Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
KUIH PENERAM
Makanan Tradisional
Gambar
6
Video
tiada
Pelawat Hari ini
4
Jumlah Pelawat
211
Pengenalan dan sejarah
Kuih Peneram atau lebih dikenali sebagai Kuih Denderam di beberapa negeri, merupakan salah satu kuih tradisional masyarakat Melayu yang masih mengekalkan popularitinya sehingga ke hari ini. Kuih ini sangat sinonim dengan negeri Kedah, malah boleh dianggap sebagai kuih warisan yang melambangkan identiti kulinari negeri tersebut. Popularitinya di Kedah menjadikan kuih peneram sebagai pilihan utama masyarakat setempat yang bukan sahaja sebagai hidangan harian, tetapi juga sebagai juadah penting ketika musim perayaan, kenduri-kendara, dan majlis keramaian.
Menariknya, kuih peneram ini mempunyai pelbagai nama lain mengikut tempat dan dialek setempat, antaranya Peniaram, Genderam, Derang, Benderang, Genderang, malah turut digelar sebagai “Telinga Keling” di pantai timur Semenanjung Malaysia. Walaupun mempunyai nama yang berbeza-beza, asas resipi serta kaedah pembuatannya tetap serupa, iaitu menggunakan tepung beras dan gula merah sebagai bahan utama.
Dari segi rupa bentuk, kuih peneram berbentuk bulat dengan lubang di tengah, menyerupai donat, namun ia mempunyai rasa dan tekstur yang sangat berbeza. Kuih ini diperbuat daripada campuran tepung beras, sedikit tepung gandum, dan gula merah yang dimasak sehingga sebati, kemudian digoreng dalam minyak panas. Proses ini menghasilkan tekstur kuih yang unik serta rangup di bahagian luar tetapi lembut, kenyal dan manis beraroma gula melaka di bahagian dalam.
Secara fungsinya, kuih ini sering dinikmati pada waktu pagi atau petang. Keenakannya yang manis beraroma gula melaka amat serasi dihidangkan bersama minuman panas seperti teh, kopi, atau minuman panas lainnya. Sifatnya yang sederhana tetapi mengenyangkan menjadikannya pilihan yang sesuai sebagai pelengkap hidangan minum pagi dan minum petang, sama ada dalam suasana keluarga di rumah mahupun ketika berkumpul bersama jiran dan sahabat.
Selain sebagai makanan harian, kuih peneram juga mempunyai nilai komersial yang tinggi. Ia banyak dijual di pasar pagi, pasar malam, gerai tepi jalan, dan kedai kuih tradisional. Malah, kini terdapat usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang memasarkan kuih ini dalam bentuk bungkusan moden untuk dijadikan oleh-oleh atau jualan borong. Keistimewaannya yang tahan lama tanpa mudah rosak menjadikan kuih peneram sesuai dipasarkan secara meluas, sekali gus membantu meningkatkan sumber ekonomi masyarakat setempat.
Dalam konteks budaya, kuih peneram sering dijadikan sebagai hidangan penting dalam pelbagai majlis kenduri kendara. Sama ada kenduri perkahwinan, majlis tahlil, ataupun sambutan perayaan, kuih ini kerap disajikan sebagai juadah pelengkap kepada para tetamu. Kehadirannya di meja hidangan bukan sahaja melambangkan nilai kebersamaan dan kemesraan dalam masyarakat, tetapi juga mencerminkan kesederhanaan warisan kulinari Melayu. Tambahan pula, cara pembuatannya yang ringkas serta ketahanannya untuk disimpan menjadikan kuih peneram mudah dihasilkan dalam jumlah yang banyak, sekali gus sesuai dijadikan hidangan ketika berlangsungnya pelbagai majlis keramaian.
Di samping itu, kuih peneram juga sering dijadikan buah tangan dalam majlis perkahwinan atau kenduri. Dengan pembungkusan yang kemas dan menarik, kuih ini sesuai dijadikan hadiah untuk tetamu atau tanda penghargaan kepada orang kenamaan dalam majlis tertentu. Fungsi ini menjadikan kuih peneram bukan sekadar makanan, tetapi juga lambang silaturahim, penghormatan, dan simbol warisan budaya yang terus dipelihara sehingga kini.
-
Untuk menghasilkan kuih peneram yang enak, rangup di luar dan lembut di dalam, beberapa ramuan asas diperlukan. Walaupun bahan-bahannya ringkas, namun keseimbangan sukatan amat penting bagi memastikan tekstur dan rasa kuih ini menjadi sempurna. Berikut ialah bahan-bahan lengkap beserta sukatan yang biasanya digunakan dalam penyediaan kuih peneram tradisional;
2 cawan tepung beras – bahan utama untuk menghasilkan tekstur kuih.
