Gambar

6

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

69

Pengenalan dan sejarah

Tapel atau dikenali juga sebagai Ubat Barut ialah sejenis ramuan tradisional yang digunakan secara meluas dalam amalan penjagaan ibu selepas bersalin. Ia berbentuk pes atau sapuan yang dikenakan pada bahagian perut sebelum pemakaian bengkung. Rawatan ini telah menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat Melayu sejak turun-temurun, khususnya dalam usaha memulihkan tenaga dalaman dan luaran wanita selepas melalui proses kehamilan dan kelahiran yang mencabar.


Sejarah amalan tapel berkait rapat dengan falsafah penjagaan selepas bersalin masyarakat Melayu yang menekankan keseimbangan antara tubuh, emosi, dan tenaga dalaman. Ia dipercayai dapat membantu memulihkan kesihatan fizikal, menguatkan kembali otot yang longgar, serta mengembalikan keyakinan diri wanita. Walaupun berakar daripada tradisi tempatan, tapel mempunyai persamaan dengan rawatan pasca bersalin lain di rantau Asia Tenggara seperti jamu tapel di Indonesia dan herba panas di Thailand, yang sama-sama menggunakan bahan semula jadi sebagai asas perawatan dengan tujuan yang sama.


Pada kebiasaanya, ramai pengguna akan keliru tentang tapel, param dan pilis kerana bahan yang digunakan seakan-akan sama. Tetapi, apa yang membezakan tapel dengan rawatan tradisional lain seperti pilis dan param ialah kawasan penggunaannya. Tapel khusus digunakan pada bahagian perut, berfungsi untuk mengecutkan rahim, membuang angin, serta menegangkan kulit perut. Pilis pula ialah ramuan yang disapu di bahagian dahi, biasanya untuk mengelakkan pening, menyejukkan kepala, dan memberi kesegaran kepada mata. Sementara itu, param digunakan pada seluruh tubuh, bertujuan melancarkan peredaran darah, menghangatkan badan, dan mengelakkan rasa lenguh pada otot.


Walaupun berbeza fungsi dan lokasi pemakaian, ketiga-tiganya sering digunakan serentak dalam amalan berpantang tradisional. Kebiasaannya, seorang ibu akan disapu pilis di dahi, param pada seluruh badan, dan tapel pada perut sebelum dibengkung. Gabungan rawatan ini memberi kesan menyeluruh yang bermula daripada kepala hingga ke kaki untuk memastikan tubuh kembali segar dan seimbang sepanjang tempoh berpantang.


Dari segi ramuan, tapel lazimnya mengandungi bahan-bahan yang lebih ringkas meliputi campuran beras, halia, kunyit, temu kunci, kapur sirih, dan perahan limau nipis. Ada juga variasi yang menambah bahan seperti kayu manis atau kencur untuk meningkatkan rasa hangat dan aroma. Berbeza dengan param yang lebih bertekstur kasar kerana digunakan untuk gosokan badan, ramuan tapel digaul lebih halus dan likat bagi memudahkan sapuan pada kulit perut serta meningkatkan penyerapan ketika dilapisi dengan bengkung.


Kelebihan tapel bukan sahaja dari aspek perubatan tetapi juga kecantikan. Ia dipercayai dapat mengempiskan perut, menegangkan kulit yang kendur, mengurangkan kesan regangan (stretch mark), serta memperbaiki tekstur kulit. Sifat pemanas daripada halia dan kunyit mempercepatkan pengecutan rahim, manakala limau nipis dan kapur sirih membantu memperbaiki elastik kulit perut. Ini menjadikan tapel sebagai rawatan yang penting bagi mengembalikan bentuk tubuh dan keyakinan diri ibu selepas bersalin.


Dari segi pelaksanaannya pula, tapel biasanya digunakan secara konsisten sepanjang tempoh berpantang (40–44 hari). Ia disapu selepas mandi, kemudian dibalut dengan kain bengkung untuk mengekalkan kehangatan dan menahan ramuan daripada mengotorkan pakaian. Sokongan bengkung ini turut membantu membentuk semula otot perut dan pinggang. Namun, bagi ibu yang bersalin melalui pembedahan Caesarean, penggunaan tapel memerlukan perhatian khusus dengan nasihat doktor dengan nasihat doktor. Ia hanya disarankan selepas luka benar-benar kering yang biasanya selepas dua minggu pasca bersalin.


