Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
RINGGI
Makanan Tradisional
Gambar
2
Video
tiada
Pelawat Hari ini
6
Jumlah Pelawat
38
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Ringgi
Sumber: Perlis Geopark.com
Ringgi atau turut dikenali sebagai ‘Emping Padi’, merupakan sejenis makanan tradisional warisan masyarakat Perlis yang diperbuat daripada padi pulut muda yang belum masak sepenuhnya. Proses penghasilannya melibatkan pemanggangan padi hijau sehingga meletup dan kekuningan, diikuti dengan penumbukan menggunakan peralatan tradisional seperti ‘Lesung Batang’ atau ‘Lesung Indik’. Ciri utama yang menjadikan ringgi istimewa adalah rasanya yang rangup serta beraroma, hasil daripada teknik penyediaan secara tradisional yang diwarisi secara turun-temurun. Ia menjadi hidangan utama khususnya untuk kudapan sarapan pagi dan minum petang.
Sajian ringgi ini amat berkait rapat dengan fenomena musim sejuk yang dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai musim timur atau winter wind, yang lazimnya berlaku sekali dalam setahun. Dalam tempoh inilah, aktiviti menghasilkan ringgi dilakukan secara bermusim, menjadikannya antara makanan yang sukar diperoleh di luar waktu tersebut.
Secara tradisinya, penyediaan sajian ini akan dilakukan secara bergotong royong melibatkan semua penduduk kampung satu ketika dahulu sehingga menjadi pesta kampung. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘Mengemping’ dan sering dianggap sebagai sejenis pesta desa yang dinanti-nantikan setiap tahun. Dalam masa yang sama, aktiviti mengemping bukan sekadar proses penyediaan makanan, sebaliknya berfungsi sebagai medium sosial yang penting dalam kehidupan komuniti desa di negeri Perlis khususnya disebut sebagai pesta pencarian jodoh bagi anak-anak muda.
Meskipun ringgi kini semakin sukar ditemui akibat kekangan masa dan proses penyediaan yang terbatas, serta pengaruh perubahan gaya hidup moden, makanan ini tetap kekal sebagai lambang budaya yang sarat dengan nilai warisan. Penghasilan ringgi tidak hanya melibatkan kemahiran dalam penyediaan makanan tradisional, tetapi turut mencerminkan keakraban komuniti dan keunikan ini menjadikan ringgi sebagai salah satu hidangan tradisi yang menjadi warisan kulinari bagi masyarakat di negeri Perlis.
-
-
Berikut adalah bahan-bahan yang digunakan untuk membuat ringgi;
1 mangkuk emping padi (ringgi)
1 mangkuk kelapa parut (bahagian putih sahaja)
1 sudu teh garam
1 sudu teh gula
Daun pisang
Berikut adalah kaedah atau cara penyediaan ringgi.
Langkah 1: Proses awal
Sediakan padi pulut yang masih kelihatan hijau kekuningan sangat sesuai dijadikan emping. Padi tersebut diketam dan dibuang dari tangkainya.
Kemudian padi pulut digoreng tanpa minya (disangai) atas api terbuka sehingga mula ‘meletup’ dan berubah warna kekuningan.Foto 2: Emping Padi Pulut
Sumber: Waffiy Industries
Langkah 2: Penumbukan dan penampian
Padi yang telah dipanggang tadi akan ditumbuk menggunakan lesung indik atau lesung tangan. Hasil tumbukan ini kemudian ditampi untuk membuang kulit padi yang telah merekah.
Langkah 3: Penyediaan hidangan
Masukkan emping ke dalam mangkuk.
Campurkan dengan kelapa parut segar.
Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
Gaul hingga sebati.
Kemudian campuran tersebut boleh dibungkus menggunakan daun pisang.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Geopark Perlis. (n.d.). Makanan tradisi. Perlis Geopark. https://geopark.perlis.gov.my/tour-item/makanan-tradisi/
Kedai Mesin Makanan. (2023, Julai 24). Makanan tradisi negeri Perlis: Menyelami rasa dan warisan kulinari. https://kedaimesinmakanan.com/makanan-tradisi-negeri-perlis/
Warisan Perlis. (2023, Januari 29). Makanan tradisi orang Perlis – Ringgi [Status kemas kini]. Facebook. https://web.facebook.com/permalink.php/?story_fbid=722073353277385&id=100064241791099&_rdc=1&_rdr
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Siti Rohayu binti Muhamad
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis
Kompleks JKKN Perlis
Persiaran Wawasan Kangar
01000 Kangar
PERLIS
019-504 0015
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





