BUSANA DATO’ ADAT ISTANA & PEGAWAI 99

Busana Tradisional

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

1

Jumlah Pelawat

37

Pengenalan dan sejarah

Busana Dato’ Adat Istana dan Pegawai 99 di Negeri Sembilan merupakan salah satu pakaian tradisional yang sarat dengan makna simbolik dalam konteks adat dan istiadat dalam adat Pepatih di Negeri Sembilan. Ia bukan sekadar pakaian rasmi, tetapi menjadi lambang kedudukan, kuasa serta kewibawaan seseorang yang memegang jawatan dalam sistem pemerintahan berasaskan Adat ini. Keindahan warisan tekstil Melayu, kehalusan tenunan songket serta keluhuran nilai adat yang terserlah melalui tatasusila pemakaiannya menjadikan busana ini sebagai manifestasi jati diri masyarakat Negeri Sembilan yang menjunjung adat sebagai tonggak kehidupan sosial, politik dan budaya.


Dari sudut sejarah, gelaran Pegawai 99 lahir daripada kedudukan mereka sebagai individu yang diberi kepercayaan untuk menyantap Yang Dipertuan Besar ketika baginda berangkat ke sesuatu tempat. Peranan itu menandakan kedudukan mereka sebagai pengiring setia yang menjaga keselamatan, keselesaan serta kehormatan baginda. Sebagai menghargai jasa tersebut, mereka dikurniakan pengiktirafan khas dalam bentuk gelaran rasmi Pegawai 99, yang sehingga kini kekal sebagai sebahagian daripada struktur adat istana Negeri Sembilan. Penganugerahan ini jelas memperlihatkan penghormatan istana terhadap rakyat yang berjasa, selain menegaskan kedudukan mereka dalam sistem pemerintahan tradisional.


Jika pada asalnya bilangan mereka sekitar 99 orang, perkembangan zaman telah menyaksikan jumlah itu meningkat kepada lebih 300 orang. Keanggotaan ini tidak hanya terbatas kepada masyarakat Air Kaki Lingkungan, tetapi juga merangkumi suku-suku lain dari kawasan Luak Tanah Mengandung. Sebagai contoh, terdapat 12 orang dari Luak Ulu Muar, 12 dari Jempol, 6 dari Terachi, 6 dari Gunung Pasir, serta beberapa orang dari Inas, Gemencheh dan Ayer Kuning. Perkembangan ini memperlihatkan bahawa institusi Pegawai 99 bukan sekadar simbolik, malah berfungsi sebagai medium penyatuan pelbagai suku di bawah panji adat istana, sekali gus memperkukuh solidariti dalam masyarakat Negeri Sembilan.


Keunikan peranan ini turut terserlah melalui busana mereka yang mempunyai ciri khas tersendiri. Pemakaian Baju Melayu Cekak Musang hitam, samping songket tenunan Negeri Sembilan, serta destar atau tengkolok dengan ikatan khusus seperti “Dendam Tak Sudah” dan “Solok Timbo” menjadi identiti yang tidak dapat dipisahkan. Warna hitam melambangkan kesetiaan, keteguhan dan kewibawaan, manakala samping berbenang emas memperlihatkan kehalusan seni tekstil yang diwarisi turun-temurun. Destar pula menjadi penanda pangkat dan luak pemakai, manakala setiap lipatan samping, ikatan destar dan kedudukan keris yang dikenakan membawa makna tersendiri, mencerminkan status dan fungsi pemakai dalam hierarki adat istana.


Hingga kini, busana Dato’ Adat Istana dan Pegawai 99 tetap dipelihara serta dipakai dalam majlis istiadat rasmi seperti Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, upacara adat di luak-luak dan majlis perhimpunan adat. Walaupun jumlah Pegawai 99 telah bertambah, peranan busana ini sebagai simbol adat tidak pernah pudar. Malah, ia terus dipandang sebagai lambang identiti Negeri Sembilan yang kaya dengan warisan Adat Perpatih. Oleh itu, busana ini bukan sekadar pakaian tradisi semata-mata, tetapi menjadi medium warisan yang mengekalkan kesinambungan sejarah, adat, dan budaya masyarakat hingga ke hari ini.

