Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BAJU PANGLIMA / HULU BALANG
Busana Tradisional
Gambar
9
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
57
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Busana Panglima / Hulubalang
Sumber: Amsalib Pisali
Panglima / hulubalang merupakan individu yang memegang peranan penting dalam struktur ketenteraan, pertahanan dan keselamatan sesebuah kerajaan Melayu tradisional termasuklah dalam kerajaan kesultanan tradisional di Negeri Perak. Mereka bukan sahaja berfungsi sebagai benteng utama pertahanan negeri, malah juga berperanan sebagai pengiring raja, pengawal istana serta pelindung kepada maruah dan kedaulatan kesultanan. Pemakaian busana khas Baju Panglima / Hulubalang bukan sekadar pakaian seragam, tetapi lambang kepada status, kuasa, serta kewibawaan mereka dalam sistem sosial dan politik pada zaman tersebut.
Istilah panglima merujuk kepada pemimpin bala tentera atau komandan yang bertanggungjawab dalam aspek peperangan dan pertahanan. Namun, dalam konteks kerajaan Melayu tradisional di Perak, panglima merujuk kepada para pembesar kerajaan yang tergolong dalam empat peringkat hierarki utama: Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas, dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. Antara kesemua peringkat ini, Orang Besar Empat merupakan golongan pembesar yang paling berkuasa. Mereka terdiri daripada Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Orang Kaya Temenggung Paduka Raja, dan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.
Sementara itu, peringkat Orang Besar Lapan pula turut memainkan peranan yang besar dalam pentadbiran dan ketenteraan negeri. Antara tokoh pentingnya termasuklah Orang Kaya Balai Maharaja Lela (pembesar daerah Pasir Salak), Laksamana Orang Kaya (Durian Sebatang), Orang Kaya Syahbandar (muara Sungai Perak), Panglima Kinta Seri Amarbangsa (daerah Kinta), Seri Akar Di Raja atau Dato’ Sagor (daerah Kampung Gajah), Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Seri Adika Raja, dan Imam Paduka Tuan. Golongan pembesar peringkat Empat dan Lapan inilah yang sering dikaitkan dengan pemakaian Baju Panglima, melambangkan kuasa serta kedudukan mereka sebagai barisan utama pengawal negeri.
Busana hulubalang pula lebih dekat dengan golongan pembesar peringkat Enam Belas dan Tiga Puluh Dua. Istilah hulubalang merujuk kepada pahlawan, pengawal, atau orang-orang kuat yang bertugas menjaga keselamatan istana, raja, atau kawasan tertentu. Mereka terkenal sebagai golongan yang gagah berani, mahir dalam seni persilatan, serta setia kepada sultan dan pembesar negeri. Justeru, busana hulubalang berperanan sebagai pakaian rasmi yang bukan sahaja menandakan fungsi ketenteraan, malah turut menjadi simbol kesetiaan dan maruah diri.
Dari segi komponen, pakaian panglima dan hulubalang menekankan gabungan antara kepraktisan dan simbolik. Pakaian asas mereka termasuk Baju Sikap atau Baju Silang, iaitu sejenis pakaian luar berlengan panjang yang tebal, dipakai di atas lapisan baju lain seperti teluk belanga tanpa lengan dan sebaliknya. Seluar panjang yang longgar seperti Seluar Cekak Musang atau Seluar Sampiran pula membolehkan pergerakan pantas semasa bersilat atau berperang. Samping yang diperbuat daripada kain songket khusus dipakai oleh golongan panglima, diikat di pinggang bukan sahaja menambahkan keindahan, malah berfungsi menyimpan senjata pendek. Manakala, untuk Hulu Balang pula lebih banyak menggunakan kain pelikat. Paling penting ialah pemakaian tanjak atau destar, yang menjadi penanda darjat kerana setiap bentuk lipatan membawa makna kedudukan pemakainya. Selain itu, keris menjadi senjata wajib yang disisip di pinggang, diiringi senjata lain seperti tombak, pedang, atau badik, manakala bengkung atau pending dipakai untuk menguatkan ikatan tubuh.
Sejarah pakaian panglima dan hulubalang turut memperlihatkan evolusinya. Pada zaman awal (pra-Islam), pakaian mereka bersifat ringkas dan praktikal, diperbuat daripada kain sarung atau kulit kayu yang diproses, dengan fungsi utama untuk melindungi tubuh dan memudahkan pergerakan. Zaman Kesultanan Melayu Melaka menyaksikan pakaian ini berkembang dengan lebih tersusun, seiring dengan pengaruh Islam yang membawa nilai kesopanan dan konsep berpakaian yang lebih tertib. Pada era ini juga, Baju Sikap muncul sebagai lambang pakaian rasmi golongan panglima dan hulubalang. Menjelang abad ke-18 dan ke-19, busana ini semakin disempurnakan di bawah pengaruh kesultanan lain termasuk Perak, Johor-Riau dan Pahang, dengan penggunaan kain yang lebih mewah seperti baldu atau sutera, hiasan sulaman emas, dan kadangkala digandingkan dengan pakaian pelindung ringan seperti baju besi.
