Gambar

10

Video

tiada

Pelawat Hari ini

6

Jumlah Pelawat

81

Pengenalan dan sejarah

Bisul merupakan sejenis masalah kulit yang boleh dialami oleh hampir setiap orang pada suatu ketika dalam kehidupan mereka. Ia berbentuk benjolan kecil yang berisi nanah dan muncul pada permukaan kulit akibat jangkitan bakteria yang dikenali sebagai “Staphylococcus Aureus”. Bakteria ini biasanya hidup secara semula jadi pada permukaan kulit dan di dalam rongga hidung manusia. Apabila berlaku luka kecil, rekahan, atau kerosakan pada kulit, bakteria tersebut mudah memasuki folikel rambut atau kelenjar minyak lalu mencetuskan jangkitan. Akibatnya, kulit menjadi merah, bengkak, panas, bernanah, dan menimbulkan rasa sakit yang berdenyut.


Selain daripada jangkitan bakteria, terdapat faktor lain yang boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat bisul. Antara faktor tersebut termasuklah penurunan sistem imun badan, penyakit kronik seperti diabetes, serta geseran berterusan pada kulit yang menyebabkan iritasi. Bagi individu yang mempunyai daya tahan tubuh rendah, bisul boleh menjadi lebih serius kerana berpotensi mengundang komplikasi seperti keracunan darah (sepsis) sekiranya tidak dirawat segera. Justeru, rawatan perubatan moden di hospital sangat penting dalam kes-kes tertentu. Namun begitu, bagi individu yang sihat dan tidak mempunyai penyakit serius, bisul biasanya bersifat menular tetapi tidak berbahaya. 


Dalam konteks etnoperubatan masyarakat Melayu tradisional, rawatan secara semula jadi telah lama diamalkan untuk mengurangkan kesakitan, mempercepatkan proses masak bisul, dan membantu ia mengecut atau pecah. Kaedah tradisional ini diwarisi secara turun-temurun kerana dianggap lebih selamat, murah, mudah diperoleh, serta memanfaatkan bahan-bahan yang tersedia di sekitar rumah atau kebun. Antara bahan yang sering digunakan dalam merawat bisul secara tradisional termasuklah halia, kapur sireh, minyak semambu, bawang putih, kunyit hidup, minyak jintan, minyak kayu putih, daun semalu, daun sirih, dan madu asli. Kesemua bahan ini merupakan tumbuhan atau hasil semula jadi yang mudah ditemui di sekeliling rumah, kebun, atau pasar tradisional.


Penggunaan bahan-bahan tersebut telah diamalkan secara turun-temurun berikutan faktor sejarah dan tradisi masyarakat pada zaman dahulu. Pada ketika itu, akses terhadap hospital dan rawatan moden amat terhad, terutamanya di kawasan pedalaman. Justeru, masyarakat terdahulu lebih cenderung menggunakan sumber alam sebagai kaedah rawatan utama. Amalan ini tidak hanya muncul sebagai jalan penyelesaian praktikal, tetapi turut mencerminkan kebijaksanaan orang lama dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi. Sehingga kini, walaupun rawatan moden mudah diperoleh, kaedah tradisional ini masih terus dipraktikkan kerana dianggap berkesan.

Fungsi dan Peranan

Secara umumnya, rawatan tradisional bisul berfungsi untuk membantu mengurangkan rasa sakit dan bengkak yang timbul akibat jangkitan bakteria. Dengan menggunakan ramuan semula jadi yang bersifat antiseptik dan anti-radang, ia dapat menenangkan kawasan kulit yang terjejas serta memberikan kelegaan kepada pesakit. Selain itu, rawatan tradisional juga berperanan mempercepatkan proses pematangan bisul agar nanah dapat keluar dengan lebih cepat dan bersih. Hal ini penting kerana nanah yang terperangkap sekiranya tidak dikeluarkan berpotensi menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk atau merebak ke kawasan sekitarnya.


