ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU KADAZAN: ADAT PERKAHWINAN – MONGOI PANAU

Adat Resam

Gambar

4

Video

tiada

Pelawat Hari ini

65

Jumlah Pelawat

1077

Pengenalan dan sejarah

Perkahwinan dalam kalangan masyarakat suku Kadazan adalah ditentukan berdasarkan persetujuan daripada kedua-dua pihak ibu bapa, yang bertanggungjawab memilih jodoh untuk anak-anak mereka. Segala urusan, termasuk upacara merisik, pertunangan, dan perkahwinan akan diatur dan ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa. Anak-anak yang bakal berkahwin biasanya hanya dimaklumkan apabila tarikh perkahwinan mereka semakin hampir.


Adat masyarakat Kadazan menetapkan bahawa perkahwinan hanya dibenarkan antara pasangan yang tidak mempunyai sebarang hubungan persaudaraan. Oleh itu, penglibatan ibu bapa dalam memilih jodoh memainkan peranan penting untuk memastikan peraturan ini dipatuhi khususnya kepada anak perempuan. Ketidakpatuhan terhadap adat dan norma masyarakat Kadazan dipercayai boleh membawa malapetaka bukan sahaja kepada pasangan, tetapi juga kepada keluarga serta seluruh komuniti.

Foto 1: Mongoi Panau, Adat Menghantar Pengantin Perempuan
Sumber: Prestly Golibot, 2017
Sehubungan dengan itu, salah satu adat yang masih diamalkan dalam majiis perkahwinan adat suku Kadazan ini adalah adat Mongoi Panau yang juga dikenali sebagai Moipanau. Adat ini adalah tradisi rombongan yang pergi menjemput pengantin perempuan yang akan diiringi ke rumah pengantin lelaki. Jika pasangan berkenaan tinggal dalam kampung yang berdekatan. Diadakan adat ‘Miohon Do Pinisi’ (bertukar nasi kepal) bagi menyerlahkan kesakralan perkahwinan tersebut. Kedua-dua upacara ini ditandai dengan ‘Tondiadi’ (puisi-puisi tradisional yang dilagukan) semasa Mongoi Panau dan bacaan rinait (mantera) semasa adat Miohon Pinisi.

Fungsi dan Peranan

Foto 2: Perarakan Pengantin Perempuan

Sumber: AF Studio, 2023


Secara tradisional, adat ini dilakukan sebgai simbolik kepada sebuah keluarga ‘menyerahkan’ anak perempuan mereka kepada keluarga lain iaitu pengantin lelaki untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Oleh yang demikian,  perkahwinan anak perempuan dibuat secara besar-besaran berserta dengan upacara-upacara adat untuk menghormati dan menghargai jasa-jasanya semasa bersama dengan keluarganya. Hal ini kerana, anak perempuan memainkan peranan penting dalam membantu keluarga mereka meneruskan kehidupan. 


Bersama ibu bapa mereka, anak perempuan bertanggungjawab menjaga adik-adik sejak kecil, melakukan kerja di ladang, menumbuk padi, mengumpulkan kayu api, serta menjalankan aktiviti ‘Mooi Sondot’ iaitu menjual hasil tanaman di pekan, meskipun perlu meredah hutan dan bukit. Selain itu, anak perempuan dianggap sebagai sumber kekayaan keluarga melalui pemberian ‘Nopung’ (hantaran). Oleh sebab itu, perkahwinan anak perempuan dipandang serius oleh ibu bapa dan komuniti, yang menjadikannya satu hal penting dalam adat ‘Mongoi Panau’.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Upacara adat Mongoi Panau perlu dilaksanakan tanpa sebarang petanda buruk yang dikenali sebagai ‘Kadaaton’. Jika berlaku kematian di kampung sebelum majlis perkahwinan, acara tersebut akan ditunda ke tarikh lain. Namun, sekiranya kematian terjadi semasa majlis sedang berlangsung, acara keramaian hanya akan dihentikan buat sementara waktu. Dalam situasi ini, tuan rumah perlu menjemput Bobolian untuk melaksanakan ‘Momurinait’, iaitu pembacaan mantera bagi melindungi pasangan pengantin dan seluruh keluarga daripada sebarang musibah.


Pada masa dahulu, adat ini biasanya dilangsungkan pada waktu malam. Bagi pasangan pengantin yang belum pernah bertemu dengan bakal suami atau isteri mereka, waktu malam dianggap paling sesuai untuk melangsungkan perkahwinan. Suasana malam yang gelap dan hanya diterangi cahaya lampu yang terhad membantu menyembunyikan perasaan seperti malu, gugup, takut, atau sedih. Lazimnyaa, pada sekitar jam 3.00 petang, wakil daripada pihak lelaki seramai tiga orang akan datang ke rumah pihak perempuan sambil membawa sebuah ‘Sanang’, iaitu gong jenis canang. Ketibaan mereka disambut mesra oleh keluarga pihak perempuan yang menyediakan hidangan makanan dan minuman tradisional. Selain itu, sesetengan pihak mengadakan aktiviti cabaran dan rintangan kepada pihak rombongan di mana, mereka perlu meminum  ‘Tapai’ yang memabukkan, sehingga para rombongan dibenarkan naik ke atas rumah untuk menjemput si pengantin perempuan.


