Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BIDAYUH: ADAT NGONCONG
Adat Resam
Gambar
7
Video
ada
Pelawat Hari ini
133
Jumlah Pelawat
1344
Pengenalan dan sejarah
Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan adat resam. Salah satu suku etnik yang mengekalkan keunikan adat tradisi mereka ialah Bidayuh Salako, yang kebanyakannya mendiami kawasan Lundu, Sematan, dan beberapa kampung di pesisir pantai Sarawak. Walaupun Bidayuh secara keseluruhan dikenali sebagai komuniti pedalaman, suku Salako lebih terdedah kepada pengaruh budaya maritim dan pesisir kerana lokasi geografinya.
Dalam kalangan masyarakat Salako, terdapat satu adat resam yang sangat penting dan diwarisi turun-temurun iaitu Adat Ngoncong. Adat ini merupakan satu bentuk upacara yang berkait rapat dengan kepercayaan spiritual, khususnya dalam aspek kesihatan, kesyukuran, pemulihan semangat, dan penghormatan kepada roh nenek moyang. Ia bukan sekadar ritual biasa, tetapi mencerminkan falsafah hidup masyarakat Salako yang melihat keseimbangan antara manusia, alam, dan kuasa roh sebagai sesuatu yang sangat signifikan.
Adat Ngoncong dipercayai telah mula diamalkan sejak penempatan awal masyarakat Salako di Kampung Pueh pada sekitar tahun 1875. Walaupun masyarakat Salako kini banyak yang menganut agama Kristian, namun Adat Ngoncong kekal dilestarikan sebagai warisan budaya yang memperlihatkan nilai spiritual lama yang masih dihormati.
Adat ini tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya. Hanya individu yang benar-benar mahir dan berpengalaman seperti Panadek Koncong sahaja yang dibenarkan untuk mengendalikan upacara bagi mengelakkan sebarang gangguan roh atau kemudaratan kepada peserta. Kesilapan dalam pelaksanaan upacara ini dipercayai boleh menyebabkan gangguan seperti kerasukan atau kemudaratan yang tidak diingini.
Adat Ngoncong dalam masyarakat Bidayuh Salako memainkan peranan yang luas merangkumi aspek perubatan tradisional, keagamaan, sosial dan kebudayaan. Secara asasnya, fungsi dan peranan adat Ngoncong dibahagikan kepada dua bentuk fungsi utama iaitu Ngoncong Perubatan dan Ngoncong Kesyukuran.
Ngoncong Perubatan dilaksanakan sebagai salah satu bentuk rawatan tradisional yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit fizikal dan spiritual seseorang individu. Dalam upacara ini, peranan utama digalas oleh bomoh tradisional yang dikenali sebagai Pangoncong atau Panadek Koncong. Pangoncong berperanan sebagai pengantara antara manusia dengan kuasa roh atau dewa-dewa alam yang dipercayai mempengaruhi tahap kesihatan seseorang.
Menurut kepercayaan masyarakat Salako, penyakit bukan sekadar berpunca daripada faktor fizikal semata-mata, tetapi boleh juga disebabkan oleh gangguan makhluk halus atau ketidakseimbangan semangat tubuh dan roh. Oleh itu, Ngoncong Perubatan dijalankan dengan tujuan memulihkan semula semangat yang telah lemah, menolak gangguan roh jahat, serta menenangkan roh individu yang sedang sakit. Upacara ini turut membantu mengembalikan keharmonian antara manusia dan alam ghaib supaya keseimbangan semula jadi dapat dicapai.
Dalam upacara Ngoncong, pemakaian busana dan aksesori memainkan peranan penting sebagai lambang penghormatan terhadap adat resam dan memperindahkan keseluruhan persembahan. Walaupun bentuk busana yang digunakan agak sederhana, namun ia sarat dengan nilai budaya serta mencerminkan keunikan warisan masyarakat Bidayuh Salako. Pemakaian busana juga sedikit berbeza mengikut jenis upacara yang dijalankan sama ada Ngoncong ketika sesi Perubatan atau Ngoncong untuk sesi kesyukuran.
