LATOK

Makanan Tradisional

Gambar

3

Video

tiada

Pelawat Hari ini

5

Jumlah Pelawat

91

Pengenalan dan sejarah

Foto 1: Latok

Sumber: Agro Bazar


Latok adalah sejenis rumpai laut dari spesies Caulerpa Lentillifera yang juga dikenali sebagai "anggur laut" kerana bentuknya yang menyerupai biji anggur kecil berwarna hijau. Latok sangat popular sebagai makanan tradisional bagi masyarakat etnik Bajau Laut di kawasan perairan Pantai Timur Sabah meliputi daerah Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan dan di kawasan Utara Sabah iaitu daerah Kudat. Latok biasanya dihidangkan sebagai ulam bersama nasi, ikan bakar, atau dimakan mentah dengan campuran perahan limau kasturi, cili kampung, mangga muda ataupun sambal belacan mengikut citarasa masing-masing (Hussain Sutani, 2024). 


Latok bukan sahaja digemari kerana rasa unik dan kesegarannya, tetapi juga kerana teksturnya yang rangup serta sensasi "meletup" dalam mulut apabila dimakan. Masyarakat Bajau Laut mempercayai bahawa memakan latok dapat menyumbang kepada kesihatan yang baik dan umur yang panjang kerana kandungan vitamin A, C, kalsium, magnesium, serta asid lemak omega-3 yang tinggi (Syakilla et al., 2022). Selain itu, menurut Fakhrulddin et al., (2021), khasiat latok kaya dengan antioksidan, anti-radang, serta membantu mengawal paras gula dalam darah, menjadikannya pilihan makanan yang sihat bagi mereka yang ingin menambah nutrisi dalam diet harian.




Fungsi dan Peranan

Latok memainkan pelbagai fungsi dalam konteks pemakanan dan budaya masyarakat maritim di Sabah. Secara tradisional, Latok berperanan sebagai makanan sampingan atau pelengkap kepada hidangan utama yang berasaskan makanan laut, terutamanya ikan bakar, udang, atau sotong. Rasa segar dan tekstur rangup Latok menambahkan variasi rasa kepada makanan utama, menjadikannya pembuka selera semula jadi yang menyegarkan. Namun begitu, Latok kurang sesuai disajikan bersama masakan berdaging seperti ayam atau lembu kerana rasanya yang dominan laut dan sifatnya yang mentah.


Di samping fungsinya sebagai hidangan sampingan, Latok juga berperanan sebagai makanan berfungsi (functional food) yang kaya dengan mineral laut dan serat semula jadi. Ia dipercayai membantu dalam pencernaan, meningkatkan kesihatan kulit, dan membekalkan nutrien penting seperti iodin dan zat besi. Oleh sebab itu, Latok bukan sahaja dilihat dari sudut gastronomi, tetapi juga sebagai sumber makanan sihat yang menyumbang kepada kesihatan tubuh.

Dalam konteks moden, fungsi Latok telah berkembang melangkaui penggunaannya sebagai hidangan tradisional. Ia kini menjadi sebahagian daripada kategori snek ringan atau “ready-to-eat”, yang boleh dinikmati pada bila-bila masa. Melalui inovasi produk, Latok kini dikeringkan dan dibungkus secara moden untuk pasaran luas, termasuk versi segera yang hanya memerlukan air panas untuk mengembalikan kesegarannya. Ini membolehkan Latok diakses oleh pengguna luar Sabah dan menjadikannya lebih mesra pasaran.

Peranan Latok juga semakin penting dalam sektor ekonomi komuniti setempat. Produk ini telah dikomersialkan dalam pelbagai bentuk oleh usahawan tempatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan pengusaha yang mengkomersialkannya. Dalam masa yang sama, ia berperanan sebagai duta makanan warisan etnik Bajau, memperkenalkan kekayaan kulinari Sabah kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Justeru, Latok bukan sahaja berfungsi sebagai makanan, tetapi juga sebagai medium pelestarian budaya, pengukuhan identiti etnik, dan pemangkin ekonomi tempatan.


Foto 2: Pek Komersial Latok
Sumber: Agro Bazar




Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

  • 350 gram Latok segar 

  • 2 Liter air bersih

  • 1 Jug air ais

  • 6 biji limau kasturi

  • 6 biji cili padi

  • 2 biji mangga muda

  • ½ sudu kecil garam

  • ¼ sudu kecil serbuk perasa

  • Sambal belacan (pilihan)

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

  1. Basuh latok dengan air bersih dan rendamkan dalam air ais selama 10-15 minit. Langkah ini penting untuk mengekalkan tekstur rangup dan rasa segar latok.

  2. Setelah direndam, toskan latok dan letakkan di dalam mangkuk bersih.

  3. Sediakan bahan campuran dengan memerah jus limau kasturi, cili padi yang dihiris, mangga muda yang dipotong halus, garam dan serbuk perasa. Kemudian, gaulkan semua bahan sehingga sebati

  4. Jika ingin mencicah latok dengan sambal belacan, tumbuk cili padi dan belacan dengan campuran sedikit garam dan serbuk perasa lalu diperahkan dengan jus limau kasturi. Sambal belacan boleh diletakkan di atasnya atau hidangkan secara berasingan.

  5. Letakkan latok di atas pinggan hidangan dan sedia untuk dimakan bersama nasi putih, ikan bakar, atau dijadikan ulam dalam pelbagai hidangan.

    Foto 2: Hidangan Latok Sumber: Amsalib Pisali

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan


Du Preez, R. (2020). Caulerpa lentillifera (sea grapes) improves bowel movement frequency and alleviates skin dryness: A pilot study in healthy Vietnamese adults. Journal of Applied Phycology, 35(6), 2957–2983. https://doi.org/10.1007/s10811-023-03031-x


Fakhrulddin, I. M., Muta Harah, Z., Shiamala, R. D., & Azrie, A. M. (2021). Effect of salinity, light and fertilizer on Caulerpa lentillifera under culture conditions. AIP Conference Proceedings, 2347(1), 020074. https://doi.org/10.1063/5.0051569


Ismail, M. F., Abdullah, F. I., Ismail, I., Marlina, M., Ramaiya, S. D., Zulhilmi, M. A., Awang, M. A., & Zakaria, M. H. (2024). Cultivation of edible Caulerpa species in Malaysia: Current status and future prospects for sustainable aquaculture. Journal of Applied Phycology, 36, 2439–2458. https://doi.org/10.1007/s10811-024-03271-5


Malaysiakini. (2021, April 21). Regional seaweed delicacy 'latok' to be commercialised. https://www.malaysiakini.com/announcement/571536


Stuthmann, L. E., da Costa, B. B., & Kunzmann, A. (2023). Sea grapes (Caulerpa lentillifera J. Agardh, Chlorophyta) for human use: Structured review on recent research in cultivation, nutritional value, and post-harvest management. Journal of Applied Phycology, 35(6), 2957–2983. https://doi.org/10.1007/s10811-023-03031-x


Syakilla, N. (2022). A review on nutrients, phytochemicals, and health benefits of Caulerpa lentillifera (sea grapes). Marine Drugs, 20(10), 608. https://doi.org/10.3390/md20100608


Wikipedia contributors. (2025, April 3). Caulerpa lentillifera. In Wikipedia, The Free Encyclopedia. Retrieved August 6, 2025, from https://en.wikipedia.org/wiki/Caulerpa_lentillifera


  1. Informan



    Hussain Sutani, Kampung Panji, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!