Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

90

Pengenalan dan sejarah

Suku Murut Timugon menetap di Daerah Tenom. Mereka juga mempunyai pakaian tradisi tersendiri iaitu Pinongkoloh bagi wanita dan Puputul atau Sampayau  bagi lelaki. 

Pakaian tradisi kaum Murut telah melalui proses transformasi pada reka bentuk. Dahulunya, lelaki Murut hanya memakai pakaian yang menutupi bahagian bawah pusat sehingga ke lutut. Perubahan cara berpakaian mengalami proses apabila kawasan pedalaman dikunjungi pendatang dan pedagang luar. Justeru, lelaki Murut mula menggunakan kain kapas sepenuhya, namun pemakaian cawat dikekalkan.

Busana ini telah mengalami banyak pengubahsuaian selaras dengan perkembangan zaman. Bermula dengan yang diperbuat sepenuhnya daripada kulit kayu, kini menggunakan kain baldu tetapi masih mengekalkan ciri-ciri asalnya.

Fungsi dan Peranan

Pakaian ini telah diperaga sejak zaman awal kedatangan British seperti semasa menyambut kepulangan pahlawan dari peperangan. Kini, ia dipakai dalam upacara atau aktiviti rasmi seperti perkahwinan, kematian, pesta menuai dan sebagainya. Ia juga menunjukkan keseragaman pada setiap orang ketika menghadiri sesuatu upacara atau majlis rasmi.

Busana/ Aksesori

Pakaian tradisi lelaki mempunyai struktur yang mudah dan hiasan motif berteknikkan sulaman, jahitan dan tampalan menggunakan sumber alam seperti kerang laut. Biasanya ia terdiri daripada kulit kayu pohon Artocapus tamaran dan cawat merah. Hiasan kepala diperbuat daripada kulit kayu pohon yang sama dan dihiasi bulu burung merak (Argus Pheasant). Dikatakan cawat yang dipanggil Abah atau Sandaki diperbuat daripada kulit kayu puputul yang dikeringkan sebelum dijadikan cawat. 

Baju ini tidak berlengan, hanya dilubangkan di bahagian leher untuk memudahkan pemakaiannya. Di bahagian kiri dan kanan rusuk dijahit dengan benang diperbuat daripada urat kayu atau daun nanas. Sampayau juga kebiasaannya dihiasi tenunan kulit siput laut dipanggil ulau. 

Lelaki Murut juga mengenakan hiasan kepala atau sigah dipanggil kuru atau lalandau, diperbuat daripada kulit bambu dianyam halus, dililitkan di kepala dengan kosong di bahagian atas kepala. Kuru atau lalandau dihiasi bulu burung merak (bulu tuon), enggang atau ayam hutan yang berwarna warni.

Aksesori lain ialah Timoh, gelang diperbuat daripada akar kayu dipakai di bahagian atas lengan. Timoh dipercayai mampu memberikan kekebalan kepada si pemakai. Di bahagian atas siku terdapat hiasan gelang Tinurisak. Gelang kaki lalaku serta papakon diperbuat daripada urat rotan polor. Papakon dihasilkan dengan memintal halus urat rotan polor dan menghimpunkannya sehingga menjadi seutas gelang. Kebiasaannya lelaki Murut Timugon tidak memakai aksesori yang sarat.

Kulit kayu Puputul adalah bahan utama dalam penghasilan jaket yakni komponen penting dalam pakaian tradisi ini. Semasa peperangan, jaket kulit kayu ini boleh dijadikan perisai. Busana ini dipakai semasa menyambut kepulangan pahlawan dari peperangan.

Puputul ialah bahagian baju yang agak penting dan diberikan perhatian. Justeru, pelbagai fesyen jaket dihasilkan dihiasi motif yang dilukis untuk ditampal menggunakan kulit siput, manik dan lain-lain. Terdapat pelbagai jenis corak pada busana tersebut. Contohnya, Penalailawa (sarang labah-labah), kalayam biawak (tapak kaki biawak di tepi sungai) dan sebagainya. Corak-corak ini melambangkan maksud tertentu dan mempunyai kaitan dengan peristiwa-peristiwa yang pernah mereka lalui.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Untuk menghasilkan jaket ini, kira-kira 18 inci daripada bahagian dalam kulit pokok yakni kulit yang halus sahaja diambil, manakala panjangnya mengikut ukuran yang diperlukan. Kulit kayu kemudiannya diketuk dengan alat pengetuk sehingga menjadi nipis dan lebar sebelum dikeringkan dan dipotong, kemudian dijahit menggunakan benang daripada kulit pokok terap hutan ataupun daun nanas. Kulit pokok lain yang biasa digunakan juga ialah pokok timbangan, tikalong dan kayu ipoh (palih).

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Hassanal bin Redzuan
  • Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
  • 088 -205 070
  • hassanal@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!