Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
LARI DALAM GUNI
Permainan Tradisional
Gambar
7
Video
tiada
Pelawat Hari ini
4
Jumlah Pelawat
4
Pengenalan dan sejarah
Lari dalam guni merupakan salah satu permainan tradisional rakyat Malaysia yang terkenal dalam kalangan masyarakat desa mahupun bandar. Ia sering dimainkan dalam majlis keramaian, pesta rakyat, sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Kanak-kanak. Permainan ini biasanya dilakukan di kawasan lapang yang luas agar peserta dapat bergerak dengan selesa, sekali gus mencipta suasana yang penuh keriangan dan kebersamaan.
Menurut catatan penulis dan pengkaji Barat, permainan ini telah lama wujud sejak awal abad ke-18. Dalam konteks Eropah, rujukan awal mengenai permainan ini dapat ditemui dalam karya Sports and Pastimes of the People of England oleh Joseph Strutt (1801). Beliau mencatatkan bahawa “sack running” merupakan hiburan desa yang popular pada masa tersebut, dimainkan oleh lelaki yang memasukkan seluruh tubuh mereka ke dalam guni kecuali kepala, sebelum berlumba ke hadapan. Catatan ini membuktikan bahawa permainan berasaskan guni telah lama menjadi sebahagian daripada budaya rakyat di Barat.
Selain di England, perlumbaan guni atau sack race turut kekal popular di pelbagai negara Eropah lain sebagai acara hiburan ringan dalam pesta rakyat, karnival, dan hari sukan sekolah. Ia sering dianggap sebagai permainan keluarga yang tidak berbahaya, mudah disertai, serta menyeronokkan khususnya bagi kanak-kanak. Kegembiraan yang tercetus daripada gelak tawa penonton dan aksi peserta menjadikan permainan ini terus diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya, sekali gus merentas sempadan budaya dan masa.
Dalam konteks Malaysia, asal usul permainan ini masih kabur kerana tiada catatan khusus yang menjelaskan tentang kewujudannya. Namun, secara lisan, permainan ini dipercayai telah bertapak sejak dahulu lagi. Menurut cerita orang-orang tua, pada zaman dahulu lari dalam guni lazimnya dilakukan selepas musim menuai padi. Ketika itu, sawah yang telah dituai menjadi tanah lapang yang sesuai dijadikan gelanggang permainan. Penduduk kampung mengambil kesempatan tersebut untuk mengadakan pelbagai bentuk hiburan bagi mengisi masa lapang setelah selesai dengan kerja-kerja pertanian yang berat. Dari sinilah muncul aktiviti lari dalam guni yang pada awalnya dimainkan secara santai oleh kanak-kanak kampung.
Kanak-kanak ketika itu menggunakan karung atau guni yang asalnya berfungsi sebagai bekas menyimpan beras, padi, atau bijirin. Mereka akan masuk ke dalam guni tersebut dan berlumba sesama rakan sebaya dengan cara melompat hingga ke garisan penamat. Keriuhan suara sorakan daripada penduduk kampung menjadikan permainan ini semakin meriah dan menghiburkan. Walaupun hanya sekadar hiburan ringkas, permainan ini berjaya mengeratkan hubungan antara anak-anak kecil dengan komuniti sekeliling.
Melihat kegembiraan yang tercetus, penduduk kampung mula menjadikan permainan ini sebagai salah satu bentuk perlumbaan yang diadakan secara lebih tersusun. Lazimnya ia dimainkan beramai-ramai, dengan menetapkan kawasan permulaan dan penamat. Malah, hadiah ringkas turut disediakan untuk pemenang sebagai galakan. Sejak itu, lari dalam guni berkembang daripada sekadar hiburan spontan kepada aktiviti tradisi yang menjadi sebahagian daripada acara kampung.
Pada masa kini, permainan lari dalam guni tidak lagi terbatas kepada kawasan desa atau musim menuai semata-mata, malah telah berkembang luas sebagai salah satu permainan tradisional di seluruh Malaysia. Ia kerap dianjurkan di sekolah sebagai aktiviti kokurikulum, di taman perumahan untuk merapatkan hubungan kejiranan, serta dalam program rasmi di peringkat kebangsaan seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Kanak-kanak. Kepelbagaian konteks penganjuran ini menjadikan lari dalam guni bukan sahaja sekadar hiburan, tetapi juga medium pembinaan identiti sosial yang bersifat inklusif.
