Negeri Sembilan dan sering dipakai dalam ketika melakukan aktiviti harian seperti di Sawah mahupun berkebut. Kadangkala, ia juga dipakai ketika majlis adat atau perkahwinan tradisional. Telepok ini berbeza dengan tengkolok tanduk wanita Minangkabau, menegaskan keunikan tempatan bagi identiti pakaian tradisional wanita di Negeri Sembilan.


  1. Cucuk Sanggul

  • Rambut wanita digayakan dengan sanggul tinggi dan dihias dengan cucuk sanggul yang kadangkala disertai bunga segar seperti melati atau mawar.

  • Cucuk sanggul ini pula sering menjadi pilihan kepada anak gadis dan sesuai dipakai dalam majlis-majlis rasmi mahupun perkahwinan atau perayaan.


  1. Kerongsang Tiga Serangkai

  • Peranan: Kerongsang merupakan aksesori wajib kerana ia berfungsi untuk menyemat bahagian hadapan kebaya yang terbelah supaya tertutup kemas.

  • Jenis: Kerongsang tiga serangkai paling popular, terdiri daripada ibu kerongsang yang lebih besar dan dua anak kerongsang yang lebih kecil. Ia lazimnya diperbuat daripada emas, perak, atau dihiasi permata.

  • Simbol: Selain fungsi praktikal, kerongsang turut melambangkan status dan menambah seri pada busana.


  1. Dokoh

  • Peranan: Dokoh ialah rantai leher tradisional berbentuk plat hiasan yang dipakai di dada, terutama pada majlis perkahwinan dan acara rasmi. Ia mejadi pilihan atau alternatif bagi pemakaian kerongsang tiga serangkai. 

  • Reka Bentuk: Ia diukir dengan motif flora, dedaunan atau corak tradisi yang rumit, memberikan penampilan yang lebih mewah.

  • Simbol: Penggunaan dokoh menandakan kemewahan, keanggunan, serta ketinggian martabat pemakai.


  1. Rantai Panjang

  • Peranan: Rantai panjang digayakan sama ada bersama dokoh atau secara berasingan, sebagai aksesori pelengkap.

  • Gaya: Ia memberikan penampilan yang ringkas tetapi elegan, sesuai untuk majlis tidak terlalu formal.


  1. Subang (Anting-anting)

  • Peranan: Subang merupakan anting-anting tradisional yang dipakai untuk melengkapkan gaya pemakai. Ia biasanya diperbuat daripada emas atau perak dan digayakan oleh wanita yang tidak menutup kepala dengan tudung.

  • Simbol: Subang melambangkan kemewahan sederhana serta kehalusan budaya wanita Melayu. Walau bagaimanapun, dalam penampilan moden yang lebih sopan selaras dengan tuntutan agama, ramai wanita kini memilih untuk memakai tudung dan tidak lagi mengenakan anting-anting secara terbuka.


  1. Gelang Tangan

  • Peranan: Gelang tangan, biasanya daripada emas atau perak, dipakai sebagai pelengkap di pergelangan tangan.

  • Simbol: Ia memperlihatkan kelembutan serta kehalusan budaya wanita Melayu.


  1. Kasut Tradisional

  • Peranan: Kasut seperti selipar berhias, kasut tumit rendah, atau bakiak tradisional sering digayakan bersama kebaya.

  • Simbol: Walaupun ringkas, ia mengekalkan kesopanan dan melengkapkan gaya pemakaian tradisional.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Kebaya Setengah Tiang diperbuat daripada pelbagai jenis kain yang dipilih mengikut fungsi, keselesaan dan status sosial pemakai. Berikut adalah material yang sering digunakan;


  1. Kain Kapas dan Kain Kasa (Voile/Kasa Rubia)

  • Digunakan untuk pemakaian harian kerana sifatnya yang ringan, nipis, dan selesa dengan iklim tropika.

  • Sesuai untuk wanita yang bekerja di sawah atau mengurus rumah tangga, kerana kain ini tidak mudah panas dan mudah digayakan.


  1. Kain Broked

  • Fabrik mewah dengan corak timbul yang memberi tekstur lebih elegan.

  • Dipakai khusus untuk majlis rasmi, perkahwinan, dan acara kebudayaan kerana memberikan kesan mewah dan berprestij.


  1. Kain Songket Tenun

  • Songket merupakan pilihan utama untuk majlis istiadat, kerana tenunannya menggunakan benang emas atau perak.

  • Songket bukan sahaja memperlihatkan kemewahan tetapi juga menjadi simbol status dan kebanggaan budaya Negeri Sembilan.


  1. Kain Sutera

  • Digunakan oleh golongan bangsawan atau untuk acara berprestij.

  • Tekstur halus dan berkilat pada sutera menambahkan sentuhan anggun serta menyerlahkan keindahan potongan kebaya.


  1. Kain Sarung Batik (Skirt dan Telepok)

  • Kebaya setengah tiang lazim dipadankan dengan kain sarung batik sebagai bottom wear.

  • Ikatan yang digunakan ialah gaya “tindih kasih”, iaitu lipatan kain yang menghala dari kanan ke kiri secara berlapis.

  • Kain sarung ini biasanya bercorak flora, pucuk rebung, atau motif tradisional lain yang melambangkan identiti tempatan.