Masa kini, busana panglima dan hulubalang tidak lagi dipakai secara rasmi di dalam istana kerana peranan pakaian istiadat telah digantikan dengan Baju Melayu Cekak Musang sebagai pakaian rasmi para pembesar. Walau bagaimanapun, busana panglima dan hulubalang masih kekal relevan sebagai warisan budaya. Ia banyak digunakan dalam persembahan kebudayaan seperti tarian mahupun teater, serta pertunjukan silat. Malah, busana ini turut menjadi ikon fesyen Melayu klasik yang digayakan semula dalam acara kontemporari, khususnya dalam majlis perkahwinan tradisional, di mana pengantin lelaki memilihnya sebagai pakaian utama untuk menonjolkan aura kepahlawanan, kegagahan, serta identiti Melayu.
Secara keseluruhannya, pakaian panglima dan hulubalang Negeri Perak bukan sekadar lambang fesyen atau perhiasan tubuh. Ia adalah simbol keberanian, status sosial, kesetiaan, serta manifestasi adat istiadat yang menggabungkan tiga aspek utama: fungsi peperangan yang praktikal, simbol adat melalui tanjak dan keris, serta nilai Islam yang menekankan kesopanan. Warisan busana ini terus menjadi kebanggaan negeri Perak hingga kini, sering dipertontonkan dalam istiadat rasmi, persembahan budaya, dan acara kebangsaan sebagai tanda penghormatan terhadap kegemilangan masa lalu.
Secara umumnya, busana panglima dan hulubalang ini mempunyai fungsi dan peranannnya yang tersendiri, baik daripada fungsi asalnya ketika zaman pemerintahan kesultanan Perak tradisional sehinggalah ke masa kini dalam dunia kontemporari. Berikut adalah fungsi dan peranan utama busana ini;
Lambang Kewibawaan dan Status Sosial
Busana panglima dan hulubalang berfungsi sebagai simbol kewibawaan yang membezakan mereka daripada rakyat biasa. Pakaian ini bukan sekadar penutup tubuh, tetapi penanda kedudukan seseorang dalam hierarki sosial dan politik. Warna, material, serta bentuk tanjak yang dikenakan mencerminkan pangkat dan darjat pemakainya. Misalnya, busana panglima sering diperbuat daripada kain yang lebih tebal, kukuh, dan dihiasi dengan songket serta pending, menunjukkan ketokohan mereka sebagai individu yang berpengaruh dalam kalangan pembesar negeri. Justeru, setiap kali panglima atau hulubalang hadir dalam majlis rasmi, pakaian ini menjadi pernyataan visual tentang kuasa dan kedudukan yang mereka wakili.
Pakaian Rasmi dalam Istiadat dan Majlis Diraja
Dalam konteks istana, busana ini memainkan peranan penting sebagai pakaian rasmi bagi panglima dan hulubalang ketika menghadiri istiadat kebesaran diraja. Sama ada dalam acara pelantikan, majlis santapan atau upacara adat istana. Pemakaian baju ini menzahirkan kesetiaan mereka kepada Sultan. Ia juga menyerlahkan disiplin serta kebersatuan golongan pembesar dan pahlawan yang menjaga kedaulatan negeri. Melalui busana ini, aura keagungan istana dapat dipertahankan, kerana pakaian yang kemas dan berprotokol melambangkan kesopanan serta kehalusan budaya Melayu Perak.
Busana Peperangan dan Pertahanan Diri
Selain fungsi istiadat, busana ini turut berperanan dalam konteks peperangan. Rekaannya yang ringkas tetapi kukuh memudahkan pergerakan pantas di medan tempur. Seluar longgar dan samping yang diikat kemas di pinggang membolehkan pahlawan bergerak lincah ketika bersilat, menangkis serangan, atau mengatur strategi pertahanan. Di samping itu, tanjak dan bengkung bukan sahaja sebagai hiasan, tetapi berfungsi mengikat badan dengan lebih tegap, memberi sokongan ketika pertempuran. Justeru, busana ini membuktikan keupayaannya menggabungkan elemen praktikal dengan estetika, menjadikannya sesuai untuk fungsi pertahanan.