Salah satu kebijakan masyarakat Kadazandusun dalam menilai budi pekerti seseorang adalah dengan memerhatikan tingkah laku mereka semasa makan dan minum. Dalam tradisi ini, wakil rombongan lelaki akan diminta minum tapai sehingga mabuk atau muntah. Wakil yang memiliki budi pekerti baik tidak akan bertindak kasar atau menimbulkan kekacauan di rumah keluarga pengantin perempuan, berbeza dengan mereka yang kurang berbudi. Oleh itu, wakil yang dipilih mestilah individu yang berakhlak baik, kerana melalui pemerhatian ini, keluarga pihak perempuan dapat memahami dengan lebih mendalam sikap dan keperibadian keluarga pihak lelaki.

Foto 3: Cabaran Minum Tapai daripada Pihak Perempuan
Sumber: AF Studio, 2023

Upacara perjalanan ke rumah pengantin lelaki dimulakan dengan upacara ‘Polintuhun’ yang bermaksud ‘membawa turun’ si pengantin perempuan dari atas rumah dan memijak tanag. Dalam upacara ini, wakil dari pihak perempuan akan melafazkan mantera untuk menghalau roh-roh jahat agar tidak mengganggu perjalanan pengantin. Sebelum pengantin perempuan memijak tanah, puisi tradisional Mongoi Panau yang dikenali sebagai ‘Tondiadi’ akan dilantunkan. Puisi-puisi ini biasanya terus diungkapkan sepanjang perjalanan menghantar pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki.

Tondiadi merupakan ekspresi kearifan tempatan dalam adat Mongoi Panau. Ia bertindak sebagai pendinding dan nasihat kepada pengantin perempuan dalam menghadapi alam perkahwinan. Melalui bait-bait puisi ini, wakil pihak perempuan mendoakan kesejahteraan dan perlindungan pengantin perempuan daripada sebarang masalah. Mereka juga mengingatkan pengantin perempuan agar menjaga tingkah laku dan menghormati asal usulnya. Berikut adalah bait-bait puisi Tondiadi yang sering dilafazkan dalam upacara tersebut;

Lafaz Tondiandi

Terjemahan

Wonsoi totobon do taan,

id sungkad do solianon,

i purinding ku lo’i oton,

do kosusut do rondomon.

 

Oton pananom po’d siot,

do siot nu panatadon,

sorou no pihuyan nu lohing,

do daamot nu mooi wagu.

Terbukalah pintu langit,

di gerbang laluan,

pendindingku untuk si oton (panggilan manja untuk anak perempuan),

menyusup malam yang gelap.

 

Tanamlah siot dahulu oton,

Siot untuk asal usulmu,

ingatlah lelah tuamu,

tatkala engkau mengambil yang baharu.

 

(siot ialah sejenis tumbuhan berupa kayu yang biasanya digunakan sebagai tangkal oleh etnik Kadazandusun tradisional)


Sumber: Minah Sintian, 2021
Setelah itu, pengantin perempuan akan diarak ke rumah pengantin lelaki dengan hanya memakai selendang sederhana untuk menutupi kepala dan bahunya. Perjalanan ini biasanya berlangsung dalam keadaan gelap, hanya diterangi cahaya dari Tata atau Jamung (obor). Meskipun suasana gelap, perarakan tetap meriah dengan ungkapan Tondiadi yang saling dibalas antara rombongan kedua-dua pihak.
Dalam ungkapan Tondiadi ketika perjalanan ini dilakukan, tumbuh-tumbuhan di sekitar perjalanan sering dijadikan simbol dalam bahasa figuratif untuk menyampaikan makna tersirat. Sebagai contoh, daun Sibu iaitu sejenis tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional, sering digunakan sebagai kiasan untuk menggambarkan perasaan atau harapan rombongan pada saat tersebut. Bahasa kiasan ini menambahkan unsur estetik dan simbolik dalam adat menghantar pengantin perempuan ke rumah bakal suami yang belum pernah dikenalinya. Berikut adalah bait-bait tondiadi yang dilafazkan semasa perjalanan berlangsung.

Lafaz Tondiandi

Terjemahan

Mili-kili roun do sibu,  

id tanga do tindalanon, 

i purinding ku lo’i oton,  

do kosusut do rondomon. 

Melambai-lambai daun sibu,

Di tengah perjalanan,

Pendindingku untuk si oton,

Menyusup malam yang gelap.

Sumber: Minah Sintian, 2021

Selain itu,   perjalanan menuju ke rumah pengantin lelaki juga akan melalui beberapa buah rumah orang kampung. Masyarakat secara kolektif telah sedia maklum bahawa rombongan Mongoi Panau akan melalui kawasan rumah mereka. Penghuni rumah yang teruja telah pun bersedia di beranda rumah masing-masing untuk mengalu-alukan rombongan dan memberi sokongan moral kepada pengantin perempuan dalam menempuhi alam rumah tangganya kelak. Rombongan akan melafazkan Tondiadi yang sesuai dengan situasi pada ketika itu seperti berikut;