Fungsi dan Peranan

Busana ini mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri kepada si pemakainya. Ia bukan sahaja menzahirkan keindahan busana tradisional Negeri Sembilan, tetapi juga melambangkan amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Dato’ Adat Istana serta Pegawai 99, antaranya adalah;


  1. Simbol Status Sosial dan Kuasa Adat

Busana Dato’ Adat Istana dan Pegawai 99 menjadi lambang kedudukan sosial dalam hierarki adat Negeri Sembilan. Pemakaian baju adat berwarna hitam yang dipadankan dengan samping songket berbenang emas menandakan bahawa pemakainya mempunyai kedudukan tertentu dalam masyarakat, bukan orang kebanyakan. Warna hitam menggambarkan keteguhan dan kewibawaan, manakala tenunan emas pada samping menzahirkan keagungan dan kesetiaan terhadap institusi istana. Hal ini menunjukkan bahawa busana bukan sekadar pakaian, tetapi sebuah tanda visual tentang martabat seseorang dalam struktur adat.


  1. Penjaga Adat dan Warisan

Selain melambangkan kedudukan, busana ini juga mencerminkan tanggungjawab pemakainya sebagai penjaga adat. Dato’ Adat dan Pegawai 99 dikenali sebagai benteng yang memastikan setiap istiadat, upacara dan tata kelola adat berjalan dengan penuh disiplin serta mengikut aturan. Dengan memakai busana adat, mereka menunjukkan komitmen untuk melaksanakan amanah menjaga warisan Adat Perpatih yang diwarisi turun-temurun. Justeru, busana ini berfungsi sebagai manifestasi tanggungjawab terhadap kelestarian adat.


  1. Melaksanakan Titah Diraja

Pada zaman dahulu, Pegawai 99 turut berperanan dalam melaksanakan titah Yang Dipertuan Besar. Mereka bertindak sebagai pelaksana kehendak istana, sama ada dalam menguruskan majlis adat, menyampaikan arahan, ataupun menjaga tertib rakyat jelata. Busana adat yang dipakai dalam menjalankan tugas ini menjadi simbol legitimasi dan autoriti yang diberikan oleh istana kepada mereka. Dengan demikian, masyarakat dapat mengenali dan menghormati peranan mereka melalui busana yang dikenakan.


  1. Menguatkuasakan Larangan Raja

Fungsi lain yang penting ialah sebagai penguat kuasa larangan Raja. Jika ada rakyat yang melanggar titah atau adat, Pegawai 99 akan bertanggungjawab melaporkan perkara itu kepada Orang Empat Istana, Pegawai Yang Enam, atau Api Lempang Orang Empat Istana untuk diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar. Hal ini menjadikan busana mereka bukan sahaja pakaian seremonial, tetapi juga pakaian rasmi yang memberi kuasa simbolik dalam melaksanakan peranan penguatkuasaan adat.


  1. Identiti Kolektif dan Perpaduan

Akhir sekali, busana ini berfungsi sebagai penanda identiti kolektif bagi Pegawai 99 yang berasal dari pelbagai luak di Negeri Sembilan. Walaupun mereka datang dari latar suku yang berbeza, pemakaian busana yang seragam melambangkan perpaduan dan kesatuan dalam menjunjung institusi istana. Dengan cara ini, busana adat menjadi wahana yang menyatukan kepelbagaian etnik dan suku, sekaligus memperkukuh solidariti masyarakat Negeri Sembilan di bawah payung Adat Perpatih.


Busana/ Aksesori

Busana Dato’ Adat Istana dan Pegawai 99 bukan sahaja lengkap dengan baju dan samping, tetapi turut dihiasi dengan pelbagai aksesori yang membawa makna simbolik mendalam. Aksesori ini menjadi lambang kedudukan adat, kuasa, serta maruah pemakai. Antara aksesori utama ialah:


  1. Destar / Tengkolok

Destar atau tengkolok merupakan pelengkap utama yang melambangkan pangkat serta luak seseorang. Ikatan khusus seperti “Dendam Tak Sudah” atau “Solok Timbo” menjadi identiti tersendiri bagi pemakai, manakala lipatannya pula mencerminkan disiplin adat. Ia diperbuat daripada kain songket Negeri Sembilan berwarna emas hitam. Manakala corak destar sering dipadankan mengikut tenunan kain samping yang dipakai.


