Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
SARI
Busana Tradisional
Gambar
7
Video
tiada
Pelawat Hari ini
2
Jumlah Pelawat
33
Pengenalan dan sejarah
Sari merupakan sejenis pakaian tradisional yang penuh keanggunan dan sarat dengan nilai budaya, khususnya bagi masyarakat India di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Pakaian ini unik kerana ia terdiri daripada sehelai kain panjang yang tidak dijahit, lazimnya berukuran antara 4.5 hingga 9 meter panjang dan sekitar 1 meter lebar. Keistimewaannya terletak pada cara pemakaian yang melibatkan lilitan pada tubuh dengan pelbagai gaya, seterusnya dipadankan bersama ‘Choli’ atau ‘Ravukai’ (blouse pendek) dan kain dalam yang dikenali sebagai ‘Petticoat’ atau ‘Pavada’. Dari segi estetika, sari menonjolkan variasi fabrik, corak, warna, serta kaedah lilitan yang mampu mencerminkan identiti peribadi, kedudukan sosial, dan kreativiti pemakai. Keindahan inilah yang menjadikan sari bukan sekadar sehelai pakaian, tetapi satu simbol budaya yang mempunyai nilai seni dan sejarah yang mendalam.
Sejarah asal-usul sari dapat dijejaki sejauh Tamadun Lembah Indus yang berkembang antara tahun 2800 hingga 1800 Sebelum Masihi di benua kecil India. Berdasarkan bukti arkeologi, termasuk patung-patung kecil yang menggambarkan paderi dan penari wanita, jelas kelihatan bahawa masyarakat pada zaman itu telah menggunakan kain panjang yang dililit pada tubuh dengan cara yang menyerupai sari hari ini. Hal ini menunjukkan bahawa konsep berpakaian dengan kain tidak berjahit telah wujud sejak ribuan tahun dahulu, malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan budaya masyarakat purba. Dari aspek linguistik, perkataan “sari” berasal daripada bahasa Sanskrit ‘Śāṭī’ yang bermaksud “jalur kain.” Catatan mengenai sari juga ditemui dalam kesusasteraan Tamil kuno seperti Silappadikaram dan Kadambari, serta epik besar India, Mahabharata dan Ramayana. Perkembangan dari zaman ke zaman telah mengubah sari daripada kain sederhana kepada pakaian mewah yang dihiasi dengan sulaman halus, manik, dan tenunan emas atau perak, melambangkan kekayaan dan status pemiliknya.
Perjalanan sari ke Tanah Melayu pula berkait rapat dengan gelombang penghijrahan masyarakat India ke rantau ini, khususnya dari negeri-negeri di selatan India seperti Tamil Nadu, Kerala dan Andhra Pradesh. Fenomena ini berlaku secara besar-besaran pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, ketika zaman penjajahan British. Pada masa itu, ramai pekerja India dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang getah, estet serta sektor pembinaan. Bersama-sama mereka, budaya, bahasa, agama dan cara berpakaian turut dibawa, termasuklah sari sebagai pakaian utama kaum wanita. Pada peringkat awal, sari dipakai setiap hari, malah turut digunakan ketika bekerja di ladang kerana sifatnya yang ringan, praktikal, dan mudah disesuaikan.
Seiring dengan peredaran masa, kedudukan sari sebagai pakaian harian mula berubah. Dengan peningkatan taraf sosioekonomi dan perubahan gaya hidup, sari beralih fungsi daripada pakaian seharian kepada pakaian istimewa yang hanya dipakai pada hari-hari tertentu. Kini, sari lebih sinonim dengan acara keagamaan dan kebudayaan seperti Deepavali, Thaipusam, Ponggal, majlis perkahwinan dan upacara rasmi yang melibatkan masyarakat India. Perubahan ini tidak hanya melibatkan fungsinya, tetapi juga cara pemakaiannya yang lebih sofistikated. Gaya lilitan yang paling popular di Malaysia ialah gaya Nivi, berasal dari Andhra Pradesh. Gaya ini digemari kerana ia bukan sahaja elegan, malah praktikal, sesuai untuk pelbagai acara formal mahupun santai.
Selain gaya lilitan, terdapat juga pelbagai jenis sari yang digunakan oleh masyarakat India di Malaysia, bergantung kepada status, keperluan majlis dan cita rasa individu. Antaranya ialah sari ‘Kanchipuram’ atau ‘Kanjivaram’ yang terkenal dengan fabrik sutera berkualiti tinggi serta tenunan rumit menggunakan benang emas (zari). Sari jenis ini sering dianggap sebagai “ratu sutera” dan menjadi pilihan utama pengantin. Seterusnya, sari ‘Mysore Silk’ pula lebih dikenali kerana kelembutan kainnya serta rekaan yang ringkas tetapi tetap elegan. Sari ‘Benares’, yang berasal dari kota Varanasi, pula tersohor dengan sulaman emas dan perak yang mewah, sering diwarisi turun-temurun sebagai lambang tradisi keluarga.