Di samping itu, rawatan tradisional membantu membersihkan kawasan luka agar tidak mudah dijangkiti semula oleh bakteria lain. Sifat antibakteria yang terdapat dalam herba seperti bawang putih, sirih, dan kunyit berfungsi sebagai agen pembersih semula jadi. Ramuan ini juga dipercayai dapat meningkatkan daya ketahanan kulit, sekali gus mempercepatkan proses penyembuhan secara semula jadi tanpa bergantung sepenuhnya pada ubat moden. Dengan pendekatan holistik ini, rawatan bukan sahaja bertujuan menghapuskan gejala penyakit, tetapi juga mengekalkan keseimbangan tubuh dan alam sekitar.


Lebih daripada itu, rawatan tradisional bisul mempunyai peranan penting dalam memelihara kearifan lokal masyarakat Melayu. Amalan ini menunjukkan bagaimana tumbuhan dan herba dipergunakan secara menyeluruh dalam kehidupan seharian, bukan sekadar untuk makanan, tetapi juga untuk tujuan perubatan. Ia menggambarkan hubungan rapat antara manusia dengan alam, di mana masyarakat terdahulu mengadaptasi pengetahuan perubatan daripada pengalaman dan pemerhatian turun-temurun. Oleh itu, rawatan tradisional bisul bukan hanya menyumbang kepada kesihatan fizikal, tetapi juga memperkukuhkan identiti budaya, warisan perubatan etnik, serta nilai kemasyarakatan yang diwarisi hingga ke hari ini.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Terdapat pelbagai bahan semula jadi yang digunakan dalam rawatan tradisional bisul. Kesemuanya tergolong dalam kategori etnoperubatan Melayu yang masih diamalkan sehingga kini. Berikut adalah penerangan terperinci bagi setiap bahan:


  1. Halia (Zingiber officinale)

Halia merupakan rempah yang bersifat hangat dan sering digunakan untuk melancarkan peredaran darah. Dalam rawatan bisul, halia dipercayai dapat mengurangkan keradangan serta mempercepatkan proses pematangan bisul. Kandungan gingerol dalam halia juga mempunyai sifat anti-radang dan antibakteria yang membantu mengurangkan rasa sakit serta membasmi kuman di kawasan jangkitan.


  1. Kapur Sirih

Kapur sirih ialah sejenis bahan mineral yang biasanya dicampurkan dengan pinang dan daun sirih dalam tradisi mengunyah sireh. Dalam konteks rawatan bisul, kapur sirih dipercayai mampu mengeringkan bisul dengan cepat kerana sifatnya yang panas dan beralkali. 


  1. Daun Sirih (Piper betle)

Daun sirih sangat sinonim dalam rawatan tradisional Melayu. Ia kaya dengan sebatian fenol yang bersifat antiseptik, antibakteria, dan antioksidan. Daun sirih yang diramas atau ditumbuk digunakan sebagai tampalan pada bisul bagi menghalang pertumbuhan bakteria dan mempercepatkan proses penyembuhan.


  1. Minyak Semambu (Azadirachta indica atau neem oil)

Minyak semambu dihasilkan daripada biji atau daun pokok semambu. Ia terkenal dengan sifat antiseptik, antibakteria, dan anti-radang. Minyak ini sering digunakan dalam perubatan Ayurveda dan juga dalam perubatan Melayu tradisional. Apabila disapu pada bisul, ia membantu mengurangkan bengkak, membunuh bakteria, serta mempercepatkan proses penyembuhan kulit.


  1. Bawang Putih (Allium sativum)

Bawang putih adalah bahan antibiotik semula jadi yang sangat berkesan. Kandungan allicin dalam bawang putih berfungsi sebagai agen antibakteria dan antikulat. 


  1. Kunyit Hidup (Curcuma longa)

Kunyit hidup merupakan salah satu ramuan utama dalam etnoperubatan Melayu. Kandungan kurkumin dalam kunyit bertindak sebagai anti-radang, antiseptik, dan antibakteria. Ia dipercayai mampu mengurangkan bengkak serta mempercepatkan proses bisul matang agar nanah dapat keluar dengan lebih mudah.