  1. Keris

Keris yang disisip di pinggang menjadi lambang keberanian, maruah dan kuasa adat. Selain berperanan sebagai senjata tradisional, keris juga menzahirkan kesediaan pemakai mempertahankan adat serta menjaga kehormatan istana. Hulu keris yang diukir halus menambah nilai seni, manakala cara penyisipannya pula diatur dengan tertib mengikut ketetapan adat.


  1. Samping

Samping diperbuat daripada kain songket Negeri Sembilan berwarna emas hitam yang sarat dengan motif bunga tabur, tampuk manggis atau pucuk rebung. Ikatan samping yang dikenali sebagai Ikatan Kembung lazimnya dipakai oleh golongan pembesar dan mereka yang bergelar. Bezanya dengan ikatan kembung pengantin atau raja sehari adalah pada kelopak kembung atau simpulan yang disisip keluar pada garis pendakap pinggang, menjadikannya simbol perbezaan pangkat dan kedudukan.


  1. Butang Baju

Baju Melayu adat dilengkapi dengan lima butang pada bahagian hadapan. Kelima-lima butang ini bukan sekadar hiasan, tetapi membawa makna simbolik kepada lima Rukun Islam. Hal ini mengingatkan pemakai bahawa setiap tindakan dan kedudukan haruslah berlandaskan agama, sekaligus menegaskan hubungan erat antara adat dan syariat dalam budaya Melayu Negeri Sembilan.


  1. Cincin atau Gelang Tangan

Cincin atau gelang tangan sering dijadikan pelengkap busana, namun pemakaiannya sederhana dan tidak berlebihan. Aksesori ini berfungsi sebagai tanda kebesaran serta melambangkan kemuliaan martabat pemakai, seiring dengan falsafah budaya Melayu yang menekankan nilai kesopanan dalam berpenampilan.


  1. Selempang Bahu

Dalam istiadat tertentu, pemakai turut melengkapkan busana dengan selempang bahu berwarna kuning. Kain kuning ini melambangkan kebesaran diraja serta penghormatan kepada institusi istana. Pemakaiannya lazim dilihat dalam upacara besar seperti Pertabalan Yang Dipertuan Besar, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap Menjunjung Duli, dan majlis adat pepatih lainnya.


  1. Kasut Kulit Hitam

Sebagai pelengkap terakhir, kasut kulit berwarna hitam dikenakan bagi memastikan penampilan keseluruhan tampak kemas, berwibawa, dan selaras dengan kod warna busana adat. Ia menambah keseragaman dalam gaya pemakaian, sekaligus menegaskan imej formal dan tradisional pemakainya


Peralatan/ Bahan-Bahan

Secara umum, baju Melayu cekak musang boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kain bergantung kepada tujuan pemakaian dan keselesaan si pemakai. Namun demikian, bagi busana khusus Dato’ Adat Istana dan Pegawai 99, pemilihan material adalah lebih terbatas dan bersifat eksklusif. Hanya kain yang tergolong dalam kategori mewah serta mempunyai nilai simbolik tertentu digunakan, iaitu;


  1. Kain Sutera

Kain sutera digunakan sebagai bahan utama untuk pembuatan baju Melayu cekak musang. Teksturnya yang lembut, berkilau, dan mewah menjadikan pemakai tampil berwibawa. Sutera juga dianggap sebagai kain bernilai tinggi yang sesuai melambangkan kedudukan istana dan pembesar adat.


  1. Kain Satin

Selain sutera, satin juga menjadi pilihan dalam pembuatan busana ini. Satin mempunyai permukaan yang licin, berkilat dan jatuh kemas apabila dipakai. Ia menambah seri serta kelihatan eksklusif, sesuai dengan fungsi busana ini sebagai pakaian adat istiadat.


  1. Songket Negeri Sembilan

Songket tenunan tradisional Negeri Sembilan sering digunakan untuk samping, tengkolok/destar, dan kadangkala pada bahagian hiasan baju. Songket ini ditenun menggunakan benang emas atau perak dengan motif tradisional seperti pucuk rebung, bunga tabur, dan tampuk manggis. Songket bukan sahaja menambah keindahan visual, tetapi juga menjadi simbol kekayaan seni tekstil masyarakat Negeri Sembilan yang diwarisi turun-temurun.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pemakaian busana Dato’ Adat Istana dan Pegawai 99 mempunyai aturan tertentu yang perlu dipatuhi agar menzahirkan kekemasan, kewibawaan, serta makna simboliknya. Langkah-langkah pemakaiannya adalah seperti berikut:


Langkah 1: Memakai Baju dan Seluar

  • Pemakaian dimulakan dengan menyarungkan baju Melayu cekak musang yang dipadankan dengan seluar panjang. 

