Boria adalah seni teater tradisional yang secara
umumnya dikaitkan dengan sejarah dan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa
pembunuhan Saidina Hassan dan Saidina Hussein oleh tentera-tentera Khalifah
Muawiyah bin Abi Suffian. Upacara
memperingati peristiwa ini diadakan secara tahunan oleh pengikut-pengikut
Syiah.
Terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa Boria dibawa
masuk oleh orang India Muslim ke Tanah Melayu dan mula bertapak di Pulau Pinang
pada sekitar abad ke-19. Ketika itu permainan Boria hanya disertai oleh
pedagang India Muslim yang menyambut 10 Muharam sempena peristiwa Karbala.
Mereka menconteng muka, bertopeng dan memakai pakaian dari guni yang dikenali
sebagai Boria Kuli Kalin, manakala orang Melayu ketika itu hanya menjadi
penonton sahaja.
Perkataan Boria juga dikatakan berasal dari perkataan
‘Borai’ yang dalam bahasa Hindustan bermaksud gila atau sasau. Boria juga
membawa maksud tikar kerana ia dikaitkan dengan sepoi-sepoi (askar-askar) India
yang dibawa masuk oleh British. Mereka mempersembahkan Boria di atas hamparan
tikar, manakala pakaian mereka juga dibuat daripada tikar bagi mengambarkan
kesengsaraan hidup di zaman Saidina Hassan dan Hussein r.a di Karbala.
Ada juga
berpendapat ia meminjam perkataan ‘Bori’ dari kaum Gujerat yang datang
berdagang dan menetap di Pulau Pinang. Ada pula mengatakan perkataan Boria itu
asalnya dari perkataan ‘Ria’ sahaja iaitu bersuka-ria dan kemudian dinamakan
Boria. Walau apa pun versi mengenai asal-usul Boria, tiada siapa yang dapat
menyatakan ia betul atau salah, kerana kebanyakan sumber rujukan awal ini
adalah dari sumber lisan, bukan sumber bertulis.
Persembahan Boria kini menjadi wadah hiburan yang
menggabungkan lakonan/sketsa, gerak tari (para sailor) dan nyanyian rangkap
bersyair yang diketuai seorang penyanyi yang dikenali sebagai Tukang Karang. Penampilan pakaian, muzik, dialog dengan jalan cerita
yang dimainkan hendaklah bersesuaian dengan isu-isu semasa yang sering menjadi
tema kepada persembahan Boria. Persembahan Boria sering menjadi pilihan untuk
dipersembah dalam majlis dan acara berkaitan seni budaya dan warisan.
Pakaian pemain Boria mengalami evolusi sejak zaman awal Boria dimainkan iaitu era 1950an hingga 1960an. Asalnya, penduduk kampung yang terlibat dalam Boria hanya memakai pakaian harian. Pakaian untuk persembahan Boria mula berubah apabila pihak RTM menganjurkan pertandingan TV Dendang Rakyat pada era 1970an dan 1980an. Ketika itu peserta Boria mula memakai pakaian yang seragam. Pada masa kini, dalam persembahan Boria moden, para sailor terutamanya Tukang Karang memakai pakaian dan aksesori seragam berwarna-warni dengan baju dan lengan fesyen beropol-ropol.
Tukang Karang menggunakan prop tongkat, sementara sailor
dan pelakon sketsa menggunakan payung, bendera dan sebagainya. Alat-alat muzik
yang sering digunakan dalam Boria adalah violin, gambus, marwas, tabla, simbal,
gendang, akordian, harmonika dan gitar. Walau bagaimanapun, pada masa kini,
banyak persembahan Boria menggunakan muzik yang telah dirakam terlebih dahulu.
Salah seorang Tokoh Boria Pulau Pinang ialah saudara
Omar Md Hashim yang menubuhkan Kumpulan Boria Omara. Beliau telah menerima
anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis pengiktirafan dan Anugerah
Warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) pada tahun 2022. Beliau
telah banyak mengadakan persembahan boria dengan penglibatan ramai generasi
muda pelbagai kaum di serata negeri Pulau Pinang dan turut memenuhi jemputan di
seluruh negara.
i. Bahan Bacaan : Sejarah dan Perkembangan Boria Pulau
Pinang, terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang,
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, cetakan pertama 2004,
cetakan kedua 2005
Boria From Passion Play to Malay-Jawi Peranakan
Parody, Wazir Jahan Karim. 2018
Tokoh (jika ada temu bual tokoh) : Omar bin Mad Hashim (Omara)