PARAM – PETUA TRADISI AMALAN BERPANTANG SELEPAS BERSALIN

Adat Resam

Gambar

13

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

101

Pengenalan dan sejarah

Param ialah sejenis ramuan tradisional berbentuk sapuan yang digunakan oleh wanita selepas bersalin sebagai sebahagian daripada amalan berpantang dalam tradisi Melayu. Lazimnya, param disapu pada seluruh badan kecuali di bahagian payudara dan perut, dan diamalkan secara konsisten dua kali sehari selepas mandi sepanjang tempoh berpantang selama 40 hari. Penggunaan param bukan sahaja berperanan sebagai rawatan pemulihan tubuh, malah turut mencerminkan kesinambungan ilmu tradisional yang diwarisi turun-temurun dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya berkaitan penjagaan kesihatan wanita selepas bersalin.

Ramuan param diperbuat daripada campuran bahan semula jadi yang bersifat perubatan dan kosmetik seperti beras, kencur, kunyit hidup, halia, bawang putih, kayu cendana, dan kulit limau purut. Gabungan herba ini dipercayai memberi kehangatan pada tubuh, melancarkan peredaran darah, mengelakkan masalah angin, serta mengekalkan kesegaran kulit. Dari sudut penggunaannya, param biasanya dibancuh dengan air suam sehingga menjadi pes halus sebelum disapu rata ke seluruh badan. Sapuan ini dibiarkan kering seketika agar khasiat ramuan menyerap ke dalam kulit, menjadikan param seakan-akan lulur herba yang menyaluti tubuh dengan lapisan aroma semula jadi.

Dari perspektif sejarah, param dikaitkan dengan tradisi perubatan masyarakat terdahulu yang berasaskan penggunaan herba tropika untuk pemulihan selepas bersalin. Pengaruh perubatan Ayurveda dari India dan rawatan tradisional Jawa turut membentuk asas penggunaan param, khususnya konsep keseimbangan unsur panas dan sejuk yang menjadi falsafah kesihatan tradisional. Campuran beras dan rempah ratus dianggap simbol keseimbangan tubuh dan sering digunakan bukan sahaja sebagai penyembuh tetapi juga untuk tujuan kecantikan. Amalan ini berkembang luas dalam budaya berpantang masyarakat di Malaysia, Sumatera, dan Kepulauan Jawa, lalu menjadi sebahagian daripada sistem rawatan tradisional yang menyatukan aspek kesihatan fizikal, kecantikan luaran dan keseimbangan spiritual.

Menariknya, param dalam konteks Malaysia mempunyai persamaan dengan amalan bobok parem di Indonesia. Dalam tradisi Jawa, parem merujuk kepada ramuan herba yang digunakan sebagai lulur atau sapuan badan bagi mengatasi masuk angin, mengurangkan bengkak, serta melancarkan peredaran darah. Istilah parem juga pernah dikaitkan dengan perkataan dalam bahasa Perancis lama yang membawa maksud teknik penyembuhan menggunakan ramuan sapuan dan urutan lembut. Dalam budaya pascapersalinan Jawa, bobok parem dianggap rawatan berkesan untuk memulihkan ibu kerana ia membantu melegakan otot, menguatkan pembuluh darah, serta menghangatkan tubuh secara semula jadi.

Selain param dan bobok parem, beberapa negara serantau di Asia Tenggara turut mempunyai amalan hampir sama yang menegaskan persamaan akar budaya dalam penjagaan kesihatan wanita selepas bersalin. Di Thailand, terdapat amalan “Sa Kra Sa Mun Prai" iaitu lulur badan berasaskan herba yang dikeringkan, digunakan bagi mengembalikan kesegaran tubuh dan merangsang peredaran darah. Di Myanmar pula, penggunaan herba tradisional dikenali sebagai “Thanaka”, sejenis serbuk kayu yang disapu pada kulit, turut diamalkan selepas bersalin walaupun lebih menekankan aspek kecantikan kulit. Sementara itu, di Kemboja, amalan “Chum Neang Mor'melibatkan sapuan herba kering dan mandian wap tradisional yang dipercayai berfungsi menghangatkan badan serta menyingkirkan toksin. Kesemua persamaan ini memperlihatkan wujudnya jaringan pengetahuan tradisional serumpun yang mengutamakan pemulihan tubuh wanita selepas bersalin dengan cara yang semula jadi, selamat, dan berlandaskan kearifan tempatan.

Di Malaysia sendiri, param wujud dalam pelbagai jenis bergantung kepada negeri dan tradisi tempatan. Misalnya, di belah utara, param lebih menekankan penggunaan kunyit hidup dan halia untuk memberi kehangatan serta mengurangkan bengkak pada sendi. Di pantai timur pula, ramuan param sering diperkaya dengan daun pandan, lengkuas, dan serai wangi bagi menghasilkan aroma segar yang menenangkan. Di kawasan selatan pula, penggunaan rempah ratus seperti kayu manis, cengkih, dan kapur sirih lebih menonjol kerana dipengaruhi oleh warisan budaya Minangkabau dan peranakan. Manakala, di kawasan Borneo Malaysia pula, jenis beras dan herba segar menjadi bahan utama amat penting. Kepelbagaian ramuan ini membuktikan bahawa param bukan sekadar satu bentuk rawatan tradisional yang homogen, tetapi sebuah warisan dinamik yang disesuaikan mengikut geografi, sumber herba tempatan, dan identiti budaya setiap komuniti di Malaysia.

