Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

5

Jumlah Pelawat

7

Pengenalan dan sejarah

Nasi Beriani Gam merupakan makanan tradisi yang terkenal di negeri Johor, Malaysia terutamanya di daerah Muar dan Batu Pahat. Istilah “beriani” berasal daripada perkataan Parsi berya(n) yang bermaksud goreng atau panggang, dan makanan ini dikatakan diperkenalkan oleh pedagang Parsi kepada masyarakat India dan Pakistan yang berhijrah ke Tanah Melayu. 


Satu variasi khusus hidangan ini, iaitu Nasi Beriani Gam, berasal daripada tradisi kulinari komuniti India-Muslim, khususnya dari negeri Tamil Nadu, India. Ciri utama hidangan ini adalah nasi dan daging dan kebiasaannya daging kambing yang mana ianya dimasak secara berasingan sebelum disajikan bersama dalam bentuk yang padat, lembap dan sedikit melekit. Istilah “gam” berasal daripada bahasa Tamil yang membawa maksud rapat atau melekat, merujuk kepada tekstur nasi yang lebih mampat apabila disatukan dengan kuah daging yang pekat. Hal ini membezakan Nasi Beriani Gam daripada variasi beriani lain yang bertekstur lebih terurai dan gebu. Teknik memasak ini pada asalnya diperkenalkan bagi menjimatkan bahan dan tenaga, di samping memastikan setiap butir nasi disaluti rasa kuah yang kaya. Hidangan ini juga turut dikenali sebagai Nasi Briyani atau Nasi Minyak. Ia kemudiannya disesuaikan mengikut citarasa tempatan dan menjadi sangat sinonim dengan restoran yang menjual nasi briyani gam.


Penggunaan beras basmati bersama rempah ratus seperti bunga lawang, kayu manis, cengkih, halia, bawang, daun pudina, minyak sapi serta saffron yang memberikan warna keemasan menjadikan Nasi Beriani Gam unik dan beraroma. Hidangan ini lazimnya disediakan dengan pilihan daging seperti kambing, lembu, ayam, ikan atau udang, dan sering dihidangkan dalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu Islam, biasanya bersama lauk seperti rendang serta minuman sirap bandung.


Fungsi dan Peranan

Dalam konteks budaya Malaysia, nasi briyani bukan sahaja dianggap sebagai hidangan istimewa, tetapi juga membawa makna simbolik sebagai lambang kemeriahan, penghormatan tetamu dan status sosial. Hidangan ini lazim dihidangkan dalam acara-acara penting, termasuk majlis perkahwinan masyarakat Melayu-Islam, majlis perayaan, kenduri doa selamat dan majlis kesyukuran. Dalam majlis perkahwinan, penyajiannya melambangkan kemurahan hati, keberkatan dan penghargaan kepada tetamu. Hidangan ini sering dipadankan dengan pelbagai menu sampingan seperti rendang, ayam masak merah, dalca sayur, acar timun, papadom serta minuman sirap bandung.


Selain menjadi makanan utama, Nasi Beriani Gam turut berfungsi sebagai medium interaksi sosial. Proses penyediaannya yang memerlukan masa, kemahiran dan tenaga biasanya dilakukan secara bergotong-royong, melibatkan ahli keluarga atau komuniti setempat. Aktiviti ini menguatkan hubungan kekeluargaan, memupuk nilai kerjasama, dan memastikan tradisi masakan dapat diwarisi oleh generasi muda.


Dari sudut ekonomi, Nasi Beriani Gam memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan peniaga-peniaga. Ia menjadi antara menu utama yang menarik pelanggan, sama ada dalam bentuk hidangan harian, perkhidmatan katering atau produk yang dibungkus untuk jualan. Permintaan yang tinggi menunjukkan bahawa hidangan ini mempunyai nilai komersial yang kukuh dalam industri makanan negara.


