Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
KUBAYA TUNGKAT
Busana Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
78
Pengenalan dan sejarah
Suku Dusun Tindal di Kampung Tempasuk, Kota Belud, Sabah mempunyai pakaian tradisi yang unik dipanggil Kubaya Tungkat. Nama ini diberi kerana terdapat bentuk jahitan pada bahagian belakang baju tersebut dipanggil Tungkat. Baju ini terdiri daripada Kubaya hitam berlengan panjang melebihi aras siku namun tidak melepasi pergelangan tangan.
Kubaya Tungkat biasanya dipakai semasa urusan kerja-kerja harian seperti ke pekan atau ke bendang. Baju ini juga dahulunya dipakai semasa upacara perkahwinan khususnya bagi golongan yang kurang berkemampuan. Namun, pemakaiannya telah berubah mengikut peredaran zaman.
Bermula pada zaman 70an, baju ini, dalam kalangan wanita muda Dusun Tindal Tempasuk, hanya dipakai untuk tujuan tertentu sahaja seperti untuk persembahan tarian Mongigol dalam majlis-majlis tertentu, dan juga sebagai pakaian si pemegang bunga manggar kanak-kanak semasa upacara perkahwinan.
Busana ini dipasangkan dengan sarung dipanggil Gonob daripada beberapa jenis kain, antaranya kain Asap, kain Tuwit dan kain Binidang. Pakaian ini juga boleh disesuaikan dengan kain Siam atau pun Sunduk.
Kain Asap berwarna biru gelap mempunyai corak berbentuk garisan putih melintang seperti kain Binidang, sementara di hujung kain Asap ini terdapat jahitan berwarna putih. Kain Tuwit berwarna hitam, hampir sama dengan kain Asap namun tidak bercorak. Kini, kedua-dua kain ini agak sukar didapati.
Kain Binidang pula adalah hasil kerja seni suku Dusun Tindal Tempasuk, diperbuat daripada pisang lanut atau lamba iaitu pisang liar, atau urat nanas. Kain ini diwarnakan menjadi biru gelap menggunakan tahum, sejenis tumbuhan liar yang sukar didapati sekarang. Binidang boleh bertahan lama disebabkan kualiti bahan yang digunakan dalam pembuatan kain tersebut. Kini, kain ini sukar didapati dan digantikan dengan kain baldu ataupun kain kapas.
Kain Siam berwarna hitam dijadikan sunduk yakni penutup kepala. Terdapat renda putih dengan corak merah pada kedua-dua penghujung kain tersebut. Kain Siam kini sukar didapati dan hanya segelintir wanita berusia yang masih memiliki kain ini.
Aksesori dan perhiasan Kubaya Tungkat ialah Kinokogis, Himpogot, Rantai Tembaga, Tombuku, Saring Bukala, Tanting-anting, Surud Amas, dan Titimbok.
Kinokogis adalah susunan pertama hiasan di pinggang, terdiri daripada barisan manik cengkerang berwarna putih bersaiz silinder kecil. Kraftangan ini mempunyai corak barisan manik kecil dipanggil Kinilong-kinilong. Corak gabungan yang telah siap dipanggil Tiningkolob.
Di bawah Kinokogis terdapat Himpogot atau pun Botungkat diperbuat daripada himpunan duit syiling perak bersaiz kecil. Himpogot ini lebih kecil daripada Himpogot pakaian Sinipak.
Rantai Tembaga adalah aksesori utama yang wajib dipakai bersama Kubaya Tungkat. Rantai ini dipakai pada susunan ketiga iaitu selepas Kinokogis dan Himpogot. Namun, aksesori lain boleh disesuaikan mengikut citarasa si pemakai.
Tombuku adalah butang duit syiling keemasan dari Eropah yang diperoleh semasa pemerintahan British di Sabah. Hiasan ini dipakai pada bahagian dada sebagai butang baju. Lazimnya, Tombuku hanya dipakai semasa menghadiri majlis keramaian dan digantikan dengan pin pada hari-hari biasa.
Saring Bukala adalah gelang tangan dipakai di pergelangan kedua-dua tangan. Gelang ini adalah produk kraftangan kaum Bajau yang diperbuat daripada cengkerang gergasi, juga dipakai oleh wanita Dusun Tindal yang masih bujang.
Aksesori Tanting-anting (hiasan telinga) yang diperbuat daripada tembaga ataupun perak dahulunya dipakai oleh gadis Dusun Tindal Tempasuk yang belum berkahwin.
Titimbok adalah cucuk sanggul diperbuat daripada tembaga dengan beberapa duit syiling kecil menghiasi rambut si pemakai. Titimbok juga adakalanya dijadikan perhiasan baju Kubaya Tungkat di bahagian percantuman dada baju di atas Tombuku. Titimbok sering dipakai semasa menghadiri acara keramaian atau perkahwinan. Hanya satu set sahaja dipakai untuk harian, manakala dua atau lebih set untuk upacara perkahwinan.
Surud Amas adalah sikat daripada kepingan emas atau besi yang disadur warna emas, dan diukir. Sikat ini lazimnya dipakai sebagai aksesori tambahan pada rambut perawan Dusun Tindal Tempasuk namun tidak diwajibkan. Sikat ini diperkenalkan oleh wanita kaum Bajau Kota Belud.
Kubaya Tungkat mempunyai persamaan dengan baju tradisi Dusun Lotud Tuaran. Perbezaannya adalah tangan baju tradisi Dusun Lotud Tuaran lebih pendek, setakat atas paras siku, dan kembang pada bahagian bahu lengan. Tangan baju Kubaya Tungkat adalah lebih panjang melepasi paras siku dan tidak kembang.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik Off KM 4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu Sabah.