Fungsi dan Peranan

Param mempunyai pelbagai khasiat yang menjadikannya salah satu amalan penting dalam penjagaan wanita selepas bersalin. Berikut adalah khasiat serta fungsi petua param;


  1. Pemulihan Fizikal dan Kesihatan Dalaman

Param memainkan peranan penting dalam proses pemulihan tubuh wanita selepas melahirkan anak. Kandungan herba seperti halia, kunyit, kencur, dan bawang putih dipercayai berupaya melancarkan peredaran darah, mempercepatkan pengecutan rahim, serta mengurangkan rasa lenguh dan kebas pada otot. Dengan sifatnya yang bersifat menghangatkan tubuh, param juga membantu mencegah masalah angin yang sering menyerang ibu dalam tempoh berpantang. Amalan ini sekali gus membolehkan tubuh wanita kembali cergas, bertenaga, dan beransur-ansur pulih sepanjang fasa pemulihan selepas bersalin.


  1. Kesegaran dan Kecantikan Luaran

Selain aspek kesihatan dalaman, param turut berfungsi sebagai rawatan luaran yang menekankan kecantikan tubuh wanita selepas bersalin. Campuran beras dan rempah ratus yang digunakan dalam ramuan ini bertindak sebagai lulur semula jadi yang berkesan untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati, menghaluskan tekstur kulit, serta memberikan keserian semula jadi. Bahan seperti kayu cendana dan kulit limau purut pula menambahkan aroma harum yang menyegarkan tubuh, sekaligus memberikan keselesaan dan rasa segar. Oleh itu, param boleh dianggap sebagai rawatan kecantikan tradisional yang melengkapkan penjagaan tubuh sepanjang tempoh berpantang.


  1. Kesejahteraan Psikologi dan Emosi

Amalan param bukan sahaja berfokus kepada kesihatan fizikal, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan psikologi dan emosi wanita selepas bersalin. Sapuan param yang menyeluruh pada tubuh memberikan kesan terapeutik dengan menghasilkan rasa lega, selesa, dan tenang. Kesan ini penting untuk mengurangkan tekanan emosi, mengatasi keletihan, serta menstabilkan perasaan selepas melalui pengalaman kelahiran. Dengan tubuh yang lebih segar dan kulit yang terawat, ibu berpantang juga memperoleh keyakinan diri baharu dalam menempuh fasa kehidupan selepas bersalin.


  1. Kesinambungan Budaya dan Warisan Tradisi

Dari perspektif budaya, param melambangkan kesinambungan ilmu tradisional yang diwarisi turun-temurun dalam masyarakat terdahulu. Ia bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga satu ritual penjagaan diri yang berakar pada pengetahuan herba, kaedah penyediaan, dan teknik penggunaan yang diwariskan daripada generasi terdahulu. Hal ini memperlihatkan bahawa param bukan sahaja berfungsi sebagai rawatan kesihatan semula jadi, malah turut menjadi sebahagian daripada identiti budaya  di Malaysia yang masih diamalkan hingga ke hari ini.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Param diperbuat daripada campuran pelbagai bahan semula jadi yang kebanyakannya terdiri herba-herba tropika. Campuran ini dirumus bagi memenuhi keperluan tubuh wanita selepas bersalin, sama ada dari aspek kesihatan, kecantikan mahupun kesegaran tubuh. Berikut adalah bahan-bahana membuat param;


Bahan-Bahan Segar:

  1. Beras 

Berfungsi sebagai agen lulur semula jadi, menanggalkan sel kulit mati, melicinkan serta mencerahkan kulit.


  1. Kunyit (Curcuma longa)

Bersifat antiseptik, membantu mengecutkan rahim, mempercepat penyembuhan luka, mencantikkan kulit.


  1. Daun sirih (Piper betle)

Bersifat antiseptik, menjaga kebersihan kulit, mencegah bau badan.


  1. Kulit limau purut (Citrus hystrix)

Menghaluskan kulit, mengurangkan bau badan, memberi kesegaran dan aroma sitrus.


  1. Kencur (Kaempferia galanga)

Memberi kehangatan tubuh, melancarkan peredaran darah, melegakan sakit otot dan sendi.


  1. Air suling 

Digunakan untuk membancuh ramuan serbuk menjadi pes yang sesuai untuk sapuan.


Herba Tambahan:

  1. Serbuk serai (Cymbopogon citratus) 

Menyegarkan tubuh, membantu melancarkan peredaran darah.


  1. Serbuk Lengkuas (Alpinia galanga)

Melegakan otot dan sendi, menghangatkan tubuh.


  1. Serbuk Kayu cendana (Santalum album)

Memberikan aroma wangi, menenangkan emosi, menyegarkan dan menyejukkan kulit.


  1. Serbuk halia merah (Zingiber officinale var. rubrum)

Memberi kehangatan tambahan, melancarkan peredaran darah.


  1. Serbuk cabai jawa (Piper retrofractum)

Menghangatkan tubuh, menguatkan tenaga dalaman.


  1. Serbuk kayu manis (Cinnamomum verum)

Bersifat antibakteria, mengurangkan bau badan, menambah keharuman.


  1. Serbuk cengkih (Syzygium aromaticum)

Membantu melegakan sakit otot, menambah aroma hangat, bersifat antiseptik.


  1. Minyak gandapura (Gaultheria procumbens)

Melegakan otot dan sendi, mengurangkan rasa sakit, memberi kehangatan.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Proses pembuatan param memerlukan langkah yang teratur bagi memastikan setiap bahan mengekalkan khasiatnya serta menghasilkan pes yang sesuai untuk disapu pada tubuh. Oleh itu, berikut adalah langkah-langkah penyediaan dan penggunaan param;


Langkah 1: Penyediaan Bahan Segar

Beras direndam terlebih dahulu selama beberapa jam sehingga lembut. Sementara itu, kunyit hidup, daun sirih, kulit limau purut, dan kencur dibersihkan serta dipotong kecil untuk memudahkan proses penumbukan. Semua bahan segar ini kemudian ditumbuk halus menggunakan lesung batu sehingga menghasilkan adunan pes yang lembut dan sebati.


Langkah 2: Campuran Herba Tambahan

Serbuk herba seperti serbuk serai, serbuk lengkuas, serbuk kayu cendana, serbuk halia merah, serbuk cabai jawa, serbuk kayu manis, dan serbuk cengkih dimasukkan ke dalam adunan pes segar tadi. Minyak gandapura turut dititiskan dalam jumlah sedikit untuk memberikan kehangatan tambahan serta membantu melegakan otot. Kesemua ramuan digaul sehingga menjadi campuran homogen dengan tekstur yang sesuai.


Langkah 3: Membancuh dengan Air Suling

Air suling ditambahkan sedikit demi sedikit ke dalam campuran herba sehingga mencapai kepekatan yang sesuai untuk disapu pada tubuh. Bancuhan ini harus dijaga agar tidak terlalu cair atau terlalu pekat, supaya mudah diratakan pada kulit.


Langkah 4: Penyimpanan dan Penggunaan

Ramuan param yang telah siap boleh digunakan terus selepas dibancuh. Untuk penggunaan, param disapu rata pada seluruh badan kecuali bahagian payudara dan perut, biasanya selepas mandi pada waktu pagi dan petang. Param dibiarkan kering beberapa minit sebelum dibilas dengan air. Selebihnya boleh disimpan dalam bekas bertutup rapat untuk kegunaan seterusnya, namun sebaik-baiknya disediakan dalam kuantiti segar bagi mengekalkan khasiat herba.Konsistensi Amalan


Langkah 5: Konsistensi amalan petua param

Amalan menggunakan param secara konsisten selama 40 hari berpantang diyakini memberi kesan positif yang berpanjangan. Selain membantu memulihkan tubuh, param juga dianggap sebagai bentuk penjagaan diri yang mendisiplinkan ibu untuk merawat tubuh secara teratur, sekali gus menguatkan ikatan dengan kearifan tradisional yang diwarisi daripada generasi terdahulu.


Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

Abdullah, R., & Ubaidillah Wan Abas, W. M. (2023). Superstitious practices related to babies in the Malay Muslim community of Malacca. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 24(2).

Akhiar, S. K. B. (2016). Amalan dan penggunaan herba dalam perubatan tradisional Melayu selepas bersalin di zon tengah, Semenanjung Malaysia (Doctoral dissertation, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia).

Barakbah, A. (2007). Ensiklopedia perbidanan Melayu: Sebuah perbendaharaan ilmu perubatan dan penjagaan kesihatan. Utusan Publications.

Khamis, H. J. (1997). Adat lama perkahwinan orang Melayu Muar. Malaya in History/Malaysia in History dan Malaysia Dari Segi Sejarah, 25, 65–89.

Musa, M. S. (2023). Ilmu perubatan tradisional etnik Melayu Sarawak: Traditional ethnic medicine of Sarawak Malays. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 189–202.

PantangPlus. (n.d.). Khasiat tapel, param, dan pilis berpantang. PantangPlus. https://pantangplus.com/khasiat-tapel-param-dan-pilis-berpantang/

The Asian Parent. (n.d.). Manfaat parem untuk ibu melahirkan. The Asian Parent Indonesia. https://id.theasianparent.com/aa000215-manfaat-parem-untuk-ibu-melahirkan


  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!