Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
SUKUB
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
97
Pengenalan dan sejarah
Dusun Lotud adalah salah satu suku di Sabah, terdapat di sekitar Daerah Tuaran yang merangkumi daerah kecil Tamparuli. Pakaian tradisi suku ini dipanggil Sukub, terdiri daripada empat bahagian iaitu Sukob, Gonob, Kuluwu dan Haboi.
Dahulunya, baju tradisi ini biasanya dipakai semasa upacara penting dalam adat seperti upacara pemujaan semangat padi atau semangat jahat oleh pengamal Momolian dan Tantagas. Baju ini juga dipakai oleh penari sumayau untuk memohon berkat daripada kuasa ghaib atau untuk persembahan hiburan serta upacara perkahwinan.
Sukob ialah baju blaus hitam berlengan pendek yang dipasangkan dengan gonob linangkit. Gonob adalah sarung hitam hingga ke paras lutut dan mempunyai hiasan sulaman linangkit bercorak bunga berwarna merah sebagai warna utama. Namun, ditambah lagi dengan warna-warna keemasan, putih, jingga dan biru. Pengikat gonob ialah kain putih dipanggil Haboi.
Kuluwu ialah selendang yang dijahit bersambung pada kedua-dua hujung kain, dipakai bersilang pada bahu kanan. Kuluwu juga boleh dijadikan penutup kepala ataupun diletakkan di lengan sebagai hiasan.
Pakaian tradisi ini juga mempunyai beberapa aksesori untuk melengkapinya seperti aksesori pinggang yang dipanggil Lilimbo diperbuat daripada rotan. Botungkat pula adalah tali pinggang diperbuat daripada duit syiling perak.
Aksesori Simpai iaitu gelang tangan diperbuat daripada perak dan biasanya dipakai di atas siku tangan. Aksesori gelang kaki dipanggil Lansung dan Tombuku ialah syiling keemasan yang dipakai dengan jumlah ganjil iaitu tiga atau lima.
Terdapat empat motif sulaman linangkit, antaranya Biji Tembikai dikenali sebagai Lininsou Sadur. Sulamannya dicantumkan bagi membentuk corak seperti kuih wajit dikenali sebagai linodi.
Motif kedua ialah Pucuk Rebung, selalunya didapati pada bahagian-bahagian tepi kiri dan kanan linangkit. Dusun Lotud menggunakan motif ini kerana sehingga kini sayur rebung adalah makanan tradisi dalam majlis.
Ketiga, motif Daun Abur-abur iaitu tumbuhan yang terdapat di kawasan sawah padi dan bentuknya seakan bingkai yang mengelilingi corak Suboh.
Motif terakhir adalah bentuk Permatang dan Batu, berunsurkan tumbuh-tumbuhan dan Permatang Sibot yang terdapat di kawasan sawah padi.
Pakaian tradisi Dusun Lotud ini berwarna hitam diperbuat daripada kain baldu dan kapas. Masyarakat dahulu menggunakan benang sebagai asas sulaman linangkit, yang dihasilkan daripada tumbuhan semula jadi seperti bahan sabut atau serat daun nanas yang dipintal menjadi benang, serta diwarnakan dengan kunyit bagi menghasilkan warna kuning dan bahan tursih untuk menghasilkan warna hitam. Warna merah dihasilkan menggunakan bahan alam seperti kulit kayu bakau atau kayu cendana.
Kini, terdapat perubahan pada motif linangkit kerana berlaku penambahan hiasan yang didominasi oleh manik dan labuci. Linangkit disulam secara menegak dan melintang di bahagian tengah gonob dan kuluwu. Beberapa variasi motif linangkit telah dihasilkan oleh masyarakat Dusun Lotud yang menampilkan nilai estetika dan mempunyai unsur tarikan.
Lilimbo diperbuat daripada rotan dibentuk berlingkar-lingkar seperti spring dan diwarnakan merah, hitam serta coklat. Setiap warna mengandungi maksud dan makna tertentu. Contohnya, bagi perawan mereka wajib memakai lilimbo berwarna merah. Bagi yang sudah berkahwin mereka perlu memakai gabungan warna merah dan hitam, manakala golongan berumur harus memakai yang berwarna kuning rotan ataupun coklat.
Pengamal Momolian danTantagas bertanggungjawab mengingatkan suku Dusun Lotud dalam hal ehwal adat, termasuk adat pemakaian yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan si pemakai dikenakan denda disebutsogit. Antara fokusnya ialah pemakaian lilimbo, baju dangonob.
Wujud kesalahan sekiranya wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak memakai lilimbo berwarna merah. Atas kesalahan ini anak-anak wanita tersebut dikenakan denda atau sogitkerana perbuatan mereka menyembunyikan status wanita tersebut. Sekiranya sogit tidak dikenakan masyarakat mereka khuatir akan menyebabkan tulah atau berlaku perkara yang tidak baik kepada anak-anak tersebut.
Wanita yang sudah berkahwin juga tidak dibenarkan memakai aksesori seperti simpai dan lansung. Pemakaiannya adalah bagi perawan sahaja yang memberi istilah sebagai ‘bergaya’.
Biasanya sukub yang berlengan panjang dipakai oleh wanita yang sudah berkahwin dan jarang oleh wanita bujang. Skirt atau gonob perlu melepasi lutut agar kelihatan sopan dan tidak keterlaluan.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.