Manifestasi Identiti Budaya dan Tradisi Melayu
Busana panglima dan hulubalang juga berfungsi sebagai manifestasi identiti budaya masyarakat Melayu Perak. Setiap komponen seperti baju sikap, tanjak, dan keris melambangkan kesinambungan warisan tradisional yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ia menjadi simbol jati diri bangsa Melayu, menggambarkan nilai keberanian, kesetiaan, dan keunggulan budaya. Dalam konteks ini, pakaian bukan sekadar aksesori, tetapi suatu medium visual yang menghubungkan generasi kini dengan akar sejarah lampau, sekaligus memperkukuhkan rasa kebanggaan terhadap warisan budaya.
Medium Persembahan dan Kesenian
Pada masa kini, fungsi busana ini turut berkembang sebagai elemen penting dalam seni persembahan dan kebudayaan. Ia sering digunakan dalam pertunjukan silat, teater bangsawan, atau tarian tradisional yang menampilkan watak pahlawan Melayu. Melalui persembahan ini, masyarakat bukan sahaja dapat menghayati keindahan pakaian, tetapi juga menelusuri kisah-kisah kepahlawanan yang disimbolkan oleh busana tersebut. Secara tidak langsung, ia berperanan memelihara warisan seni budaya, menjadikannya hidup dalam memori kolektif masyarakat.
Busana Ikonik dalam Konteks Kontemporari
Peranan busana ini juga semakin menonjol dalam konteks moden, khususnya dalam bidang fesyen dan perkahwinan. Ramai pengantin lelaki memilih baju panglima atau hulubalang sebagai pakaian pada hari bersejarah mereka kerana ia memberikan penampilan gagah dan berwibawa. Malah, pereka fesyen kontemporari turut menjadikan busana ini sebagai sumber inspirasi dalam menghasilkan rekaan moden berasaskan elemen tradisional. Dengan itu, busana ini bukan sahaja relevan sebagai peninggalan sejarah, tetapi juga terus hidup sebagai ikon fesyen Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tinggi.
Aksesori merupakan pelengkap utama dalam busana Panglima dan Hulubalang Negeri Perak. Pemakainnya bukanlah sekadar bentuk estetika pemakaian, tetapi ia mempunyai makna dan simbolik tersendiri yang begitu unik, antaranya adalah;
Tanjak / Tengkolok/ Destar
Tanjak, tengkolok atau destar merupakan aksesori kepala yang penting dalam busana panglima dan hulubalang. Ia diperbuat daripada kain songket atau tenun dengan lipatan tertentu yang membawa makna simbolik. Antara padanan khusus di Negeri Perak ialah Destar Getam Pekasam yang dipakai oleh pembesar empat dan lapan, manakala Destar Ayam Patah Kepak daripada songket bunga penuh berwarna merah menjadi pakaian rasmi Panglima Perang. Bagi hulubalang pula, tanjak yang sering dipakai ialah Pucuk Pisang Patah.
Samping
Samping merupakan pelengkap penting busana panglima dan hulubalang, dipakai di pinggang hingga paras lutut sebagai hiasan serta tempat menyimpan senjata kecil seperti keris pendek atau badik. Panglima biasanya mengenakan samping songket tenunan halus berbenang emas atau perak dalam majlis istiadat atau pertemuan bersama sultan, manakala untuk berperang mereka memakai sarung atau kain pelikat seperti hulubalang kerana lebih ringan dan praktikal. Dari segi ikatan, panglima menggunakan Ikatan Kembung atau Ikatan Laksamana Melamar dalam upacara rasmi, sementara Ikatan Silang Pendekar yang ringkas dan kukuh dipakai ketika bertempur. Perbezaan material dan cara ikatan ini memperlihatkan peranan samping sebagai lambang status serta penyesuaian fungsi mengikut konteks.
Keris
Keris merupakan senjata tradisional yang wajib diselitkan di pinggang seorang panglima atau hulubalang. Lebih daripada sekadar alat pertahanan, keris adalah lambang keberanian, maruah, dan kuasa. Setiap keris biasanya ditempah khas, dengan ukiran hulu dan sarung yang unik mengikut status pemiliknya. Dalam konteks adat, keris juga dianggap mempunyai nilai simbolik dan spiritual sebagai pelindung diri.
