KARI DEBAL

Makanan Tradisional

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

2

Pengenalan dan sejarah

Kari Debal (juga dikenali sebagai Devil's Curry) adalah makanan tradisional utama masyarakat Kristang di Melaka. Nama "Debal" itu sendiri dipercayai berasal daripada perkataan Portugis "diabo", yang bermaksud syaitan atau iblis, merujuk kepada rasa pedasnya yang "ganas" dan menyengat. Hidangan ini secara langsung mencerminkan sejarah penjajahan Portugis di Melaka yang bermula pada tahun 1511.


Kari Debal bukanlah kari yang dibawa dari Portugis, tetapi merupakan antara contoh makanan yang melalui proses penyerapan dan penyesuaian budaya. Asal-usulnya berkait rapat dengan tradisi perayaan, ia secara tradisinya merupakan hidangan yang dimasak pada hari kedua Krismas (26 Disember). Ia dicipta untuk menggunakan sisa daging dari hidangan besar sambutan Hari Krismas, mengubahnya menjadi hidangan baharu yang lazat. Kini, ia juga dihidangkan secara meluas semasa Hari Krismas atau majlis-majlis istimewa.


Proses terciptanya kari ini adalah dengan menggabungkan teknik Eropah dengan bahan-bahan tempatan. Orang Portugis memperkenalkan konsep masakan stew dengan menggunakan cuka sebagai perisa dan pengawet. Komuniti Kristang mengadaptasinya dengan rempah tempatan seperti cili kering, bawang, lengkuas, kunyit, dan buah keras. Ciri khasnya di dalam masakan ini ialah rasanya pedas tanpa menggunakan serbuk kari, dan menggunakan biji sawi yang ditumis, serta gabungan cuka dan air asam jawa untuk mencipta rasa masam-pedas yang unik.

Fungsi dan Peranan

Kari Debal memainkan peranan yang amat mendalam dalam masyarakat Malaysia. Bagi komuniti Kristang di Melaka, Debal adalah lebih daripada sekadar makanan, ia adalah roh budaya mereka. Menghidangkan Debal adalah satu cara untuk menegaskan identiti mereka dan menghubungkan generasi muda dengan sejarah warisan mereka. Ia juga telah menjadi tarikan yang mesti dicuba oleh pelancong yang melawat Perkampungan Portugis di Melaka.


Debal sering dijadikan contoh utama bagaimana budaya asing (Portugis) dapat diserap sepenuhnya dan diubah suai oleh konteks tempatan (Melayu/Nusantara) untuk melahirkan sesuatu yang baharu dan unik bagi Malaysia. Walaupun kini boleh didapati di restoran, fungsi asalnya sebagai hidangan untuk majlis keramaian, terutamanya Krismas, masih dikekalkan, menghidupkan semangat perkongsian dan kekeluargaan.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

  • Ayam

  • Cili Kering

  • Bawang Besar

  • Cili Merah

  • Ubi Kentang

  • Lengkuas

  • Serai

  • Halia

  • Kunyit Hidup

  • Cuka Masak

  • Buah Keras

  • Biji Sawi

  • Asam Jawa

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

  1. Rebus cili kering sehingga lembut dan kisar sehingga lumat.

  2. Hiris bawang besar dalam bentuk dadu.

  3. Kisar bahan-bahan berikut sehingga hancur: bawang besar, serai, lengkuas, halia, kunyit hidup, dan buah keras.

  4. Goreng sebahagian daripada halia sehingga garing (untuk dijadikan hiasan).

  5. Panaskan minyak dan tumis cili kisar bersama bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan biji sawi sehingga naik bau dan "pecah minyak".

  6. Masukkan ayam dan gaul rata, diikuti dengan ubi kentang.

  7. Masukkan air asam jawa dan gaul semua bahan sehingga sebati.

  8. Masukkan cuka masak dan perasakan dengan garam.

  9. Biarkan mereneh sehingga ayam dan ubi kentang empuk dan kuah menjadi pekat.

  10. Taburkan cili merah yang dihiris dan halia yang digoreng garing tadi sebagai hiasan sebelum dihidang.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Atlas Obscura. (n.d.). Devil’s Curry. Retrieved November 1, 2025, from https://www.atlasobscura.com/foods/devils-curry-kristang-malaysia


Michelin Guide. (2023, December 22). Debal Curry: A Kristang dish of Malaysian and Portuguese origins. https://guide.michelin.com/my/en/article/features/debal-curry-a-kristang-dish-of-malaysian-and-portuguese-origins


Serious Eats. (2025). Pecah Minyak: The Technique for Managing Moisture and Flavor Development. https://www.seriouseats.com/sambal-tumis-malaysian-chile-paste-7197954#toc-pecah-minyak-the-technique-for-managing-moisture-and-flavor-development


Utusan Malaysia. (2021, December 25). Kari Debal menu istimewa Krismas Serani. https://www.utusan.com.my/gaya/2021/12/kari-debal-menu-istimewa-krismas-serani/


Informan

Sara Frederica Santa Maria. 25, Jalan Eredia, Perkampungan Portugis Melaka, 75050 Melaka. (+60 14-6908434)


Restoran San Pedro. 3, Jalan D'Albuquerque, Perkampungan Portugis, 75050 Melaka. (+60 6-284 5734)


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Nur Al-Farani binti Rosli

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka
Kompleks JKKN Melaka Hang Tuah Jaya, Lebuh Ayer Keroh, 75450 MELAKA

06 - 763 6308

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!