Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
BAJU KURUNG TELUK BELANGA
Busana Tradisional
Gambar
10
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
107
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Baju Kurung Teluk Belanga
Source: Amsalib Pisali
Baju Kurung Teluk Belanga merupakan salah satu busana tradisional Melayu yang sinonim dengan negeri Johor dan kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada pakaian rasmi wanita Melayu di Malaysia. Pakaian ini mempunyai ciri unik yang dapat dikenalpasti pada bahagian leher yang tidak berkolar dan dihias dengan sulaman tangan halus seperti tulang belut, mata lalat, atau insang pari. Potongan baju ini longgar, berpesak di sisi, serta kekek di bawah lengan, memberi keselesaan kepada pemakai. Bahagian labuh baju menutup punggung dan kain sarung pula digayakan dengan lipatan “ombak mengalun” sehingga ke buku lali. Keindahan rekaannya bukan sahaja terletak pada kesederhanaan, tetapi juga pada fungsi praktikal yang sesuai dengan iklim tropika di Malaysia dan menepati tuntutan syariat Islam.
Sejarah asal usul mula diperkenalkan pada abad ke-19, khususnya pada tahun 1866 semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim (1862–1895), yang dikenali sebagai “Bapa Johor Moden”. Baginda merupakan Sultan Johor ke-21, yang menaiki takhta pada tahun 1862. Sempena pertabalan baginda pada tahun 1866, Sultan Abu Bakar menitahkan agar Baju Kurung Teluk Belanga dijadikan pakaian rasmi bagi golongan wanita di negeri Johor. Keputusan ini bukan sekadar penetapan fesyen, tetapi merupakan usaha strategik untuk menyatukan rakyat di bawah satu identiti budaya yang tersendiri. Nama “Teluk Belanga” pula diambil daripada sebuah kawasan di Singapura yang ketika itu menjadi pusat pentadbiran Johor, sebelum ibu negeri berpindah ke Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Dengan itu, Baju Kurung Teluk Belanga menjadi simbol identiti negeri Johor dan warisan budaya yang terus kekal hingga kini.
Menariknya, pada zaman tersebut wujud peraturan tertentu berkaitan pemakaian busana tradisional. Hanya puteri raja dan isteri pembesar negeri yang dibenarkan memakai baju kurung cekak musang, manakala rakyat jelata diwajibkan memakai Baju Kurung Teluk Belanga. Dari segi warna pula, biru, kuning, dan putih dianggap sebagai “warna larangan” kerana dikhaskan untuk Raja dan kerabat diraja. Larangan ini kekal sehingga tahun 2010 sebelum dimansuhkan oleh DYMM Sultan Ibrahim, yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk menggayakan pelbagai warna tanpa sekatan. Peraturan ini memperlihatkan bagaimana busana bukan sekadar pakaian, tetapi juga alat penegasan status sosial dan kuasa dalam struktur masyarakat Johor.
Dari sudut fabrik, baju kurung ini pada awalnya diperbuat daripada kain kapas atau tenunan tangan, sesuai dengan iklim panas lembap di Nusantara. Namun bagi acara rasmi, kain songket Johor, sutera, dan satin turut digunakan bagi menyerlahkan kemewahan. Busana ini juga digayakan sama ada dengan kain sarung sedondon atau kain bercorak berbeza, bergantung kepada kedudukan sosial dan acara yang dihadiri. Evolusi fabrik serta gaya padanan menunjukkan keanjalan Baju Kurung Teluk Belanga dalam menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan tradisi asalnya.
Pada masa kini, Baju Kurung Teluk Belanga kekal sebagai pakaian tradisional yang berakar kukuh dalam budaya Melayu Johor, namun turut diterima secara meluas di Malaysia. Ia sering dipakai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, majlis perkahwinan, serta acara rasmi di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Reka bentuknya yang ringkas tetapi elegan menjadikannya pilihan yang tidak pernah lapuk ditelan zaman, malah terus mendapat sentuhan moden dalam aspek fabrik dan corak. Walaupun fesyen kontemporari semakin berkembang, Baju Kurung Teluk Belanga tetap utuh sebagai simbol kesantunan wanita Melayu.