Pending
Pending ialah sejenis kepala tali pinggang logam yang dipakai di bahagian pinggang, lazimnya berukir halus dengan motif flora atau geometrik. Fungsinya adalah untuk mengemaskan ikatan samping atau bengkung, di samping menambahkan elemen kemegahan pada busana. Pending turut menjadi lambang kekuasaan dan sering dikenakan oleh pembesar tinggi atau panglima utama sebagai tanda darjat istimewa. Walau bagaimanapun, terdapat juga cara pemakaian busana yang tidak menggunakan pending, bergantung kepada adat atau keperluan majlis. Dalam konteks masa kini, pemakaian pending sering dipakai ketika majlis perkahwinan oleh mempelai lelaki.
Gelang Tangan atau Bengkung
Aksesori ini berperanan sebagai tambahan dalam busana panglima. Gelang tangan, biasanya diperbuat daripada logam, memberikan kekuatan cengkaman dan menambah aspek estetika. Bengkung pula merupakan kain panjang atau tali pinggang lebar yang dililit di perut, berfungsi mengemaskan pakaian serta memberikan sokongan pada tubuh. Bengkung juga penting bagi panglima ketika bergerak atau bertarung.
Capal
Alas kaki tradisional seperti capal digunakan untuk melengkapkan busana panglima dan hulubalang. Ia diperbuat daripada kulit atau bahan sederhana tetapi tahan lama, direka ringkas agar selesa dipakai dalam perjalanan jauh atau semasa upacara rasmi. Walaupun kelihatan sederhana, capal tetap mengekalkan nilai kesopanan dan melambangkan identiti budaya Melayu yang mementingkan kepraktisan serta kesederhanaan.
Material yang digunakan dalam busana Panglima dan Hulubalang Negeri Perak dipilih dengan teliti kerana ia bukan sahaja menentukan keselesaan pemakai, tetapi juga melambangkan status dan fungsi pakaian tersebut. Berikut adalam bahan-bahan material yang terpakai dalam busana ini;
Baju
Baju panglima dan hulubalang Negeri Perak lazimnya diperbuat daripada kain kapas, sutera tenun, atau baldu.
Kain kapas dipilih kerana lebih ringan dan selesa, sesuai untuk pergerakan pantas terutama ketika berperang.
Sutera tenun pula digunakan dalam majlis istiadat kerana teksturnya halus, mewah, dan berkilau, sering dihiasi dengan sulaman benang emas atau perak pada bahagian hujung lengan, leher, dan dada untuk menonjolkan darjat pemakainya.
Baldu turut digunakan oleh panglima berpangkat tinggi, memberikan busana tampilan lebih tebal, kukuh, dan berwibawa.
Kadangkala terdapat juga variasi baju yang diperbuat daripada kain satin untuk majlis rasmi, kerana kilauannya menyerlah di bawah cahaya lampu istana.
Samping
Samping yang dipakai oleh panglima dan hulubalang memperlihatkan variasi material mengikut fungsi.
Dalam majlis rasmi, panglima memakai samping songket Perak, iaitu kain tenunan tradisional bercorak bunga tabur, pucuk rebung, atau awan larat, menggunakan benang emas atau perak yang melambangkan status.
Hulubalang pula ada yang menggunakan samping daripada tenunan biasa tanpa hiasan yang terlalu sarat, menonjolkan kesederhanaan tetapi tetap kemas.
Namun, ketika ke medan perang, baik panglima mahupun hulubalang lebih memilih samping daripada sarung kain pelikat, yang diperbuat daripada kapas atau campuran kapas-polyester, kerana lebih ringan, mudah diikat, serta tidak menghalang pergerakan.
Perbezaan material ini menandakan penyesuaian antara keperluan adat istiadat dengan tuntutan praktikal di medan pertempuran.
Tanjak / Tengkolok / Destar
Tanjak atau tengkolok merupakan elemen penting yang diperbuat daripada kain songket tenun halus, sering menggunakan benang emas atau perak dengan motif tradisional seperti pucuk rebung, bunga penuh, atau bunga tabur.
Kain songket ini menandakan status pangkat dan kedudukan, khususnya bagi pembesar utama dan panglima perang.
Selain itu, terdapat juga penggunaan kain tenun hitam berjalur emas, melambangkan keberanian dan kesetiaan kepada sultan.
Dalam keadaan tertentu, tanjak juga boleh diperbuat daripada kain sarung biasa atau kain pelikat, terutama jika dipakai oleh hulubalang yang lebih mementingkan praktikaliti.
Kepelbagaian material ini membolehkan tanjak dipakai mengikut konteks, sama ada untuk istiadat rasmi atau persiapan tempur.
Pemakaian busana Panglima dan Hulubalang Negeri Perak mempunyai aturan tertentu. Berikut adalah cara atau kaedah pemakaian busana ini;
Baju dan Lapisan Luar
Pemakaian dimulakan dengan menyarung baju Melayu potongan teluk belanga pada bahagian dalam, lazimnya berwarna gelap seperti hitam atau biru kehitaman.