Lebih menarik, permainan ini turut wujud di negara jiran seperti Indonesia, Brunei, dan Thailand dengan variasi masing-masing, sekali gus membuktikan kedudukannya sebagai permainan serantau yang dikongsi bersama masyarakat Nusantara. Dalam sesetengah tempat, ia diangkat sebagai sebahagian daripada festival budaya, manakala di peringkat antarabangsa pula, ia sering dijadikan simbol permainan rakyat yang mencerminkan keakraban dan keseronokan komuniti.
Kewujudan permainan tradisional ini di pelbagai peringkat masyarakat menunjukkan bahawa ia mempunyai nilai warisan budaya yang merentas sempadan. Lari dalam guni bukan sahaja mencerminkan kreativiti masyarakat dahulu dalam memanfaatkan bahan seharian seperti guni, tetapi juga melambangkan semangat kebersamaan yang masih segar hingga kini. Justeru, permainan ini kekal relevan sebagai simbol kegembiraan, identiti sosial, dan warisan tradisi yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang.
Jika dibincangkan tentang fungsi dan peranan sesebuah permainan tradisional, ia bersifat subjektif dan boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut. Pada umumnya, orang ramai sering menjelaskan fungsinya sekadar bentuk hiburan atau permainan tradisional. Namun begitu, fungsi dan peranannya adalah lebih besar dan mendalam daripada itu, sebagai contoh;
Permainan tradisional/hiburan rakyat
Permainan lari dalam guni pada asasnya berperanan sebagai sumber hiburan rakyat. Ia mengisi masa lapang masyarakat, khususnya selepas penat mengharungi pekerjaan harian atau musim menuai padi. Kegembiraan yang tercetus daripada aksi melompat dalam guni bukan sahaja menceriakan suasana, tetapi juga menjadi daya tarikan utama dalam acara keramaian seperti kenduri kampung, pesta rakyat, dan majlis keluarga.
Membina semangat kebersamaan
Selain sebagai hiburan, permainan ini turut memainkan peranan penting dalam membina semangat kebersamaan. Aktiviti yang melibatkan ramai peserta dan penonton ini menggalakkan interaksi sosial antara kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa. Sorakan dan sokongan penonton mewujudkan suasana harmoni, sekali gus memperkukuh ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Dengan itu, lari dalam guni berfungsi sebagai medium integrasi sosial yang efektif.
Medium pendidikan dan pembangunan diri
Dari sudut pendidikan, permainan ini mendidik nilai-nilai penting seperti persaingan sihat, disiplin, serta semangat kesukanan. Ia mengajar kanak-kanak untuk mematuhi peraturan, menghormati lawan, dan berusaha mencapai kemenangan dengan cara yang adil. Lebih daripada itu, ia juga membantu mengembangkan kemahiran motor halus dan kasar, meningkatkan koordinasi badan, serta melatih daya imbangan dan ketahanan fizikal peserta.
Warisan budaya masyarakat
Fungsi lain yang tidak kurang pentingnya ialah peranannya sebagai warisan budaya. Lari dalam guni merupakan salah satu permainan tradisional yang melambangkan kreativiti masyarakat terdahulu dalam mencipta hiburan berasaskan bahan seharian. Dengan penganjuran yang berterusan, permainan ini menjadi simbol identiti budaya yang diwarisi turun-temurun. Oleh itu, lari dalam guni bukan sahaja berperanan dalam aspek rekreasi, tetapi turut berfungsi sebagai wahana pemeliharaan warisan bangsa yang wajar dipertahankan.
-
Peralatan atau bahan yang digunakan dalam permainan lari dalam guni sangat ringkas dan mudah disediakan. Ia tidak memerlukan kos yang tinggi, malah kebanyakannya boleh diperoleh daripada bahan harian yang sedia ada. Antara peralatan utama yang diperlukan ialah:
Guni atau karung
Peralatan utama dalam permainan ini ialah guni atau karung. Pada zaman dahulu, guni yang digunakan biasanya diperbuat daripada guni guni beras, padi, atau bijirin yang diperbuat daripada serat jut.