Ketika upacara Ngoncong Perubatan, persembahan diiringi oleh tiga orang penari wanita yang bertanggungjawab melakukan tarian ritual di sekeliling talam persembahan. Busana yang dikenakan oleh penari wanita terdiri daripada Baju Kebaya berwarna terang atau lembut dan kain batik bercorak tradisional sebagai kain sarung. Pangoncong (bomoh upacara) pula mempunyai pemakaian yang lebih khusus iaitu baju kemeja putih polos sebagai lambang kesucian serta seluar panjang hitam sebagai simbol keteguhan dalam mengawal perjalanan upacara. Sebelum memulakan upacara, bomoh akan melilitkan sehelai kain di kepala sebagai simbol pemusatan roh dan perlindungan diri daripada gangguan unsur luar sepanjang upacara berlangsung.
Bagi persembahan Ngoncong ketika upacara kesyukuran dilakukan, penari akan memakai baju kebaya yang sama potongan dan warna harmoni agar tampak seragam ketika membuat persembahan berkumpulan. Kain batik bercorak flora atau geometri menjadi pilihan utama dan setiap penari memegang sapu tangan kecil yang menjadi elemen penting dalam gerakan tarian mereka.
Upacara Ngoncong memerlukan beberapa peralatan khusus dan alat muzik tradisional yang menjadi elemen penting dalam memastikan keseluruhan perjalanan upacara berjalan dengan lancar, mengikut adat turun-temurun masyarakat Bidayuh Salako. Setiap peralatan yang digunakan mengandungi simbolik tersendiri yang berkait rapat dengan kepercayaan spiritual mereka.
Beberapa alat muzik utama yang digunakan dalam upacara Ngoncong, sama ada untuk perubatan mahupun persembahan ketika upacara kesyukuran dijalankan, antaranya adalah;
Ganang/Rabana (Gendang):
Gendang tradisional ini memainkan peranan penting sebagai pemuka irama dalam persembahan. Diperbuat daripada kayu dan kulit haiwan, paluan gendang mengiringi gerak tarian dan nyanyian serta menandakan tempo kepada keseluruhan upacara.
Agong (Gong):
Gong berperanan mencipta bunyi gema rendah yang melengkapkan keutuhan irama. Bunyi gong dipercayai memberi aura magis yang membantu mewujudkan suasana sakral sepanjang upacara berlangsung.
Canang:
Merupakan sejenis alat bunyi logam kecil yang diketuk secara berirama untuk menambahkan variasi dalam persembahan muzik. Ia dimainkan secara berlapis bagi menghasilkan bunyi nyaring yang menyerikan keseluruhan persembahan.
Biola:
Berbeza dengan kebanyakan adat etnik Borneo yang berasaskan alat muzik tempatan semata-mata, keunikan Ngoncong turut menampilkan biola sebagai instrumen utama. Alunan biola berfungsi sebagai melodi utama yang mengiringi nyanyian Panadek Koncong dan menambah keindahan emosi dalam suasana upacara.
Selain alat muzik, beberapa peralatan khas turut disediakan sebagai elemen penting semasa persembahan upacara Ngoncong iaitu sebuah Talam (dulang) yang mengandungi sapu tangan, semangkuk beras, Topong (tapak sirih, buah pinang dan kapur) dan sebiji telur. Selain itu, beberapa bahan lain perlu disediakan seperti;
Seekor ayam
Poe’ (lemang)
Tumpi’ (sejenis kuih tradisional)
Bontong (beras yang dibungkus daun dan dimasak dalam buluh)
Beras kunyit
Tepung dan gula
Samangko baras (bekas kecil berisi beras)
Barang kemas traditional masyarakat Bidayuh Salako
Kemudian penari wanita akan menari secara berputar mengelilingi talam ini sebagai sebahagian daripada ritual lalu mengambil sapu tangan tersebut untuk dibawa menari bersama. Kombinasi kesemua bahan-bahan di dalam talam tersebut melambangkan doa kesejahteraan yang dipanjatkan kepada Jubata, serta menjadi pusat simbolik dalam keseluruhan ritual.
Pelaksanaan upacara Ngoncong memerlukan susunan kaedah yang teratur dan penuh tertib bagi memastikan kelangsungan adat warisan ini berjalan lancar serta memelihara kesuciannya. Setiap langkah dan peringkat upacara membawa maksud tersendiri yang berkait rapat dengan kepercayaan spiritual masyarakat Bidayuh Salako.