Walaupun fesyen kontemporari dan pakaian moden seperti ‘Salwar Kameez’ dan ‘Lehenga’ semakin mendapat tempat, sari tetap menjadi pakaian tradisi yang tidak lapuk dek zaman. Ia kekal sebagai simbol keanggunan wanita India, lambang warisan budaya, dan identiti yang teguh dalam masyarakat majmuk Malaysia. Sari bukan sahaja pakaian, tetapi juga medium untuk mengekspresikan nilai, estetika, serta kebanggaan identiti etnik India. Dengan terus dipakai dan diraikan dalam pelbagai majlis, sari di Malaysia menjadi bukti hidup tentang bagaimana tradisi berpadu dengan modeniti, sekaligus memperkukuh kepelbagaian budaya negara.
Sari memainkan peranan dan fungsi sebagai simbol budaya, medium ekspresi diri, serta lambang kedudukan sosial. Berikut adalah fungsi dan peranan utama sari:
Simbol Identiti Budaya dan Warisan
Sari merupakan tanda jelas identiti kaum India, melambangkan asal-usul, tradisi, dan nilai budaya mereka. Di Malaysia yang berbilang kaum, sari menjadi simbol visual yang membezakan komuniti India, namun pada masa sama memperkaya landskap budaya negara. Pemakaiannya menghubungkan wanita moden dengan sejarah dan nenek moyang mereka, menjadikan sari sebagai warisan yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Pakaian untuk Majlis Rasmi dan Perayaan
Sari memainkan peranan penting sebagai pakaian pilihan untuk majlis rasmi dan perayaan kerana sifatnya yang anggun, sopan serta sarat dengan nilai simbolik. Antaranya adalah;
Perayaan Keagamaan: Pada hari-hari istimewa seperti Deepavali, Thaipusam, dan Navaratri, wanita India mengenakan sari berwarna cerah dan baru sebagai tanda kegembiraan serta penghormatan kepada dewa-dewi.
Majlis Perkahwinan: Sari pengantin seperti Kanchipuram atau Benares yang ditenun dengan benang emas/perak dianggap suci dan mewah, melambangkan kemurnian, kesuburan, serta status keluarga. Ia menjadi busana wajib pengantin perempuan dalam kebanyakan perkahwinan tradisional India.
Acara Rasmi dan Sosial: Dalam jamuan rasmi, pesta kebudayaan, atau majlis sosial, sari sering menjadi pilihan kerana sifatnya yang anggun, sopan, dan penuh prestij.
Penanda Status Sosial dan Ekonomi
Kualiti fabrik, kerumitan reka bentuk, serta penggunaan elemen mewah seperti benang emas (zari) atau batu permata, boleh melambangkan kedudukan ekonomi pemakainya. Misalnya seperti Sari sutera Kanchipuram yang dikaitkan dengan kekayaan dan status tinggi. Sebaliknya, sari kapas yang ringkas dipakai untuk kehidupan seharian, mencerminkan kesederhanaan dan praktikaliti.
Mencerminkan Peringkat Kehidupan dan Peranan
Pemilihan warna dan gaya sari sering mencerminkan peringkat kehidupan serta peranan seorang wanita dalam masyarakat India di Malaysia, misalnya;
Warna Merah: Melambangkan kesuburan dan dianggap suci, sering dipakai oleh pengantin perempuan dan wanita yang sudah berkahwin.
Warna Putih atau Pudar: Dalam tradisi tertentu, dipakai oleh balu sebagai tanda kesederhanaan, penarikan diri daripada duniawi, dan penghormatan terhadap pasangan yang telah tiada.
Warna Kuning dan Hijau: Dilihat sebagai warna bertuah dan sering dipilih semasa upacara keagamaan serta adat.
Melalui pemilihan warna dan gaya lilitan, sari turut menjadi bahasa simbolik yang menandakan peringkat usia, status perkahwinan, atau peranan seseorang wanita dalam masyarakat.