Walaupun begitu, penggunaan tapel ini masih dikira selamat dan telah menjadi salah satu proses wajib untuk tempoh berpantang wanita-wanita di Malaysia. Situasi ini telah membawa nilai tapel atau ubat barut sebagai sebahagian daripada kearifan tempatan masyarakat Melayu dalam merawat dan memulihkan ibu selepas bersalin. Amalan ini bukan sahaja menekankan aspek kesihatan fizikal, tetapi juga kesejahteraan emosi dan kecantikan, menjadikannya warisan budaya yang terus diamalkan hingga kini.

Fungsi dan Peranan

Tapel atau ubar barut ini mempunyai pelbagai khasiat yang menjadikannya salah satu amalan penting dalam penjagaan wanita selepas bersalin. Berikut adalah khasiat serta fungsi petua tapel;


  1. Mengecutkan rahim dan mengurangkan rasa rengat selepas bersalin

Tapel dipercayai berperanan membantu proses pengecutan rahim dengan lebih cepat selepas kelahiran. Bahan-bahan herba seperti kunyit, halia, dan temu kunci mempunyai sifat anti-radang serta pemanas yang merangsang otot rahim untuk kembali ke bentuk asal. Pada masa yang sama, ia juga mengurangkan rasa rengat atau sakit perut yang sering dialami oleh ibu bersalin dalam minggu-minggu awal selepas melahirkan.


  1. Mengeluarkan angin dalam badan dan membantu pembuangan darah nifas

Ramuan tapel bersifat hangat, sekali gus membantu mengeluarkan angin yang terkumpul dalam badan sepanjang kehamilan dan proses bersalin. Kandungan halia dan kapur sirih bertindak sebagai agen pembuang angin, manakala limau nipis berfungsi melancarkan sistem pencernaan. Selain itu, tapel juga diyakini dapat mempercepatkan proses pengeluaran darah nifas (lochia), menjadikan tubuh lebih ringan dan segar.


  1. Mengempiskan perut serta mengurangkan rasa kembung

Salah satu kelebihan tapel ialah kemampuannya mengempiskan perut yang menggeleber akibat kehamilan. Bahan-bahan seperti beras yang ditumbuk dan dicampur dengan perahan limau nipis membantu menegang serta menghaluskan kulit perut. Pada masa yang sama, sifat pemanas daripada rempah ratus dapat mengurangkan rasa kembung dan berat pada perut, menjadikan ibu lebih selesa dalam tempoh berpantang.


  1. Memanaskan bahagian abdomen bagi melancarkan peredaran darah

Tapel juga berfungsi sebagai agen pemanas semula jadi, yang sangat penting untuk mengembalikan tenaga selepas bersalin. Apabila disapu pada perut, ia mengekalkan suhu hangat pada bahagian abdomen dan melancarkan aliran darah. Kesan ini membantu mengelakkan masalah seperti lenguh badan, kesejukan anggota, atau peredaran darah yang perlahan, yang biasanya dialami oleh ibu selepas kehilangan tenaga semasa proses melahirkan.


  1. Memberi rasa selesa kepada ibu bersalin ketika proses pemulihan

Selain manfaat kesihatan fizikal, penggunaan tapel juga memberi kesan terhadap kesejahteraan emosi. Rasa hangat yang terhasil daripada ramuan ini mewujudkan keselesaan, menenangkan fikiran, serta mengurangkan tekanan selepas bersalin. Dengan tubuh yang lebih ringan, perut yang terasa kemas, dan kulit yang lebih tegang, ibu akan lebih berkeyakinan serta dapat melalui tempoh berpantang dengan lebih tenang.


  1. Menjaga kecantikan kulit dan membantu mendapatkan bentuk badan ideal

Fungsi tapel tidak hanya terhad kepada kesihatan, malah turut berkait dengan kecantikan. Ramuan beras, limau nipis, dan kapur sirih dipercayai berkesan mengurangkan kesan regangan (stretch mark) serta menegangkan kulit perut yang kendur selepas bersalin. Sifat pemanasnya pula membantu membakar lemak bawah kulit dan mempercepatkan proses pengecilan perut. Hal ini memberi keyakinan kepada ibu untuk kembali mendapatkan bentuk tubuh yang lebih ideal selepas melalui tempoh berpantang.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Ramuan tapel atau ubat barut pada asasnya terdiri daripada beberapa bahan utama seperti beras, halia, kunyit, temu kunci, kapur sirih, dan perahan limau nipis yang menjadi teras dalam penyediaannya. Walau bagaimanapun, terdapat juga bahan tambahan yang digunakan mengikut kesesuaian, antaranya kayu manis, jintan manis, minyak kelapa dara atau minyak serai. Variasi penggunaan bahan ini banyak bergantung kepada lokaliti setempat, tradisi keluarga, serta pengamal bidan yang menyediakan rawatan tersebut. 