Persiapan Awal: Penyediaan Buis
Sebelum upacara Ngoncong dimulakan, persiapan buis iaitu persembahan khusus kepada Jubata (Tuhan dalam kepercayaan tradisional Salako) perlu disediakan terlebih dahulu. Bahan-bahan buis ini merupakan simbolik kepada pengorbanan, kesyukuran, dan harapan kesejahteraan yang dipanjatkan. Antara bahan buis yang disediakan seperti Seekor ayam, Poe’ (lemang), Tumpi’ (sejenis kuih tradisional), Bontong (beras yang dibungkus daun dan dimasak dalam buluh), Beras kunyit, Tepung dan gula, Samangko baras (bekas kecil berisi beras), Topong (tepak sirih) dan Sebiji telur.
Permulaan Upacara
Setelah segala persiapan lengkap, upacara dimulakan dengan kehadiran semua peserta termasuk keluarga yang diraikan, ahli masyarakat kampung, para pemain muzik dan penari. Suasana upacara dikawal rapi oleh Panadek Koncong yang mengetuai keseluruhan proses.
Para pemain alat muzik tradisional seperti gong, rebana (rabana), canang dan biola mula memainkan irama secara perlahan, menandakan permulaan suasana sakral. Biola memainkan peranan utama dalam mencipta alunan melodi ritual manakala bunyi alat muzik tradisional lain membentuk latar irama yang harmoni.
Persembahan Lagu dan Tarian Ngoncong
Selepas paluan muzik dimulakan, Panadek Koncong akan mula menyanyikan rangkaian lirikan lagu Ngoncong. Lagu ini merupakan pantun atau syair dalam bahasa Salako yang disampaikan secara berirama dengan penuh penghayatan. Setiap bait lirik membawa maksud pujian, kesyukuran, dan permohonan restu kepada Jubata. Berikut antara bait-bait lirik Ngoncong:
Yoiyo Banter Gundan Batiti...
Dalu Tarekng Balampar...
Babunga Baras Iyoiyo Nabek Nyubaie Sakaie...
(Lirik penuh dilagukan secara bersambung dan berlapis dengan pengulangan bait 'Iyoiyo' sebagai penegasan spiritual.)
Sepanjang nyanyian berlangsung, para penari wanita yang berjumlah tiga orang atau lebih mula menari secara berputar mengelilingi talam persembahan. Setiap penari memegang sapu tangan kecil yang diselit di antara jari sebagai sebahagian daripada gaya tarian tradisi. Gerakan tarian bersifat lembut, berputar dan terkawal, melambangkan penghormatan kepada talam persembahan dan kesopanan gerak tubuh wanita Salako.
Ritual Pemberian Derma
Sambil upacara berlangsung, para tetamu dan ahli keluarga akan meletakkan sumbangan wang derma ke dalam talam khas yang telah disediakan. Sumbangan ini diberikan secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing sebagai tanda sokongan dan berkongsi keberkatan. Wang derma yang terkumpul akan diagihkan kepada:
Panadek Koncong (pemimpin upacara)
Pemain muzik
Para penari
Ahli keluarga yang diraikan
Upacara Pemberkatan dan Penutup
Setelah nyanyian, tarian dan pemberian derma selesai, upacara diteruskan ke fasa akhir iaitu pemberkatan kepada individu yang diraikan, khususnya jika upacara dilakukan sebagai tanda kesyukuran selepas sembuh dari sakit. Panadek Koncong akan menaburkan beras kunyit di atas kepala individu yang diraikan sebagai lambang keberkatan, perlindungan dan kekuatan semangat baharu. Upacara diakhiri dengan bacaan doa dan paluan alat muzik yang beransur-ansur perlahan sebagai penutup rasmi, sebelum semua peserta bersurai dengan penuh rasa syukur dan pengharapan yang baik.
Encik Allen Manium Engang.
Puan Belinda Lim.
Encik London Anak Tasin.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Chali Ungang, C. (2022). Pusat Adat Bidayuh, Bale Gambang-Baruk. Majlis Adat Istiadat Sarawak. Lee Ming Press.
Haji Zamudin bin Mat. (1997). Gulentangan alat muzik tradisional Selako. Bahagian Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Encik London Anak Tasin. Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara. No.13A Kampung Pasir Hulu, 94100 Lundu, Sarawak.
Puan Belinda Lim. Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara. No.13A Kampung Pasir Hulu, 94100 Lundu, Sarawak.
Encik Allen Manium Engang. Kelab Jejak Warisan dan Khazanak Salako Rara. No.13A Kampung Pasir Hulu, 94100 Lundu, Sarawak.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!