Gambar

8

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

2

Pengenalan dan sejarah

Tating Lawi merupakan salah satu permainan tradisional masyarakat di Pulau Pinang yang diwarisi turun-temurun sejak dahulu. Permainan ini tergolong dalam kategori permainan rakyat yang ringkas dan  lebih digemari oleh kanak-kanak lelaki kerana permainan ini menuntut kemahiran menimbang, kepantasan kaki, serta daya tahan fizikal. Walau bagaimanapun, ia tetap terbuka untuk semua golongan tanpa mengira umur atau jantina. Keunikan permainan ini ialah sifatnya yang ringkas dan fleksibel kerana boleh dimainkan di mana-mana sahaja kawasan lapang.


Dari segi bahasa, perkataan Tating merujuk kepada perbuatan menimang atau menendang sesuatu objek ke udara berulang kali tanpa membiarkannya jatuh ke tanah, manakala Lawi merujuk kepada bulu ayam atau ekor ayam yang menjadi bahan utama dalam pembuatan alat permainan ini.  Menariknya, permainan ini juga dikenali dengan pelbagai nama lain mengikut tempat contohnya seperti Chapteh, Sepak Bulu Ayam atau Sepak Yem. Walaupun istilah berbeza digunakan, asas permainan tetap sama iaitu mengekalkan objek berbulu ayam di udara menggunakan kaki atau anggota badan tertentu tanpa membiarkannya jatuh ke tanah.


Asal usul permainan ini dapat dikesan lebih 2,000 tahun lalu di China, di mana ia dikenali dengan nama jianzi. Selain itu, permainan ini disebut Tī Jianzi, Tī Jian, atau Jianqiú yang merupakan sukan kebangsaan tradisional masyarakat Cina. Permainan ini dipercayai berkembang daripada permainan purba Cina yang dikenali sebagai Cuju pada zaman Dinasti Han. Prinsip asasnya adalah pemain berusaha mengekalkan bulu tangkis berwajaran berat di udara menggunakan anggota badan, terutama kaki, tanpa menggunakan tangan. 


Setelah itu, melalui perdagangan dan interaksi budaya, permainan ini tersebar ke seluruh Asia Tenggara dan menerima adaptasi tempatan. Di Filipina misalnya, ia dikenali sebagai Sipa’, di Vietnam sebagai Đá Cầu, di Thailand dengan nama Tek Tuan, di Korea disebut Jegichagi dan di Jepun dipanggi Kemari. Kepelbagaian nama ini membuktikan bahawa meskipun wujud variasi mengikut konteks tempatan, prinsip asas permainan tetap sama.


Dalam konteks Malaysia khususnya di Pulau Pinang, Tating Lawi bukan sahaja menjadi permainan harian masyarakatnya, malah telah diangkat sebagai salah satu permainan tradisional dalam kategori ‘Permainan Laman’ yang sering dilakukan dalam acara kebudayaan dan pertandingan sukan rakyat negeri tersebut. Ia sering dimainkan pada majlis keramaian, pesta rakyat serta program kebudayaan anjuran kerajaan negeri atau badan kebudayaan. Pengiktirafan ini menjadikan Tating Lawi bukan sekadar permainan rakyat biasa, tetapi juga simbol identiti budaya Pulau Pinang yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.


Meskipun kini tidak lagi popular seperti dahulu akibat persaingan dengan permainan moden dan digital, Tating Lawi masih kekal sebagai permainan warisan yang sesekali dapat dilihat dimainkan oleh kanak-kanak dan pelbagai lapisan umur. Kehadirannya yang berterusan dalam budaya masyarakat menandakan ketahanan warisan tradisi ini sebagai sebahagian daripada identiti kolektif yang terus diwarisi dari generasi ke generasi.


Fungsi dan Peranan

Permainan Tating Lawi mempunyai pelbagai fungsi dan peranan penting dalam kehidupan masyarakat, khususnya di Pulau Pinang. Ia bukan sekadar medium hiburan, tetapi juga menjadi sebahagian daripada cara hidup dan identiti budaya masyarakat setempat. Antara fungsi dan peranannya ialah:


  1. Sebagai hiburan dan rekreasi

Tating Lawi berperanan sebagai aktiviti santai yang menghiburkan, khususnya bagi kanak-kanak dan remaja di kampung. Ia dimainkan pada waktu lapang di halaman rumah, padang atau kawasan terbuka, sekali gus menjadi sumber keseronokan tanpa memerlukan kos yang tinggi.


  1. Mengeratkan hubungan sosial

Permainan ini menjadi wadah sosialisasi dalam kalangan masyarakat. Dengan bermain secara berkumpulan atau beramai-ramai, Tating Lawi menggalakkan interaksi sosial, mengeratkan persahabatan, serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.


  1. Melatih kemahiran fizikal dan mental

Dari sudut fizikal, permainan ini melatih koordinasi antara mata dan kaki, menguatkan otot kaki, meningkatkan keseimbangan badan serta ketangkasan pergerakan. Dari aspek mental pula, ia mendidik pemain supaya lebih fokus, sabar, dan berdisiplin kerana permainan ini memerlukan tumpuan penuh untuk memastikan objek tidak jatuh ke tanah.


  1. Pembangunan nilai diri dan karakter

Tating Lawi turut berfungsi sebagai alat pendidikan tidak formal. Ia menanam nilai kesabaran, daya tahan mental, semangat berusaha, dan tidak mudah berputus asa. Pemain yang berlatih secara konsisten akan memperoleh kemahiran serta keyakinan diri yang tinggi.


