Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

96

Pengenalan dan sejarah

Masyarakat Dusun Tindal mempunyai beberapa jenis pakaian tradisional, antaranya Garung do Rinongkitan (Piniangkab). Nama ini diambil daripada perkataan rinangkit yang adalah komponen hiasan utama bagi pakaian ini.

Fungsi dan Peranan

Gonob Sinihoyudan adalah kain yang dihasilkan daripada serat daun nanas yang ditenun (moningkor) menggunakan alat tenunan seperti Tingkoron. Busana ini mempunyai loceng di bahagian hujung bawah gonob dipanggil giring. Busana ini juga sering dipakai oleh bobolian wanita semasa upacara ritual pada zaman dahulu.

Busana/ Aksesori

Busana ini berlengan panjang dengan pangkal lengannya terbuka. Tekstil yang digunakan ialah kain kapas dan kain Asap. Kain kapas dikenali sebagai kain Gapas iaitu kapas dipintal menjadi benang sebelum ditenun menjadi kain. Kain Asap mempunyai tekstur seperti kain linen kasar berwarna hitam namun kelihatan kemerah-merahan apabila dipantul cahaya. Kain ini diperolehi daripada pedagang Cina sama ada dibeli ataupun melalui sistem perniagaan barter dahulunya.

Busana ini juga dihiasi rinangkit yang dijahit terus ke atas busana ini dari bahagian hadapan hingga ke bahagian belakang baju dan bahagian bawah lengan. Corak motif tiga segi pada baju dipanggil Kinilampung. Butang Cina berwarna putih dan berkilat dipanggil Tipai menghiasi busana ini di bahagian bawah leher baju hingga ke paras dada. 

Busana ini dilengkapi dua jenis kain gonob iaitu Gonob do Sinulatan dan Gonob Sinihoyudan. Kedua-duanya berbentuk segi empat dan dijahit seperti kain sarung.

Terdapat beberapa jenis sulaman tangan dipanggil sinulatan menghiasi gonob ini. Antaranya ialah Sinulatan Karawing, Sinulatan Koninilong dan Sinulatan Sulusuk Rabung. 

Bagi melengkapi Garung do Rinongkitan adalah sunduk dipakai di kepala, direka seperti hud. Kain yang digunakan ialah Binadang ataupun kain Gapas. Sunduk dihiasi beberapa sulaman tangan ataupun sinulatan dan manik-manik di sekelilingnya. Antara corak sulamannya ialah Tompukikili, Sulusuk Rabung, Kininilong, Pinigawoi, Piniotud, dan Pinusok. Bobolian wanita menutup kepala menggunakan sunduk semasa mongorunduk ataupun upacara ritual lain.

Busana ini tidak lengkap tanpa aksesori. Antaranya ialah Saring Pirok, diperbuat daripada perak dan dipakai di kedua-dua pergelangan tangan. Saring Bukala yang diperbuat daripada kulit lagang hitam (tiram) atau kulit siput yang besar dipakai di antara Saring Pirok di kedua-dua pergelangan tangan. 

Perhiasan di bahagian pinggang ialah Sinimpana/Dounsulug/Kinokogis, variasi nama mengikut kampung di Daerah Kota Belud. Contohnya, suku Dusun Tindal di Kampung Bangkahak menggelar perhiasan ini Sinimpana, manakala Dounsulug di Kampung Tempasuk. 

Sinimpogot, yakni dua atau tiga utas tali pinggang perak dipakai di bahagian atas pinggang. Aksesori kaki seperti Lungkaki, diperbuat daripada tembaga asli, dipakai di kedua-dua pergelangan kaki. Berat Lungkaki asli ialah lebih kurang dua kilogram

Peralatan/ Bahan-Bahan


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Gonob do Sinulatan diperbuat daripada kain Binidang yang dihasilkan daripada serat pisang lanut (Musa Textilis) dan ditenun. Disebabkan kekurangan penenun kain ini masa kini, kain ini digantikan dengan kain baldu ataupun kain kapas.

Pembuatan Sinimpana berbeza dahulu dan sekarang. Awalnya ia dianyam daripada benang dan manik dan disusun rapi sehingga membentuk satu jalur seakan tali pinggang yang berwarna warni. Kini, Sinimpana kelihatan lebih kemas dan teratur rapi disebabkan manik yang beraneka warna dijahit di atas sehelai kain.

Dahulunya, mengikut kepercayaan suku Dusun Tindal, Garung do Rinongkitan hanya dipakai oleh Bobolian wanita semasa upacara ritual. Garung Bobolian ini juga tidak boleh disentuh dan dilihat oleh orang lain di luar konteks ritual kerana pakaian ini dikatakan mempunyai semangat sendiri dipanggil Sundu. Pakaian ini tidak boleh juga dicuci kerana dikhuatiri Sundu akan hilang.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!