Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

7

Jumlah Pelawat

105

Pengenalan dan sejarah

Suku Murut Tahol menetap di Daerah Kecil Kemabong, Daerah Tenom. Busana tradisi mereka ialah Simbah Kulilif Tapih Malindon dipakai oleh golongan wanita.

Busana/ Aksesori

Antara aksesori busana ini ialah Lumpirot iaitu tali pinggang daripada syiling perak, serta pipirot linggit dihiasi pelbagai manik disebut aki-aki, nampalur, kotos, bungkas, aki’ dan olod.

Aksesori Saliwot ialah tiga set pin rambut dihiasi sinikot tataun di bahagian tengah dan dua sinikot surai di kedua-dua sanggul. Saliwot tataun bertali panjang dan dihiasi manik-manik. Sapulu juga adalah pakaian di kepala dihiasi manik-manik.

Aksesori rantai dipanggil Sisigot terdiri daripada beberapa jenis manik, antaranya bungkas, kotos, aki’ pangungupu, bulul, dan olod. Terdapat juga beberapa pasang gelang bernama Holong diperbuat daripada kulit kerang besar, holong sulou. Aksesori lain antaranya Suol, Bilong, Sulampoi, Sulou, Inafit, dan Tiniwak. Kebanyakan aksesori diperolehi daripada hidupan laut dan dianyam dengan tangan.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Busana ini menggunakan kain merah bagi menutupi bahagian dada, dililitkan dari paras dada sehingga pinggang. Kain ini dipasangkan dengan sarung dipanggil Tapih Malindon yang mempunyai hiasan corak-corak manik yang melambangkan bunga-bungaan ataupun tumbuh-tumbuhan. Setiap corak manik mempunyai makna tersendiri serta juga aksesori yang menunjukkan kreativiti tinggi suku ini. 

Corak-corak tradisi ini tidak boleh dipakai sembarangan kerana setiap corak mempunyai makna tersendiri yang menunjukkan identiti diri. Antara corak dan maksudnya adalah:

  1. Lumayau Sinampipin – ‘Merantau ke kampung sebelah’

  2. Nahulalan – ‘Pahlawan’

  3. Pinandayun – ‘Bersambung-sambung’

  4. Lumayau Sinimpung – ‘Berhijrah dan kembali semula’

  5. Nambuyunan – ‘Tiada berkesudahan sehingga menjadikan kurang waras’

  6. Nilikar – ‘Bertemu dan berpisah’

  7. Nansingap – ‘Pertemuan yang tidak disangka’

Pakaian tradisi ini mempunyai pantang larangnya. Dahulu, wanita muda tidak digalakkan memakai busana ini, hanya orang-orang tua sahaja. Sogit (denda) seekor ayam dikenakan jika ingin meminjam baju ini. Busana ini hanya boleh dipakai semasa majlis-majlis tertentu seperti merisik, meminang, perkahwinan dan bermain lansaran.

Busana ini tidak boleh dipakai sekiranya terdapat kematian. Jika si mati mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat ataupun golongan yang berada, semua aksesori yang bernilai tinggi yang dimilikinya diletakkan berhampiran mayatnya bagi menunjukkan hartanya. 

Suku ini turut mempercayai bahawa aksesori ini mempunyai roh kerana ia dapat memulihkan pemakainya sekiranya dia mengalami keteguran akibat perlanggaran pantang larang.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!