Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
LAKSA KUALA KANGSAR
Makanan Tradisional
Gambar
2
Video
ada
Pelawat Hari ini
43
Jumlah Pelawat
1440
Pengenalan dan sejarah
Laksa Kuala Kangsar merupakan salah satu hidangan tradisional yang sinonim dengan bandar diraja Kuala Kangsar, negeri Perak. Hidangan ini terkenal kerana jenis kuahnya yang ceroi dan beraroma, dihasilkan daripada ramuan tradisional yang diwarisi turun-temurun. Laksa Kuala Kangsar bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat tempatan tetapi juga menjadi tarikan utama kepada pelancong yang berkunjung ke bandar ini.
Keistimewaan Laksa Kuala Kangsar terletak pada laksanya yang diperbuat daripada tepung gandum dan dihasilkan khas menggunakan kaedah tradisional dengan cetakan laksa yang unik dan direbus menggunakan dapur kayu api. Ditambah pula dengan kuahnya yang diperbuat daripada ikan segar seperti ikan kembung atau selayang, memberikan rasa autentik kepada penggemarnya.
Laksa Kuala Kangsar merupakan salah satu hidangan ikonik negeri Perak yang bukan sahaja terkenal kerana keunikan rasanya, tetapi juga kerana peranannya yang rapat dengan kehidupan masyarakat tempatan. Secara umumnya, laksa ini berfungsi sebagai makanan harian yang digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat. Hidangan ini sering dinikmati pada waktu tengah hari atau petang kerana kuahnya yang pekat, berempah, dan sedikit pedas, menjadikan ia hidangan yang mengenyangkan serta sesuai dimakan pada bila-bila masa.
Selain itu, Laksa Kuala Kangsar turut berperanan sebagai hidangan istimewa untuk tetamu dalam pelbagai majlis keramaian. Sama ada majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran, atau sambutan perayaan, laksa ini sering dijadikan salah satu menu utama. Hal ini kerana penyediaannya yang tidak terlalu rumit, bahan-bahannya mudah didapati, serta rasanya yang digemari ramai. Penyediaannya dalam jumlah yang besar juga menjadikan ia sesuai untuk dijadikan menu kenduri yang dapat dinikmati bersama-sama.
Laksa Kuala Kangsar juga berfungsi sebagai simbol identiti kulinari negeri Perak, khususnya di daerah Kuala Kangsar yang terkenal dengan gelaran “Bandar DiRaja.” Hidangan ini mencerminkan keunikan citarasa masyarakat tempatan dan menjadi tarikan utama kepada pelancong yang berkunjung. Ia tidak sekadar mengenyangkan, tetapi juga menjadi medium untuk memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat Perak kepada orang luar.
Selain fungsi budaya dan sosial, Laksa Kuala Kangsar turut memainkan peranan ekonomi. Ramai peniaga kecil dan pengusaha gerai menjadikan laksa ini sebagai produk utama jualan mereka, khususnya di kawasan tumpuan pelancong dan pasar malam. Keupayaannya menarik pelanggan dari dalam dan luar negeri menjadikannya sumber pendapatan yang penting kepada masyarakat setempat. Dengan itu, Laksa Kuala Kangsar bukan sekadar warisan kulinari, tetapi juga aset ekonomi yang memberi sumbangan kepada kelestarian sosioekonomi masyarakat Perak.
-
Bahan-bahan utama:
1kg laksa tepung gandum
6 ekor ikan kembung (dikisar)
5 tangkai cili kering (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
20gm daun kesum
20gm keping daun pudina (pilihan)
1 kuntum bunga kantan
5 keping asam keping
Garam
Serbuk perasa
1 liter air
Bahan Hiasan
Bawang besar secukupnya
Cili padi secukupnya
Timun secukupnya
Rebus ikan kembung bersama asam keping dan air secukupnya dalam anggaran 10 minit atau sehingga ikan masak dan kemudian sejukkan.
Asingkan bahagian isi dan tulang. Simpan air rebusan .
Kisar halus bahan isi ikan terlebih dahulu bersama air rebusan. Kemudian secara berasingan, kisar tulang ikan sehingga halus dan toskan.
Masukkan semua bahan yang telah dikisar ke dalam periuk bersama-sama dengan daun kesum, bunga kantan, asam keping.
Jika kuah laksa mulai mendidih, masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya lalu biarkan mendidih untuk beberapa minit.
Masukkan daun pudina (pilihan) ke dalam masakan ataupun boleh digunakan untuk hiasan.
Masukkan laksa dan bahan hiasan ke dalam pinggan. Tuangkan kuah di atasnya dan makanan siap dihidangkan.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Nugroho, A. H. (2023). Acculturation of Peranakan Culture in The Diversity of Laksa Menu in Southeast Asia. International Review of Humanities Studies, 7(2), 18.
Porusia, M., Sapavi, N. A. M., & Shaifuddin, S. N. M. (2023). Knowledge and Attitudes of Food Safety and Its Associated Factors Among Street Food Consumers in Kuala Kangsar, Perak, Malaysia. Journal of Health and Translational Medicine (JUMMEC), 333-341.
Informan
Puan Khatijah binti Yaakup, Kampung Setia, 33000 Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Yufazli Yusof
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak,
Lot 20561@20565 Jalan Caldwell,
Off Jalan Raja Di Hilir,
30350 Ipoh,
PERAK DARUL RIDZUAN
05-253 7001 / 05-254 1027
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Kampung Setia, 33000 Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan




