Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
RAWATAN TRADISIONAL PILIS SELEPAS BERSALIN
Adat Resam
Gambar
14
Video
tiada
Pelawat Hari ini
5
Jumlah Pelawat
77
Pengenalan dan sejarah
Sumber: Pantangplus.com
Rawatan tradisional selepas bersalin merupakan sebahagian daripada amalan perubatan Melayu yang diwarisi turun-temurun dan mempunyai kedudukan istimewa dalam struktur adat berpantang wanita Melayu. Antara rawatan penting ialah penggunaan “Pilis”, iaitu sejenis ramuan herba yang ditumbuk halus dan disapukan pada dahi ibu selepas bersalin. Amalan ini dilakukan secara konsisten, biasanya dua kali sehari selepas mandi untuk sepanjang tempoh berpantang selama 40 hari. Bersama dengan rawatan lain selepas pasca bersalian seperti bertangas, bertungku, param, dan tapel, penggunaan pilis menjadi satu kelengkapan menyeluruh dalam sistem penjagaan ibu nifas, yang bertujuan memulihkan tenaga, mengembalikan kesegaran tubuh, serta melindungi ibu daripada gangguan fizikal dan rohani.
Ramuan pilis diperbuat daripada campuran bahan semula jadi yang bersifat perubatan dan kosmetik, ia terdiri daripada pelbagai kategori tumbuhan tropika dalam kategori etnoperubatan nusantara. Jenis dedaunan seperti daun inai, daun pandan, daun dan bunga melur serta serai wangi digunakan kerana sifatnya yang menyegarkan dan beraroma harum. Jenis rempah ratus pula termasuklah buah pala, bunga cengkih, jintan putih dan jintan hitam yang dipercayai berfungsi sebagai anti-radang, pemanas badan, dan penghalang angin. Herba berkhasiat seperti halia, kunyit hidup, dan cekur ditambah bagi tujuan menghangatkan tubuh serta melancarkan peredaran darah. Manakala bahan lain seperti bawang putih, air limau nipis, dan tepung beras berperanan memekatkan ramuan serta menyeimbangkan tekstur pes. Perpaduan bahan ini memperlihatkan pengetahuan perubatan tradisional yang berasaskan keupayaan flora tropika.
Dalam konteks sejarahnya, amalan pilis dikaitkan dengan konsep keseimbangan tubuh badan menurut perubatan Melayu lama. Ia dipercayai dapat menghalang “angin” atau unsur sejuk daripada masuk ke dalam tubuh, sekali gus menjaga kesihatan dalaman dan luaran ibu yang baru melahirkan. Ia sering dikaitkan dengan tradisi perubatan masyarakat terdahulu yang berasaskan penggunaan herba tropika sebagai medium pemulihan selepas bersalin. Akar amalan ini turut memperlihatkan pengaruh daripada perubatan Ayurveda India serta rawatan tradisional Jawa yang menekankan penjagaan tubuh wanita selepas bersalin secara menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental, dan spiritual.
Sejarah penggunaan pilis ini sangat panjang, diwariskan secara turun-temurun dari generasi ke generasi. Dalam budaya rumpun Melayu dan Nusantara lain, pilis dipercayai memiliki tenaga dan khasiat yang mampu menyeimbangkan keadaan tubuh selepas kehamilan dan persalinan yang menguras tenaga. Lebih-lebih lagi, pada zaman dahulu iaitu ketika masyarakat belum memiliki akses kepada kemudahan perubatan moden atau ubat-ubatan kimia, ramuan herba seperti pilis inilah yang menjadi solusi utama untuk menyokong pemulihan ibu. Bahan-bahan herba yang tersedia secara semula jadi di alam dianggap sebagai anugerah yang boleh dimanfaatkan bagi kesihatan ibu.
Selain fungsi perubatan, pilis juga mempunyai dimensi sosial dan budaya yang kukuh bagi masyarakat Melayu. Ia bukan sekadar ramuan herba, tetapi menjadi simbol bahawa seorang wanita sedang berada dalam tempoh berpantang. Kehadiran perletakan pilis pada dahi ibu yang baru melahirkan berfungsi sebagai tanda pengenalan kepada masyarakat bahawa wanita tersebut sedang menjalani rawatan tradisi. Secara tidak langsung, ia mewujudkan kesedaran dan rasa hormat dalam kalangan anggota keluarga dan masyarakat agar lebih prihatin terhadap keadaan kesihatan ibu tersebut. Hal ini memperlihatkan bahawa pilis turut berfungsi sebagai lambang identiti budaya dan simbol disiplin adat dalam konteks penjagaan kesihatan wanita.
Dari sudut teori sosiologi, penggunaan pilis dapat difahami sebagai satu bentuk amalan sosial yang lahir daripada interaksi masyarakat Melayu dan diwariskan melalui proses sosialisasi dari satu generasi ke generasi yang lain. Menurut pemikiran Peter L. Berger tentang konstruksi sosial, realiti sosial tidak wujud secara statik, tetapi terbentuk daripada hasil interaksi, penciptaan, dan pengekalan makna bersama. Amalan pilis menjadi contoh nyata bagaimana sesuatu tradisi dipelihara melalui proses eksternalisasi, objektif dan internalisasi. Masyarakat mencipta dan mengekalkan amalan ini sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan diri tradisional, menjadikannya sesuatu yang dianggap perlu dan efektif, seterusnya diinternalisasikan sehingga ia menjadi identiti budaya bersama.
Melalui proses ini, pilis tidak hanya difahami dari aspek khasiat herba, tetapi juga daripada makna budaya yang lebih luas. Oleh itu, secara objektif, ia menjadikan amalan ini dilihat sebagai satu rawatan sahih yang terbukti berkesan, manakala internalisasi memastikan ibu-ibu yang baru melahirkan akan terus mengikutinya kerana percaya ia adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan selepas bersalin. Amalan ini memperlihatkan bagaimana pengetahuan tradisional terus bertahan dalam dunia moden kerana ia memiliki legitimasi sosial yang kukuh.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pilis bukan sekadar ramuan kosmetik atau perubatan, tetapi juga simbol identiti dan peradaban masyarakat Melayu serta Nusantara. Ia menggambarkan usaha kolektif komuniti untuk menjaga kesejahteraan wanita selepas bersalin dengan menggabungkan khasiat tumbuhan tropika, pengaruh tradisi nusantara, serta nilai sosial yang diwarisi turun-temurun. Justeru, pilis perlu dilihat bukan sahaja sebagai rawatan tradisional, tetapi juga sebagai warisan budaya yang memperlihatkan kebijaksanaan masyarakat terdahulu dalam menguruskan kesihatan, adat, dan makna hidup.
Pilis sememang telah dibuktikan mempunyai pelbagai khasiat dalam penjagaan wanita selepas bersalin. Berikut adalah khasiat serta fungsi petua pilis;
Mencegah pening dan sakit kepala
Selepas bersalin, tubuh wanita mengalami perubahan hormon yang ketara serta keletihan akibat proses kelahiran. Keadaan ini sering menyebabkan ibu berasa pening dan mengalami sakit kepala. Penggunaan pilis pada dahi dipercayai membantu menyejukkan dan menenangkan urat saraf di bahagian kepala. Ramuan herba yang digunakan, seperti daun inai, buah pala, dan halia, mempunyai sifat anti-radang semula jadi yang membantu mengurangkan ketegangan otot serta menstabilkan peredaran darah ke otak. Dengan itu, ibu berpantang dapat mengurangkan rasa pening dan sakit kepala yang boleh mengganggu proses pemulihan.
Menghalang angin masuk ke dalam kepala
Dalam kepercayaan perubatan Melayu, unsur “angin” dianggap salah satu punca utama penyakit, terutamanya selepas bersalin apabila tubuh ibu masih lemah dan mudah dimasuki unsur sejuk. Pilis bertindak sebagai lapisan pelindung di dahi yang menghalang kemasukan angin, sekali gus membantu mengurangkan rasa sejuk, lesu, atau pitam. Bahan-bahan seperti bawang putih, jintan hitam, dan cekur dipercayai mempunyai sifat pemanas (warming properties) yang menstabilkan suhu badan. Hal ini bukan sahaja melindungi ibu daripada rasa tidak selesa, malah turut membantu menguatkan sistem imun badan.
Mengurangkan rasa mengantuk berlebihan
Proses melahirkan anak sering membuatkan ibu berasa lemah dan mudah mengantuk akibat kekurangan tenaga. Walaupun rehat itu penting, mengantuk berlebihan boleh menjejaskan proses penjagaan diri dan bayi. Aroma herba dalam pilis, seperti serai wangi, bunga melur, daun pandan dan rempah ratus yang ada, memberikan kesegaran yang semula jadi. Bau harum dan segar ini berfungsi seperti aromaterapi tradisional, membantu menyegarkan minda, memberi tenaga, dan mengurangkan rasa mengantuk yang keterlaluan. Dengan itu, ibu berpantang dapat kekal fokus, terutama dalam menguruskan bayi yang baru lahir.
Melancarkan peredaran darah di kepala
Pilis juga dipercayai membantu melancarkan peredaran darah di bahagian kepala. Ramuan yang mengandungi halia, kunyit hidup, dan buah pala mempunyai kesan merangsang peredaran darah (circulatory stimulant). Apabila peredaran darah lebih lancar, ibu akan berasa lebih cergas, segar, dan kurang mengalami simptom seperti kebas atau rasa berat di kepala. Kesan ini juga dapat mengurangkan risiko sakit kepala kronik, migrain, serta rasa lemah badan yang sering berlaku dalam tempoh selepas bersalin.
Memberi keselesaan dan ketenangan
Selain manfaat fizikal, penggunaan pilis memberikan keselesaan dan ketenangan kepada ibu yang baru melahirkan anak. Bau harum daripada gabungan bahan-bahannya dipercayai dapat menenangkan emosi serta meredakan tekanan mental. Dalam konteks psikologi tradisional, pilis memainkan peranan sebagai terapi minda, membantu mengurangkan keresahan, menstabilkan mood, serta memberikan ketenangan yang amat diperlukan bagi ibu untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru selepas kelahiran.
Pilis diperbuat daripada campuran pelbagai bahan semula jadi yang kebanyakannya terdiri herba-herba dan tumbuhan tropika. Campuran ini dirumus bagi memenuhi keperluan tubuh wanita selepas bersalin, sama ada dari aspek kesihatan, kecantikan mahupun kesegaran tubuh. Berikut adalah bahan-bahana membuat pilis;
Bahan Daun dan bunga
Daun inai (Lawsonia inermis)
Daun pandan (Pandanus amaryllifolius)
Daun dan bunga melur (Jasminum sambac)
Serai wangi (Cymbopogon nardus)
Bahan Rempah ratus
Bunga cengkih (Syzygium aromaticum)
Buah pala (Myristica fragrans)
Jintan putih (Cuminum cyminum)
Jintan hitam (Nigella sativa)
Kayu manis (Cinnamomum verum) [pilihan tambahan, sering digunakan untuk aroma dan panas badan]
Lada hitam (Piper nigrum) [pilihan tambahan, untuk sifat panas dan melancarkan darah]
Bahan Herba Akar-Akar / Umbisi
Halia merah (Zingiber officinale)
Kunyit hidup (Curcuma longa)
Cekur (Kaempferia galanga)
Lengkuas (Alpinia galanga) [pilihan tambahan]
Bahan Tambahan untuk Pes
Bawang putih (Allium sativum)
Air limau nipis (Citrus aurantiifolia)
Beras tumbuk halus – sebagai pemekat
Minyak kelapa dara – kadang-kadang digunakan untuk melembapkan tekstur pes.
Proses pembuatan pilis memerlukan langkah yang teratur bagi memastikan setiap bahan mengekalkan khasiatnya serta menghasilkan pes yang sesuai untuk disapu pada dahi ibu selepas bersalin. Oleh itu, berikut adalah langkah-langkah penyediaan dan penggunaannya:
Langkah 1: Penyediaan Bahan-Bahan Segar
Proses awal pembuatan pilis bermula dengan penyediaan semua bahan segar yang terdiri daripada bahan daun, bunga dan bahan herba akar/umbisi.
Cuci bersih di bawah air yang mengalir untuk memastikan tiada kotoran, habuk, atau serangga yang melekat. Biasanya, bahan-bahan umbisi masih mengandungi sisa tanah, ia perlu digosok dengan teliti sebelum dipotong kecil untuk memudahkan proses penumbukan. Bawang putih juga hendaklah dikupas kulit luarnya dan dibasuh sehingga bersih.
Kesemua bahan ini kemudiannya diketepikan dalam keadaan segar dan bersih supaya khasiatnya terpelihara sebelum digabungkan dalam langkah penyediaan seterusnya.
Langkah 2: Sangai (Goreng Kering Tanpa Minyak)
Selepas bahan-bahan segar dibersihkan, proses seterusnya ialah menyediakan rempah ratus dan beras melalui kaedah sangai, iaitu digoreng kering tanpa minyak di dalam kuali.
Kesemua rempah ini dimasukkan ke dalam kuali panas dan digoreng kering sehingga keluar bau harum yang menandakan minyak pati semula jadi daripada rempah sudah naik.
Bagi beras pula, ia perlu disangai secara ringan tanpa sehingga hangus. Memadai apabila warnanya berubah menjadi kekuningan cair dan benar-benar kering.
Setelah siap, ketepikan semua bahan tersebut.
Langkah 3: Penumbukan Bahan Segar dan Mengisar Rempah Ratus
Bahan-bahan segar dan bahan-bahan umbisi ditumbuk menggunakan lesung batu sehingga lumat.
Penumbukan menggunakan lesung batu digalakkan kerana ia mengekalkan rasa, minyak pati, serta khasiat semula jadi bahan-bahan tersebut berbanding kaedah moden.
Sementara itu, rempah ratus dan beras yang telah disangai boleh dikisar menggunakan mesin pengisar kering.
Proses ini akan menghasilkan serbuk halus yang lebih mudah digaul bersama bahan segar yang sudah ditumbuk.
Asingkan bahan-bahan ini ke dalam dua bekas berasingan iaitu satu untuk bahan daun dan umbisi, manakala satu bekas lagi meletakkan bahan rempah ratus dan bekas lain yang berasingan untuk beras.
Langkah 4: Penyatuan dan Pembentukan Pes Pilis
Apabila bahan segar yang telah ditumbuk dan rempah ratus yang dikisar sudah sedia, kedua-duanya digabungkan dalam sebuah bekas.
Proses penyatuan ini dilakukan dengan teliti agar semua bahan bercampur rata dan menghasilkan adunan yang sekata.
Beras yang telah disangai dimasukkan sedikit demi sedikit sambil digaul perlahan-lahan sehingga sebati. Beras berfungsi sebagai bahan pemekat untuk memberikan tekstur yang lebih padat pada pes.
Bagi menentukan tahap kepekatan yang sesuai, air perahan limau nipis dituang sedikit demi sedikit, diikuti dengan titisan minyak kelapa dara.
Kedua-dua bahan ini bukan sahaja membantu melembapkan adunan, tetapi juga menambahkan aroma segar dan memperkayakan khasiat perubatan pilis.
Proses gaulan diteruskan sehingga semua bahan benar-benar sebati dan menghasilkan pes yang sedikit likat. Tekstur ini penting kerana ia memastikan pilis mudah disapukan pada dahi serta tidak mudah meleleh ketika digunakan.
Langkah 5: Cara Pemakaian Pilis
Sebelum pilis digunakan, ibu yang baru bersalin perlu memastikan tubuh dalam keadaan segar dan bersih.
Amalan ini biasanya dilakukan selepas mandi kerana ketika itu pori-pori kulit lebih terbuka, sekali gus memudahkan penyerapan khasiat herba.
Bahagian wajah, khususnya dahi, harus dicuci dengan bersih menggunakan air suam atau kain lembap untuk menyingkirkan sisa minyak, peluh, atau kotoran yang boleh menghalang keberkesanan ramuan.
Setelah itu, ambil sedikit pes pilis menggunakan jari atau hujung sudu yang bersih, lalu sapukan rata pada bahagian dahi.
Pastikan lapisan yang disapu tidak terlalu tebal agar ia mudah melekat, tetapi cukup menutupi kawasan dahi untuk memberikan kesan menyeluruh.
Biarkan pes tersebut mengering secara semula jadi selama 2 hingga 3 jam tanpa diganggu.
Dalam tempoh itu, herba di dalam pilis akan bertindak memberikan rasa nyaman, menyegarkan kepala, serta membantu mengurangkan pening dan masuk angin.
Apabila tempoh pemakaian selesai, pilis boleh dibersihkan menggunakan air suam atau kain basah yang lembut.
Amalan ini digalakkan dilakukan dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang, sepanjang tempoh berpantang selama 40 hari secara konsisten
Tips Amalan Tradisi
Untuk mendapatkan khasiat optimum, pilis sebaiknya disediakan segar setiap hari. Namun, jika dibuat dalam jumlah yang banyak, ia boleh disimpan dalam bekas bertutup rapat dan diletakkan di tempat sejuk kering. Dalam masyarakat Melayu tradisional, penyediaan dan pemakaian pilis biasanya dibantu oleh bidan atau ahli keluarga sebagai sebahagian daripada ritual penjagaan ibu selepas bersalin.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Abdullah, R., & Ubaidillah Wan Abas, W. M. (2023). Superstitious practices related to babies in the Malay Muslim community of Malacca. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 24(2).
Akhiar, S. K. B. (2016). Amalan dan penggunaan herba dalam perubatan tradisional Melayu selepas bersalin di zon tengah, Semenanjung Malaysia (Doctoral dissertation, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia).
Barakbah, A. (2007). Ensiklopedia perbidanan Melayu: Sebuah perbendaharaan ilmu perubatan dan penjagaan kesihatan. Utusan Publications.
Khamis, H. J. (1997). Adat lama perkahwinan orang Melayu Muar. Malaya in History/Malaysia in History dan Malaysia Dari Segi Sejarah, 25, 65–89.
Musa, M. S. (2023). Ilmu perubatan tradisional etnik Melayu Sarawak: Traditional ethnic medicine of Sarawak Malays. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 189–202.
PantangPlus. (n.d.). Khasiat tapel, param, dan pilis berpantang. PantangPlus. https://pantangplus.com/khasiat-tapel-param-dan-pilis-berpantang/
The Asian Parent. (n.d.). Manfaat parem untuk ibu melahirkan. The Asian Parent Indonesia. https://id.theasianparent.com/aa000215-manfaat-parem-untuk-ibu-melahirkan
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