  1. Minyak Jintan

Minyak jintan biasanya diperoleh daripada biji jintan hitam (Nigella sativa) yang juga dikenali sebagai habbatus sauda. Minyak ini mengandungi thymoquinone yang bersifat anti-radang, antibakteria, dan meningkatkan sistem imun tubuh. 


  1. Minyak Kayu Putih (Melaleuca cajuputi)

Minyak kayu putih terkenal sebagai bahan tradisional untuk menghangatkan badan, meredakan selesema, dan mengurangkan gatal-gatal. Ia juga memiliki sifat antiseptik dan antibakteria. Apabila disapu pada bisul, minyak ini membantu mengurangkan bengkak serta membasmi bakteria yang menyebabkan jangkitan kulit.


  1. Daun Semalu (Mimosa pudica)

Daun semalu atau lebih dikenali sebagai “pokok malu” mempunyai sifat perubatan yang jarang diketahui masyarakat moden. Dalam perubatan tradisional, daunnya ditumbuk halus dan ditampal pada bisul untuk mengurangkan keradangan. Ia dipercayai membantu mempercepatkan bisul masak dan mengurangkan kesakitan.


  1. Madu Asli

Madu asli merupakan bahan semula jadi yang terkenal dengan pelbagai khasiat kesihatan. Ia mempunyai sifat antibakteria, anti-radang, serta dapat mempercepatkan proses pemulihan luka. 


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Rawatan tradisional bisul memerlukan proses penyediaan yang berbeza mengikut bahan yang digunakan. Berikut merupakan kaedah penyediaan dan penggunaannya secara terperinci:


  1. Rawatan menggunakan halia

  • Ambil 2–3 hirisan halia segar.

  • Tumbuk hingga lumat atau panaskan sedikit atas api sehingga keluar jusnya.

  • Sapukan terus pada permukaan bisul.

  • Boleh juga dicampur dengan sedikit minyak kelapa untuk meningkatkan keberkesanan.


  1. Rawatan menggunakan kapur sireh

  • Ambil sedikit kapur sirih yang telah dicairkan dengan air.

  • Gaul hingga menjadi pes pekat.

  • Sapukan pes kapur sirih pada bisul secara nipis. Jangan sapu terlalu tebal kerana boleh menyebabkan iritasi kulit.

  • Biarkan sehingga kering, kemudian bilas dengan air suam.


  1. Rawatan menggunakan daun sireh

  • Ambil 2–3 helai daun sirih segar.

  • Cuci bersih dan layurkan sebentar di atas api kecil.

  • Ramas atau tumbuk sehingga keluar jusnya.

  • Tekapkan daun pada bisul dan balut dengan kain bersih.

  • Tukar balutan setiap 3–4 jam.


  1. Rawatan menggunakan minyak semambu

  • Ambil beberapa titis minyak semambu asli.

  • Sapu rata pada kawasan bisul menggunakan kapas bersih.

  • Ulangi 2–3 kali sehari sehingga bengkak berkurangan.

  • Cara alternatif adalah dengan membuat daun semambu ditumbuk halus dan dijadikan tampalan pada bisul.


  1. Rawatan menggunakan bawang putih

  • Ambil 1–2 ulas bawang putih segar.

  • Hancurkan sehingga keluar jusnya.

  • Letakkan terus pada bisul selama 10–15 minit. Elakkan tempoh yang terlalu lama kerana bawang putih boleh menyebabkan iritasi kulit sensitif.

  • Bilas dengan air bersih. Ulangi 2 kali sehari.


  1. Rawatan menggunakan kunyit hidup

  • Ambil sepotong kunyit hidup, cuci bersih.

  • Tumbuk atau kisar sehingga halus.

  • Campurkan dengan sedikit minyak kelapa atau minyak zaitun.

  • Sapu pada kawasan bisul, kemudian balut dengan kain bersih.

  • Ulangi setiap kali selepas mandi untuk hasil lebih baik.