  1. Warisan budaya dan identiti masyarakat Pulau Pinang

Permainan ini merupakan sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara yang mencerminkan kreativiti masyarakat dahulu dalam mencipta permainan menggunakan bahan mudah diperoleh. Di Pulau Pinang, Tating Lawi diangkat sebagai permainan tradisional rasmi yang sering dijadikan acara dalam pertandingan sukan rakyat, karnival budaya, dan program warisan. Hal ini menegaskan kedudukannya sebagai simbol identiti budaya yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Peralatan utama dalam permainan ini ialah tating lawi itu sendiri, yang dibuat secara kreatif oleh pemain. Pada zaman dahulu, ia biasanya dihasilkan secara tradisional dengan bahan-bahan berikut:


  1. Bulu ayam/lawi ayam

  • Bahagian ekor ayam dipilih kerana lebih panjang, keras, dan mudah melayang apabila ditendang.

  • Dalam sesetengah kreativiti, sesetengan pemain menggunakan bahan terbuang seperti plastik yang dicarik-carik menyerupai bulu ayam kerana ia  lebih tahan lama dan mudah didapati. 


  1. Getah atau tempurung kecil

  • Digunakan untuk mengikat bulu-bulu ayam agar membentuk ikatan yang padat.


  1. Syiling atau pemberat kecil

  • Ada juga variasi yang meletakkan syiling di bahagian bawah ikatan bulu sebagai pemberat, supaya lebih mudah ditendang dan stabil di udara.


  1. Gelanggang permainan

  • Permainan Tating Lawi tidak memerlukan gelanggang khas kerana ia boleh dimainkan secara bebas di pelbagai tempat seperti halaman rumah, padang rumput, lantai simen, atau dewan serbaguna. Apa yang penting, kawasan permainan tersebut mestilah cukup luas, rata, dan selesa bagi membolehkan pemain bergerak dengan baik.

  • Dalam konteks pertandingan, gelanggang biasanya ditetapkan secara lebih formal sama ada dalam bentuk bulatan atau segi empat bagi menentukan kawasan permainan yang sah. Penetapan gelanggang ini membantu melicinkan perjalanan pertandingan serta memastikan permainan berlangsung secara adil dan teratur.


  1. Bilangan Pemain

  • Individu: Dimainkan secara perseorangan untuk melihat siapa yang mampu menating lawi paling lama atau dengan jumlah tendangan terbanyak.

  • Berkumpulan: Biasanya melibatkan 2 hingga 6 orang pemain secara bergilir. Dalam pertandingan rasmi, bilangan peserta boleh ditetapkan mengikut kategori umur dan tahap kecekapan.

  • Permainan ini fleksibel, boleh dimainkan oleh seorang sahaja atau secara beramai-ramai, menjadikannya sesuai untuk hiburan santai mahupun pertandingan tradisional yang lebih formal.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Permainan Tating Lawi mempunyai cara bermain yang mudah difahami, namun memerlukan latihan dan kemahiran untuk menguasainya. Peraturan asasnya adalah seperti berikut:


  1. Posisi Awal

Pemain berdiri di kawasan lapang dengan memegang Tating Lawi menggunakan tangan. Setelah bersedia, pemain akan melepaskan Tating Lawi ke udara lalu membuat timangan ke udara.


  1. Timangan atau  Berterusan

Tating lawi terbahagi kepada tiga jenis timangan atau sepakan iaitu Sepak Beradik, Sepak Kuda dan Sepak Sila  yang melibatkan Kecekapan dalam mengawal pergerakan kaki sangat penting untuk mengekalkan Tating Lawi terus melayang.


  1. Kiraan Mata

Setiap sepakan yang berjaya mengekalkan Tating Lawi di udara dikira sebagai satu mata. Pemain yang memperoleh bilangan tendangan tertinggi dalam satu pusingan akan dianggap sebagai pemenang.


  1. Perlawanan Berkumpulan

Permainan boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Jika secara individu, pemain bersaing untuk mengekalkan Tating Lawi di udara selama mungkin. Jika secara berkumpulan, sistem giliran digunakan dan apabila Tating Lawi jatuh ke tanah giliran akan berpindah kepada pemain seterusnya.


  1. Variasi dan Peraturan Tambahan

Peraturan asas ini boleh diubah suai mengikut kreativiti penganjur atau pemain. Sebagai contoh, perlawanan boleh ditentukan berdasarkan tempoh masa tertentu, gaya timangan atau pertandingan berpasukan yang memerlukan kerjasama mengawal Tating Lawi secara bergilir. Variasi ini menjadikan permainan lebih menarik dan mencabar.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Ibrahim, M. F., Pei, G. K., Hashim, H. A., & Hamzah, N. A. (2023). Pendekatan pengajaran Teaching Games for Understanding melalui permainan tradisional. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.


Iordanis, S. (2002, February 14). History of shuttlecock sport. Archived from the original on May 12, 2008. Retrieved August 20, 2008, from https://web.archive.org/web/20080512110541/http://www.jianzi.org/history.html


Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia. (n.d.). Tating Lawi. Retrieved September 8, 2025, from https://www.komunikasi.gov.my/en/program-semasa/65-bahankpkk/dokumen/537-tating-lawi


Memori Kedah. (n.d.). Tating Lawi: Permainan tradisional Kedah. Retrieved September 8, 2025.


Tokarski, W., Zhu, W., & Zarotis, G. F. (n.d.). Transcultural movement and sport research: The contribution of traditional Chinese movement and sports culture for modern sport. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/303388040


Zulkipli, M. Z. (2023, December 16). Kaki hantu, Tating Lawi antara permainan kian lenyap. Berita Harian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2023/12/1187719/kaki-hantu-tating-lawi-antara-permainan-kian-lenyap


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Zurairi bin Hanip

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang
Kompleks Pustaka Warisan Seni, Lot No. 2180 Lintang P. Ramlee, Off Jalan P.Ramlee 10460 PULAU PINANG

04-281 7791 /7792

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!