Fungsi Praktikal dan Keselesaan
Sari daripada fabrik kapas, sesuai dengan iklim tropika seperti di Malaysia kerana memberikan pengaliran udara yang baik dan tidak membataskan pergerakan. Versatiliti sari membolehkan pelbagai gaya lilitan disesuaikan mengikut aktiviti seperti daripada kerja harian di ladang suatu ketika dahulu, hinggalah kepada acara rasmi masa kini. Fleksibiliti ini menjadikan sari sebagai pakaian yang praktikal meskipun kelihatan rumit.
Medium Ekspresi Seni dan Kreativiti
Setiap helai sari adalah hasil seni kerana melibatkan teknik tenunan tangan, sulaman, batik, atau cetakan yang memerlukan kemahiran tinggi. Corak dan motifnya sering diilhamkan daripada flora, fauna, mitologi Hindu, serta simbol tradisi yang membawa makna tersirat. Bagi pemakai, cara lilitan sari, padanan dengan choli (blouse) dan aksesori peribadi membolehkan mereka mengekspresikan gaya, kreativiti, serta keunikan identiti diri masing-masing.
Aksesori dianggap “nyawa” kepada penampilan sari kerana tanpanya busana ini tidak lengkap. Pemilihannya bergantung kepada majlis, kemewahan sari serta gaya peribadi pemakai.
Barang Kemas
Subang: Jhumka (subang berbentuk loceng) adalah klasik, manakala subang labuh bertatahkan batu permata memberi gaya lebih moden.
Rantai Leher: Dari rantai emas ringkas hingga kalung bertingkat seperti haram atau attigai. Perhiasan kuil dengan motif dewa-dewi juga sangat digemari, terutama pada majlis keagamaan.
Gelang Tangan: Digayakan secara banyak dan beraneka warna, sama ada daripada kaca, logam, emas, atau dihiasi batu permata. Bunyi gemerincing gelang dipercayai membawa tuah.
Cincin dan Hiasan Hidung: Mookuthi (subang hidung) menambah seri wajah, manakala cincin jari melengkapkan gaya anggun.
Hiasan Pinggang (Kamarbandh/Oddiyanam): Tali pinggang berhias daripada emas atau logam, bukan sahaja menahan lilitan sari di pinggang, malah menyerlahkan bentuk tubuh.
Hiasan Rambut
Bunga: Menyisip bunga melur segar (malli poo) pada sanggul adalah tradisi klasik yang memberi keindahan dan aroma wangi.
Hiasan Sanggul: Cucuk sanggul emas atau perhiasan rambut seperti jhummar menambah keanggunan, terutama bagi pengantin.
Pottu atau Bindi
Titik hiasan di dahi ini adalah pelengkap wajib. Ia hadir dalam pelbagai bentuk, saiz, dan warna daripada yang ringkas berbentuk pelekat hinggalah yang dilukis menggunakan sindur. Selain menjadi simbol kecantikan, ia juga mempunyai makna kerohanian dalam tradisi Hindu.
Kasut
Sari biasanya dipadankan dengan sandal berhias, selipar bertumit tinggi, atau chappals (capal tradisional) yang dihiasi dengan manik, labuci, atau sulaman agar serasi dengan busana.
Beg Tangan
Beg kepit (clutch) atau potli bag (beg uncang kecil berhias) sering digunakan, biasanya dipadankan dengan warna atau corak sari untuk melengkapkan keseluruhan gaya.
Pemilihan bahan-bahan fabrik untuk sehelai sari amat bergantung kepada majlis, cuaca, status sosial, dan cita rasa individu. Setiap jenis fabrik memberikan rupa, tekstur, dan aura yang berbeza:
Sutera
Fabrik yang paling mewah dan dihargai, sering dipakai dalam perayaan besar dan majlis perkahwinan. Sutera memberikan kilauan eksklusif, jatuhan kain yang anggun, serta melambangkan kehalusan citarasa pemakai.
Sutera Kanchipuram (Kanjivaram)
Dihasilkan daripada sutera tulen yang tebal dan berat dari Kanchipuram, Tamil Nadu. Ia terkenal dengan tenunan benang emas (zari) serta motif tradisional seperti burung merak, bunga, dan ukiran kuil. Sari ini dianggap sebagai “ratu sutera” dan sering diwarisi turun-temurun sebagai lambang kemewahan serta status tinggi.
Sutera Benares
Berasal dari kota Varanasi, lebih lembut dan ringan berbanding Kanchipuram tetapi tetap mewah. Keistimewaannya terletak pada sulaman halus benang emas dan perak yang menghasilkan corak yang elegan serta mewah.
Sutera Mysore
Dikenali dengan teksturnya yang licin, ringan, serta kilauan lembut. Ia sering menjadi pilihan kerana selesa dipakai, namun tetap mengekalkan nilai estetika dan keanggunan.