  1. Rawatan mengunakan minyak jintan 

  • Cara membuat minyak jintan adalah dengan mengambil segenggam jintan, lalu sangai (goreng tanpa minyak) untuk mengeluarkan aroma minyak. Kemudian, tumbuk atau kisar biji sehingga pecah dan terus masukkan ke dalam kain bersih dan perah untuk mengeluarkan minyaknya. Setelah itu, simpan minyak dalam botol kaca gelap agar tidak cepat rosak.

  • Bagi merawat bisul, ambil beberapa titis minyak jintan menggunakan kapas bersih ataupun dititikan terus kepada bisul tersebut.

  • Sapu perlahan pada bisul sambil diurut lembut.

  • Boleh juga dicampur dengan madu asli sebelum disapu.

  • Amalkan 2 kali sehari sehingga bisul mengecut.


  1. Rawatan menggunakan minyak kayu putih

  • Cara membuat minyak kayu putih secara tradisional adalah dengan mengambil daun dan ranting muda pokok kayu putih, biasanya yang masih segar. Lalu layurkan sebentar di bawah matahari untuk mengurangkan kandungan air berlebihan. Kemudian, masukkan daun ke dalam periuk besar atau alat penyuling tradisional. Lalu, panaskan dengan wap sehingga minyak meruap. Wap bercampur minyak akan melalui paip dan masuk ke dalam bekas penyejuk. Minyak kemudian terpisah daripada air kerana perbezaan ketumpatan. Barulah minyak kayu putih yang terapung di permukaan air dikumpulkan dan disimpan dalam botol

  • Bagi merawat bisul pula, titiskan 3–4 titik minyak kayu putih pada kapas bersih.

  • Tekapkan pada bisul selama beberapa minit.

  • Boleh diulang 2–3 kali sehari.

  • Kaedah ini membantu mengurangkan bengkak dan menghangatkan kawasan jangkitan.


  1. Rawatan mengggunakan daun semalu

  • Petik beberapa helai daun semalu segar.

  • Tumbuk hingga halus.

  • Tampalkan pes daun semalu pada bisul.

  • Biarkan selama 20–30 minit sebelum dibersihkan.

  • Amalkan setiap hari sehingga bisul matang dan pecah.


  1. Rawatan menggunakan madu asli

  • Ambil 1–2 sudu kecil madu asli.

  • Sapukan terus pada bisul dengan kapas atau jari bersih.

  • Biarkan 15–20 minit kemudian bilas dengan air suam.

  • Amalkan setiap hari untuk mempercepatkan penyembuhan.

  • Selain sapuan luaran, madu asli juga boleh diminum untuk meningkatkan daya tahan tubuh.

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

Fu’adah, I. T., Putri, A. S., Nasar, N. A. S., Pomalingo, D. R., Werawati, A., Utami, A., … & Priono, F. A. (2025). Edukasi pengobatan herbal gel daun bandotan (Ageratum conyzoides L.) untuk penyakit kulit bisul di kalangan masyarakat RPTRA Sunter Agung Jakarta Utara. JAM: Jurnal Abdi Masyarakat, 6(1), 110–115. 

mStar. (2022, May 20). Ada 4 cara mudah rawat bisul tanpa perlu jumpa doktor, paling penting tak menyakitkan. https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2022/05/20/ada-4-cara-mudah-rawat-bisul-tanpa-perlu-jumpa-doktor-paling-penting-tak-menyakitkan

Berita Harian. (2022, September 18). Bisul pecah, bakteria masuk ke salur darah. https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2022/09/996394/bisul-pecah-bakteria-masuk-ke-salur-darah

World Health Organization. (2023). WHO traditional medicine strategy 2025 (WHO publication no. B09262). World Health Organization. https://iris.who.int/bitstream/handle/10665/380556/B09262-eng.pdf

Xtra. (2022, June 15). 20 petua untuk menghilangkan bisul, murah dan jimat. https://www.xtra.com.my/20-petua-untuk-menghilangkan-bisul-murah-dan-jimat/


ii)Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!