Secara keseluruhannya, Baju Kurung Teluk Belanga bukan sahaja sebuah pakaian, tetapi sebuah warisan budaya yang mencerminkan sejarah, identiti, dan nilai masyarakat Johor. Bermula daripada inisiatif Sultan Abu Bakar yang menetapkannya sebagai busana rasmi, ia berkembang dengan perubahan kecil yang relevan dengan zaman, namun tetap mengekalkan keaslian. Hari ini, Baju Kurung Teluk Belanga terus berdiri sebagai pakaian tradisional Melayu yang berprestij, menjadi medium kesinambungan tradisi dan bukti bahawa warisan bangsa mampu bertahan dalam arus perubahan globalisasi
Berdasarkan maklumat sejarah dan budaya, Baju Kurung Teluk Belanga memiliki beberapa fungsi dan peranan yang sangat penting, antaranya adalah;
Fungsi Tradisional (Kesultanan Johor)
Sejak diperkenalkan oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866, Baju Kurung Teluk Belanga telah ditetapkan sebagai pakaian rasmi bagi rakyat Johor. Pada era tersebut, pemakaiannya bukan sekadar pilihan fesyen, tetapi suatu ketetapan istana yang bertujuan membentuk identiti negeri. Ia berfungsi sebagai simbol penyatuan rakyat di bawah panji Kesultanan Johor, di samping menjadi lambang kepatuhan kepada titah diraja. Pemakaiannya juga dikaitkan dengan status sosial, di mana golongan bangsawan, kerabat diraja, serta rakyat jelata mematuhi peraturan berpakaian yang telah ditetapkan. Hal ini menjadikan Baju Kurung Teluk Belanga bukan sekadar busana harian, tetapi sebahagian daripada mekanisme politik budaya dalam pembinaan negara Johor moden.
Fungsi Rasmi dalam Istiadat Diraja
Seiring perkembangan sistem pemerintahan moden, fungsi ini turut meluas dalam konteks Raja Berperlembagaan di Malaysia. Baju Kurung Teluk Belanga kini bukan sahaja dipakai di Johor, tetapi turut menjadi salah satu busana rasmi wanita dalam majlis istiadat diraja di peringkat kebangsaan. Ia sering digayakan oleh kerabat, dif kehormat dan tetamu rasmi dalam acara yang melibatkan seluruh Raja-Raja Melayu, seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja, sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, serta majlis istiadat pertabalan. Di samping itu, busana ini juga dipakai dalam majlis pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) di beberapa negeri lain seperti Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah, sebagai lambang penghormatan terhadap institusi negara. Pemakaian ini menegaskan kedudukan Baju Kurung Teluk Belanga sebagai busana istiadat yang mempunyai nilai protokol tinggi, melangkaui Johor dan mengakar dalam sistem budaya serta kenegaraan Malaysia.
Fungsi Rasmi di Peringkat Negara dan Kerajaan
Selain itu, baju Kurung Teluk Belanga diangkat sebagai salah satu pakaian rasmi kerajaan yang digunakan secara meluas dalam sektor awam. Dalam perkhidmatan kerajaan, ia dikenakan oleh pegawai dan kakitangan sewaktu mesyuarat rasmi, perhimpunan bulanan, majlis konvokesyen, serta acara peringkat kebangsaan. Bagi golongan pendidik, terutamanya guru, Baju Kurung Teluk Belanga menjadi pakaian kerja harian yang mencerminkan imej profesional dan berwibawa, namun tetap mengekalkan unsur kesantunan tradisi.
Tata cara pemakaian rasmi busana ini turut digariskan dalam pekeliling kerajaan yang menetapkan baju kurung sebagai pakaian formal wanita dalam perkhidmatan awam. Menariknya, pemakaiannya tidak terbatas kepada wanita Melayu sahaja, bahkan turut dipakai oleh wanita daripada pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Hal ini menjadikan Baju Kurung Teluk Belanga sebagai busana inklusif yang melampaui batas etnik, berfungsi sebagai pakaian nasional yang menzahirkan identiti kebersamaan rakyat Malaysia dalam satu kerangka berpakaian rasmi.
Fungsi Rasmi dalam Pemakaian Institusi Pendidikan (Rendah, Menengah dan Pengajian Tinggi)
Selain menjadi pakaian rasmi dalam sektor kerajaan, Baju Kurung Teluk Belanga turut dijadikan seragam rasmi pelajar wanita di semua peringkat pendidikan di Malaysia. Di sekolah rendah, murid perempuan memakai baju kurung putih dengan kain biru tua sebagai kod pakaian rasmi. Di peringkat sekolah menengah, pemakaian Baju Kurung Teluk Belanga masih dikekalkan, tetapi dengan variasi kain biru muda sebagai identiti peringkat persekolahan. Walaupun ada sekolah yang menetapkan kod warna tersendiri, bentuk pakaian asas tetap berpandukan potongan Baju Kurung Teluk Belanga. Seterusnya, di peringkat universiti, Baju Kurung Teluk Belanga diiktiraf sebagai salah satu kod pakaian rasmi pelajar wanita dan terpakai untuk semua acara rasmi.
Fungsi Perayaan dan Majlis Masyarakat
Baju Kurung Teluk Belanga sering menjadi pilihan utama ketika menyambut perayaan besar umat Islam seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Pemakaiannya pada pagi raya bukan menjadi pilihan utama dan digayakan dengan pelbagai jenis fesyen dan kotemporari tanpa membuat identiti tradisionalnya. Seringkali ia digayakan secara sedondon seisi keluarga ketika sambutan peraayaan ini. Selain itu, busana ini turut memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, terutamanya ketika upacara akad nikah dan persandingan. Bagi pasangan pengantin, Baju Kurung Teluk Belanga sering dipilih sebagai busana utama kerana keanggunannya dan nilai sopannya. Menariknya, ada juga masyarakat berbangsa lain yang turut menggayakan baju kurung ini dalam majlis resepsi mereka, menjadikannya simbol inklusif yang merentas batas budaya.
Walaupun reka bentuk Baju Kurung Teluk Belanga ringkas dan sederhana, aksesori memainkan peranan penting dalam menaikkan seri, keanggunan, serta melengkapkan penampilan pemakainya. Berikut merupakan aksesori utama yang sering dipadankan dengan busana ini:
Butang Kancing Tunggal
Ciri utama Baju Kurung Teluk Belanga ialah leher bulat tanpa kolar yang ditutup dengan sebutir butang tunggal. Butang ini biasanya diperbuat daripada emas, perak, atau bahan berharga lain. Pada zaman dahulu, pemilihan butang turut menggambarkan kedudukan sosial pemakai. Namun kini, pemilihan butang kacing adalah disesuaikan dengan fesyen atau warna baju.
Kain Sarung ‘Ombak Mengalun’
Baju Kurung Teluk Belanga lazimnya dipadankan dengan kain sarung yang dilipat menggunakan teknik khas yang dikenali sebagai “lipatan bertangkup” atau “ombak mengalun”. Lipatan ini menghasilkan bentuk beralun di bahagian hadapan, menambahkan keanggunan dan kelembutan gerak-geri pemakai. Pada suatu masa dahulu, kaum wanita juga ada yang memadankan kain songket atau kain tenunan tradisional di pinggang, seakan-akan samping. Namun, fungsi samping kini lebih sinonim dengan pemakaian lelaki, manakala bagi kaum wanita, penggunaan kain sarung lebih dominan. Dalam konteks moden, pemakaian kain sarung di luar baju ini masih dikekalkan oleh penari zapin, memperlihatkan kesinambungan tradisi dalam seni tari Melayu.
Tudung atau Selendang
Secara tradisional, Baju Kurung Teluk Belanga tidak digayakan bersama tudung kepala. Namun, seiring perkembangan zaman dan tuntutan kesopanan, ia sering dipadankan dengan tudung atau selendang yang ringkas, kemas, dan senada dengan warna baju. Pemakaian tudung bukan sahaja menambah seri penampilan, tetapi juga mencerminkan identiti Muslimah moden.
Kerongsang
Kerongsang digunakan untuk menyemat tudung atau selendang agar kemas dan terletak elok di bahu atau dada. Selain berfungsi sebagai penyemat, kerongsang juga bertindak sebagai perhiasan yang menambah seri serta memperlihatkan kehalusan seni pertukangan perhiasan Melayu.
Perhiasan Emas (Subang, Gelang, dan Rantai)
Pemakaian subang, gelang, dan rantai emas sering dipadankan bersama Baju Kurung Teluk Belanga dalam majlis istimewa seperti perkahwinan atau kenduri besar. Perhiasan ini bukan sahaja menonjolkan keanggunan wanita, tetapi juga melambangkan status sosial serta warisan seni perhiasan masyarakat Melayu yang kaya dengan simbolisme.
Hiasan Tradisional Tambahan
Dalam acara istiadat atau majlis tertentu, ada juga pemakai yang menambah aksesori lain seperti dokoh (kalung leher besar yang diperbuat daripada logam berharga) atau cucuk sanggul untuk memperindah gaya rambut. Walaupun tidak sepopular aksesori pada baju tradisional lain, hiasan tambahan ini memberi sentuhan istimewa, khususnya dalam upacara perkahwinan atau pertunjukan budaya.
Pemilihan fabrik untuk menghasilkan Baju Kurung Teluk Belanga amat penting kerana ia bukan sahaja menentukan tahap keselesaan pemakai, tetapi juga mempengaruhi penampilan, kesesuaian dengan sesuatu majlis, serta ketahanan busana tersebut. Secara tradisinya, baju kurung wanita Johor ini menggunakan fabrik yang sejuk, lembut, dan sopan jatuhnya, agar sesuai dengan imej kesantunan Melayu. Secara umum, fabrik boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu:
Fabrik Tradisional dan Klasik
Jenis fabrik ini telah lama digunakan dalam pembuatan Baju Kurung Teluk Belanga. Ia sering dikaitkan dengan nilai tradisi, status sosial, dan keaslian gaya.
Sutera
Sutera dianggap sebagai fabrik mewah dan premium, serta menjadi pilihan utama bagi golongan bangsawan dan kerabat diraja. Ia lembut, licin, ringan, dan mempunyai kilauan semula jadi yang menyerlahkan keanggunan. Sutera juga mempunyai sifat drape iaitu melorot jatuh, menjadikan potongan kurung tampak kemas dan elegan. Oleh kerana sifatnya yang sejuk dan menyerap lembapan, ia sangat sesuai dipakai dalam majlis rasmi, istiadat, dan perayaan.
Kapas
Kapas merupakan pilihan paling praktikal dan popular untuk kegunaan harian. Ia mudah didapati, selesa dipakai dan sesuai dengan iklim tropika kerana mampu menyerap peluh dengan baik. Jenis kain ini juga menjadi material utama untuk baju sekolah. Walaupun ringkas, kapas tetap memberi penampilan yang kemas dan sopan, selari dengan falsafah asal Baju Kurung Teluk Belanga yang menekankan kesederhanaan. Versi kapas berkualiti tinggi seperti Swiss Cotton sering digunakan kerana lebih halus, lembut dan sedikit berkilat.
Songket
Songket ialah fabrik tenunan tradisional yang menggunakan benang emas atau perak, menjadikannya antara tekstil paling berprestij dalam budaya Melayu. Walaupun jarang dijadikan bahan utama untuk baju kurung kerana teksturnya tebal, songket sering digunakan sebagai kain sarung yang dipadankan dengan Baju Kurung Teluk Belanga. Penggunaannya biasanya terbatas pada majlis perkahwinan, keramaian, atau istiadat, kerana ia melambangkan kemewahan dan status tinggi.
Fabrik Moden dan Kontemporari
Dalam era moden, Baju Kurung Teluk Belanga turut dihasilkan daripada fabrik kontemporari yang lebih mudah dijaga, tahan lasak, dan sesuai dengan gaya hidup moden.
Satin
Satin terkenal dengan permukaan licin dan berkilat yang memberi kesan mewah seperti sutera tetapi lebih mampu milik. Ia sering digunakan untuk majlis perkahwinan, kenduri rasmi, dan sambutan perayaan kerana menghasilkan penampilan yang elegan. Namun, sesetengah jenis satin boleh menjadi panas jika dipakai lama, menjadikannya lebih sesuai untuk acara formal jangka pendek.
Chiffon
Fabrik chiffon yang nipis dan ringan biasanya dijadikan lapisan luar atau dipadankan dengan alas dalam. Ia memberikan sentuhan lembut dan feminin pada Baju Kurung Teluk Belanga, sering dipilih dalam koleksi moden untuk acara rasmi atau majlis malam.
Crepe
Crepe semakin popular kerana teksturnya yang sedikit berpasir, tidak mudah renyuk, dan jatuh elok pada tubuh. Ia memberi keselesaan kepada pemakai dan sesuai untuk kegunaan seharian, termasuk ke tempat kerja. Crepe moden seperti Como Crepe atau Italian Crepe menjadikan Baju Kurung Teluk Belanga kelihatan lebih kemas tetapi masih sederhana.
Linen
Linen ialah fabrik berasaskan gentian tumbuhan flaks yang terkenal dengan sifat sejuk dan menyerap peluh. Ia memberi keselesaan maksimum, terutama dalam iklim panas. Namun, linen mudah renyuk, menjadikannya lebih sesuai untuk penampilan kasual atau semi-formal.
Poliester atau Campuran Poliester (Polyester Blends)
Campuran poliester dengan kapas (poly-cotton) banyak digunakan dalam versi ready-to-wear. Fabrik ini tahan lasak, mudah dijaga, dan warna tidak mudah pudar. Walaupun kurang menyerap peluh berbanding kapas tulen, ia tetap menjadi pilihan kerana lebih praktikal untuk kegunaan seharian.
Ringkasnya, fabrik yang digunakan dalam pembuatan Baju Kurung Teluk Belanga sentiasa berubah mengikut zaman, tetapi falsafahnya tetap sama: menonjolkan kesopanan, keselesaan, dan keanggunan wanita Melayu. Fabrik tradisional seperti sutera, kapas, dan songket kekal bernilai tinggi untuk majlis istiadat, manakala fabrik moden seperti satin, crepe, chiffon, linen, dan poliester menjadikan busana ini lebih fleksibel dan serasi dengan gaya hidup masa kini.
Cara pemakaian Baju Kurung Teluk Belanga kelihatan ringkas, tetapi sebenarnya mempunyai langkah-langkah tertentu agar ia terletak kemas, cantik, dan mengekalkan ciri tradisinya.
Langkah 1: Memakai Baju
Sarungkan Baju:
Baju Kurung Teluk Belanga direka longgar dan labuh, maka ia hanya perlu disarungkan dari kepala hingga ke bawah.
Kemaskan Bahagian Leher:
Pastikan bahagian leher bulat terletak kemas di bahu. Jahitan sulaman halus seperti tulang belut atau mata lalat pada leher akan menyerlahkan keindahan busana.
Kancingkan Butang Tunggal:
Leher Baju Kurung Teluk Belanga hanya dikemaskan dengan satu butang kancing, biasanya diperbuat daripada emas, perak, atau bahan berharga lain. Ciri ini membezakan baju kurung Teluk Belanga daripada variasi lain yang menggunakan kerongsang.
Langkah 2: Memakai Kain Sarung / Kain Lipatan Bertangkup/ Skirt
Lilit Kain di Pinggang:
Pegang kedua-dua hujung kain sarung, lilitkan di pinggang dan pastikan ia berada pada ketinggian yang selesa.
Buat Lipatan Bertangkup (Ombak Mengalun):
Ambil salah satu hujung kain, bawa ke sisi kanan atau kiri, kemudian tangkupkan hujung kain yang lain di hadapan. Lipatan bertangkup ini menghasilkan alunan lembut ketika berjalan, dikenali sebagai ombak mengalun.
Pastikan Tiada Belahan:
Kain tradisional ini tidak mempunyai belahan depan, sisi, atau belakang, menjadikannya tertutup sepenuhnya dan menonjolkan kesopanan pemakai.
Kemaskan Lipatan:
Lipatan boleh dipinkan atau dijahit sementara pada bahagian pinggang untuk memastikan ia kekal rapi.
Dahulu, ada wanita Johor yang memadankan baju kurung dengan kain samping songket atau kain tenunan tradisional di bahagian luar pinggang.
Namun, fungsi samping kini lebih sinonim dengan lelaki. Dalam konteks moden, penggunaan kain sarung di luar baju masih dapat dilihat dalam persembahan seni, terutamanya dalam tarian zapin.