Sutera Tussar
Fabrik ini mempunyai tekstur yang sedikit kasar dengan warna semula jadi yang unik. Walaupun tidak sehalus sutera biasa, ia memberi penampilan klasik dan elegan yang sangat digemari oleh wanita yang menyukai gaya tradisional.
Kapas
Pilihan paling sesuai untuk pemakaian harian, kerja, atau majlis santai dalam cuaca tropika. Sari kapas mudah menyerap peluh, ringan, dan selesa. Jenis yang popular ialah sari Chettinad dari Tamil Nadu yang terkenal dengan warna terang dan corak berpetak.
Chiffon
Ringan, lembut, dan separa lutsinar, memberikan alunan cantik apabila dipakai. Ia sering dipilih untuk majlis makan malam atau acara moden kerana mampu menyerlahkan bentuk tubuh dengan gaya yang elegan.
Georgette
Lebih berat sedikit daripada chiffon, namun masih ringan dan beralun. Fabrik ini popular untuk sari bercetak atau dihiasi manik serta labuci kerana ketahanannya menampung hiasan yang berat.
Campuran Sutera-Kapas
Menggabungkan kemewahan sutera dengan keselesaan kapas. Lebih mampu milik tetapi tetap menawan, menjadikannya pilihan serbaguna untuk pelbagai majlis.
Fabrik Moden (Net, Satin, Velvet)
Dalam era kontemporari, pereka fesyen bereksperimen dengan kain moden seperti jaring (net), satin, atau baldu (velvet). Sari jaring dengan sulaman berat atau border baldu mewah semakin popular di kalangan generasi muda kerana memberikan gaya moden tanpa meninggalkan sentuhan tradisi.
Sari mempunyai berpuluh-puluh gaya lilitan yang berbeza di seluruh India, setiap satunya dipengaruhi oleh tradisi, daerah, dan budaya setempat. Namun, gaya yang paling popular dan sering dipraktikkan di Malaysia ialah Gaya Nivi, yang berasal dari Andhra Pradesh. Gaya ini dipilih kerana praktikal, kemas, dan menyerlahkan keanggunan si pemakai, sama ada untuk majlis rasmi, keagamaan, mahupun perayaan.
BAHAGIAN 1: PERSEDIAAN AWAL
Sebelum memulakan proses melilit sari, persediaan yang betul amat penting untuk memastikan lilitan kemas, selesa, dan tahan lama.
Pakaian Asas
Anak Baju (Blouse/Choli): Pilih anak baju yang sepadan dengan warna dan rekaan sari. Pastikan saiznya selesa dan tidak terlalu ketat agar mudah bergerak.
Kain Dalam (Petticoat/Pavada): Merupakan skirt labuh yang berfungsi sebagai “sauh” untuk lilitan sari. Tali kain dalam harus diikat kemas pada pinggang (sedikit di atas pusat). Warna kain dalam sebaiknya selari dengan sari agar tidak kelihatan menonjol.
Kasut
Pemakaian kasut dilakukan terlebih dahulu, sama ada tumit tinggi, sandal atau selipar. Ini memastikan labuh sari berada pada panjang yang sesuai, tidak terlalu singkat atau meleret di lantai.
Aksesori Bantuan
Sediakan beberapa pin keselamatan (safety pins) dengan pelbagai saiz. Pin berfungsi untuk mengukuhkan lilitan, lipatan, serta pallu agar kekal kemas sepanjang pemakaian.
BAHAGIAN 2: LANGKAH-LANGKAH MEMAKAI SARI (GAYA NIVI)
Langkah 1: Lilitan Asas
Pegang hujung sari yang polos atau kurang bercorak.
Bermula dari bahagian kanan pinggang, selitkan hujung kain ke dalam kain dalam.
Lilit sari sepenuh keliling pinggang anda dari kanan ke kiri sehingga kembali ke bahagian hadapan.
Pastikan bahagian bawah sari menyentuh lantai secara rata atau sedikit di atasnya.
Langkah 2: Membuat Lipatan/Lisu Hadapan
Pegang bahagian kain yang tergantung selepas lilitan pertama.
Gunakan jari untuk membuat lipatan selebar lebih kurang 12–13 cm setiap satu.
Hasilkan sekitar 5–7 lipatan bergantung kepada panjang sari.
Pastikan lipatan lurus, sama panjang, dan jatuh teratur.
Selitkan himpunan lipatan ke dalam kain dalam di bahagian pusat, dengan arah lipatan menghala ke kiri.
