Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
DODOL KUKUS
Makanan Tradisional
Gambar
8
Video
tiada
Pelawat Hari ini
2
Jumlah Pelawat
123
Pengenalan dan sejarah
Dodol Kukus merupakan salah satu kuih tradisional yang popular di Malaysia, khususnya berasal dari negeri Pahang. Berbeza dengan dodol tradisional yang lazimnya dimasak di atas api terbuka sambil dikacau berjam-jam, versi kukus ini menggunakan teknik mengukus yang lebih ringkas dan menjimatkan masa. Kaedah tersebut membolehkan proses penyediaan dilakukan tanpa kacauan berterusan, namun tetap menghasilkan tekstur yang lembut, licin, berkilat, serta mengekalkan rasa lemak manis yang menjadi ciri utama dodol. Keunikan resipi ini terletak pada penggunaan tahi minyak.
Secara umum, dodol turut dikenali sebagai “Gelamai” tergolong dalam kategori manisan atau penganan tradisional. Istilah “Dodol” telah direkodkan dalam sejarah perkamusan sejak abad ke-19, antaranya dalam karya “ A Grammar and Dictionary of the Malay Language: With a Preliminary” (Jilid 2) yang diterbitkan pada tahun 1852 oleh John Crawfurd. Dalam kamus tersebut, perkataan “confectionery” digunakan bagi merujuk kepada maksud manisan atau dodol, sekali gus membuktikan kewujudannya dalam tradisi makanan masyarakat Melayu sejak sekurang-kurangnya lebih 170 tahun lalu.
Dodol kukus mempunyai fungsi yang pelbagai dalam konteks sosial, budaya, dan ekonomi masyarakat Melayu, khususnya di negeri Pahang. Secara tradisional, dodol berperanan sebagai hidangan istimewa pada musim perayaan, terutamanya Hari Raya Aidilfitri. Proses penyediaan dodol tradisional yang memerlukan masa lama dan tenaga kerja yang ramai menjadikannya simbol kerjasama komuniti, di mana ahli keluarga dan jiran tetangga akan bergotong-royong mengacau adunan di dalam kawah besar. Proses ini bukan sahaja bertujuan menghasilkan makanan, tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturahim melalui interaksi sosial sepanjang aktiviti tersebut.
-
Penyediaan Dodol Kukus memerlukan kombinasi bahan-bahan asas yang memberi rasa lemak manis, aroma wangi, serta tekstur kenyal yang menjadi ciri khas dodol. Secara tradisional, resipi ini dibahagikan kepada empat komponen utama bagi memudahkan proses penyediaan, iaitu Bahan A untuk menghasilkan tahi minyak yang berperanan sebagai penambah aroma dan rasa; Bahan B iaitu daun pisang yang dilayur sebagai alas loyang bagi mengelakkan adunan melekat dan memberi bau harum semula jadi; Bahan C iaitu larutan gula yang menggabungkan gula merah dan gula pasir bagi membentuk warna serta kemanisan dodol; dan Bahan D iaitu adunan tepung pulut bersama tepung ubi dan santan pekat yang menjadi asas tekstur dodol. Pembahagian bahan ini bukan sahaja membantu memastikan rasa dan kualiti yang konsisten, malah mencerminkan teknik penyediaan unik dodol kukus. Berikut adalah senarai bahan-bahan dodol kukus;
Bahan A – Tahi Minyak
1 cawan santan pekat
Sedikit garam
Bahan B – Alas Dodol
Daun pisang secukupnya (dilayur sehingga lembut)
Bahan C – Larutan Gula
1 cawan gula merah
½ cawan gula pasir
1 cawan air
Bahan D – Adunan Tepung
2 cawan tepung pulut
1 sudu tepung ubi
1½ cawan santan pekat
Langkah 1: Membuat Tahi Minyak
Masukkan santan pekat bersama sedikit garam ke dalam kuali atau periuk.
Masak menggunakan api sederhana selama lebih kurang 30 minit sehingga santan pecah minyak dan terbentuk gumpalan kecil berwarna perang keemasan.
Asingkan minyak dan tahi minyak, ketepikan untuk digunakan kemudian.
Langkah 2: Menyediakan Daun Pisang
Layurkan daun pisang di atas api kecil atau celup sebentar ke dalam air panas supaya lebih lembut dan tidak mudah koyak.
Lap hingga kering dan ketepikan sebagai alas loyang.
Langkah 3: Menyediakan Larutan Gula
Satukan gula merah, gula pasir, dan air ke dalam periuk.
Masak di atas api sederhana hingga semua gula larut sepenuhnya.
Tapis larutan untuk membuang kotoran, biarkan suam.
Langkah 4: Menyediakan Adunan Dodol
Dalam mangkuk besar, satukan tepung pulut, tepung ubi, dan santan. Gaul hingga sebati.
Masukkan larutan gula yang masih suam ke dalam campuran tepung, kacau hingga rata.
Tapis adunan untuk mendapatkan tekstur yang halus dan bebas ketulan.
Langkah 5: Mengukus Dodol
Panaskan pengukus.
Sapu minyak daripada tahi minyak ke atas permukaan daun pisang yang telah dialas dalam loyang.
Tuangkan adunan dodol ke dalam loyang, ratakan permukaan.
Kukus selama 15–20 minit sehingga dodol masak sepenuhnya. Dodol yang siap masak akan kelihatan licin, kenyal, dan tidak melekat di jari.
Langkah 6: Menyempurnakan Hidangan
Setelah masak, angkat dodol dan biarkan sejuk sedikit.
Taburkan tahi minyak di atas permukaan dodol untuk rasa lebih lemak dan aroma yang harum.
Hidangkan Dodol Kukus.
-
Sumber Rujukan
- Bahan Bacaan
- Crawfurd, J. (1852). A grammar and dictionary of the Malay language (Vol. 2, p. 43). Smith, Elder, and Co. https://archive.org/details/grammaranddicti02crawgoog
- Resepi Bonda. (n.d.). Resepi dodol kukus kuih tradisional Pahang. https://resepibonda.my/resepi-dodol-kukus-kuih-tradisional-pahang/#google_vignette
- Cookpad. (n.d.). Dodol kukus. https://cookpad.com/my/recipes/15324143?view=search
- Shariff, S. N. F. A., Sulong, S. N., Omar, M., & Ideris, M. S. K. (n.d.). Makanan asli warisan Negeri Sembilan, Pahang dan Utara. Pelestarian makanan warisan Melayu diwarisi sejak zaman ke zaman peliharalah hidangan setiap satu jadikan panduan juga rujukan (hlm. 107).
- Noor, S. M., & Musa, M. F. (2024). Dokumentasi penyediaan kelemai: Kuih tradisional masyarakat Rawa di Perak: (Documentation of the preparation of kelemai: A traditional cake of the Rao community in Perak). Asian Journal of Environment, History and Heritage, 8(Special Issues).
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norlelah Abd Karim
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang
Kompleks JKKN Pahang
Lot 57100, Jalan Teluk Sisek,
25000, Kuantan,
Pahang Darul Makmur
09-517 8466
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