  • Baju ini dilengkapi dengan lima butang pada bahagian hadapan

  • Pemakaian butang hendaklah kemas agar busana kelihatan tersusun.


Langkah 2: Memasang Samping

  • Setelah baju dan seluar dikenakan, samping songket berwarna emas hitam dipakai di bahagian pinggang. 

  • Ikatan samping ini menggunakan gaya Ikatan Kembung yang ditampilkan dengan cara mengikat samping daripada tepi kiri dan membentuk ikatan serong ke arah sebelah kanan.

  • Pemakaian samping perlu ketat dan rapi agar selesa dipakai sepanjang majlis istiadat.

  • Terdapat juga ikatan bersilang dari tirai pinggang kanan dan kiri untuk menghasilkan kedudukan serong pada kedua-dua arah sehingga membentuk ruang tengah yang tinggi pada titik pertemuan samping


Langkah 3: Menyisip Keris

  • Langkah seterusnya ialah menyisip keris di sisi pinggang. 

  • Kedudukan keris ditentukan oleh aturan adat dan melambangkan kesediaan pemakai mempertahankan maruah serta adat istana. 

  • Keris hendaklah diposisikan dengan tertib, tidak terlalu menonjol tetapi jelas kelihatan sebagai simbol kuasa.


Langkah 4: Mengenakan Destar / Tengkolok

  • Setelah bahagian tubuh lengkap, pemakaian diteruskan dengan destar atau tengkolok. 

  • Ikatan khas seperti “Dendam Tak Sudah” atau “Solok Timbo” dipakai di kepala sebagai penanda pangkat dan luak seseorang. 

  • Cara lipatan dan gaya ikatan destar mestilah mengikut peraturan adat, kerana ia membawa makna simbolik yang besar dalam hierarki istana.


Langkah 5: Pemakaian Aksesori Tambahan

  • Bagi melengkapkan busana, pemakai boleh menambah aksesori seperti cincin atau gelang tangan secara sederhana. 

  • Dalam sesetengah istiadat tertentu, selempang kuning turut diselempangkan di bahu kanan sebagai tanda penghormatan kepada institusi diraja.

  • Pemakaian selempang ini lazimnya dilihat dalam pertabalan Yang Dipertuan Besar dan majlis adat pepatih utama.


Langkah 6: Memakai Kasut Kulit Hitam

  • Akhir sekali, keseluruhan busana disempurnakan dengan kasut kulit berwarna hitam. 

  • Pemakaian kasut ini bukan sahaja menambahkan kemasan, tetapi juga mengekalkan keseragaman kod warna dalam majlis adat.

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

eCentral. (2023, Mei 29). Cara pakai samping & jenis ikatan. Jabatan Muzium Malaysia. https://ecentral.my/cara-pakai-samping/

Kerajaan Negeri Sembilan. (t.t.). Istiadat penghulu menghadap menjunjung duli: Alat kebesaran dipasang di halaman istana. Portal Rasmi Negeri Sembilan. https://www.ns.gov.my/lain-lain/maklumat-teras/berita/istiadat-penghulu-menghadap-menjunjung-duli-alat-kebesaran-dipasang-di-halaman-istana

Nordin Selat, A. H. (2015). Sistem sosial adat Perpatih. Akademia.

Salleh, R. M. (2017). Sejarah pengamalan adat Perpatih di Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia.

Saludin, M. R., Saludin, M. N., & Mustaffa, F. (2023). Amalan-amalan adat di Port Dickson. Jurnal Tuah, 3(1), 1–12.

Sheehan, J. J., & bin Khamis, A. A. (1936). Adat Kuala Pilah. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, 14(3[126]), 190–225. https://doi.org/10.2307/41560125

Zakaria, A., & Berawi, M. M. (2017). Busana tradisional Negeri Sembilan. Sintok: UUM Press.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Rosdianah binti Roman

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan
Kompleks JKKN Negeri Sembilan Jalan Sungai Ujong 70200 Seremban NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

06-767 6793/763 6308 / 761 0593

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!