Gunakan pin untuk mengukuhkan lipatan supaya tidak terurai.
Langkah 3: Lilitan Kedua pada Badan
Bawa baki kain mengelilingi badan sekali lagi, kali ini dari kiri ke kanan.
Lilitkan melalui pinggul kiri, ke belakang badan, lalu ke hadapan melalui bawah ketiak kanan.
Biarkan kain menyilang dada dengan kemas.
Langkah 4: Menggayakan Pallu (Bahagian Bahu)
Bahagian terakhir sari ialah pallu, iaitu hujung kain yang paling berhias.
Bawa pallu dari bawah ketiak kanan, lintangkan dada, dan letakkan di bahu kiri.
Terdapat dua gaya utama:
Gaya Lipatan (Pleated Pallu): Lipat pallu dengan teratur, kemudian pinkan pada bahu kiri. Panjangnya biasanya jatuh hingga paras lutut di bahagian belakang.
Gaya Lepas (Open/Flowing Pallu): Biarkan pallu terurai longgar di bahu kiri untuk gaya lebih moden atau santai.
Langkah 5: Sentuhan Terakhir
Periksa penampilan di cermin dari pelbagai sudut.
Betulkan selitan, lipatan, serta pastikan sari tidak menggelembung.
Susun lipatan hadapan agar jatuh lurus dan seimbang.
Sematkan pin tambahan jika perlu supaya pallu dan lilitan kekal kemas sepanjang hari.
BAHAGIAN 3: PADANAN AKSESORI
Selepas sari siap dililit, aksesori memainkan peranan penting untuk melengkapkan keseluruhan penampilan:
Subang, rantai, dan gelang tangan menambah keanggunan.
Bindi atau pottu di dahi menyerlahkan ciri tradisional.
Bunga melur atau hiasan sanggul memberikan sentuhan klasik pada rambut.
Beg kepit (clutch) atau potli bag serta sandal berhias melengkapkan gaya dari hujung rambut ke hujung kaki.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Deepshikha, Y., Yammiyavar, P., & Nath, N. (2018, March). Textiles as communicating links for cultural traditions. In International Conference on Kansei Engineering & Emotion Research (pp. 168–177). Singapore: Springer Singapore.
Fuller, C. J., & Haripriya, R. (2018). The eternal saree: The role of a traditional garment in the construction of Tamil identity. South Asia: Journal of South Asian Studies, 41(3), 543–559. https://doi.org/10.1080/00856401.2018.1475529
Jayakumar, D. (2012). Traditional Indian costumes and textiles. Ministry of Culture, Government of India.
Jayaneththi, R. (1979). Dress code of Indian plantation labourers in South Asia. In Circulation of cultures and culture of circulation (p. 164).
Lynton, L. (1995). The sari: Styles, patterns, history, techniques. Thames & Hudson.
Portal Rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). (2022). Busana tradisional masyarakat India di Malaysia. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Dicapai pada 15 September 2025, dari https://www.jkkn.gov.my/pemetaan-budaya/busana/sari
Pooja, S. D., & Sofia, H. (n.d.). From tradition to transformation: The saree as a mirror of cultural and gender dynamics.
Priya, K., & Nair, M. M. (n.d.). Saree: Stitching together the silks of literature and fashion. AE International Journal of Multidisciplinary Research, 169.
Rathi, A. (2020). The story of the sari. The Heritage Lab. Dicapai pada 15 September 2025, dari https://www.theheritagelab.in/sari-story
Sandhu, K. S. (2010). Indians in Malaya: Immigration and settlement, 1886–1957. Cambridge University Press.
Savithri, G., Sujathamma, P., & Ramanamma, C. H. (2013). Glory of Indian traditional silk sarees. International Journal of Textile and Fashion Technology, 3(2), 61–68.
Uthirapathi, A. (2019). The significance of Kanchipuram silk sarees in Tamil weddings. Journal of Ethnic and Cultural Studies, 6(2), 25–38.
Yammiyavar, P. (2019). Expressions of traditional textiles of India: A cultural probe. International Journal of Affective Engineering, 18(2), 101–107.
Ecentral. (n.d.). Baju tradisional masyarakat India. Dicapai pada 15 September 2025, dari https://ecentral.my/baju-tradisional-masyarakat-india/
Fifyfathia. (n.d.). [Blog post tentang budaya India]. Dicapai pada 15 September 2025, dari https://fifyfathia.blogspot.com/
PKPGBK6. (n.d.). Kaum India. Dicapai pada 15 September 2025, dari https://pkpgbk6.weebly.com/kaum-india.html
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