  • Selain batik, kain songket sarung juga dipakai khususnya untuk majlis rasmi .

  • Begitu juga

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pada umumnya, cara pemakaian Baju Kebaya Setengah Tiang tidak jauh berbeza dengan busana tradisional Melayu yang lain. Namun begitu, ia memerlukan ketelitian khusus terutamanya dalam pemakaian telepok. Berikut adalah langkah-langkahnya;

  1. Memakai Kain Sarung Batik

  • Langkah pertama ialah menyarungkan kain batik sarung atau kain songket.

  • Ikatan yang digunakan ialah tindih kasih, iaitu lipatan kain menghala dari kanan ke kiri secara berlapis

  • Kain perlu diikat kemas pada pinggang supaya tidak longgar dan selesa dipakai sepanjang majlis.


  1. Menyarung Baju Kebaya Setengah Tiang

  • Selepas itu, kebaya disarungkan. Potongannya yang lurus dengan labuh setengah tiang perlu dirapikan supaya jatuh kemas.

  • Bahagian hadapan kebaya yang berbelah perlu dipastikan berada dalam kedudukan yang sesuai sebelum disemat.


  1. Menyemat Kerongsang

  • Kerongsang tiga serangkai digunakan untuk menyemat bahagian depan kebaya agar ia tertutup rapi.

  • Ibu kerongsang diletakkan di bahagian atas dada, manakala dua anak kerongsang dipasang di bahagian bawah.

  • Selain berfungsi menutup belahan, kerongsang juga memperindah keseluruhan penampilan.


  1. Menggayakan Dokoh atau Rantai Panjang (Pilihan)

  • Dokoh yang berbentuk plat hiasan dipakai di bahagian dada, terutamanya untuk majlis perkahwinan dan acara adat.

  • Sebagai pilihan lebih sederhana, rantai panjang boleh digunakan, sama ada bersama dokoh atau secara berasingan.


  1. Memakai Subang (Anting-anting)

  • Secara tradisi, subang diperbuat daripada emas atau perak dan dipakai untuk menyerikan penampilan wanita yang tidak bertudung.

  • Dalam konteks moden, pemakai yang berhijab biasanya tidak menggunakan subang secara terbuka, sebagai tanda kesopanan.


  1. Memakai Gelang Tangan 

  • Gelang tangan emas atau perak digayakan sebagai pelengkap di pergelangan tangan.

  • Ia boleh dipakai sepasang atau lebih untuk menyerlahkan kehalusan gaya tradisional wanita Melayu.


  1. Memakai Telepok (Hiasan Kepala Tradisional)

  • Telepok dipakai khusus dalam majlis adat, perkahwinan tradisional atau melakukan aktiviti harian dirumah.

  • Ia juga menegaskan perbezaannya daripada tengkolok tanduk Minangkabau, sekaligus memperlihatkan keaslian budaya tempatan.

  • Pemakaiannya adalah dengan melabuhkan ¼ kain sarung bermula daripadA belakang leher ke bahagian garisan rambut

  • Kemudian,  hujung hadapan kain sarung pada sisi kanan dan kiri akan dilapiskan, sebelum bahagian hadapan yang berjuntai akan ditarik ke belakang.


  1. Pemakaian Cucuk Sanggul

  • Rambut wanita digayakan dengan sanggul tinggi dan dihias dengan cucuk sanggul yang kadangkala disertai bunga segar seperti melati atau mawar.

  • Cucuk sanggul pada umumnya akan disematkan pada sisi kanan dan bunga-bungaa pada sisi rambut di sebelah kiri.


  1. Memakai Kasut Tradisional

  • Penampilan disempurnakan dengan kasut tradisional seperti selipar berhias, bakiak, atau kasut tumit rendah.

  • Pilihan kasut memberi keseimbangan antara kesederhanaan dan keanggunan.

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

Bernama. (2024, May 16). Uniknya Kebaya Setengah Tiang. https://bernama.com/bm/news.php?id=2426467

Jabatan Perdana Menteri Malaysia. (2022, January 24). Busana tradisional Negeri Sembilan: Kebaya setengah tiang dan telepok. Majlis Keselamatan Negara. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/01/24/busana-tradisional-negeri-sembilan-kebaya-setengah-tiang-dan-telepok/

Majalah WM. (2023, September 19). Cerita kebaya dan asal usulnya. https://majalahwm.com/cerita-kebaya-dan-asal-usulnya/

Metro, H. (2024, July 7). Uniknya kebaya setengah tiang. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/07/1110807/uniknya-kebaya-setengah-tiang

Sunarti, L., Sari, N. F. L., & Haghia, R. S. (2021, November). Kebaya setengah tiang: Minang cultural identity in a traditional costume of Negeri Sembilan, Malaysia. In Proceedings of the Tenth International Conference on Languages and Arts (ICLA 2021) (pp. 251–260). Atlantis Press. https://doi.org/10.2991/assehr.k.211220.043

Zakaria, A., & Berawi, M. M. (2017). Busana tradisional Negeri Sembilan. UUM Press.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Rosdianah binti Roman

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan
Kompleks JKKN Negeri Sembilan Jalan Sungai Ujong 70200 Seremban NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

06-767 6793/763 6308 / 761 0593

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!