SAGOL/SINAGOL

Makanan Tradisional

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

768

Pengenalan dan sejarah


Sagol juga dikenali sebagai Sinagol atau Siagol merupakan makanan istimewa bagi masyarakat etnik Bajau Laut dan Suluk yang yang sangat popular di kawasan daerah Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat. Hidangan ini dinamakan berdasarkan perkataan dalam bahasa Bajau Laut “Sagol” yang membawa maksud “campur” atau “campuran” melibatkan gabungan isi ikan, hati ikan serta pelbagai rempah untuk menghasilkan rasa yang unik dan beraroma. Sagol sering diperbuat daripada jenis ikan yang mempunyai organ dalaman hati yang besar seperti ikan pari, ikan buntal atau ikan ogos (parrot fish). Kadangkala, hidangan istimewa ini turut menggunakan ikan jerung atau dalam bahasa Bajau Laut disebut sebagai “Kalitan” yang terdiri daripada empat jenis iaitu jerung putih (Kalitan Pote’), jerung pasir (Kalitan Tutungan), jerung paus (Kalitan Battikan) dan jerung tukul (Kalitan Pababag) (Alulakkal Kalingkung, 2024). 


Foto 1: Sagol

Sumber: Ihsan Penulis, 2024


Makanan ini terhasil daripada campuran isi ikan yang telah direbus atau dikukus yang dihancurkan bersama kunyit, bawang putih, bawang merah, serai, dan cili padi kemudian dimasak sehingga kesemua bahan sebati. Sagol boleh dimasak dalam bentuk kering (tanpa kuah) atau basah (berkuah), bergantung kepada cita rasa masing-masing (Jamilah Alulakkal, 2024). Hidangan ini biasanya dimakan bersama-sama putu, aggang ataupun nasi panas. 


Kehadiran sagol sebagai hidangan tradisional juga mencerminkan kemahiran masyarakat Bajau dalam menyediakan ikan yang berisiko seperti ikan buntal, yang memerlukan kepakaran tertentu untuk menghilangkan racunnya sebelum dimasak (Alulakkal Kalingkung, 2024). Justeru itu, Sagol bukan sekadar hidangan makanan, tetapi juga mencerminkan kebolehan dan pengalaman masyarakat etnik Bajau Laut dan Suluk dalam mengolah hasil laut secara kreatif dan selamat serta melambangkan keunikan budaya kulinari mereka yang banyak bergantung kepada sumber laut sebagai sebahagian besar daripada diet harian.


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan


1 ekor ikan - Ikan pari, ikan jerung, ikan ogos atau ikan buntal

Hati ikan - Bahan utama yang memberi rasa pekat dan tekstur unik

2 ulas kunyit hidup (saiz sederhana)

3 biji bawang merah

1 labu bawang putih

1 biji bawang holland

1 biji halia (saiz sederhana)

3 batang serai

10-15 biji cili padi - ikut tahap pedas masing-masing

½ sudu makan garam

½ sudu kecil serbuk perasa

1 sudu besar minyak masak

½ cawan air asam jawa

½ mangkuk air rebusan ikan 


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Siang dan asingkan hati ikan terlebih dahulu.

2. Rebus isi ikan bersama serai sehingga masak kecuali hati ikan. Toskan dan biarkan sejuk. Simpan air rebusan untuk dijadikan asas kuah.

3. Setelah ikan sejuk, carikkan isi ikan menjadi kepingan kecil dan ketepikan.

4. Tumbuk bawang putih, bawang merah, bawang hollang, kunyit dan halia sehingga lumat.

5. Panaskan minyak dalam kuali lalu tumis semua rempah yang telah ditumbuk sehingga naik bau lalu masukkan hati ikan dan kacau sehingga hati masak sepenuhnya.

6. Setelah itu, masukkan isi ikan yang telah dicarik dan gaulkan bersama bahan tumisan.

7. Masukkan air asam jawa, garam dan serbuk secukup rasa. Jika mahu versi berkuah, tambahkan air rebusan ikan sedikit demi sedikit.

8. Kacau bahan-bahan dengan sebati dan biarkan masak selama 5-10 minit sehingga kuah menjadi pekat.

9. Sagol sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih, putu atau aggang.


Tokoh dan Pencapaian

Alulakkal bin Hj. Kalingkung. 70 tahun. Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.


Sitti Kanih binti Hj. Amat Banang, 67 tahun, Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah;. 3 Oktober 2024.


Jamilah binti Alulakkal. 48 tahun. Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.


Sumber Rujukan

-

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Alulakkal bin Hj. Kalingkung (70 years old)
  • Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah
  • +60172244743
  • -
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!