Kini, guni plastik yang lebih ringan dan mudah diperoleh juga sering digunakan. Saiz guni mestilah cukup besar untuk menutupi badan peserta dari pinggang hingga ke kaki, bagi memastikan pergerakan melompat dapat dilakukan dengan selamat.
Gelanggang atau kawasan lapang
Permainan ini memerlukan ruang terbuka yang rata dan selamat, seperti padang sekolah, halaman rumah, atau tanah lapang di kampung.
Pada zaman dahulu, sawah padi yang telah dituai dijadikan gelanggang semula jadi untuk permainan ini.
Kawasan yang luas membolehkan peserta berlumba dengan lebih bebas tanpa risiko kecederaan.
Garisan permulaan dan penamat
Untuk memastikan perlumbaan dijalankan dengan teratur, garisan permulaan dan penamat perlu ditandakan dengan jelas.
Tanda boleh dibuat menggunakan kapur, tali, kayu, atau batang pokok kecil yang ditegakkan di tanah.
Garisan ini berperanan menentukan titik mula larian serta menandakan siapa yang tiba terlebih dahulu di garisan akhir.
Wisel atau isyarat mula
Dalam penganjuran yang lebih tersusun, wisel atau isyarat tertentu seperti tiupan serunai atau ketukan kayu digunakan untuk memulakan perlumbaan.
Pada zaman dahulu, cukup sekadar jeritan "mula!" oleh pengadil kampung untuk memberi tanda.
Walaupun ringkas, peranan isyarat ini penting untuk memastikan semua peserta bermula serentak.
Permainan ini pada lazimnya dijalankan mengikut peraturan dan cara tertentu bagi memastikan ia berlangsung dengan teratur serta adil. Berikut merupakan cara permainan dan peraturan asas dalam permainan lari dalam guni:
Persediaan peserta
Setiap peserta perlu berdiri di garisan permulaan dengan keadaan sudah berada di dalam guni.
Bahagian atas guni hendaklah dipegang erat di paras pinggang agar tidak terlucut ketika melompat.
Isyarat mula
Permainan dimulakan dengan bunyi wisel, kiraan tiga, atau jeritan “mula!” oleh pengadil.
Semua peserta wajib memulakan lompatan secara serentak bagi memastikan keadilan pertandingan.
Pergerakan lompatan
Peserta bergerak ke hadapan dengan cara melompat sambil kedua-dua kaki kekal berada di dalam guni.
Mereka tidak dibenarkan mengeluarkan kaki atau menarik guni dengan tangan untuk bergerak lebih laju.
Matlamat perlumbaan
Setiap peserta perlu berusaha mencapai garisan penamat secepat mungkin.
Pemenang ditentukan berdasarkan siapa yang pertama tiba di garisan penamat dengan keadaan masih berada di dalam guni.
Peraturan tambahan
Sekiranya ada peserta yang terjatuh, mereka boleh bangun semula dan meneruskan perlumbaan.
Namun, jika guni koyak hingga menjejaskan pergerakan, pengadil berhak membatalkan penyertaan.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Das, A. C., & Singh, S. (2013). Discrimination and difference, racial and colonial: An overview of MG Vassanji’s The Gunny Sack and No New Land. The Criterion: An International Journal in English, 4(1), 1–8.
Ibrahim, M. F. (2022). Keberkesanan teaching games for understanding (TGfU) melalui permainan tradisional terhadap kecergasan fizikal, emosi dan keseronokan dalam kalangan murid ponteng di sekolah rendah (Doctoral dissertation).
Mohammad, W. M. R. W., & Subramaniam, V. (2014). Daya kreativiti kanak-kanak: Satu kajian kes. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 134, 436–445. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2014.04.269
Oxford Reference. (2011). Sack race. In Oxford Reference. Oxford University Press. https://www.oxfordreference.com/display/10.1093/oi/authority.20110803100435892
Sukan rakyat: Lari dalam karung. (n.d.). Hilary D - Sukan Rakyat. Retrieved September 4, 2025, from https://sukanrakyat-hilaryd.blogspot.com/p/lari-dalam-karung.html
Wak120-nurinafiqah. (2015, March 9). Syarat-syarat lari dalam guni. Blogspot. Retrieved September 4, 2025, from https://wak120-nurinafiqah.blogspot.com/2015/03/syarat-syarat-lari-dalam-guni.html
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





