Gambar

8

Video

tiada

Pelawat Hari ini

4

Jumlah Pelawat

19

Pengenalan dan sejarah

Nasi Kerabu ialah salah satu hidangan tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat Pantai Timur Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri Kelantan. Keunikan utama hidangan ini terletak pada warna biru nasi yang terhasil daripada kelopak bunga telang atau nama saintifiknya disebut Clitoria Ternatea. Bunga ini bukan sekadar memberikan warna kepada nasi kerabu itu, malahan bunga ini dipercayai mempunyai manfaat kesihatan tertentu yang baik untuk organ dalaman seperti hati dan buah pinggang. Seiring dengan dengan itu Nasi Kerabu telah menjadi simbol kebijaksanaan masyarakat tempatan dalam menggabungkan elemen estetik, citarasa, dan nilai kesihatan dalam satu hidangan.


Asal usul nama “Nasi Kerabu” berkait rapat dengan penggunaan perkataan “kerabu” itu sendiri. Istilah kerabu dalam budaya makanan Melayu merujuk kepada sejenis hidangan yang terdiri daripada campuran bahan-bahan mentah seperti ulam-ulaman, sayur-sayuran segar, kelapa parut, garam dan lada. Hidangan ini biasanya digaul bersama untuk menghasilkan rasa segar, sedikit pedas, masin, serta beraroma harum. Oleh itu, apabila nasi digandingkan dengan pelbagai jenis ulam segar, kelapa goreng, budu, ikan bakar atau ayam percik, maka ia dikenali sebagai “Nasi Kerabu.” Nama ini secara langsung menggambarkan sifat makanan tersebut sebagai gabungan nasi dengan kerabu sayuran.


Selain itu, Nasi Kerabu turut dikenali dengan nama lain di negara jiran, Thailand, iaitu “Khao Yam” atau “Khao Jam.” Hubungan geografi dan budaya antara Pantai Timur Malaysia dengan Selatan Thailand menyebabkan wujudnya persamaan dalam jenis hidangan. Walaupun begitu, terdapat perbezaan jelas dari segi rasa dan persembahan. Di Malaysia, nasi berwarna biru daripada bunga telang menjadi identiti tersendiri, manakala versi Thailand biasanya berwarna putih atau kekuningan, dengan bahan perasa yang sedikit berbeza. Hubungan silang budaya ini menegaskan bahawa Nasi Kerabu bukan sekadar makanan, tetapi bukti interaksi budaya dan perdagangan di rantau Asia Tenggara.


Dari sudut sejarah, terdapat pandangan bahawa Nasi Kerabu mula berkembang dalam kalangan masyarakat Peranakan Kelantan sekitar abad ke-15. Peranakan di Kelantan ketika itu merupakan hasil percampuran budaya Melayu, Cina dan Thailand. Melalui hubungan perkahwinan campur, perdagangan serta penghijrahan pedagang Cina dan Hokkien dari Thailand, muncul pelbagai adaptasi masakan. Nasi Kerabu dipercayai dicipta oleh masyarakat Melayu yang tinggal di sepanjang Sungai Kelantan dengan memanfaatkan hasil bumi setempat seperti ulam-ulaman, herba, serta bunga telang. Percampuran budaya inilah yang memperkayakan identiti gastronomi Nasi Kerabu sehingga dikenali hingga ke hari ini.


Keistimewaan Nasi Kerabu juga dapat dilihat daripada penggunaannya yang meluas dalam kehidupan masyarakat. Pada awal kemunculannya, ia bukan sekadar hidangan harian, malah menjadi sajian istimewa dalam upacara tertentu, jamuan keluarga besar, serta acara tradisional. Kesegaran ulam-ulaman yang digunakan melambangkan hubungan erat masyarakat Melayu dengan alam sekitar, manakala penggunaan budu dan keropok lekor menonjolkan ciri identiti pantai timur yang kaya dengan hasil laut. Unsur-unsur ini menjadikan Nasi Kerabu bukan sahaja hidangan pemakanan, tetapi juga lambang gaya hidup dan nilai budaya.


Lama-kelamaan, Nasi Kerabu merebak keluar dari Kelantan mahupun sekitar negeri-negeri pantai timur ke negeri jiran seperti Pahang, sebelum menjadi popular di seluruh Malaysia. Kepelbagaian lauk sampingan seperti ayam percik, daging bakar, solok lada, telur masin serta keropok memberi lebih banyak variasi dan kelazatan kepada hidangan ini. Walaupun terdapat perubahan dari segi cara penyediaan dan bahan sampingan mengikut negeri atau citarasa setempat, asas kepada hidangan ini tetap sama, iaitu nasi yang digandingkan dengan kerabu sayuran segar serta bahan pelengkap seperti budu dan kelapa parut.


Kini, Nasi Kerabu bukan sahaja dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan, malah telah menjadi daya tarikan pelancong asing yang ingin merasai kelainan masakan tradisional Malaysia. Ia dipromosikan sebagai warisan kulinari yang unik kerana menggabungkan keindahan warna, kelazatan rasa, serta nilai budaya. Kewujudannya hingga kini membuktikan keupayaan makanan tradisional untuk bertahan dalam arus modenisasi, sekaligus mengekalkan identiti asal sambil terus relevan sebagai simbol kebanggaan gastronomi Melayu.


Fungsi dan Peranan

Pada umumnya, hidangan nasi kerabu ini mempunyai pelbagai fungsi dan peranannya yang tersendiri. Antaranya adalah;


  1. Makanan Harian

Nasi Kerabu berfungsi sebagai hidangan ruji masyarakat Pantai Timur. Ia sesuai dijadikan santapan pada waktu sarapan pagi, makan tengah hari, mahupun makan malam. Keistimewaannya ialah nasi berwarna biru yang dipadankan dengan ulam-ulaman segar serta lauk pauk yang ringkas namun berkhasiat. Hidangan ini mampu memberikan tenaga harian serta mengekalkan tradisi pemakanan masyarakat tempatan.


  1. Hidangan Majlis dan Perayaan

Selain menjadi makanan harian, Nasi Kerabu juga sering dihidangkan dalam pelbagai majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan, jamuan keluarga, sambutan hari raya, dan majlis rasmi. Ia menjadi pilihan kerana bahan-bahannya mudah diperoleh seperti beras, ulam-ulaman, kelapa, dan budu. Kaedah penyediaannya juga tidak terlalu rumit, menjadikannya praktikal untuk dimasak dalam jumlah yang banyak.


  1. Fungsi Kesihatan

Dari sudut kesihatan, Nasi Kerabu dianggap sebagai makanan sihat kerana kaya dengan ulam-ulaman segar yang mengandungi serat, vitamin, dan mineral. Ia digabungkan dengan sumber protein seperti ikan bakar, ayam percik, atau telur masin, yang membantu melengkapkan nutrisi seimbang. Kandungan herba dan sayuran mentahnya pula melambangkan amalan gaya hidup sihat masyarakat tradisional yang mengutamakan pemakanan segar daripada alam semula jadi.


  1. Fungsi Komersial

Nasi Kerabu juga mempunyai nilai komersial yang tinggi. Ia menjadi tumpuan ketika musim Ramadan sebagai juadah berbuka puasa, selain sentiasa mendapat permintaan di pasar malam, bazar, dan restoran. Popularitinya bukan sahaja meningkatkan sumber pendapatan peniaga kecil, malah menjadikan Nasi Kerabu sebagai salah satu makanan tradisional yang terus laku keras di pasaran. Kesukaan rakyat Malaysia terhadap hidangan ini menjadikannya antara produk makanan tempatan yang berdaya saing serta berpotensi dipromosikan dalam industri pelancongan gastronomi.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Dalam penyediaan Nasi Kerabu, pelbagai ramuan digunakan bagi mengekalkan keaslian rasa dan identiti tradisionalnya. Oleh itu, bahan-bahan penyediaan Nasi Kerabu ini terbahagi kepada empat bahagian utama, iaitu:


  1. Bahan untuk Memasak Nasi

  • Beras – sebagai bahan utama.

  • Air bunga telang – diperoleh daripada rendaman kelopak bunga telang (Clitoria ternatea) untuk menghasilkan warna biru semula jadi.

  • Daun pandan – untuk menambah aroma nasi.

  • Sedikit serai (pilihan) – diketuk dan dimasukkan semasa menanak nasi bagi menaikkan bau harum.


  1. Bahan untuk Kelapa Goreng

  • Kelapa parut – disangai hingga kekuningan.

  • Bawang merah – ditumbuk halus.

  • Bawang putih – ditumbuk halus.

  • Cili kering – ditumbuk halus.

  • Garam secukup rasa – sebagai penambah perisa.


  1. Bahan untuk Sayuran/Ulam Campuran

  • Timun – dihiris halus.

  • Kacang panjang – dihiris nipis.

  • Tauge – dicelur sekejap atau digunakan segar.

  • Daun kesum – dihiris nipis.

  • Daun cekur – dititik atau dihiris halus.

  • Kubis – dihiris halus.

  • Serai muda – dihiris halus.


  1. Bahan-bahan lauk

  • Ikan bakar – biasanya ikan kembung atau ikan selayang, dicarik isi.

  • Daging atau ayam bakar – sebagai lauk pilihan tambahan.

  • Telur masin rebus – pelengkap rasa dan sumber protein.

  • Budu – sebagai kuah pencicah utama.

  • Keropok keping atau keropok lekor – digoreng rangup, dijadikan sampingan

  • Solok lada – lada hijau yang disumbat dengan inti kelapa dan ikan, menjadi antara hidangan sampingan istimewa.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Penyediaan Nasi Kerabu melibatkan empat komponen utama iaitu nasi biru, kelapa goreng, penyediaan sayuran/ulam campuran, dan bahan-bahan laut serta bahan tambahan mengikut selera dan citarasa masing-masing. Oleh itu, berikut adalah cara-cara penyediaan nasi kerabu;


Langkah 1: Menyediakan Nasi Biru

  • Bilas bunga telang (segar/kering), kemudian rendam selama 10 hingga 15 minit dalam air panas hingga mengeluarkan warna biru pekat. Tapis dan simpan airnya.

  • Sementara itu, basuh beras hingga air basuhan jernih supaya nasi tidak berkanji berlebihan.

  • Masak seperti biasa menggunakan periuk nasi/kukusan. Gantikan sebahagian atau keseluruhan air dengan air bunga telang.

  • Masukkan daun pandan dan serai diketuk untuk bau harum. Sedikit garam boleh ditambah mengikut cita rasa.

  • Setelah masak, gemburkan nasi dengan garfu/sudip supaya butiran berpisah cantik. Tutup periuk dan biarkan nasi kekal panas hingga waktu menghidang.


Langkah 2: Menyediakan Kelapa Goreng

  • Dalam menunggu nasi biru masak, parut kelapa yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda. Ambil bahagian yang putih sahaja.

  • Kemudian, masukkan kelapa parut ke dalam kuali tanpa minyak, sangai atas api sederhana hingga perang keemasan dan wangi. Kacau selalu agar tidak hangus.

  • Sambil itu, tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih, cili kering rebus (pilihan) hingga halus.

  • Tuangkan bahan tumbukan atau bahan yang dikisar ke dalam kelapa sangai suam, gaul rata.

  • Masukkan garam secukup rasa (sedikit gula pilihan untuk seimbangkan rasa). Gaul hingga sebati.

  • Alihkan ke bekas dan biarkan sejuk. Simpan kering sehingga sedia digunakan.


Langkah 3: Menyediakan Sayuran/Ulam Campuran

  • Cuci & toskan semua ulam seperti timun, kacang panjang, tauge, daun kesum, daun cekur, kubis dan serai muda. Pastikan kering supaya hidangan tidak berair.

  • Kemudian, hiris nipis timun, kacang panjang, kubis dan serai muda; racik daun beraroma (kesum dan cekur) supaya harum sekata.

  • Untuk taugeh pula, pastika ia dicelur 10–20 saat dan segera direndam air sejuk (untuk menjadikan ia lebih rangup), atau digunakan mentah jika segar dan bersih.

  • Setelah itu, assingkan setiap jenis ulam dalam bekas berlainan untuk memudahkan kawalan kuantiti ketika menghidang.


Langkah 4: Menyediakan Bahan Laut dan Bahan Tambahan Mengikut Selera

  • Ikan Bakar

  • Bersihkan ikan kembung/selayang. Lumur nipis garam (perahan limau pilihan). Perap ringkas ±10 minit.

  • Kemudian, panggang atas pemanggang atau kuali leper hingga masak dan sedikit garing pada kulit. Lalu biarkan ia menyejuk dan disimpan ditempat yang bersih dan tertutup.

  • Setelah sejuk ataupun cukup suam, asingkan isi ikan daripada tulang, dan carik halus untuk ditabur atas nasi.


  • Ayam/Daging Bakar 

  • Bersihkan ayam/daging, buang lemak berlebihan dan potong mengikut saiz sederhana untuk memudahkan proses membakar ataupun menggoreng.