Akhir sekali, walaupun dunia kuliner di Malaysia kian berubah akibat perubahan zaman, Nasi Beriani Gam kekal sebagai pengekalan identiti makanan tradisional terutamanya di negeri Johor dan secara tidak langsung menghubungkan generasi lama dan baharu, memupuk nilai kebersamaan, dan mengekalkan kesinambungan warisan makanan dalam masyarakat berbilang etnik di Malaysia.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

  • Periuk besar

  • Beras basmati

  • Daging lembu / ayam / kambing

  • Rempah beriani (pelaga, bunga lawang, kayu manis, jintan manis, cengkih)

  • Halia

  • Bawang

  • Daun pudina

  • Daun selasih

  • Susu cair / yogurt

  • Saffron

  • Minyak sapi

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

  1. Daging dipotong dan diperap dengan rempah beriani, bawang kisar, halia, dan yogurt atau tairu (susu yang dicampur dengan perahan limau). 

  2. Perap daging ini selama beberapa jam atau semalaman untuk memastikan rempah meresap ke dalam daging.

  3. Daging yang telah diperap tadi dimasak bersama rempah tambahan sehingga ia empuk dan kuahnya menjadi pekat.

  4. Dalam periuk berasingan, panaskan minyak sapi. Tumis rempah seperti buah pelaga, kayu manis, bunga lawang, serta bawang merah, bawang putih, dan halia yang dihiris sehingga wangi. 

  5. Masukkan beras basmati yang telah dicuci ke dalam tumisan rempah dan gaul rata. Tambah air secukupnya bersama saffron (atau pewarna), garam, dan gula. Masak nasi sehingga ia separuh masak.

  6. Dalam sebuah periuk lain, susun lapisan nasi yang separuh masak tadi secara berselang-seli dengan daging dan kuahnya yang pekat. Proses ini dikenali sebagai "gam" atau "dam", di mana nasi dan daging akan dimasak bersama untuk membolehkan aroma dan rasa menyatu.

  7. Tutup periuk dengan rapat (secara tradisional, bahagian tepi tudung periuk ditutup dengan adunan tepung gandum untuk mengelakkan wap keluar). 

  8. Masak nasi dengan api yang sangat perlahan sehingga nasi dan daging masak sepenuhnya dan semua aroma sebati.

  9. Nasi Beriani Gam biasanya dihidangkan panas-panas. Ia boleh dihias dengan taburan gajus goreng dan kismis, serta dinikmati bersama lauk sampingan seperti ayam masak merah, acar timun, dan papadom.


Cara memasak kadang-kala berlainan mengikut resepi yang diturunkan turun temurun oleh keluarga individu.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Blogger. (n.d.). Nasi Beriani Gam Johor. Malay Cook Spices. Retrieved November 14, 2025, from http://malay-cook-spices.blogspot.com/2011/04/nasi-beriani-gam-johor.html


Johor Kaki. (2012, March 23). Nasi Baryani @ Mohd Shah in Batu Pahat, Johor, Malaysia. https://johorkaki.blogspot.com/2012/03/nasi-baryani-mohd-shah-in-batu-pahat.html


MalaysianChefs. (2024, March 10). Nasi Briyani-Famous Malaysian cuisine. https://malaysianchefs.com/nasi-briyani-famous-malaysian-cuisine/


The Vocket. (2015, March 24). 2 lokasi Nasi baryani wajib pergi di Batu Pahat. https://thevocket.com/2-lokasi-nasi-baryani-wajib-pergi-di-batu-pahat/



Informan

Nasi Baryani Mohd Shah. Gerai No. 14, Kompleks Niaga Peserai (Benteng Peserai), Jalan Peserai, 83000, Batu Pahat, Johor. (+60 11-18788322)


Restoran BP Baryani Power. 18, Jalan Tukas 2, Taman Soga, 83000 Batu Pahat, Johor. (+60 12-712 0987)



Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Johor (JKKN)
  • Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO, No 26, Jln Susur 5, Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin, 80200 Johor Bahru, Johor Darul Takzim.
  • +60 7-224 8270
  • info@jkkn.gov.my
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Norazlina binti Othman

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO No 26, Jalan Susur 5 Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin 80200 Johor Bahru JOHOR DARUL TAKZIM

07-224 8270 / 223 1249

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!