Bahan-bahan asas Tapel atau Ubat Barut


  1. Beras

Beras yang disangai dan ditumbuk halus menjadi bahan asas dalam ramuan tapel. Ia berfungsi sebagai penyerap kelembapan dan memberi tekstur lembut pada pes tapel. Selain itu, beras dipercayai mampu menyejukkan kulit serta membantu menegangkan bahagian perut yang kendur. Dalam konteks kecantikan, beras juga berperanan mencerahkan dan menghaluskan kulit perut selepas bersalin.


  1. Halia

Halia ialah bahan utama yang memberikan rasa hangat pada sapuan tapel. Ia mempunyai sifat pemanas dan anti-radang semula jadi yang dapat mengurangkan sakit perut, membuang angin, serta melancarkan peredaran darah di bahagian abdomen. Kehadiran halia menjadikan tapel lebih berkesan untuk memulihkan tenaga ibu yang hilang selepas bersalin.


  1. Kunyit

Kunyit mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai kurkumin, berfungsi sebagai anti-radang, antioksidan, dan antiseptik. Dalam tapel, kunyit dipercayai membantu mengecutkan rahim, mempercepatkan pemulihan luka dalaman, serta menegangkan kulit perut. Warna kuning kunyit juga memberi kesan semula jadi pada kulit, menjadikannya lebih bersih dan sihat.


  1. Kencur

Kencur sering digunakan dalam ramuan tradisional wanita kerana sifatnya yang menghangatkan badan dan membuang angin. Dalam tapel, ia membantu mengurangkan rasa kembung perut, memperbaiki pencernaan, serta meningkatkan keselesaan. Selain itu, aromanya juga dipercayai memberi kesan menenangkan pada ibu.


  1. Kapur Sirih

Kapur sirih berfungsi sebagai agen pengencang kulit serta mempercepatkan proses pengecutan perut. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan kesan regangan (stretch mark) akibat kehamilan. Walaupun begitu, penggunaannya perlu dicampur dengan bahan lain seperti perahan limau nipis untuk mengelakkan iritasi kulit.


  1. Limau Nipis 

Perahan limau nipis sering digunakan dalam tapel kerana sifatnya yang astringen, iaitu mengecilkan pori-pori dan menegangkan kulit. Kandungan asid sitrik juga membantu melarutkan lemak dan toksin, sekali gus mempercepatkan proses mengempiskan perut. Dalam beberapa variasi, asam jawa turut digunakan untuk memberi kesan yang hampir sama.


Bahan-Bahan Tambahan (pilihan)


  1. Minyak Herba (Minyak Kelapa Dara / Minyak Serai)

Minyak kelapa dara atau minyak serai digunakan untuk membentuk pes tapel agar lebih likat dan mudah disapu pada perut. Selain itu, minyak ini berfungsi melembapkan kulit, meningkatkan penyerapan ramuan herba ke dalam kulit, serta memberi kesan hangat yang berpanjangan. Minyak juga menambah keselesaan kerana mengelakkan tapel daripada terlalu kering ketika dipakai.


  1. Rempah Tambahan (Kayu Manis dan Jintan Manis)

Dalam sesetengah tradisi, rempah tambahan seperti kayu manis dan jintan manis dimasukkan ke dalam ramuan tapel. Kayu manis memberi kesan hangat serta melancarkan peredaran darah, manakala jintan manis membantu pencernaan dan mengurangkan kembung. Bahan-bahan tambahan ini menjadikan tapel lebih aromatik dan berkhasiat.


                                             Foto 1: Beras Sangai

Sumber: Ayu Luna diambil daripada Facebook


                                            Foto 2: Halia

Sumber: Grafvision diambil daripada shutterstock.com



Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!