Gambar

6

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

2

Pengenalan dan sejarah

Permainan Terompah Gergasi, yang juga dikenali sebagai Kaki Lipan merupakan permainan tradisional yang dimainkan secara berkumpulan. Ia menggunakan alas kaki panjang daripada papan kayu yang dilengkapi dengan pengait kaki daripada getah atau tali. Setiap pasukan terdiri daripada tiga hingga lima orang yang berdiri di atas terompah tersebut, meletakkan kaki pada pengait dan bergerak secara serentak menuju ke garisan penamat. Keunikan permainan ini terletak pada keperluan koordinasi, keseimbangan, dan kerjasama erat antara ahli kumpulan untuk memastikan pergerakan yang sekata.


Asal usul permainan ini dipercayai bermula di pesisiran Sungai Rokan, Riau dan Sumatera Barat, Indonesia, sebelum berkembang luas ke seluruh kepulauan tersebut. Permainan ini kemudian menjadi popular secara nasional di Indonesia sekitar tahun 1970-an, khususnya dengan nama “Bakiak” di Jawa dan “Terompah Galuak” di Sumatera dan beberapa nama lain seperti “Terompah Deret” . Beberapa sumber  menyatakan bahawa permainan ini diinspirasikan daripada selipar kayu tradisional Jepun iaitu “Geta”,yang digunakan oleh masyarakat Jepun terdahulu khususnya golongan geisha. Walaupun sumber ini tidak dapat dipastikan sepenuhnya oleh, persamaan dari segi penggunaan kayu sebagai alas kaki menjelaskan adanya pengaruh silang budaya terhadap permainan ini


Seiring dengan penyebarannya, permainan ini turut merentas ke Malaysia melalui hubungan budaya serantau dan pertukaran tradisi. Di Malaysia, ia lebih dikenali sebagai Terompah Gergasi dan sering dimainkan oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa dalam pelbagai acara masyarakat. Aktiviti ini menjadi sebahagian daripada hiburan rakyat di kampung ketika pesta keramaian atau sukaneka. Dengan sifatnya yang menguji kerjasama pasukan, permainan ini terus kekal relevan sehingga kini dalam acara sukaneka sekolah, sukan rakyat, hari keluarga, serta karnival kebudayaan sebagai simbol warisan permainan tradisional Nusantara.



Fungsi dan Peranan

Pada umumnya, permainan Terompah Gergasi adalah permainan tradisional yang mempunyai beberapa fungsi dan peranan penting dalam kehidupan masyarakat khususnya dalam konteks budaya tradisional. Antara fungsi dan peranannya adalah seperti yang berikut;


  1. Medium Rekreasi

Permainan ini berfungsi sebagai aktiviti hiburan santai yang sering dimainkan dalam suasana kemeriahan kenduri, pesta kampung atau acara sukaneka. Ia bukan sahaja menghiburkan para pemain, tetapi juga mencetuskan keceriaan kepada penonton yang menyaksikannya.


  1. Mengukuhkan Semangat Berpasukan

Kejayaan sesebuah kumpulan dalam permainan ini bergantung sepenuhnya pada kerjasama dan koordinasi langkah antara ahli pasukan. Oleh itu, ia menjadi wadah untuk melatih komunikasi, kesabaran, serta kebersamaan dalam mencapai matlamat atau kemenangan


  1. Identiti Budaya

Sebagai salah satu permainan rakyat Nusantara, Terompah Gergasi melambangkan khazanah budaya tradisional yang perlu dipelihara. Permainan ini berperanan sebagai warisan turun-temurun yang memperlihatkan kreativiti masyarakat dahulu dalam mencipta bentuk hiburan atau permainan tradisional


  1. Kecergasan Fizikal

Aktiviti ini juga memberi sumbangan kepada kesihatan tubuh badan kerana ia memerlukan kekuatan otot kaki, imbangan tubuh, serta daya tahan fizikal. Pergerakan melangkah dan berlari dalam keadaan berpasukan menjadikan permainan ini bukan sahaja menyeronokkan, malah turut membantu meningkatkan kecergasan fizikal pemain.



Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Sebelum permainan Terompah Gergasi dijalankan, beberapa peralatan asas perlu disediakan. Peralatan ini bukan sahaja memastikan kelancaran permainan, tetapi juga memberi keselesaan dan keselamatan kepada para pemain. Berikut merupakan bahan-bahan utama yang digunakan dalam permainan ini:


  1. Terompah Kayu

Terompah gergasi dibuat daripada papan kayu panjang berukuran sekitar 2–3 meter. Pada bahagian atasnya terdapat 3 hingga 5 pengait kaki yang diperbuat daripada getah tayar atau tali kuat. Setiap pengait disusun selari agar semua pemain dapat meletakkan kaki pada posisi yang sama.


  1. Pengikat atau penyangkut kaki

Digunakan sebagai pemegang kaki bagi memastikan tapak kaki pemain tidak mudah terlucut ketika melangkah. Tali ini berfungsi untuk menstabilkan pergerakan dan memastikan semua ahli kumpulan dapat bergerak serentak.


  1. Ruang Permainan

Permainan memerlukan kawasan lapang seperti padang, gelanggang sukan, atau laman yang rata dan bebas halangan. Ruang ini penting bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pemain ketika bergerak.


  1. Garis Penamat

Garisan khas ditetapkan untuk menandakan destinasi akhir perlumbaan. Pasukan yang berjaya sampai ke garisan penamat terlebih dahulu dengan pergerakan teratur dikira sebagai pemenang.


  1. Bilangan Pemain

Setiap pasukan biasanya terdiri daripada tiga hingga lima orang pemain yang berdiri di atas satu pasang terompah gergasi. Bilangan ini bergantung pada jumlah pengait kaki yang ada pada papan kayu. Lebih ramai pemain memerlukan koordinasi yang lebih tinggi bagi memastikan langkah serentak dan seimbang.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Permainan Terompah Gergasi dijalankan secara berkumpulan dan memerlukan koordinasi yang baik antara semua pemain. Ia biasanya dimainkan dalam bentuk perlumbaan untuk menentukan pasukan yang paling cepat dan serentak melangkah ke garisan penamat. Berikut ialah cara bermain serta peraturan asasnya:


  1. Pembentukan Pasukan

Setiap pasukan terdiri daripada tiga hingga lima orang pemain, bergantung pada jumlah pengait kaki yang terdapat pada papan terompah. Semua pemain perlu berdiri di atas terompah kayu yang sama.


  1. Posisi Awal

Pemain memasukkan kaki ke dalam pengait tali pada terompah dan berdiri dalam satu barisan. Untuk mengekalkan kestabilan, pemain belakang biasanya memegang pinggang pemain di hadapannya.


  1. Isyarat Mula

Permainan dimulakan dengan bunyi wisel atau arahan pengadil. Semua pasukan perlu mula melangkah serentak setelah isyarat diberikan.


  1. Koordinasi Pergerakan

Pemain mesti menggerakkan kaki dengan langkah yang sama seperti kaki kanan bersama-sama diikuti kaki kiri. Sekiranya ada yang tidak seiring, terompah akan mudah terhenti atau pemain boleh terjatuh.


  1. Matlamat Permainan

Pasukan yang berjaya mengawal langkah dengan baik dan sampai ke garisan penamat terlebih dahulu dikira sebagai pemenang.


  1. Peraturan Tambahan

  • Pasukan tidak dibenarkan meninggalkan pemain atau menukar kedudukan semasa permainan berlangsung.

  • Jika ada ahli yang jatuh, permainan boleh dihentikan seketika untuk membetulkan kedudukan.

  • Pasukan yang keluar dari laluan permainan atau menggunakan cara tidak sah akan dikenakan penalti atau dibatalkan penyertaan.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. (n.d.). Terompah gergasi. JKKN Pemetaan Warisan. Retrieved September 8, 2025, from https://www.jkkn.gov.my/pemetaan/?avada_portfolio=terompah-gergasi


Makorohim, M. F., Yulianti, M., & Alficandra, A. (2022). Terompah panjang as traditional games in the perspective of teenagers Riau. Jurnal SPORTIF: Jurnal Penelitian Pembelajaran, 8(1), 44–58. https://doi.org/10.29407/js_unpgri.v8i1.17657


Mohd Wahid, S. D. (2024). Sukan Rakyat (SUKRA), UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya. Universiti Teknologi MARA.


Prezi. (n.d.). Terompah gergasi. Retrieved September 8, 2025, from https://prezi.com/p/rdh0rmmjj88w/terompah-gergasi/

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!