Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TABOT KINOLUMPISAU
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
81
Pengenalan dan sejarah
Suku Dusun Gobukon menetap di Kampung Pinatau, Daerah Kota Marudu. Mereka mempunyai beberapa busana tradisional, antaranya Sinurangga Kinoriaman, Gonob Sinulatan Sinolinatad dan Tabot Kinolumpisau.
Busana Tabot Kinolumpisau terdiri daripada tiga bahagian iaitu Tabot Kinolumpisau, Gonob Sinulatan Sinolinatad Biningkuku dan Sinoyudan. Pakaian tradisi ini juga mempunyai ciri-ciri sulaman dan hiasan unik yang mempunyai maksud tersendiri. Dahulunya, Tabot Kinolumpisau hanya dipakai oleh wanita yang belum berkahwin sahaja.
Mengenai adat istiadat pemakaian busana tradisi ini dahulunya hanya dipakai oleh wanita yang belum berkahwin sahaja bagi memudahkan para pemuda mengenal pasti status seseorang wanita. Titimbok juga digunakan bukan sahaja untuk mengikat rambut yang panjang tetapi juga sebagai alat pertahanan diri. Contohnya, Titimbok dilumuri racun diperbuat daripada tumbuhan hutan dan digunakan apabila wanita berada dalam bahaya.
Sulaman (sulat) pada baju dan sarung adalah Sinangau-sangau yakni ide sulaman daripada bingkai atap rumah zaman dahulu. Tambagat, Bakud Nontilung, Sinayat-sayat Tinimung dan Kinolibambang adalah sulaman-sulaman di bahagian hadapan baju Tabot Kinolumpisau. Di bahagian belakang terdapat sulaman Kinolumpisau, melambangkan burung layang-layang yang banyak di perkampungan suku tersebut. Nama Kinolumpisau ini diambil bersempena dengan jenis ikatan dan sulaman, ide daripada bentuk langaman iaitu alat tradisional menuai padi.
Bagi Gonob Sinulatan Sinolinatad Biningkuku (skirt), terdapat sulaman disebut Biningkuku dan Sinolinatad di bahagian belakang kain tersebut. Sulaman Biningkuku membezakan Gonob Sinolinatad dan Gonob Sinulatan Sinolinatad Biningkuku. Di bahagian belakang Gonob terdapat sulaman Bakud yakni sulaman utama untuk mencantikkan Gonob.
Sulaman Sinolinatad melambangkan kekuatan dan nama ini diambil sempena sejenis rumput bernama Solinatad dalam kalangan penduduk tempatan Sabah. Dipercayai suatu ketika dahulu penduduk kampung berpaut pada rumput Solinatad apabila angin bertiup kencang.
Topi dipanggil Sinoyudan, dihiasi giringan dipakai di kepala. Giringan adalah loceng-loceng kecil terletak di hujung topi tersebut. Sulaman pada Sinoyudan berwarna merah dipanggil Kinolumpisau.
Aksesori pakaian ini bersumberkan bahan semula jadi, manik dan besi. Antara yang bersumberkan bahan semula jadi berasaskan kayu adalah Titimbok dan Kalangkang dipakai di kepala sebagai cucuk sanggul dan Rindaog, perhiasan pinggang diperbuat daripada rotan.
Aksesori yang bersumberkan manik adalah Karo (rantai leher), Tinongkolob (hiasan pinggang) dan Karo Sinompuru yang menghiasi Titimbok iaitu cucuk sanggul.
Aksesori bersumberkan besi adalah Sinologoi dan Linontugi iaitu perhiasan di pinggang, Tinawang yang berbentuk cincin dan Lungkaki iaitu gelang kaki.
Aksesori yang bersumberkan bahan semulajadi dihasilkan sendiri oleh masyarakat ini. Aksesori bersumberkan manik diperolehi melalui sistem barter zaman dahulu, ataupun membuat pembelian terus daripada pembekal manik seperti zaman sekarang.
Aksesori bersumberkan besi biasanya dihasilkan secara tradisional di tempat pembuatan parang.
Kain busana Tabot Kinolumpisau ini berwarna hitam dihasilkan melalui tenunan. Disebabkan kos yang mahal dan tenunan yang rumit, kini kain satin menggantikannya.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.