Langkah 3: Melengkapkan Aksesori
Selendang atau Tudung;
Pada asalnya, Baju Kurung Teluk Belanga tidak digayakan bersama tudung kepala. Namun, dalam konteks moden, wanita Muslimah sering memadankannya dengan tudung atau selendang ringkas yang sepadan dengan warna busana. Selendang yang disemat kemas bukan sahaja menambah kesopanan, tetapi juga melengkapkan penampilan formal.
Kerongsang atau Pin;
Kerongsang atau pin berfungsi menyemat tudung atau selendang agar kemas di bahagian bahu atau dada. Selain fungsinya yang praktikal, kerongsang juga menjadi aksesori hiasan yang memperindah keseluruhan busana.
Dokoh;
Dokoh ialah perhiasan leher tradisional berbentuk kalung besar yang diperbuat daripada logam berharga seperti emas atau perak. Ia biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan, istiadat diraja, atau acara budaya yang penting. Pemakaiannya menonjolkan status sosial serta melengkapkan keanggunan Baju Kurung Teluk Belanga dalam suasana rasmi dan berprestij.
Gelang Tangan (Bangel);
Gelang tangan atau bangel sering dipakai untuk menambahkan seri pada penampilan wanita. Ia boleh diperbuat daripada emas, perak, atau tembaga, dan dipakai dalam jumlah sepasang atau lebih. Bangel bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi juga melambangkan kehalusan seni perhiasan tradisional Melayu.
Cucuk Sanggul
Cucuk sanggul ialah hiasan rambut tradisional yang digunakan untuk menyemat sanggul di bahagian belakang kepala. Dalam majlis-majlis khas seperti perkahwinan atau istiadat adat, cucuk sanggul sering dipadankan dengan bunga segar seperti bunga mawar atau bunga melati. Gabungan ini memberi aura keanggunan klasik dan menyerlahkan kesantunan wanita Melayu Johor.
Kasut
Baju Kurung Teluk Belanga biasanya digandingkan dengan kasut yang sederhana dan kemas. Pilihan yang sering digunakan termasuk kasut tumit rendah, selipar bertutup, atau bakiak tradisional. Pemilihan kasut yang sopan memastikan keselesaan sambil mengekalkan imej anggun dan bersahaja.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Arizka, B., Wesnina, W., & Suliyanthini, D. (2022). Studi baju kurung sebagai busana tradisional. Prosiding Pendidikan Teknik Boga Busana, 17(1).
Hadi, A. T., Solihat, A., Lesmana, M., & Suraya, R. S. (2019). Makna sosio-historis baju kurung Teluk Belanga pada busana pengantin pria Kesultanan Johor Darul Ta’zim. LISANI: Jurnal Kelisanan, Sastra, dan Budaya, 2(1), 65–75.
Ismail, S. Z. (2009). Konsep adat pakaian cara Melayu: Sentuhan tenunan dalam busana Melayu.
Lee, J. H. X., & Nadeau, K. M. (2011). Encyclopedia of Asian American folklore and folklife (Vol. 1). Greenwood.
Machita Othman, & Syed Hamzah Syed Bakar. (1991). Pakaian tradisional pengantin Melayu Perlis. Jurnal Warisan Indera Kayangan, 3.
Nur Azimah Mohd Bukhari, Puteri Roslina Abdul Wahid, & Nurul Haniza Samsudin. (2020). Destar Melayu dari perspektif terminologi. Jurnal Pengajian Melayu (JOMAS), 31(1), 184–209.
Yunus, I. (n.d.). Uniknya Baju Melayu Teluk Belanga [PDF].
Zakaria, R. M. A., & Azman, A. (2020). Seni potongan geometri dalam penghasilan reka bentuk baju kurung Kedah dan baju kurung Teluk Belanga Alam Melayu (The geometrical patterns in designing Baju Kurung Kedah and Baju Kurung Teluk Belanga of the Malay world). Jurnal Arkeologi Malaysia, 33(2).
Kerajaan Negeri Johor. (n.d.). Pakaian tradisional Johor. Royal Johor. https://royal.johor.my/pakaian-tradisional-johor/
Wikipedia. (n.d.). Baju Melayu. Dalam Wikipedia Bahasa Melayu. https://ms.wikipedia.org/wiki/Baju_Melayu
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norazlina binti Othman
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO
No 26, Jalan Susur 5
Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin
80200 Johor Bahru
JOHOR DARUL TAKZIM
07-224 8270 / 223 1249
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