2 sudu besar tepung gandum – sebagai pengikat adunan supaya tidak mudah pecah ketika digoreng.
1 cawan gula merah / gula melaka / gula enau – memberikan rasa manis yang pekat serta aroma yang harum.
3/4 cawan air bertapis – untuk melarutkan gula merah sebelum digaul dengan tepung.
1 helai daun pandan – dicuci dan disimpul untuk menambahkan aroma ketika memasak larutan gula.
1/2 sudu kecil air kapur makan (pilihan) – menambahkan sedikit keanjalan dan kekenyalan pada kuih.
Minyak masak secukupnya – untuk menggoreng kuih.
Proses menyediakan kuih peneram memerlukan sedikit ketelitian kerana keseimbangan adunan menentukan tekstur akhir kuih sama ada rangup atau lembut. Walaupun kelihatan ringkas, terdapat langkah-langkah penting yang perlu diikuti untuk memastikan kuih peneram menjadi dengan sempurna. Berikut ialah cara penyediaannya:
Langkah 1: Menyediakan larutan gula
Masukkan gula merah bersama air ke dalam periuk.
Masukkan juga daun pandan yang telah disimpul untuk menambahkan aroma.
Masak dengan api perlahan sehingga gula larut sepenuhnya.
Langkah 2: Mendidihkan larutan gula
Setelah gula mula mendidih, kuatkan sedikit api dan biarkan selama 15–20 saat sambil dikacau.
Tutup api dan biarkan larutan gula suam.
Langkah 3: Mencampur adunan tepung
Ayak tepung beras ke dalam mangkuk besar.
Tuangkan larutan gula merah suam ke dalam tepung sedikit demi sedikit sambil ditapis.
Gaul rata sehingga adunan menjadi sebati.
Langkah 4: Membentuk adunan pekat
Kacau adunan hingga menjadi pes yang pekat bertali.
Jika terlalu keras, boleh tambahkan sedikit air panas.
Langkah 5: Rehat dan perap adunan
Biarkan adunan sehingga agak suam, kemudian uli sebentar dengan tangan.
Tutup bekas dan perap adunan selama sekurang-kurangnya 6 jam pada suhu bilik.
Proses pemerapan ini penting untuk menghasilkan tekstur kuih yang lembut di dalam dan berongga cantik.
Langkah 6: Menguli semula doh
Setelah diperam, uli kembali adunan sehingga lembut.
Jika terdapat rekahan, tambahkan sedikit air panas untuk melembutkannya.
Langkah 7: Membentuk kuih
Canai doh hingga leper dan terap menggunakan acuan berbentuk bulat dengan ukuran lebih kurang 3 inci diameter.
Buat lubang di bahagian tengah menggunakan lidi atau chopstick mahupun acuam khusus yang boleh menggunakan acuan donat kecil
Alternatif lain ialah menggenggam doh sebesar guli dan menekannya dengan tangan sebelum ditebuk lubang di tengah.
Langkah 8: Menggoreng kuih peneram
Kemudian, panaskan minyak masak yang banyak di dalam kuali.
Masukkan doh peneram dan goreng menggunakan api sederhana sehingga berwarna perang keemasan.
Pastikan kuih dibalikkan agar masak sekata.
Langkah 9: Menghidang
Angkat kuih yang telah masak, toskan minyak berlebihan, dan biarkan sejuk seketika.
Kuih peneram enak dinikmati ketika masih segar, rangup di luar tetapi lembut di dalam, terutama apabila dihidangkan bersama secawan teh atau kopi panas.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Azman, H., & Ruwaida, A. W. (2016). Availability of Malaysia traditional food process mechanization produced by MARDI. 3rd International Conference on Agricultural and Food Engineering, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia.
Hasan, H., Abd Aziz, M. K. N., Ahmad, J., & Noor, M. N. M. (2024). Mencari jati diri makanan Melayu Perlis: Suatu catatan awal [Searching for the identity of Perlis Malay food: An initial note]. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 8(Special Issues).
“Kuih denderam.” (2011, Februari 14). Pusat Rujukan Persuratan Melayu: Kamus Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my
Resepi Che Nom. (n.d.). Kuih Peneram Rangup Luar Lembut Dalam. https://resepichenom.com/resepi/kuih-peneram-rangup-luar-lembut-dalam
Cookpad. (n.d.). Kuih Peneram. https://cookpad.com/my/recipes/23889482
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Mohammad Salleh bin Mahmud
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah
Lot PTD 400, Pumpong
05250 Alor Setar
KEDAH DARUL AMAN
011-10899646
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