  • Kemudian, kumurkan dengan garam dan lada hitam secukupnya.Boleh tambahkan bahan lain seperti kunyit, serai kisar, atau sedikit madu untuk menambah rasa yang lebih autentik (mengikut selera).

  • Setelah itu, biarkan ayam/daging diperap sekurang-kurangnya 30 minit (atau lebih lama untuk rasa lebih sebati).

  • Dalam pada masa itu, panaskan pemanggang atau minyak jika hendak menggunakan cara goreng.

  • Bakar atau goreng ayam/daging hingga masak sekata, balik-balikkan supaya tidak hangus.

  • Setelah masak, biarkan sejuk seketika. Hiris nipis ayam/daging sebelum dihidangkan bersama Nasi Kerabu.


  • Telur Masin

  • Ambil  3 hingga 5 biji telur masin dan basuh sehingga bersih

  • Kemudian, rebus sederhana di antara 7 hingga 9 minit.

  • Setelah betul-betul matang, sejukkan seketika sebelum kopek kulit telur tersebut atapun lebih mudah dengan membelahnya menjadi dua.


  • Sambal Budu

  • Campur budu dengan hirisan cili padi dan bawang merah, tambah perahan limau nipis/kasturi dan sedikit gula jika perlu. 

  • Gaul rata dan rasa seimbangkan masin-masam-pedas.


  • Sampingan lain (pilihan)

  • Keropok: Goreng keropok keping/lekor hingga rangup; toskan minyak.

  • Solok lada (jika ada): Hidangan sampingan istimewa yang dihidang bersama Nasi Kerabu.

Langkah 4: Menghidang & Cara Makan

  • Cedok nasi biru ke pinggan atau tangkupkan menggunkan mangkuk pencetak agar lebih cantik dan kemas.

  • Taburkan kelapa goreng di atas nasi.

  • Tambah ulam campuran (ikut selera jumlah dan jenis) pada sisi nasi

  • Letakkan ikan carik/hirisan ayam atau daging bakar.

  • Sudukan budu (atau sambal) di tepi; masukkan telur masindan keropok.

  • Lalu nasi kerabu sedia untuk dihidangkan.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Anuar, Z. (2021). Nasi kerabu sebagai inspirasi reka corak baru batik skrin. Info Usahawan.


Aweng, E. R., Syuhadah, S. N., Norashikin, M. F., Ismail, A. A., Izzati, S. N., & Fadli, A. A. (2014). Nutritional value of the concoction of Sauropus androgynus, Morinda citrofolia, Clitoria ternatea, Curcuma zanthorrhiza and Curcuma longa used for herbs rice. Journal of

Tropical Resources and Sustainable Science (JTRSS), 2(2), 47–52.


Marzuki, I. N., Othman, N. A., Fauzi, N. A. M., & Som, S. M. (2024). Eksplorasi gastronomi Kelantan melalui rekaan tipografi digital: Exploration of Kelantan gastronomy through digital typography design. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 8 (Special Issue).


Salleh, N. H. M. (2023). Kandungan polifenol dan aktiviti antioksidan filem boleh dimakan daripada bunga telang. Buletin Teknologi MARDI, 36, 85–92.


The Patriots. (n.d.). Asal-usul nasi kerabu. The Patriots. Retrieved September 21, 2025, from https://thepatriots.asia/asal-usul-nasi-kerabu/


Rasa. (n.d.). Resipi lengkap nasi kerabu bunga telang asli dari Kelantan. Rasa. Retrieved September 21, 2025, from https://www.rasa.my/resipi-lengkap-nasi-kerabu-bunga-telang-asli-dari-kelantan/


Zein, M., Putri, G., & Turki, S. S. A. (n.d.). Kuliner sebagai bukti keserumpunan antara Nusantara dan .....


Zulkifli, A. H., Mazlan, N. H., Talhah, H. F., A. W., M. F., Wan Ismail, W. R., & Md Nor, N. (2020). Local Malay snacks and desserts: The hidden gems of Terengganu. ESTEEM Journal of Social Sciences and Humanities, 4, 125–131.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Wan Mohd Rosli bin Wan Sidik

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan
Kompleks JKKN Kelantan Lot 1993, Seksyen 49,Tanjong Chat, 15200, Kota Bharu, KELANTAN DARUL NAIM

09-741 7000

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!