Sebagai lapisan luar, panglima atau hulubalang akan memakai baju silang, baju layang atau baju sikap, iaitu sejenis baju luar berlengan panjang.
Baju luar ini biasanya akan dipinkan dengan kerongsang ataupun kancing.
Seluar Panjang
Setelah itu, dipadankan dengan seluar panjang cekak musang daripada material yang sama atau sepadan dengan warna baju.
Potongan seluar direka longgar agar memberi keselesaan dan kelancaran pergerakan, terutama ketika bertarung atau mengiringi sultan dalam majlis rasmi.
Bagi majlis rasmi, seluar panjang ini mencecah paras buku lali. Sementara itu, jika ia dipakai untuk pertempuan, potongannya lebih singkat sehingga ke paras bawah tengah betis.
Samping dan Ikatan
Seterusnya, samping dipakai di bahagian pinggang. Untuk majlis istiadat, panglima mengenakan samping songket menggunakan Ikatan Kembung atau Ikatan Laksamana Melamar
Namun, untuk persiapan berperang, samping diganti dengan kain pelikat yang diikat menggunakan Ikatan Silang Pendekar, yang lebih kukuh dan praktikal, sama seperti dipakai oleh hulubalang.
Bengkung dan Pending
Bengkung atau ikat pinggang kain dililit kemas pada perut untuk menguatkan tubuh dan mengemaskan pakaian.
Bagi panglima ataupun pembesar, bengkung ini sering dipadankan dengan pending, iaitu kepala tali pinggang logam berukir halus, yang berfungsi sebagai pengikat samping.
Jika bertujuan untuk berperang, pengikat bengkung akan dipakai untuk memastikan samping tidak mudah terlucut
Tanjak / Tengkolok / Destar
Kepala dililit dengan tanjak atau destar yang dilipat mengikut gaya khas Negeri Perak. Antaranya termasuk Destar Getam Pekasam untuk pembesar Empat, Destar Ayam Patah Kepak berwarna merah untuk panglima perang, manakala hulubalang pula lazim memakai
Tanjak Pucuk Pisang Patah. Pemakaian tanjak bukan sekadar hiasan, tetapi tanda keberanian, darjat, dan identiti budaya.
Keris dan Senjata
Kemudian, keris disisipkan di pinggang sama ada di sebelah kiri atau tengah, bergantung pada protokol dan gaya pemakaian.
Keris bukan sahaja senjata pertahanan diri, tetapi juga simbol keberanian dan maruah panglima serta hulubalang.
Dalam situasi tertentu, mereka turut membawa senjata lain seperti pedang atau tombak.
Alas Kaki (Capal)
Pemakaian diakhiri dengan menyarung capal tradisi atau selipar kulit, ringkas tetapi kemas.
Alas kaki ini mengekalkan kesopanan serta memberikan keselesaan sama ada ketika berjalan di dalam istana mahupun ketika berada di medan terbuka.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Ab Majid, A. H. (Ed.). (2023). Kesejagatan warisan silat Melayu: Rungkaian kearifan. Penerbit USM.
Ahmad Yaakob. (2014, Jun 14). Sistem pembesar di Perak. Blogspot. https://ahmadyaakobsmkjengka2.blogspot.com/2014/06/sistem-pembesar-di-perak.html
Adi Channel. (2022, April 8). Ikatan tanjak, destar, tengkolok. https://www.adichannel.com/2022/04/ikatan-tanjak-destar-tengkolok.html
Free Malaysia Today. (2019, Jun 16). Ikatan kain samping berbeza mengikut situasi adat. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/06/16/ikatan-kain-samping-berbeza-mengikut-situasi-adat
Ismail, S. Z. (2009). Konsep adat pakaian cara Melayu: Sentuhan tenunan dalam busana Melayu. [Manuskrip tidak diterbitkan].
Ramli, H., Said, T. S., Aik, H. C. H., Chee, M. T., & Tuah, M. S. B. (2021). Adaptasi keindahan rekabentuk motif tradisional menerusi seni tekat benang emas. Jurnal Peradaban Melayu, 16(1), 31–40.
Zainal Abidin, H. (n.d.). Pakaian tradisional Melayu: Satu analisis. Akademika, 75(1). https://journalarticle.ukm.my/535/1/1.pdf
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Yufazli Yusof
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak,
Lot 20561@20565 Jalan Caldwell,
Off Jalan Raja Di Hilir,
30350 Ipoh,
PERAK DARUL RIDZUAN
05-253 7001 / 05-254 1027
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris




